Ucapan Perasmian Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno oleh Timbalan Presiden UMNO Malaysia
Alhamdulillah, UMNO kini berada di persada 66 tahun usianya. Negara kita
telah merdeka 55 tahun adanya. Ia datang bersama sebuah pemerintahan
dari acuan negara sendiri, dari pimpinan anak watan sendiri. Selama
lebih enam dekad inilah, parti kita telah mengabdikan diri kepada anak
watan, mengubah keadaan, dari selubung kemunduran dan kemiskinan, kepada
cahaya kemajuan dan kemakmuran.
Kita bersyukur, kerana hasil
gabungan kebijaksanaan rakyat memilih pemimpin dan kebestarian pemimpin
mengemudi negara, Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera. Rakyat dari
segala rentasan kaum dan agama hidup dalam suasana yang harmoni, tanpa
persengketaan, tanpa kemusnahan.
Pada masa yang sama, kita
melonjak ke ambang negara maju dan melakar masa depan yang meyakinkan.
Impian kita, harapan kita, hanyalah membina negara Malaysia yang berjaya
dari Perlis hingga ke Sabah, dan sentiasa berada di bawah naungan Ilahi
seperti yang dipohon oleh Nabi Allah Ibrahim:
وَإِذۡ قَالَ
إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنً۬ا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُ
ۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡہُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ
ٱلۡأَخِرِۖ
Yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Nabi
Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah)
ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis
buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat di antara mereka.
(Surah Al-Baqarah, Ayat 126)
Saudara dan saudari yang saya hormati,
Politik Perkongsian Kuasa
Menghimbau
55 tahun yang lalu, Malaysia berada dalam situasi yang hampir sama
seperti di Sri Lanka, Fiji dan Myanmar ketika negara-negara ini berada
di ambang kemerdekaan. Kesemuanya adalah bekas tanah jajahan British
yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama. Apabila British
terdesak untuk melepaskan penguasaan ke atas tanah-tanah jajahan mereka,
perkara utama yang menjadi persoalan ialah siapakah selain bangsa
pribumi yang berhak mendapat hak kerakyatan, bangsa manakah yang akan
menerajui pemerintahan negara baru itu, dan apakah bentuk negara yang
mahu dibina.
Kecuali di Myanmar, negara-negara ini memilih model
politik perkongsian kuasa antara kaum. Di Sri Lanka, etnik Sinhalis dan
Tamil bersetuju untuk berkongsi kuasa. Namun, persetujuan untuk
berkongsi kuasa sahaja tidak menjamin keamanan dan kestabilan politik
yang berkekalan. Perbalahan kaum tercetus di Sri Lanka selama beberapa
dekad selepas merdeka, sehingga membawa kepada rusuhan, perang saudara,
kemusnahan dan kemunduran.
Di Fiji, etnik imigran yang ibu bapa
mereka berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British telah diberikan
hak kerakyatan apabila Fiji mencapai kemerdekaan pada tahun 1970.
Dengan hak kerakyatan, mereka juga mempunyai hak yang sama dengan
Bumiputera Fiji untuk terlibat dalam politik dan ekonomi. Malangnya,
kerana tidak ada usaha untuk meratakan padang permainan, Bumiputera Fiji
yang lebih mundur memberontak sehingga menyebabkan perbalahan dan
rampasan kuasa.
Lebih malang di Myanmar, etnik minoriti Rohingya
yang berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British tidak diberikan
hak kerakyatan langsung. Tanpa hak kerakyatan, mereka tidak mempunyai
hak untuk terlibat dalam politik, apatah lagi untuk berkongsi kuasa
dengan kaum majoriti.
Walaupun Myanmar telah merdeka selama 64
tahun, etnik Rohingya yang beragama Islam dilayan dengan begitu teruk
sekali. Mereka tidak dibenarkan bekerja dengan kerajaan dan anak-anak
mereka dihalang daripada bersekolah di sekolah kerajaan. Hatta untuk
mendapatkan rawatan di hospital pun mereka menghadapi kesukaran. Tidak
cukup dengan itu, rumah-rumah mereka dibakar, tanah-tanah mereka
dirampas dan keluarga mereka dihalau keluar dari bumi Myanmar. Bagi
orang Rohingya, bumi yang mereka pijak ibarat neraka dunia.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
KEBIJAKSANAAN POLITIK UMNO: MUAFAKAT UNTUK BERKONGSI KUASA
Alhamdulillah,
kita di Malaysia tidak mengalami krisis politik dan perkauman yang
parah seperti yang dialami di negara-negara lain, walaupun kita
mempunyai lebih banyak bangsa, kaum dan suku kaum. Negara kita dipagari
daripada malapetaka besar yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan
rakyat. Dengan izin Allah s.w.t kita dapat hidup dalam suasana yang
aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.
Kesemua ini pastinya
tidak terjadi dengan sendiri. Sudah tentulah ada sebab musabab yang
menjadikan negara kita kekal aman, makmur dan sejahtera. Sebab yang
utama ialah kebijaksanaan pemimpin kita terdahulu memilih acuan politik
perkongsian kuasa yang berteraskan semangat persefahaman, pemuafakatan,
setiakawan dan tolak ansur antara parti-parti politik yang mewakili
pelbagai kaum sewaktu itu, iaitu UMNO, MCA dan MIC. Apabila Barisan
Nasional dibentuk pada tahun 1974, muafakat kita semakin kukuh dengan
lebih banyak parti-parti yang mewakili pelbagai etnik dan suku kaum
bergabung, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Sepanjang lima dekad
pemerintahan Barisan Nasional, muafakat yang dicapai untuk memerintah
negara secara bersama tidak pernah kita ingkari. Janji untuk bekerjasama
dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip ini sentiasa kita
pupuk dan suburkan, dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan Nasional.
Alhamdulillah,
meskipun ada kalanya kita diduga dengan pelbagai cabaran dan tuntutan,
meja rundingan Barisan Nasional sentiasa dapat menawarkan penyelesaian
kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum. Kerana
itu Malaysia kekal aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.
Meskipun
begitu, bagi puak yang keras dan melampau dalam pemikiran dan tindakan
politik, mereka sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman dan agama
yang sempit bagi menagih laba politik. PAS sebagai contoh pernah menuduh
UMNO sebagai parti sekular, parti taghut, parti mustakbirin, parti
fir’aun, parti kafir semata-mata kerana kita bekerjasama dengan
rakan-rakan bukan Islam dalam Barisan Nasional.
Begitu juga
dengan MCA, MIC dan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional.
Apabila mereka menerima pendirian UMNO dalam perkara yang berkait dengan
kepentingan orang Melayu, DAP dengan cepat menuduh mereka sebagai parti
yang lemah, atau parti pak turut yang sanggup menggadai kepentingan
kaum bukan Melayu, semata-mata untuk mengecap nikmat kuasa bersama UMNO.
Malah, DAP menuduh UMNO sebagai parti rasis dan parti ultra-Melayu,
semata-mata untuk membangkitkan kebencian orang bukan Melayu terhadap
UMNO dan Barisan Nasional.
Sebenarnya saudara-saudari, PAS dan
DAP berbuat begitu semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu
kepada parti mereka. PAS menggunakan sentimen agama yang sempit untuk
menghasut orang Melayu membenci UMNO dan menyokong mereka.
DAP
pula menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk menghasut orang
bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam
Barisan Nasional, supaya orang bukan Melayu menyokong mereka. Semuanya
ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan politik
serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang
kaum dan agama di negara kita.
Hakikatnya, sejak lebih lima
dekad yang lalu, parti yang membawa fahaman politik benci dan fitnah,
yang membakar sentimen agama dan perkauman bukannya UMNO, bukannya MCA,
bukannya MIC, bukan juga parti-parti komponen BN yang lain. Sebaliknya
ia didalangi oleh PAS dan DAP. Merekalah yang mengamalkan politik ultra
perkauman dan membawa fahaman songsang mengenai agama yang memecah
belahkan masyarakat kita. Kononnya undi PAS masuk syurga, sembelihan
orang UMNO tidak halal, solat berimamkan orang UMNO tidak sah. Malah,
mereka sanggup mendoakan kehancuran bagi orang UMNO yang merupakan
saudara seagama mereka.
Merekalah yang menyuburkan syak
wasangka, merekalah yang membarakan api fitnah, dan mereka jugalah yang
membaja benih-benih kebencian.
Sutera dilipat habis dicuci
Tersimpul kemas di dalam laci
Kalau hati berkarat benci
Terpacul di mulut nista dan caci
PEMBANGKANG TIADA PERSEFAHAMAN, TIADA MUAFAKAT
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
PAS
dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama. Mereka masih sangat
berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah bertarung
sesama sendiri, kini PAS dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama
politik yang cuba ditiru daripada kejayaan Barisan Nasional.
Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot
dan jalan cerita, serta menjadi teraju. Sehingga ke hari ini PAS dan DAP
sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran
kerana ideologi yang jelas berbeza.
Mari kita lihat tiga senario
di tiga buah negeri yang diperintah oleh mereka. Di Pulau Pinang
misalnya, DAP tidak mahu berkongsi kuasa pun dengan PAS. Walaupun PAS
mempunyai satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, wakil rakyat PAS
sehingga kini tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri. DAP
sebaliknya lebih rela menyerahkan portfolio agama kepada PKR. Walhal,
sebagai parti yang mengaku memperjuangkan Islam, wakil rakyat PAS lah
yang sepatutnya diberikan kepercayaan oleh DAP, untuk menjaga hal ehwal
Islam di Pulau Pinang. Nampaknya, DAP tidak percaya kepada PAS.
Di
Kedah pula, wakil rakyat tunggal DAP tidak berada dalam barisan Exco
Kerajaan Negeri yang dikuasai oleh PAS. Hari ini, apabila kerajaan PAS
Kedah membuat peraturan atau dasar yang condong kepada Islam, yang
menentang bukannya wakil rakyat BN, tetapi DAP. Ini membuktikan bahawa
DAP bukan sahaja tidak mahu berkongsi kuasa dengan PAS, malah menentang
dasar Islam PAS.
Di Selangor, seorang Exco PAS dan Exco DAP
pernah bertelagah mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam di negeri
itu. Bagi parti DAP yang sekular, bukan sahaja hudud tidak patut
dilaksanakan, malah undang-undang pencegahan maksiat yang termaktub
dalam enakmen undang-undang Islam negeri juga tidak wajar dilaksanakan.
Akibat pertelagahan ini, Exco PAS berkenaan dipecat dari Exco Kerajaan
Negeri dan parti, dan portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang
oleh beliau, diambil alih oleh Menteri Besar dari PKR.
Ternyata,
PAS hanya melukut di tepi gantang. PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP
dan PKR. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan kepada PAS
dirampas oleh DAP dan PKR. Sungguh malang bagi PAS. Bagai kisah si lebai
malang. Di sini tak dapat, di sana pun melepas. Bak kata orang Pulau
Pinang, Balik Pulau Bayan Lepas, Sini Terpelau Sana Terlepas. PAS
berhempas pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang
berkuasa ialah DAP dan PKR. Bagi DAP dan PKR, PAS hanyalah kuda
tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa.
Saudara dan saudari,
Cuba
kita bayangkan, jika sekarang pun PAS tidak mempunyai tempat dalam
pakatan pembangkang, apakah ada jaminan bahawa PAS boleh menegakkan
Islam menerusi pakatan pembangkang? Saya pasti saudara dan saudari yang
berada di dalam dewan ini, dan juga tuan-puan yang mengikuti ucapan saya
di luar sana, tahu apa jawapannya. Tidak mungkin PAS boleh menegakkan
negara Islam. Sebab itulah awal-awal lagi sekarang ini, PAS sudah
mendendangkan lagu negara berkebajikan, bukan negara Islam.
Selama
ini pun PAS sedar, sepanjang 12 kali pilihanraya umum, bilangan kerusi
yang mereka tandingi kebanyakannya kurang separuh daripada jumlah
keseluruhan kerusi di Parlimen. Misalnya, dalam pilihanraya tahun 1969,
PAS bertanding di hanya 62 daripada 144 kerusi Parlimen, tahun 1990
bertanding di 29 daripada 180 kerusi parlimen, tahun 1995 bertanding di
59 daripada 192 kerusi parlimen, tahun 1999 bertanding di 59 daripada
193 kerusi parlimen, tahun 2004 bertanding di 85 daripada 219 kerusi
parlimen, dan tahun 2008 bertanding di hanya 66 daripada 222 kerusi
parlimen.
Ironinya, jika PAS menang di semua kerusi yang
ditandingi sekalipun, PAS tidak boleh membentuk kerajaan untuk
menegakkan negara Islam seperti yang dicanangkan. Apatah lagi,
pencapaian terbaik PAS ialah memenangi 26 kerusi dalam pilihanraya umum
1999. Saudara-saudari, PAS hanya menang semua kerusi yang ditandingi
sewaktu berada dalam Barisan Nasional dalam pilihanraya 1974. Manakala,
dalam semua pilihanraya yang lain, jumlah kerusi yang PAS kalah lebih
besar daripada jumlah kerusi yang dimenangi.
Berbeza dengan
UMNO, sepanjang sejarah pilihanraya di negara kita, jumlah kerusi yang
kita tandingi dan menang dalam pilihanraya membolehkan kita menjadi
parti teras dalam kerajaan. Dengan kedudukan ini, UMNO mampu
melaksanakan dasar-dasar yang selaras dengan perjuangan parti
berlandaskan musyawarah dengan parti-parti komponen dalam Barisan
Nasional.
Mungkin PAS akan mengatakan kepada kita tidak mengapa
bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana nanti ahli-ahli parlimen
PKR dan DAP akan menyokong mereka untuk menegakkan Islam. Janganlah
bermimpi di siang hari. Janganlah berbohong kepada pengundi. Jauh
panggang dari api. Takkanlah DAP yang rasis lagi cauvinis, takkanlah PKR
yang rosak lagi merosakkan, akan menyokong usaha PAS untuk menegakkan
Islam. Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12 kali pilihanraya, 12 kali PAS
berbohong kononnya parti itu berjuang untuk menegakkan Islam. Janganlah
kita biarkan PAS berbohong lagi untuk kali ke-13.
Dengan
kedudukan PAS yang lemah, agak pelik bagi kita apabila dalam Muktamar
PAS baru-baru ini, ada perwakilan parti itu yang mencadangkan Presiden
mereka sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang. Seperti yang
kita jangka, DAP awal-awal lagi tidak bersetuju Presiden PAS menjadi
calon Perdana Menteri. Persoalannya, bolehkah Presiden PAS menjadi
Perdana Menteri jika jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh
parti itu adalah kecil, dan DAP pula tidak menyokong mereka? Tentu
sekali jawapannya tidak boleh.
Jika tidak boleh, dan saya pasti
mereka pun tahu ianya tidak boleh, mengapa dikemukakan juga cadangan
itu? Bagi kita ini menunjukkan bahawa ahli-ahli akar umbi PAS tidak
meletakkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk mengetuai pakatan
pembangkang. Mereka tidak percaya kepada Lim Guan Eng. Mereka tidak
percaya kepada Lim Kit Siang. Mereka juga tidak percaya kepada Karpal
Singh. Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim. Ini adalah
satu kegagalan besar bagi PAS dalam membentuk kerjasama dan berkongsi
kuasa dengan DAP dan PKR.
Sebenarnya saudara-saudari, konsep
berkongsi kuasa tidak pernah wujud dalam pakatan pembangkang. Mandat
rakyat yang diberikan kepada mereka dalam pilihanraya yang lalu untuk
mememerintah beberapa buah negeri adalah satu hikmah yang mendedahkan
kepada kita bahawa mereka sebenarnya tidak boleh bekerjasama dan
berkongsi kuasa. Satu sebab yang paling utama ialah tiadanya sikap
saling mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada DAP, DAP
tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan PKR tidak percaya kepada
PAS.
Cuba bayangkan saudara-saudari, jika masing-masing tidak
percaya antara satu sama lain, bolehkah pembangkang bermuafakat sesama
mereka? Bolehkah pembangkang memerintah negara dengan aman? Bolehkah
pembangkang membawa kesejahteraan kepada rakyat? Boleh atau tidak
saudara-saudari? Jika tidak jawapannya, pastikan kemenangan berpihak
kepada kita dalam pilihanraya nanti.|Jangan kita serahkan negara kita
ini untuk diporak-perandakan oleh pembangkang.
CABARAN IDEOLOGI: ISLAM, KEBEBASAN DAN DEMOKRASI
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Kita
sedang berhadapan dengan tentangan ideologi baru. Kononnya atas nama
kemunculan politik baru, politik pembebasan, politik global, politik
kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan
agama, budaya dan moral. Di kalangan parti-parti politik tertentu,
mereka akan mengutip apa sahaja ideologi yang memberi kelebihan kepada
mereka, hatta berkongsi ideologi songsang sekalipun.
Di
peringkat antarabangsa, telah muncul kumpulan yang memperjuangkan
ideologi songsang yang berteraskan pemikiran sekular liberal yang
bertentangan dengan agama. Misalnya, kumpulan yang memperjuangkan hak
golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang dianggap sebagai
kelompok minoriti yang tertindas. Undang-undang negara yang hanya
mengiktiraf perkahwinan antara lelaki dan wanita dianggap oleh kumpulan
ini sebagai tidak adil, malah zalim kepada mereka.
Hari ini,
mereka semakin berpengaruh. Banyak kerajaan menerima tekanan supaya
mengiktiraf hak golongan songsang untuk melakukan perkara yang ditegah
oleh agama. Mereka turut melobi supaya hak golongan songsang ini
dimasukkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean di Sidang Kemuncak
Asean di Phnom Penh baru-baru ini.
Alhamdulillah, Malaysia di
bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak menolak keras
cadangan ini, kerana bagi kita amalan yang bertentangan dengan prinsip
agama dan fitrah manusia tidak boleh dibiarkan berleluasa. Bayangkan,
apa yang akan terjadi kepada anak-anak kita, keluarga kita, masyarakat
kita dan agama kita jika amalan songang ini dibiarkan menular.
Kita
bersyukur, negara-negara Asean lain bersetuju dengan pendirian
Malaysia, dan cubaan untuk mengiktiraf amalan yang bertentangan dengan
prinsip agama, moral dan fitrah manusia sebagai satu hak gagal.
Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,
Di
negara kita, ideologi songsang ini sudah menembusi benteng politik
pembangkang. Kerana itu, sejak akhir-akhir ini kita lihat pandangan
Ketua Pembangkang agak bercelaru. Satu ketika, beliau tanpa segan dan
silu mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang jenayah negara kita
yang menghalang perlakuan liwat adalah satu undang-undang yang kolot.
Sedangkan kita semua tahu bahawa perbuatan terkutuk itu ditegah oleh
Islam, dan juga oleh agama-agama lain.
Jika undang-undang itu
kolot, maka apakah Ketua Pembangkang hendak mengatakan bahawa hukum
Allah juga kolot? Janganlah kerana perlakuan songsang ini dibenarkan di
Barat, dan diterima sebagai hak asasi manusia oleh mereka, maka dia pun
turut hendak menghalalkannya.
Selain itu, baru-baru ini kita
juga dikejutkan oleh kenyataan seorang Naib Presiden PKR. Atas nama
kesamarataan hak, beliau mengatakan orang Melayu yang beragama Islam
juga wajar diberikan hak kebebasan beragama, sepertimana yang diamalkan
oleh penganut-penganut agama lain. Sedangkan kita tahu bagi umat Islam,
seluruh kehidupan kita dipandu oleh syari’at Allah. Tidak mungkin hak
untuk murtad boleh terpakai untuk umat Islam.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Inilah
sisi hodoh ideologi demokrasi dan kebebasan yang cuba dibawa oleh
pakatan pembangkang. Mereka cuba merungkaikan asas-asas agama Islam yang
telah terpahat kukuh di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Perkara seperti
ini tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Tidak pernah ada
pemimpin Islam yang tergamak bersuara menghalalkan gaya hidup songsang
dan murtad. Tetapi hari ini, atas sebab ingin meraih undi dan merebut
kuasa, lantaran angan-angan mahu ke Putrajaya, semuanya boleh sahaja.
Inilah
sebenarnya bahana besar yang dibawa oleh pembangkang. Kita di dalam
UMNO tidak boleh alpa. Ingatlah, UMNO adalah parti yang berjuang untuk
menegak dan mendaulatkan Islam. Bangkitlah menjadi benteng
mempertahankan masyarakat kita daripada diasak oleh ideologi songsang
pembangkang. Jangan biarkan mereka menembusi jiwa anak-anak kita. Jangan
biarkan mereka meracuni pemikiran masyarakat kita. Jangan biarkan
mereka merungkai asas-asas agama kita. Kita yakin rakyat akan terus
bersama UMNO dan Barisan Nasional untuk mempertahankan nilai-nilai murni
yang cuba dinoda oleh pembangkang.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Walaupun
pembangkang menjanjikan bulan, bintang, matahari dan cakerawala apabila
bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan, mereka tidak mengotakan apa
yang janjikan. Seperti yang disimpulkan dengan begitu tepat sekali oleh
YAB Presiden, antara sisi hodoh budaya pembangkang ialah bila berhutang
tak perlu dibayar, bila menerima tak perlu berterima kasih, bila
berjanji tak perlu ditepati. Jika saudara-saudari ingat, dalam manifesto
pembangkang dahulu, tercatat janji untuk memberikan bermacam-macam
kebebasan kepada rakyat kalau mereka berkuasa, termasuk janji kebebasan
media.
Namun, belum pun sempat mereka berkuasa, pembangkang
telah awal-awal lagi memungkiri janji mereka. Hari ini, apabila ada
akhbar yang mendedahkan kepincangan mereka, mereka bergegas ke mahkamah
menyaman akhbar berkenaan. Jumlah saman bukannya sedikit. Misalnya,
nilai saman mereka ke atas sebuah akhbar arus perdana sejak tahun 2008
mencecah 1 bilion ringgit. Dengan jumlah sebesar ini, pembangkang di
negara kita mencipta rekod dunia mengemukakan jumlah saman yang paling
besar kepada sebuah akhbar.
Mereka berharap akhbar-akhbar di
negara kita tidak lagi berani mendedahkan hakikat kepincangan dan
keburukan mereka. Selain itu, pembangkang juga menghalang akhbar-akhbar
tertentu daripada membuat liputan di majlis-majlis yang dianjurkan oleh
mereka, termasuk di sidang-sidang Dewan Undangan Negeri. Inilah
sebenarnya taktik kotor pembangkang untuk menutup kepincangan dan
membisukan pengkritik mereka.
Inilah wajah sebenar pembangkang.
Apabila terkena batang hidung sendiri, mereka lupa janji, lupa diri,
lupa segalanya. Lebih memalukan, mereka lupa bahawa merekalah yang
menabur fitnah ke serata dunia bahawa mahkamah kita tidak adil, mahkamah
kita berat sebelah, mahkamah kita zalim. Tetapi apabila terdesak,
merekalah orang yang paling awal berkejar ke mahkamah untuk mendapatkan
perlindungan. Sebenarnya mereka tahu bahawa mahkamah kita boleh
memberikan keadilan kepada sesiapa sahaja termasuk mereka. Tetapi kerana
niat jahat mereka untuk memberikan gambaran buruk tentang negara kita
kepada masyarakat antarabangsa, mereka sanggup menabur fitnah.
Samalah
juga dengan tindakan Ketua Pembangkang meminta campurtangan kerajaan
asing untuk memastikan pilihanraya kita bersih, bebas dan adil. Dia
hendak berbohong kepada dunia kononnya pilihanraya kita kotor. Inilah
satu lagi pengkhianatan kepada negara. Semata-mata kerana dengki dan
niat jahat terhadap kerajaan Barisan Nasional, dia tergamak meminta
campurtangan asing dalam hal ehwal politik negara kita.
Bagi
kita, ini hanyalah taktik kotor orang yang bermimpi untuk menawan
Putrajaya, awal-awal lagi mengatakan pilihanraya di negara kita tidak
adil. Barangkali dia pun sudah tahu bahawa pembangkang akan kalah dalam
pilihanraya nanti. Jadi, lebih baik dibuat propaganda awal bahawa
pilihanraya negara kita tidak adil, supaya apabila mereka kalah dalam
pilihanraya, senanglah untuk mereka menuduh bahawa kita tidak berlaku
adil kepada mereka. Senang jugalah untuk mereka berhimpun di
jalan-jalan raya bagi menolak keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
Kita
fikir lebih baik Ketua Pembangkang menjemput wakil negara asing untuk
memerhati pemilihan PKR. Kita hendak tengok apa komen pemerhati asing
mengenai PKR. Bersihkah pemilihan PKR? Bebaskah pemilihan PKR? Adilkah
pemilihan PKR? Demokratikkah PKR apabila Ketua Pembangkang mengangkat
dirinya sendiri menjadi Ketua Umum parti tanpa melalui proses pemilihan?
Malah jawatan itu pun tidak ada dalam Perlembagaan parti.
Apakah
sah kedudukan Ketua Pembangkang dalam partinya sendiri? Perkara
seumpama itu hanya boleh berlaku dalam sebuah parti yang dikuasai oleh
seorang diktator, bukan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi.
Daripada Ketua Umum, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, parti
itu ibarat Parti Keluarga dan Rakan-Rakan (PKR).
Kesemua ini
tidak membayangkan mereka komited untuk melaksanakan janji demokrasi.
Sudahlah komitmen kepada Islam semakin luntur, komitmen kepada demokrasi
pun tidak ada. Bagi kita, parti-parti pembangkang tidak ada keabsahan
moral untuk bercakap mengenai Islam atau demokrasi.
Demokrasi
yang sebenar terlaksana apabila kerajaan mendengar rintihan, denyut nadi
dan suara hati rakyat, apabila kerajaan melaksanakan dasar yang
memenuhi aspirasi rakyat, apabila kerajaan membela nasib rakyat, apabila
kerajaan menghapuskan ketidakadilan sosial yang mengancam perpaduan
rakyat. Tiada maknanya demokrasi jika masih ada rakyat hidup melarat.
Matlamat demokrasi tercapai apabila setiap rakyat dapat mengecap
kehidupan yang sejahtera dalam negara yang makmur. Inilah yang
diperjuangkan oleh UMNO untuk bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.
JAMINAN UMNO UNTUK BANGSA MELAYU
Saudara-saudari,
UMNO
terus komited untuk membela bangsa Melayu. Usaha-usaha untuk
meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu diteruskan melalui
insiatif-inisiatif yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi Agenda
Bumiputera yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri.
Usahawan-usahawan Melayu dan Bumiputera akan terus diberikan peluang
untuk mendapat manfaat limpahan ekonomi yang sedang pesat berkembang.
Hari
ini, dengan pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan menerusi
agensi-agensi yang diwujudkan untuk memperkasa agenda Bumiputera,
pegangan ekuiti Bumiputera telah meningkat dari 2 peratus pada tahun
1970 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010, dengan nilai sebanyak 167.7
bilion ringgit. Ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan bagi parti
kita dan bangsa kita. InsyaAllah, dengan pelbagai usaha yang sedang
dilaksanakan pada waktu ini, kita akan berjaya mencapai sasaran 30
peratus pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang tahun 2020.
Begitu
juga dengan perjuangan Islam. UMNO tidak pernah menggadai prinsip
perjuangan Islam, malah sentiasa berusaha untuk memartabat dan
meningkatkan syiar Islam. Sistem pendidikan Islam kita martabatkan,
sistem undang-undang Islam kita pertahankan, sistem ekonomi Islam kita
majukan.
Hari ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh negara
Islam yang terbaik. Dengan kedudukan negara kita yang agak lebih ke
hadapan berbanding negara-negara Islam yang lain, kita dapat pula
membantu saudara Islam kita di seluruh dunia. Kita telah membantu
saudara kita di Bosnia, di Gaza, di Myanmar dan di mana sahaja mereka
memerlukan bantuan kita. Alhamdulillah, berkat kebijksanaan pimpinan
negara kita, Malaysia baru sahaja membantu menyelesaikan konflik
Bangsamoro di Filipina. Semua ini adalah hasil perjuangan UMNO untuk
memartabatkan Islam.
Sepanjang 66 tahun UMNO memperjuangkan
Melayu dan Islam, UMNO tidak pernah menganiaya mana-mana kaum. Inilah
keadilan UMNO. Inilah kesaksamaan UMNO. Pejuang UMNO tidak perlu merasa
berdosa dan bersalah berada di atas landasan perjuangan UMNO. UMNO
berjanji untuk terus membela bangsa Melayu dan rakyat Malaysia
seluruhnya. Justeru, UMNO akan terus mengangkat suara Melayu di samping
tidak melupai agihan keadilan untuk kaum-kaum lain seperti yang dituntut
oleh agama. Firman Allah s.w.t. dalam al-Qur’an:
يَـٰٓأَيُّہَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ
بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا
تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ
ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
Wahai
orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum
itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir
kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
(Surah Al Ma’idah, Ayat 8)
Saudara
dan saudari yang berada di dalam Dewan Merdeka ini, dan juga yang
sedang mengikuti ucapan saya di kaca-kaca televisyen, atau di
corong-corong radio di luar sana, pak-pak haji yang baru pulang dari
masjid, ibu-ibu yang sedang melayani anak-anak di rumah, pemandu-pemandu
teksi yang sedang mencari rezeki di kota, para pekerja yang sedang
berbakti kepada negara, para anggota keselamatan yang sedang menjaga
keamanan kita, mahasiswa yang sedang mentelaah pelajaran di universiti,
pemuda-pemuda yang sedang merenung masa hadapan, inilah komitmen UMNO
dan Barisan Nasional, inilah janji UMNO dan Barisan Nasional.
Kita
sentiasa berusaha untuk mentransformasi negara, dan mensejahterakan
rakyat tanpa perlu menggadai prinsip perjuangan yang murni. Inilah
bezanya antara kita dan pembangkang. Tatkala pembangkang semakin
terdesak untuk meraih undi dan merebut kuasa, mereka sanggup melakukan
apa sahaja, termasuk menggadai prinsip moral, maruah bangsa dan kesucian
agama.
Renungkanlah saudara dan saudari. Tilik betul-betul apa
yang dijaja oleh pembangkang dan apa yang dikota oleh UMNO dan Barisan
Nasional. Walaupun pembangkang mempamerkan kepada kita bahawa merekalah
yang akan membawa sinar kesejahteraan kepada rakyat, janganlah kita
terpedaya. Sinar yang mereka janjikan itu ibarat kilauan sekeping kaca
yang hanya menanti saat retak dan pecah berderai. Kita pasti rakyat yang
matang lagi bijaksana dapat membezakan antara kepalsuan kaca dan
ketulenan permata.
BERSAMA MELAKAR KEMENANGAN
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Kita
sedang berada di tengah pertarungan politik yang akan menentukan
survival parti, masa depan bangsa dan kedudukan negara. Saudara-saudari
yang berhimpun ini adalah lambang kekuatan perjuangan di tengah-tengah
pertarungan ini. Dalam pusingan terakhir persiapan menghadapi
pilihanraya, saudara-saudari di negeri, bahagian dan cawangan telah
bekerja kuat untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam
pilihanraya nanti.
Sebagai Timbalan Presiden dan Pengarah
Pilihanraya, saya amat menghargai kegigihan, kesungguhan dan pengorbanan
saudara-saudari mencurahkan bakti kepada parti tanpa mengenal penat
lelah. Percayalah, segala usaha yang dicurahkan oleh saudara-saudari,
segala keringat yang menitis ke bumi, akan menyumbang kepada kemenangan
UMNO dan Barisan Nasional. InsyaAllah.
Pertingkatkan gerakerja
bagi memenangi pilihanraya. Sebagai barisan hadapan jentera parti,
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pasukan tahan lasak parti.
Bergeraklah ke serata pelusuk desa dan kota, harungilah lembah, sungai
dan denai, dari Kangar hingga ke Semporna, julanglah panji perjuangan,
insyaAllah kita akan mengarak obor kemenangan.
Gerakkan jentera
di setiap peringkat. Pastikan mereka bersedia turun ke medan perang
apabila semboyan dibunyikan. Atur strategi berkesan untuk menangi hati
pengundi. Pujuklah mereka dengan penuh hikmah. Mudah-mudahan dengan izin
Allah s.w.t., pintu-pintu hati mereka akan terbuka luas untuk menyokong
UMNO dan Barisan Nasional.
Ingatlah, bahawa perpaduan dalam
parti adalah kunci utama kemenangan kita. Apabila kita memilih untuk
berada di atas landasan perjuangan UMNO, kita bukan bekerja untuk diri
kita, tetapi berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Perjuangan ini
tidak boleh kita lakukan secara bersendirian. Kita memerlukan sokongan
dan dokongan rakan-rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam semangat
kesatuan hati (wahdatul qalb), kesatuan fikiran (wahdatul fikr),
kesatuan matlamat (wahdatul hadaf) dan kesatuan amal (wahdatul amal)
untuk meneruskan agenda perjuangan parti yang suci.
Yakinlah
bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat UMNO mempertahankan
Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan
mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama adalah perjuangan
suci yang kita galas hingga ke saat ini. Dengan asakan pelbagai dakyah
songsang yang merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa,
yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci UMNO
mesti kita perkukuhkan.
UMNO di bawah kepimpinan YAB Presiden
selaku Perdana Menteri sedang menerajui transformasi yang besar untuk
negara kita. UMNO telah merasai denyut nadi rakyat. Menerusi program
transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, sentuhan pembaharuan UMNO
sedang dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
Baik petani,
nelayan dan pekebun kecil di desa, pemandu teksi dan peniaga di kota,
golongan pekerja, profesional dan penjawat awam, kesatuan sekerja dan
pertubuhan bukan kerajaan, remaja, belia dan mahasiswa, malahan golongan
gelandangan dan kurang bernasib baik, semuanya sedang merasai sentuhan
UMNO.
Kita akur bahawa transformasi adalah satu proses yang
berterusan. Kita tahu bahawa masih banyak rintangan dan cabaran yang
menanti. Walau apapun, demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih
makmur dan sejahtera, marilah kita redah segala rintangan, kita harungi
segala dugaan, kita atasi segala cabaran. Marilah kita berikan sokongan
yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden untuk memimpin parti dan
negara. Marilah kita berikan sepenuh ketaatan kepada khalifah yang akan
memimpin bala tentera kita. Firman Allah s.w.t dalam al-Qur’an al-karim:
أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ
Taatlah
kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada
“Ulil-Amri” (yakni orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
(Surah Al-Nisa’, Ayat 56)
Kepada
Wanita, teruskanlah, perhebatkanlah, semarakkanlah perjuangan menjalin
rantaian sokongan. Sebarkanlah kasih sayang UMNO melalui Jalinan Rakyat,
Skuad Sayang dan Salam Sayang. Maralah dengan merah yang menyala,
tiuplah ia hingga menjadi obor yang menerangi jalan-jalan kemenangan.
Wanita UMNO, engkaulah ibu, engkaulah pembimbing, engkaulah srikandi.
Kepada
Pemuda, saudara-saudara lah hulubalang benteng hadapan yang akan
mempertahankan Putrajaya. Gempurlah musuh kita. Pantang anak muda
menyerah. Jangan biarkan walau setapak mereka melangkah. Turunilah ke
setiap kota, desa dan lurah. Dekatilah generasi muda dengan
hikmah.Berjuanglah dengan tabah. Adat bertarung menjunjung maruah.
Membujur lalu melintang patah.
Kepada Puteri, permata yang
bergemerlapan, sinarilah generasi muda dengan harapan dan keyakinan.
Andalah yang memahami suara hati mereka. Rasailah denyut nadi mereka.
Menangilah hati mereka. Bawalah mereka bersama kita dalam perjuangan
murni melakari masa depan nusa dan bangsa.
Kita tidak gentar
menghadapi cabaran zaman. Perteguhkanlah pendirian kita. Perkukuhkanlah
tekad kita. Pertingkatkanlah kebijakasanaan kita. Kita mengajak rakyat
tanpa mengira kaum dan agama, agar bersama-sama kita mempertahankan
benteng negara daripada ditembusi oleh ideologi songsang, dakyah politik
jahat dan budaya sesat yang dibawa oleh pembangkang. Marilah
bersama-sama kita mendaulatkan maruah agama, bangsa dan negara.
Marilah
kita berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar kita diberikan kekuatan untuk
menghadapi mihnah dan fitnah zaman. Marilah kita memohon pedoman dari
Allah s.w.t. agar ditetapkan hati-hati kita untuk terus berada di
landasan perjuangan yang suci ini. Marilah kita memohon hidayah dari
Allah s.w.t. agar dilembutkan hati-hati kita untuk menerima seruan
persaudaraan dan perpaduan. InsyaAllah pertolongan Allah sentiasa
bersama orang-orang yang berjuang di jalanNya. Firman Allah s.w.t. dalam
surah Muhammad, Ayat 7:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ
Yang bermaksud:
Wahai
orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah
membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian
kamu.
Pemuda adalah hulubalang UMNO, Wanita adalah srikandi
UMNO, Puteri adalah permata UMNO. Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah
srikandi UMNO! Ayuhlah permata UMNO! Rapatkanlah saf perjuangan kita.
Berjuanglah dengan penuh ikhlas dan yakin membela agama, bangsa dan
negara. Bangkitlah menjulang panji perjuangan. Maralah ke medan perang.
InsyaAllah, berkat kesungguhan kita berjuang, berkat kebijaksanaan
rakyat membuat pilihan, UMNO dan Barisan Nasional akan melakar
kemenangan! Marilah kita sama-sama menadah tangan merafakkan doa:
Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah!
Jadikanlah perhimpunan ini perhimpunan yang dirahmati
Janganlah engkau leraikan hati kami dari mentaatiMu
Satukanlah hati-hati kami di jalanMu
Ya Allah Ya Tuhan Kami!
Terimalah doa kesejahteraan buat sekalian kami
Jauhkanlah hati kami daripada menjahanamkan sesama sendiri
Kembalikanlah mereka yang tersasar ke jalanMu yang diredhai
Ya Allah
Bimbinglah kami di jalan yang lurus
Redhakanlah jalan perjuangan kami
Tetapkanlah kami di jalanMu Ya Allah
Ya Allah
Engkaulah Tuhan Rabbul Jalil
Engkau kurniakanlah ketabahan di setiap hati kami
Engkau kurniakanlah kekuatan di jiwa kami
Engkau perteguhkanlah daya juang kami
Dengan rahmatmu Ya Allah
Engkau kurniakanlah kemenangan buat kami
fai’za ‘azamta fatawakkal ‘alallah
Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.
Dengan
lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan
Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2012.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment