Saturday, September 22, 2018

Kembali ke Putrajaya

No comments:





KEMBALI KE PUTRAJAYA
Zulkifli Jalil
11 Mei 2018


TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD kembali ke Putrajaya semalam buat kali kedua, sebagai Perdana Menteri ke tujuh dalam usia 93 tahun selepas meninggalkan pusat pentadbiran persekutuan itu dari jawatan Perdana Menteri keempat, 15 tahun lalu.

Kemenangan Pakatan Harapan diterajuinya menamatkan pe­nguasaan maraton Barisan Nasional (BN) menguasai 13 kali pilihan raya umum (PRU), selepas berjaya membentuk kerajaan dengan melepasi majoriti mudah 112 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei merupakan suatu pencapaian luar dugaan.

Dr. Mahathir dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang Pe­rak, Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925. Merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik dari pasangan Mohamed Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanapi.

Antara pencapaian beliau yang paling diingati masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah ketika membawa Malaysia keluar dari krisis kewangan Asia 1997 dengan beliau menolak cadangan dan juga bantuan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang beliau sifatkan memburukkan lagi krisis.

Langkah-langkah radikal yang diambil beliau ketika itu dikritik hebat oleh banyak pihak termasuk IMF sendiri.

Semasa menghadapi krisis kewangan dunia itu, Dr. Mahathir melancarkan beberapa perubahan dalam ekonomi dan asas fiskal negara yang bercanggah dengan timbalan beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau de­ngan berani melupuskan Ringgit Malaysia di luar negara, menjadikan matawang itu tidak sah diperdagangkan.

Ini menyebabkan mata wang ringgit melimpah masuk ke dalam negara. Beliau juga memberikan pengecualian cukai sebagai insentif kepada mereka yang membawa masuk semula wang yang banyak ke dalam negara. Seterusnya menghalang pengaliran modal ke luar negara. Tindakan ini mendapat cemuhan daripada pelbagai kumpulan.

George Soros, raja pelaburan mata wang terkenal telah mempersendakan Dr. Mahathir de­ngan menyatakan tindakan itu mengundang kebinasaan. Sebaliknya Soros terperanjat, bila tindakan Dr. Mahathir yang ‘kejam’ itu mendatangkan hasil kerana Malaysia berjaya mempertahankan kestabilan kewangannya tanpa perlu mengambil pinjaman IMF seperti Thailand dan Indonesia.

Pada masa sama, Dr. Mahathir merupakan seorang tokoh politik yang bersifat vokal berhubung isu-isu antarabangsa sehingga ada mencetuskan kontroversi.

Beliau menyokong “Sistem Ekonomi Pasaran” terkawal sebagai alternatif kepada “Sistem Ekonomi Persendirian” dan secara amnya menolak “Pasaran Bebas”.

Gaya pentadbirannya dari 1981 hingga 2003 juga sering dikritik dengan dilabelkan sebagai autokratik oleh pelbagai pihak termasuk badan dan media antarabangsa.

Antara projek berprofil tinggi (juga digelar ‘projek mega’) yang dibangunkan pada zaman pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.

Bersara pada Oktober 2003, Dr. Mahathir dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.

Beliau turut dinobatkan sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” kerana berjaya membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara industri baharu yang disegani dalam kalangan negara-negara membangun.

Tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Presiden Suharto dari Indonesia.

Tetapi dengan majlis angkat sumpah beliau semalam, menjadikan Dr. Mahathir melepasi rekod Suharto. Jika diukur sumbangan beliau, boleh dikatakan sebagai sebahagian besar pencapaian Malaysia hari ini.

Dan sebelum mengangkat sumpah semalam, beliau memberitahu, Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan akan berusaha mendapatkan Pengampunan Diraja untuk Anwar apabila dibebaskan pada 8 Jun nanti - sebelum Anwar diberi laluan untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri kelapan.

utusanonline



K E M P E N 










Continue Reading...

Friday, September 21, 2018

Tun M dan UTM

No comments:







Continue Reading...

Kenapa Saya Tentang PAS

No comments:
KENAPA SAYA TENTANG PAS
Tun Dr Mahathir Mohamad


1. Orang PAS amat marah kepada saya. Selain dari mendakwa saya kafir, penyokong PAS tidak langsung sanggup mendengar kritik saya terhadap PAS. Saya percaya sebarang pendapat saya tidak akan dibaca oleh orang PAS termasuklah rencana ini. Tetapi saya harap mereka yang tidak fanatik terhadap PAS akan baca. Terpulanglah kepada pembaca samada menerima atau menolak pendapat saya.

2. Sesungguhnya orang Melayu dahulu tidak bermasalah berkenaan pegangan mereka kepada agama Islam yang semua mereka anuti. Mereka semuanya berpegang kepada tafsiran dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) dan berimam dengan Imam Shafie.

3. Mereka juga tidak menolak ajaran tiga lagi Imam Sunni, iaitu Maliki, Hambali dan Hanafi.

4. Oleh kerana semua orang percaya dan pegang kepada ajaran dan tafsiran yang sama, mereka tidak berpecah dan berpuak-puak. Sudah tentu mereka tidak bermusuh sesama mereka seperti yang berlaku antara Sunni dan Syiah di beberapa negara Islam. Di banyak negara Islam permusuhan disebabkan tafsiran yang berlainan berlaku sepanjang masa sehingga mereka berpuak-puak dan kerapkali mereka berperang pun.

5. Tetapi di Malaysia, walaupun dahulu ada ajaran yang berlainan, umpamanya kaum muda dan kaum tua, kumpulan Hj. Ahmad Matahari, dan lain-lain, tetapi tidaklah sampai kepada permusuhan dan perpecahan yang teruk. Sesungguhnya orang Melayu Islam bersaudara dan mengamalkan ajaran Islam yang sama. Mereka bersatu padu sebagai orang Islam sehingga bangsa Melayu dikaitkan dengan agama Islam. Dalam perlembagaan pun tafsiran orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, beradat istiadat Melayu dan beragama Islam. Jika seseorang itu tidak Islam maka ia tidaklah Melayu, walaupun bahasa ibunda mereka adalah bahasa Melayu.

6. Keadaan persaudaraan orang Melayu Islam ini kukuh sehingga dengan mudah mereka bersatu padu diwaktu menentang rancangan British untuk menakluk negeri-negeri Melayu secara langsung melalui Malayan Union. Demikianlah rapatnya perpaduan orang Melayu sehingga British yang baru sahaja menang perang, terpaksa tunduk kepada tuntutan orang Melayu. British mengakui kekuatan orang Melayu dan mengiktiraf parti yang mengalahkan Malayan Union dengan memberi hak kepada pemimpin mereka, Tunku Abdul Rahman menamakan calon-calon badan perundangan seperti Federal Legislative Council dan State Council (Dewan Undangan Negeri-negeri) dalam Persekutuan Tanah Melayu yang mengganti Malayan Union pada 1948.

7. Dalam parti UMNO pada masa itu terdapat semua aktivis Melayu dari yang berpelajaran Melayu, Inggeris dan yang berpelajaran agama. Mereka yang berpelajaran agama dikenali sebagai “ulama UMNO”.

8. Apabila British memberi hak kepada Tunku Abdul Rahman, Yang DiPertua UMNO menamakan calon, Tunku telah pilih pemimpin UMNO yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran. Hampir semua dari mereka ini berpelajaran Inggeris. Yang berpelajaran agama, “ulama” hampir tidak dipilih sama sekali.

9. Maka kecewalah pemimpin yang berlatar belakang agama. Hasilnya ialah desakan untuk keluar UMNO dan menubuh Pan Malayan Islamic Parti (PMIP). Kemudian namanya dialih kepada PAS, Parti Islam SeMalaya.

10. Orang Melayu semuanya memang kuat pegangan mereka kepada agama Islam. PAS berharap dengan kaitan parti kepada agama Islam maka akan berjayalah PAS dalam pilihan raya.

11. British mencadang diadakan PRU pada 1955 untuk 52 dari 98 kerusi Federal Legislative Council. Bantahan oleh UMNO supaya semua 98 kerusi ditandingi ditolak. Pendapat British ialah tidak mungkin mana-mana parti memenangi lebih dari separuh, iaitu 50, untuk mengambil alih Kerajaan dari British.


12. Dalam PRU itu isu utama ialah kemerdekaan. Sementara UMNO dalam Perikatan tuntut kemerdekaan selepas PRU, PAS mendakwa Malaya belum layak mendapat kemerdekaan.

13. Hasilnya ialah kemenangan besar Perikatan. Dengan Perikatan mendapat 51 kerusi, British terpaksa beri kepada Perikatan, pimpinan Tunku Abdul Rahman, home rule atau Pemerintahan Dalaman. Hanya Kementerian Luar dan Pertahanan sahaja dikuasai oleh British. Maka bermulalah perjuangan untuk kemerdekaan secara bersungguh-sungguh.

14. PAS memenangi hanya satu kerusi. Jelas penolakan kemerdekaan merugi PAS. Maka bermulalah Agama Islam diperalatkan sepenuhnya untuk menarik sokongan orang Melayu.

15. PAS mendakwa bahawa orang yang bekerjasama dengan orang kafir menjadi kafir. Oleh kerana UMNO bekerjasama dengan orang Cina (Buddhist) dan India (Hindu) dalam Perikatan, maka PAS mendakwa orang UMNO tidak Islam, orang UMNO kafir.

16. Akibatnya ialah orang Melayu bukan PAS yang semuanya beragama Islam dan mengikut ajaran yang sama, iaitu ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah, berimam dengan Imam Shafie, tiba-tiba dikafirkan. Perpecahan yang teruk dan mendalam berlaku.

17. Orang PAS tidak pun boleh bersama dengan orang UMNO, kenduri orang UMNO diboikot oleh orang PAS. Perkahwinan antara orang PAS dan UMNO tidak boleh diadakan. Mereka tidak boleh sembahyang bersama, tidak boleh diimamkan dengan imam yang sama. PAS sembahyang dengan lain imam di masjid dan mendirikan masjid berasingan dari orang UMNO.

18. Ada juga yang berpendapat perkahwinan ibu bapa mereka tidak sah dan ibu bapa mereka yang tidak jadi ahli PAS adalah kafir.

19. Kemudian Hj Hadi sebagai seorang dari pemimpin PAS telah mengeluarkan “Amanat” yang secara langsung mendakwa bahawa pemerintahan Barisan Nasional pimpinan UMNO adalah kafir. Pejuang-pejuang yang melawan Kerajaan UMNO/BN, jika mati, mereka mati syahid.

20. Dengan kepercayaan kepada amanat Hadi, pengikut Ibrahim Libya telah serang dan membunuh empat orang anggota polis. Dalam pertempuran antara polis dan pengikut Ibrahim Libya, 14 orang pengikutnya dan dia sendiri terbunuh.

21. Maka PAS pun dakwa pengikut Ibrahim yang mati adalah syahid. Mereka dikebumi sebagai syahid tanpa dimandi.

22. Adalah jelas bahawa PAS memecah belah orang Melayu Islam dengan amat mendalam. Sehingga ke hari ini masih ada sembahyang berjemaah berasingan di masjid yang sama.

23. Tiada ada ulama di Malaysia yang berani mendakwa bahawa pengkafiran orang bukan PAS adalah salah dan tidak menepati ajaran Islam. Pegawai-pegawai pemerintah yang bertanggungjawab berkenaan agama Islam juga membisu seribu bahasa.

24. Inilah perbuatan PAS yang tidak boleh dimaaf. Sebelum adanya PAS orang Melayu tidak berpecah kerana agama. Hanya apabila PAS ditubuh barulah orang Melayu berpecah dan terpisah kepada dua puak yang bermusuh ketat. Perpecahan ini jugalah yang melemahkan orang Melayu. Demikianlah kelemahan orang Melayu sehingga PAS juga terpaksa meminta pertolongan orang-orang kafir. Tetapi apabila PAS bekerjasama dengan parti kafir, PAS dakwa mereka tidak jadi kafir. Sebab kononnya, kerana kerjasama PAS dengan orang kafir adalah “Tahaluf Siyasi”. Apa dianya Tahaluf Siyasi jika diterjemah ke bahasa Melayu. Maknanya ialah “Kerjasama politik” dan ini adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh UMNO apabila bekerjasama dengan MCA dan MIC. Jelaslah bahawa Bahasa Arab (Bahasa Quran) diguna untuk mengIslamkan kerjasama PAS dan orang kafir.

25. Dikalangan ahli PAS, penerimaan ajaran pemimpin dan parti lebih utama dari ajaran Islam. Sebab itu walaupun Al Quran menyebut bahawa orang Islam itu bersaudara, ahli PAS sanggup bermusuh dengan orang Islam lain kerana ajaran oleh pemimpin PAS. Kerana sikap inilah orang Islam (Melayu) di Malaysia berpecah sehingga sekarang. Bukan Islam yang memecah orang Melayu tetapi politik PAS yang membawa perpecahan kepada mereka.

26. Walaupun sebahagian dari ahli PAS sudah tinggal PAS tetapi ramai dari ahli PAS yang masih taksub dengan PAS dan ajarannya. Dan perpecahan yang mendalam dikalangan orang Melayu adalah berterusan. Dia akan berterusan selagi PAS menyalahtafsir dan menyalahguna ajaran Islam.

27. Inilah sebabnya yang saya tentang PAS.

- Tun Dr Mahathir -
19 Sep 2018
Continue Reading...

Monday, September 17, 2018

jangan permainkan rakyat

No comments:

Continue Reading...

Kembali sebagai PM

No comments:
Anwar pengganti Mahathir jadi PM
9 JUN 2018





PADA usia 93 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad masih mampu menguruskan kerja dengan tekun. Malah beliau diberi tugas yang amat berat sekali iaitu menjadi Perdana Menteri negara yang kita cintai Malaysia.

“Saya sangat sibuk. Nak tulis buku pun tak ada masa. Nak tulis dalam blog pun tak sempat. Semua simpan dalam kepala,” katanya.

Beliau ditemui di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Negara, Putrajaya, Khamis lalu. Dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian itu, beliau menyentuh mengenai isu berkaitan usaha kerajaan melindungi raja-raja, mengenai kesilapan Umno dan azam Pakatan Harapan demi rakyat dan masa depan negara.

Ikuti inti pati wawancara Dr Mahathir bersama Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Penasihat Eksekutif Editorial, Datuk Abd Jalil Ali; Pengarang Eksekutif Cetak, Azmi Tarmizi; Pegarang Eksekutif Digital, Ruzy Adila Idris; Penulis Khas, Farush Khan dan wartawan, Nurul Riduan Nor Ashaha.

Boleh Tun ceritakan bagaimana perasaan Tun selepas kali kedua kembali ke Putrajaya sebagai perdana menteri?

Selepas (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) keluar daripada parti, saya tunggu 21 tahun. Kalau saya pergi awal, saya tidak langsung pergi Putrajaya. Putrajaya dibuka pada 1999.

Saya mungkin dah bersara pada waktu tu. Sekarang ini saya balik ke Putrajaya. Sesuatu yang saya tak mimpi langsung. Saya ingat bila saya sudah bersara, dapatlah rehat, tiada masalah politik tetapi orang tak bagi saya rehat.

Macam-macam rombongan datang minta saya buat sesuatu. Masa Paklah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pun mereka suruh saya buat sesuatu. Saya buat sesuatu sampai Paklah kena turun. Lepas tu naik (Datuk Seri) Najib (Tun Razak).

Ingat saya boleh rehat tetapi tidak boleh rehat juga seperti orang tahu saya kena aktif balik kerana orang suruh buat sesuatu.

Sesuatu itu pada awalnya adalah nasihat saja. Cuba pujuk Najib jangan guna wang dan sebagainya tetapi dia percaya dengan duit dia boleh berjaya, cash is king.

Jadi akhirnya kita dapat tunjuk bahawa cash bukan king, semangat manusia lebih kuat daripada cash. Apabila manusia berasa marah, mereka tidak peduli berapa duit yang diberi, mereka mungkin terima tetapi mereka tidak akan sokong. Itulah yang berlaku dalam PRU ini.

Rakyat tidak ada simpati pada Najib walaupun dia bagi duit banyak. Mereka nak Najib jatuh. Bermakna bila Najib sudah jatuh tidak ada lagi duit yang mereka dapat itu.

Sebab duit itu bukan duit Najib sebenarnya. Itu duit yang dia dapat secara tidak halal.

Sekarang ini saya terpaksa ambil alih jadi perdana menteri. Walaupun saya biasa jadi perdana menteri pengalaman itu lain sedikit. Dulu saya jadi perdana menteri, mudah. Saya masuk pegang jawatan, tidak ada kerja banyak. Sekarang ini saya nak kena bentuk jentera dan nak isinya.

Kita pula ada empat buah blok parti yang sama penting dalam parti. Saya kena pilih. Jadi saya sekarang ini amat sibuk. Tak sibuk macam dulu.

Sekarang ini ada beberapa suratkhabar pun saya tidak dapat buka. Kesan kepada saya dari segi tenaga lebih teruk dari dulu.

Tetapi Alhamdulillah saya masih sihat, masih boleh buat kerja dan terpaksa buat kerja lebih lama. Sedikit sebanyak saya rasa senang hati balik. Sebab saya ini orang kata workaholic. Lagi banyak kerja lagi seronok.

Tun sebelum ini mengatakan akan memegang jawatan perdana menteri dalam tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, apakah keutamaan Tun selain isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Dua tahun itu bukan tempoh masa. Dia adalah satu cadangan. Tetapi kita tidak tetap. Boleh jadi lebih awal, boleh jadi lebih lewat.

Keutamaan adalah mengembalikan kekayaan negara, ekonomi negara menjadi sebuah negara yang berupaya.

Kalau boleh dalam masa terdekat saya nak atasi masalah-masalah yang dihadapi, itulah tujuan saya. Kalau saya berjaya, bukan duit yang penting. Yang penting adalah hasil kerja. Jadi inilah yang saya sedang usaha.

Jika melihat kepada apa yang berlaku hari ini, adakah Tun meletakkan tempoh masa bagi memulihkan kerosakan yang telah berlaku dan adakah semua kerosakan itu akan dapat diperbaiki?

Mungkin tidak sepenuhnya tetapi major problem itu saya yakin kita dapat selesaikan. Bukan duit sahaja tetapi soal rosak jentera pekerjaan. Kita dapati bahawa pegawai-pegawai tidak lagi berkhidmat untuk negara tetapi untuk parti sebelum ini.

Kadang-kadang mereka sampai jadi fanatik. Sampai sanggup berkempen. Memburukkan parti lawan. Tetapi sekarang ini mereka terpaksa bekerja di bawah parti lawan yang mereka cemuh dahulu.

Jadi untuk ini saya tidak tahu. Nak tak nak pun, orang yang dulu serang kita, kita kena bekerja dengan dia. Sebab jentera itu kalau tak ada orang, jentera tak boleh bergerak. Jadi orang itu kalau kita buang semua, kita tiada orang lain. Nak ganti dengan siapa? Kualiti di jentera pekerja kita sudah rosak teruk. Mereka tidak lagi menjalankan khidmat tetapi kepada parti politik yang mereka sokong

Umno pada hari ini sudah berusia 72 tahun. Dahulunya Umno adalah parti yang kuat tetapi sekarang tumbang disebabkan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan. Apa yang boleh Tun lakukan supaya penyakit ini tidak merebak ke dalam Pakatan Harapan?

Itu satu tugas yang cukup susah untuk ditangani kerana kita daripada parti Bersatu terutamanya kita berasal dari Umno.

Saya sendiri sudah berkhidmat dalam Umno lebih 40 tahun. Apa yang berlaku adalah Umno dahulu wujud kerana perjuangannya. Perjuangannya adalah untuk agama, bangsa dan negara.

Bagaimanapun apabila saya dapati bahawa ini bukan lagi perjuangan Umno, dia sudah tidak lagi jadi Umno, dia jadi sebuah parti lain walaupun namanya masih sama.

Dia berjuang atas kepentingan satu orang dan mereka sanggup buat apa sahaja walau tidak halal kerana nak kekalkan diri mereka bukan berkhidmat untuk negara.

Jadi Umno yang ada sekarang ini sudah begitu rosak. Begitu teruk kebencian rakyat sehingga rakyat tolak Umno. Ya masih ada yang sokong dalam PRU tetapi ramai Melayu tolak Umno kerana bukan memperjuangkan bangsa, agama dan negara.

Itu Umno yang ada sekarang ini. Rosak Umno itu sukar untuk diubati. Walau suka atau tidak, itulah yang akan terjadi (terkubur) kerana orang nak balik kepada Umno itu susah.

Kerajaan sekarang ini membongkar segala salah laku pimpinan terdahulu dan adakah ini sebenarnya taktik untuk menakutkan rakyat, sebagai contohnya hutang mencecah trilion, fail merah dan sebagainya?

Rosak yang jelas adalah apabila kerajaan yang dipimpin Najib berhutang berbilion-bilion. Dulu kita tidak pernah hutang macam itu. Dulu kita ada had siling. Tidak boleh lebih daripada hutang sebanyak ini.

Saya sendiri tidak pernah berhutang berbilion-bilion. Bila Najib hutang banyak dan dia bukan sekadar hutang, duit itu hilang. Jadi bagi ramai orang kampung dia tidak boleh faham yang ini (hutang). Bagi mereka semua kerajaan memang macam itu. Jadi nak terang kepada mereka agak sukar. Bahkan mereka kata, Tun dulu pun macam itu juga. Saya tidak macam itu.

Angka hutang itu pun orang kampung tidak faham. Mereka hanya tahu, satu bilion ringgit ada sembilan sifar sahaja. Jadi itu masalah utama yang perlu kita betulkan iaitu soal kewangan.

Tetapi kerajaan perlu ada jentera dia. Jentera itu dijalankan oleh pekerja yang terlatih dan tidak terlatih. Sebab merekalah jentera itu dapat berjalan tetapi jentera itu sudah dirosakkan kerana orang yang menjalankan jentera itu sudah lari daripada landasan.

Jadi peranan jentera itu sudah tidak betul. Nak bawa balik landasan ini, fikiran manusia bukan mudah nak diperbaiki setelah dia dirosakkan. Mahu dia kembali ke landasan yang betul mengambil masa kerana ada culture change, value system change, yang ini yang jadi masalah yang perlu saya tangani.

Sudah tentu antara jentera, bukanlah semua rosak tetapi ada beberapa orang. Kita tidak kenal, kita tidak tahu di masa dulu apa dia buat. Kita kena selidik, kita kena cari yang bersih, nak gantikan orang yang tidak boleh dibersihkan lagi. Jadi ini mengambil masa dan tenaga yang banyak. Maklumat yang kita dapat yang betul-betul tulen.

Jadi ini masalah yang sedang saya tangani. Pekerja itu begitu banyak. Masa tidak cukup sebenarnya. Saya cuba bekerja sepanjang masa tetapi itu pun masih tidak cukup. Ada banyak benda yang nak kena buat serta merta seperti lantikan, kelulusan wang, agihan wang. Semua itu perlu dibuat segera kerana orang menunggu. Jadi inilah tekanan yang kita kena, sukar untuk ditangani.

Ada juga yang mengatakan apa yang Tun lakukan sekarang ini adalah politik dendam seperti membongkar kelakuan sebelum ini, memansuhkan jabatan tertentu. Adakah benar tanggapan itu?

Ini bukan dendam. Mereka ambil bekerja bukan sebab mereka mahu bekerja tetapi kerana nak dapatkan sokongan mereka. Orang parti ini dimasukkan semata-mata, kalau mereka ada mereka akan sokong kerajaan. Orang ini berdedikasi. Dia terpaut dengan parti yang lepas.

Sekali lagi ini bukan dendam. Saya awal-awal sudah kata kita tidak akan balas dendam. Sebaliknya kita perlu tentukan tetapi kalau kita tidak dedahkan kesalahan, orang akan tertanya-tanya kenapa ambil tindakan begini kerana tidak nampak kesalahan.

Jadi kita kena dedah kesalahan. Umpamanya hutang yang lebih daripada 1 trilion. Ada 12 sifar. Ini satu angka yang cukup besar. Kita tidak pernah bercakap soal trilion ringgit dahulu. Orang tak terfikir pun. Dulu kita cakap pasal juta, sekarang kena cakap pasal bilion.

Jadi semua ini memerlukan mind set lain. Untuk ubah, kalau tiada sebab, dia akan duduk balik kepada yang lama. Kita kena tunjuk sebab dia. Bukan sengaja mahu aibkan orang tetapi kalau kita tidak bertindak, contoh orang kata dulu kamu kata dia tidak baik, kenapa sekarang kamu tidak buat apa-apa.

Kerajaan mendedahkan bahawa negara berdepan dengan hutang yang begitu besar mencecah trilion ringgit dan daripada apa yang diperkatakan itu ia menimbulkan kebimbangan awam sekiranya kerajaan hari ini tidak mampu untuk menyelesaikannya. Jadi, apa keutamaan pentadbiran baharu hari ini?

Kalau Najib menang, dalam manifesto dia janji nak bagi tiap-tiap negeri, RM60 bilion, RM70 bilion, RM80 bilion. Kita ada 13 buah negeri. Persoalannya, duit yang dia nak bagi itu datang daripada mana?

Dia akan pinjam lagi. Ia akan jadi lagi banyak. Bukan RM1 trilion sahaja. Jadi bila sampai kepada tahap kita tidak mampu untuk membayar. Hutang kalau kita tidak bayar, dia boleh umum kita bankrap.

Jadi kita dalam keadaan cemas nak cari duit di mana. Najib apa dia buat? Pertama , jual tanah untuk bayar bunga. Tanah tiada, dia pinjam pula. Bila kita pinjam untuk bayar bunga itu bermakna kita tambah hutang kita. Dia seboleh-boleh tidak peduli untuk membayar. Dia seronok nak belanja. Kalau tiada duit, hutang.

Dulu waktu saya jadi perdana menteri, ya kita bangunkan banyak juga. Kita ada Lebuhraya Utara-Selatan, lapangan terbang, kereta api landasan berkembar dan sebagainya. Macam-macam kita buat tetapi kita tidak hutang banyak.

Kalau kita nak hutang pun kita berkira. Jepun bagi hutang, kadar bunga hanya 0.7 peratus. Macam dapat percuma sahaja. Tetapi Najib hutang dengan kadar bunga 6 peratus, komisyen 10 peratus. Saya tidak tahu mengapa dia buat seperti itu. Saya hairan. Bermakna dia tidak peduli kalau negara jadi bankrap.

Kalau dia menang dia nak buat lagi. Dia dah kata dalam manifesto. Sebab itu kita bukan nak belanja lagi. Kita nak kurangkan. Kalau kita nak bayar, kita kena cari jalan. Bukan nak pinjam untuk membayar.

Negara tidak patut hutang lebih daripada kemampuan. Kita belanja setakat kita mampu sahaja. Saya sendiri secara peribadi saya tidak pernah hutang. Saya tidak hutang bank pun. Share pun saya tidak beli.

Apa yang saya dapat hari ini memang banyak berbanding dulu. Sewaktu sebelum saya menjadi perdana menteri, saya dapat RM2,000. Jadi perdana menteri dapat RM20,000. Tidak habis makan. Semua diberi. Duit itu saya simpan. Mereka sediakan rumah, air, api, kenderaan, kapal terbang dan sebagainya. Saya tidak perlu berbelanja. Jadi kita kena jaga kewangan supaya kita tidak terlibat dengan hutang. Macam hutang along, kalau tidak bayar, along akan pukul.

Apakah yang Tun boleh lakukan untuk menjamin hubungan baik antara institusi diraja, pentadbir negara dan rakyat.

Saya dulu biasa buat peralihan undang-undang supaya rakyat rasa terselamat dan kalau-kalu tindakan yang diambil oleh raja-raja. Tetapi tidak bermakna bahawa saya tolak raja-raja. Tetapi kita kena tentukan bahawa raja-raja tidaklah melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Kita nak rakyat hormat raja.

Kita sama juga buat dengan pemimpin lain. Sokong pemimpin kalau dia buat benda yang baik daripada benda yang tidak baik. Kalau kita boleh nasihat ok la. Tetapi kita nak nasihat raja ni susah sikit. Tak banyak orang yang boleh nasihat raja. Jadi saya nak supaya raja menentukan cara hidup mereka. Kita bagi elaun, kita bagi tanah, kita bagi kereta, kita bagi macam-macam. Jadi kalau nak hidup sempurna, saya ingat cukup.

Tetapi bila raja-raja nak lebih daripada itu, buat perniagaan dan bukanlah raja sendiri buat perniagaan cuma memudahkan orang dapat peluang. Yang itu rakyat rugi kerana kita tidak boleh bersaing dengan raja. Kita kalau ada kontrak nak bagi, raja nak kontrak itu, kita masuk kita tak dapat. Jadi ini yang menyebabkan rakyat gelisah.


Kalau raja mengekalkan kedaulatan itu, dia tidak terlibat dengan benda-benda yang boleh menaikkan kemarahan rakyat, itu sebenarnya satu cara bagi sistem monarki ini kekal. Kita lihat di beberapa negara di mana raja disingkir. Kenapa? Kerana mereka tidak membuat sesuatu yang dihormati oleh rakyat.

Kita kena jaga, raja janganlah terlibat dengan benda-benda yang rakyat tidak suka. Rakyat ini dia tidak ada kuasa, tetapi bila dia dah marah, dia akan memberontak. Untuk elak, kita kena elak raja dengan kebesarannya itu tidak tercemar. Saya bukan menolak raja-raja tetapi saya berpendapat bahawa kalau raja buat sesuatu yang salah, patutlah kita ambil tindakan dengan menyelamatkan raja.

Macam kita ada undang-undang yang kita gubal sehingga tertubuhnya Mahkamah Khas Raja-Raja. Ini hasil daripada raja yang telah menimbulkan kemarahan rakyat. Kita nak elak daripada itu , rakyat tidak berasa tertekan, dia tidak perlu bersaing dalam perniagaan dengan raja. Kalau semua itu ada, rakyat akan suka jenis kerajaan monarki.

Sama juga dengan pelantikan AG dan angkat sumpah perdana menteri. Perkara semacam itu tidak harus berlaku. Kita ada undang-undang. Kita ada perlembagaan. Kita akur kepada undang-undang.

Kita nak kembali kepada the rule of law. Apabila sesuatu yang berlaku tidak mengikut undang-undang, maka orang akan timbul kemarahan. Tetapi saya fikir raja-raja sedar kerana ramai raja-raja yang berusaha supaya mereka semua dan agung patuh kepada undang-undang.

Sebenarnya majoriti raja-raja tidak bersetuju kalau dilewat-lewatkan pelantikan itu. Ada yang datang jumpa saya, ada yang cuba meredakan kerajaan, termasuk kelewatan saya angkat sumpah dan juga soal AG. Dan ini sudah diselesaikan atas nasihat raja-raja sendiri.


Sebelum PRU14, Pakatan Rakyat berkempen dengan elemen provokasi tetapi apabila Tun bersama Pakatan Harapan, cara berkempen berubah dan paling menarik adalah Tun berjaya meletakkan musuh-musuh politik berjuang bersama-sama dalam PRU lalu.

Formulanya senang sahaja. Selagi mereka berperang sesama mereka, mereka akan kalah. Kalau mereka berjuang bersendirian satu-satu parti, mereka akan kalah. Mereka akan lawan sesama sendiri.

Dulu saya dalam Umno-BN, saya tidak takut langsung nak kalah. Saya tahu mereka ini tidak boleh kerjasama, dia lawan sesama mereka, mereka jatuh, kita menang. Jadi bila saya masuk dengan mereka, saya terangkan kepada mereka, kalau bersendirian awak tidak boleh menang. Kena bersatu.

Kalau nak bersatu, lupakan perjuangan masing-masing. Utamakan satu perjuangan dan satu perjuangan itu saya kata ialah untuk menjatuhkan Najib kerana perbuatannya bukan kerana dendam.

Dulu banyak parti lawan ini berasa nak balas dendam, marah. Kalau rasa nak balas dendam, marah, kita jadi macam apa yang berlaku di negara-negara Arab. Dia lawan bukan sebab nak menang tetapi nak balas dendam. Kita tidak mahu seperti itu.

Saya kata kepada parti-parti lawan ini, sudah 60 tahun berjuang, apa yang dapat? Jadi mereka sedar tidak dapat apa-apa selagi mereka tidak bergabung. Jadi disebabkan itu walaupun saya ini dulu musuh ketat mereka, mereka sanggup menerima nasihat daripada saya, jauh lebih daripada itu sampai angkat saya jadi pengerusi dan calon perdana menteri.

Berapa tempoh masa yang Tun ambil untuk merapatkan diri dengan musuh politik sebelum ini?

Sebenarnya ini berlaku, saya nak cerita betul-betul, bila saya cadangkan supaya diadakan Deklarasi Rakyat, saya terkejut kerana semua mereka sokong. Lim Kit Siang (Penasihat DAP) datang, semua daripada parti lawan datang sebab mereka mempunyai pendirian yang sama dengan saya.

Jadi bila mereka datang sama, saya dapati bahawa mereka boleh bekerjasama dengan saya dan saya boleh bekerjasama dengan mereka. Kita dapat masalah daripada Najib dan saya tahu kalau kita tidak bergabung kita tidak boleh lawan dengan Najib. Sebab mula-mula kita buat parti sendiri. Lepas itu parti ini bergabung dengan mereka walaupun kita ada latar belakang yang lain. Bagaimanapun kita jelaskan kepada mereka. Tuduhan mereka kononnya saya diktator, tidak benar sama sekali.

Sekarang mereka tahu kalau mesyuarat dengan saya, semua orang dapat peluang bercakap. Saya tidak pernah paksa pendapat saya saya diterima. Dulu pun seperti itu.

Kalau kita nak lawan dengan satu orang, kita kena burukkan orang itu. Kalau ketika itu mereka kata saya perdana menteri yang terbaik, macam mana mereka mahu lawan dengan saya. Jadi mereka perlu kata saya perdana menteri yang terburuk. Ini diktator, maha zalim, maha firaun. Tapi bagi saya tiada kesan. Saya anggap ini sebagai perkara biasa.

Bila saya masuk dengan mereka, kalau saya masih dianggap sebagai maha zalim, mana boleh orang dia sokong saya. Sebenarnya tuduhan ini tidak ada asas. Seperti kononnya saya rosakkan mahkamah sebab saya buang Salleh Abas (bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas).

Bukan saya yang buang. Yang buang adalah Peguam Negara (AG). AG tidak mahu sebut nama Agung yang mahu buang dia. Bukan saya. Tetapi dalam tribunal sebab tidak mahu sebut nama Agung, nama saya la yang terpalit dan buruk. Saya sudah cerita semua ini tetapi masih kata saya yang buang Salleh Abas.

Saya tidak buang tetapi Agung. Ceritanya, Salleh Abas ini tulis surat kepada Agung sebab bising. Rumah Agung waktu itu tengah diperbaiki. Dia tulis surat kepada Agung. Dia bagi semua salinan kepada semua sultan-sultan. Agung marah dan mintak supaya saya buang Salleh Abas.

Saya kata tidak boleh buang. Nak buang kena ada tribunal. Agung kata tak kisah, buat sahaja tribunal. Semua ini berlaku. Takkan saya nak buat cerita memburukkan Agung. Kalau saya tak cerita orang fikir ini yang saya buat. Saya tidak buat seperti itu. Saya cuba nak tadbir dengan secara yang terbaik tetapi kadang-kadang sukar juga bila orang hentam kita buat macam-macam. Ini kita nak kena lawan.

Kes Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan saya. Ini polis, ‘oh yang ini timbalan perdana menteri tidak bolehlah buat seperti itu, dia buat apa kena ketepikan’. Tidak boleh buat seperti itu. Kalau kita nak ke arah rule of law, walaupun kena kepada sahabat kita, kita kena biar undang-undang berjalan.

Bagaimana dengan pertemuan bersama Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi? Apakah inti pati pertemuan itu memandangkan gambar pertemuan itu sudah tular.

Dia (Ahmad Zahid) nak tahu cara mana nak urus Umno. Jadi saya berkata secara terus terang, Umno telah mengkhianati orang Melayu. Kita tubuh Umno untuk bagi tolong orang Melayu, nak jadi benteng, mempertahankan dan memberi keselamatan kepada orang Melayu.

Apabila Umno pindah daripada itu, dan utamakan kekayaan diri dan lupa kepada itu, umno dibenci sekarang ini. Umno nak pulih susah. Nama Umno yang dulu begitu bersih, dihormati, dipandang mulia, sekarang ini dipandang jijik. Orang tak suka dah pada Umno. Saya cakap, kamu fikirlah apa yang kamu nak buat.

Saya tidak kata suruh dia tutup tetapi pilihan itu ada. Kita tidak pandang siapa nak masuk pakatan harapan terutamanya bersatu..orang sekarang nak masuk pakatan harapan terutamanya Bersatu. Kena ada syarat. Kalau dia orang politik, dia perlu putus hubungan dengan parti politik itu, jadi bebas dan kalau nak masuk Bersatu dia kena ikrar tidak buat lagi cara lama.

Sebelum ini sewaktu Tun menjadi perdana menteri, orang beranggapan bahawa Tun merupakan sorang yang ekstrem contohnya tentang Nabi dan bercukur sehingga ia menjadi satu isu yang besar. Boleh Tun perjelaskan?

Saya kata terang-terang, orang Islam takat sembahyang, puasa, keluar zakat, buat haji umrah, lain daripada itu dia tidak amal ajaran Islam. Dia kata orang Islam itu bersaudara. Kita tidak bersaudara walhal kita bermusuh sampai tahap kita berperang, membunuh. Membunuh itu dilarang dalam Islam. Macam-macam lagi.

Saya baca al-Quran dalam bahasa yang saya faham. Kalau anda ikut ajaran al-Quran, kamu tidak boleh jadi buruk. Kamu mesti jadi seorang yang berjaya.

Islam menekankan, kalau kamu mahu menghukum, hukumlah dengan adil. Ini bila nak buat hukum hudud, orang Melayu kena potong tangan kalau mencuri tetapi orang bukan Islam pula dapat penjara dua bulan. Adilkah hukuman ini?

Kalau seorang wanita dirogol, dia tahu siapa yang rogol tetapi dia tiada empat orang saksi, sebab dia buat laporan, dia kena sebat. Itu tidak adil.

Islam bukan tidak adil. Islam cukup adil. Kita yang tidak adil. Macam-macam lagi. Saya baca al-Quran untuk mengetahui apa mesej yang disampaikan.

Saya juga akan adakan pertemuan dengan beberapa tokoh agama dan dengan orang lain yang boleh bagi input.

Kita nak tentukan Jakim umpamanya, bukanlah menjadi satu badan yang ditakuti orang kerana sekarang ini sampai kerusi roda itu halal atau tidak halal. Saya yang tubuhkan Jakim tetapi dia lari jauh daripada hasrat kita. Kita mahu bagi panduan yang benar.

Saya buat Ikim (Institut Kefahaman Islam) sebab saya dapati orang banyak tidak faham dengan Islam. Islam satu agama yang cukup baik. Dia ajar kita sebab itu, Islam itu addin, cara hidup.

Maknanya ada benda yang boleh buat dan ada benda yang tidak boleh buat. Kita mahu bentuk orang itu. Orang itu mestilah Islam mengikut karakter dia bukan setakat dia sembahyang sahaja. Curi duit buat kerja haji, bukan benda baik.

Nilai hidup kita orang Melayu menyebabkan kita orang Melayu itu mundur. Bukan kerana Islam. Kerana kita buat tafsiran, Islam mengikut pemimpin kita.

Kalau dia seorang ulama, dia buat tafsiran kita ikut dia, sampai ke tahap yang kita anggap orang lain ini tdak Islam, kafi. Inilah yang berlaku dalam politik negara kita bila dikatakan orang Umno ini kafir.

Siapa pengganti Tun selepas ini?

Anwar akan mengganti saya.

sinarharian 


Continue Reading...

Saturday, September 15, 2018

terasa sunyi

No comments:
terasa sunyi


lama di tampuk kuasa
berladung dengan megah berbungkus dengan gagah
segala disebut menjadi nyata
segala difikir boleh terjadi
berjalan laju di tengah lebuhraya kuasa
terbang melayang di tengah langit kehebatan
siapa memandang iri belaka
siapa menatap ingin bersama
kecil cepat menjadi besar
rendah pantas menjadi tinggi
miskin tidak lama menjadi kaya
di sini segalanya jadi
berlutut dan tunduklah
tiada siapa bisa menamatkan
riwayat kuasa yang begitu panjang
dari segala limpah dan mewah
edari segala tumpah dan alir
tumbuh lagi dalam jiwa dan rasa
angkuh dan bangga
sombong dan megah
kuasa yang tak bisa dicabar
tunduklah
jangan  melawan
sebaris kata mencabar
segalanya dilempar keluar
sebaris kata menentang
segalanya disingkir dibuang
dimaki dinista
sorak sorai bahagia
sang penderhaka
tiada tempat di tanah kita!!!!!

awan  perubahan bergulung tiba
bukan topan tetapi harapan
bukan misteri tetapi suara hati
bukan dendam tetapi impian
bukan amarah tetapi hasrat
merngggulung melanda merubah rupa lanskap
kuasa

mana lagi jalan pergi
berbulan merintih dalam sunyi
begitu sepi di sini
bernafas dalam lumpur
bergerak dalam sangkar ketewasan
carilah jalan penyelamat
lama begini kita mati!!!!
segalanya dikerahkan
untuk meruntuhkan kuasa
untuk merombak kuasa
untuk kembali ke jalan megah
segalanya perlu 
raung dan jerit mereka semakin lantang
siapa saja mahu dijadikan korban
sang pencandu kuasa
mulutnya berbau mewah
telinanya mendengar kehebatan
carilah jalan peduli apa mereka
rakyat di telapak
kita di puncak

mereka sedang merangkak dalam sunyi
mencari kuasa
menyembuhkan luka
 
 
Continue Reading...

masuk akaun

No comments:

1MDB : RM2.973 bilion masuk akaun Najib - Polis
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Teoh Pei Ying
cnews@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Sebanyak AS$972 juta atau bersamaan RM2.973 bilion wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikesan dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Transaksi kewangan berkenaan berasal dari tiga syarikat iaitu Good Star, AABAR dan Tanore yang berjaya dijejak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata menerusi siasatan dijalankan juga, polis sudah mengenalpasti sebanyak 132 transaksi penggunaan wang haram dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, polis juga mengenal pasti seramai lebih 50 individu termasuk ahli politik dari dalam dan luar negara turut menerima wang yang diseleweng daripada 1MDB.


TIMBALAN Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada sidang media mengenai Perkembangan Isu Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. - Foto BERNAMA


"Kita menjangkakan bahawa mereka yang sudah dikenal pasti itu akan hadir memberi keterangan dalam waktu terdekat.

"Malah sehingga kini juga seramai 64 individu sudah diambil keterangan termasuk keterangan Najib serta anaknya Nooryana Najwa," katanya pada sidang media mengenai siasatan 1MDB di Bukit Aman, hari ini.

Noor Rashid berkata, siasatan terhadap 1MDB dibuat sejak 17 Mei lalu menerusi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urus Setia Ketua Polis Negara berdasarkan laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Ekoran laporan itu, polis menjalankan serbuan di lima premis dan mengambil tindakan penyitaan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001.

"Penyitaan itu membabitkan barang seperti wang tunai termasuk mata wang asing berjumlah RM114 juta, 12,080 barang kemas, 566 beg tangan, 537 utas jam tangan dan 234 unit cermin mata pelbagai jenama," katanya.

Beliau berkata, mengikut peruntukan di bawah AMLATFPUAA 2001, polis diberi tempoh setahun untuk menyiasat harta alih atau tidak alih yang disita.

Katanya, rampasan barangan yang turut dipertikaikan oleh Najib itu dibuat berdasarkan alasan munasabah serta disyaki sebagai barang hasil perolehan haram berkaitan 1MDB.

"Sehingga kini juga, pihak AMLA PDRM tidak menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak membabitkan barangan yang dirampas yang dipertikaikan individu tertentu itu," katanya.

Menurut Noor Rashid, pihak AMLA PDRM juga sudah menyerahkan perintah di bawah Seksyen 32 AMLATFPUAA 2001 kepada Najib untuk hadir memberi keterangan berhubungan kenyataan Ahli Parlimen Pekan itu bahawa wang tunai dirampas adalah milik UMNO.

Katanya, polis juga sudah mengenal pasti beberapa beg tangan dan jam tangan yang disyaki diperoleh menggunakan hasil wang haram.

"Pasukan siasatan kini dalam proses mengumpulkan bukti agar tindakan pendakwaan dan pelucutan hak harta dapat diambil. Malah, bagi melengkapkan siasatan itu, kita turut mendapatkan kerjasama Amerika Syarikat, Switzerland, Arab Saudi dan Singapura.

"Jadi, dalam proses mengumpul bukti yang cukup, PDRM mempunyai masa sehingga Mei 2019 bagi melengkapkan siasatan. "Siasatan itu memang sangat sukar dan akan mengambil masa panjang kerana membabitkan maklumat serta saksi dari negara lain,” katanya.

bharian
Continue Reading...

gambar berbicara

No comments:








Continue Reading...

Tuesday, September 11, 2018

Ucapan Tun M Ulangtahun PPBM

No comments:


UCAPAN YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, PENGERUSI PPBM BERSEMPENA ULANGTAHUN KEDUA
PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (PPBM)
DI STADIUM MALAWATI, SHAH ALAM
PADA 8 SEPTEMBER 2018 (SABTU)



1. Sekali lagi kita berhimpun di Stadium Malawati ini untuk merayakan tahun ke-2 penubuhan parti kita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

2. Ingin saya akui bahawa parti kita ini adalah parti perkauman. Parti Bumiputera dan Melayu. Kita bukan parti berbilang kaum atau bangsa.

3. Mungkin ada yang berkata parti kita ini rasis, perkauman. Sepatutnya kita juga seperti rakan- rakan kita dalam Pakatan Harapan, dijadikan parti berbilang kaum, atau terbuka kepada semua kaum.

4. Ya, ini mungkin hasrat kita. Tetapi hakikatnya ialah penduduk Malaysia, pengundi Malaysia masih terbahagi kepada berbagai kaum. Masing-masing ingin kekal identiti kaum mereka. Kita belum sampai ke tahap kaum kita sudah dilupakan oleh kita.

5. Ini jelas apabila kita meletak calon. Jika kita ingin menang tentukan calon kita bertanding dalam kawasan yang mana kaum penduduk adalah sama dengan kaum calon kita. Ini kita lihat dilakukan oleh semua parti. Kita belum sampai ke tahap kaum calon tidak dipedulikan.

6. Kita tahu orang Melayu masih kurang senang akan keselamatan dan masa depan mereka jika tidak diwakili oleh wakil sebangsa dengan mereka.

7. Demikian juga kaum lain. Sebab itu kita tidak dapat letak calon Melayu di bandar atau calon Cina atau India di kampung.

8. Walaupun parti berbilang kaum tetapi kaum diambil kira juga apabila meletak calon. Jika tidak ia akan mengundang kekalahan.

9. Hakikatnya ialah kita masih terikat dengan kaum kita. Mungkin pada satu hari, kaum tidak lagi dipedulikan. Tetapi sekarang ia masih dipedulikan.

10. Di waktu parti Bersatu ditubuh kita sedar bahawa untuk mengalah parti perkauman UMNO, hanya parti Melayu sahaja yang boleh berjaya melakukannya.

11. Jika tidak maka parti lawan atau pembangkang akan gagal. Ini adalah kerana orang Melayu tidak percaya nasib mereka akan dibela oleh parti bukan Melayu atau parti campuran kaum.

12. Pendirian orang Melayu ini disebabkan mereka masih ketinggalan dibelakang. Selama 60 tahun UMNO sahaja yang dipercayai oleh mereka akan mempertahan kaum mereka.

13. Demikianlah pendirian mereka, kesetiaan mereka kepada UMNO sehingga mereka tidak nampak perubahan yang telah berlaku dalam sikap kepimpinan UMNO. Mereka tidak nampak atau tidak dapat akui bahawa kepimpinan UMNO tidak lagi berjuang untuk orang Melayu. Mereka tidak nampak dan tidak dapat akui bahawa pimpinan UMNO sudah menyeleweng, sudah lari jauh dari landasan, dari perjuangan UMNO yang sebenar.

14. Mereka tidak nampak pemimpin mereka sudah memperalat UMNO untuk kepentingan diri mereka. Mereka membutakan mata mereka apabila pemimpin mereka mencuri duit rakyat supaya mereka hidup mewah. Mereka tidak faham kerosakan yang dilakukan kepada negara dan kepada masa depan mereka.

15. Mereka dibuai dengan sagu hati yang diberi, dengan wang yang banyak yang ditabur percuma. Mereka tidak sedar maruah mereka, kehormatan diri mereka sudah dimusnah. Mereka tidak sedar yang mereka ditanam dengan jiwa pengemis, yang menanti wang percuma jatuh ke tangan mereka tanpa kerja, tanpa apa-apa sumbangan dari mereka. Mereka sudah jadi orang yang tidak lagi mampu berdiri atas kaki sendiri.

16. Orang yang seperti ini mudah diperkosa oleh sesiapa. Bangsa dan negara pun akan mereka jual untuk mendapat duit yang mudah. Akhirnya akan hilanglah negara, akan hilanglah bangsa mereka.

17. Kerana kesedaran bahawa masa depan kaum tidak lagi dilindungi dan dipelihara oleh parti Melayu UMNO, maka sekumpulan telah keluar UMNO untuk menubuh parti yang boleh mengganti UMNO dan perjuangan asal UMNO.

18. Ya. Memang pun Parti Pribumi Bersatu ini adalah parti Melayu dan Bumiputera. Ia ditubuh kerana parti UMNO tidak dapat diperbaiki, dari dalam. Orang Melayu masih tidak dapat terima parti berbilang kaum. Jika UMNO perlu diganti dengan parti lain, maka parti itu mestilah parti Melayu yang mendapat sokongan orang Melayu.

19. Malangnya Kerajaan pimpinan UMNO telah bertindak untuk mengharamkan parti Bersatu sehari sebelum Parlimen dibubar untuk Pilihan Raya ke-14. Tindakan ini mengelirukan orang Melayu dan mereka tidak dapat memberi sokongan yang penuh kepada Bersatu dalam Pilihan Raya ke-14.

20. Walaupun demikian Bersatu masih menjadi sebahagian dari gabungan Pakatan Harapan yang menang Pilihan Raya ke-14. Bersatu ini adalah sebahagian dari Kerajaan. Ini memberi peluang kepada Bersatu memain peranan dalam usaha membangun orang Melayu supaya bahagian mereka dalam negara ini terpelihara, seperti kaum-kaum lain memelihara kaum mereka.

21. Sesungguhnya dibawah Dasar Ekonomi Baru orang Melayu telah diberi banyak peluang dan bantuan supaya mereka dapat meningkatkan kejayaan mereka dalam perniagaan dan perusahaan. Dengan itu perbezaan ketara antara ekonomi mereka dengan kaum lain dapatlah dikurangkan sedikit. Kejayaan program ini amatlah kecil dan tidak memuaskan. Namun keperluan mengurangkan jarak ekonomi antara kaum perlu diteruskan.



22. Soalnya ialah apakah sebabnya Dasar Ekonomi Baru dengan affirmative actionnya gagal mencapai matlamat.
23. Mirip kita ialah untuk menuduh orang lain. Mirip kita ialah untuk menuduh Kerajaan, menuduh kaum lain dan berbagai lagi. Mereka semua salah apabila kita gagal. Kita tidak pernah salah.

24. Saya berpendapat jika kita soal diri kita dan jika kita dapati ada kesalahan yang dilakukan oleh kita, maka adalah lebih mudah kita betulkan diri kita, daripada meminta orang lain betulkan diri mereka supaya kita dapat nikmat.



25. Jika kita dapat mengaku kita yang bersalah, maka perlu kita betulkan kesalahan kita.

26. Apakah kesalahan kita? Sesungguhnya terdapat banyak kesalahan yang kita lakukan. Yang pertama kita tidak bekerja sekuat orang lain. Bukan sahaja kita tidak kerja keras tetapi kerapkali kita tidak ambil berat tanggungjawab kita. Kita sering kurang meneliti sebelum kita membuat keputusan dan bertindak. Kita kurang kuasai ilmu dan maklumat yang diperlukan untuk kita membuat keputusan yang baik. Tanpa izin saya berani mendakwa kita malas. Kita lebih suka serah kerja kepada orang lain.

27. Hari ini kita dapati ramai orang asing datang bekerja di negara kita. Kenapa. Kerana kita tidak sanggup bekerja. Pergilah ke tempat kerja dan kita tidak akan bertemu dengan pekerja kita.

28. Ya, memang kerja itu berat. Mungkin kotor dan berbahaya. Kita cuma cari kerja yang ringan, dikilang berhawa dingin. Tetapi disitu pun daya keluaran atau produktiviti kita rendah.

29. Kita cepat menuntut hak. Gaji dan upah perlu tinggi. Tetapi kita kerap membawa M.C. apabila tidak hadir untuk bekerja. Ada sahaja sebab. Pelabur amat tidak suka mengambil kita bekerja. Dan kita marah dan kita lapor kepada Kerajaan.

30. Kerana kita tidak sanggup bekerja maka pekerja asing membanjiri negara kita. Tanpa mereka negara kita tidak dapat dibangun. Jika banjir ini membesar dan mereka tinggal lama dinegara kita, secara tidak langsung atau secara langsung mereka akan memiliki negara kita. Anak dara kita akan berkahwin dengan mereka.

31. Negara kita ini akan jadi lebih berbilang kaum dan kita pun akan undur ke pinggir hutan setelah menjual hartanah kita kepada orang lain.

32. Itu kesan dari keengganan bekerja. Tetapi juga kita kurang beramanah, iaitu tidak berasa bertanggungjawab apabila sesuatu diletak dibawah jagaan kita. Kita janji tetapi dengan mudah kita mungkir janji. Kita tidak segan-segan mengambil barangan atau duit yang bukan milik kita.

33. Jika kita hutang, berat bagi kita membayar balik. Demikian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Bukan banyak yang kita diminta bayar balik. Sedikit sahaja. Kita mampu. Kalaupun gaji kita hanya RM2000 sebulan apakah sangat RM100 sebulan – hanya 5%. Tetapi yang dapat lebih dari itu pun tidak bayar. Lokek.

34. Walau apapun alasan yang diberi, hakikatnya kita tidak bayar hutang. Bagi kita ini perkara kecil. Tetapi bagi bangsa kita, ia memburukkan kepercayaan kepada kita. Orang tidak suka bagi pinjaman kepada kita. Bank tidak sanggup memberi hutang kepada orang Melayu kerana percaya mereka tidak akan bayar. Maka bermasalahlah peniaga Melayu, sukar untuk meminjam modal. Maka marahlah kita kepada bank. Janganlah aniaya kita kerana orang lain yang lokek. Tetapi kita sudah terkenal sebagai bangsa yang lokek. Maka terpalitlah juga kita kerana bangsa kita tidak dipercayai.

35. Hutang yang tidak dibayar oleh peminjam PTPTN berjumlah 36 billion Ringgit. Hampir sama dengan jumlah wang 1MDB yang dicuri. Kita tidak berasa malu sedikit pun. Saya sendiri menjadi mangsa. Ramai kawan juga menjadi mangsa.

36. Ada yang pinjam lebih dari keperluan modal. 50% sahaja yang perlu diguna untuk perniagaan umpamanya. Dari untung atas 50% ini kita perlu bayar faedah ke atas 100% yang dihutang. Maka gagallah perniagaan kita.

37. Bahawa bangsa kita Melayu dianggap tidak beramanah tidak memalukan kita. Kita tidak peduli dengan penghinaan ini.

38. Tidak tahu malu juga menyumbang kepada prestasi kita. Ya, kita malu kalau dilihat bogel. Kita tidak berasa malu kerana gagal menjayakan tugas. Oleh itu hasil kerja kita tidak seperti yang diharapkan. Kualiti barangan kita tidak baik pun tidak apa. Dengan sikap ini kita tidak akan berjaya.

39. Apabila ditunjuk hasil kerja kita tidak sebaik hasil kerja orang lain, tanpa segan silu kita hanya berkata itu bangsa lain. Kita sudah akui kita memang begitu. Maka merosotlah kita. Gagallah kita.

40. Budaya, nilai hidup, sifat yang baik dikatakan baik kerana ia baik bagi kita. Kita akan berjaya jika kita miliki dan amal nilai-nilai yang baik. Terdapat banyak nilai hidup yang baik. Tetapi saya sebut disini hanya tiga sahaja. Iaitu rajin, beramanah dan berperasaan malu. Dengan tiga ini sahaja pun kita boleh berjaya, kita boleh bersaing dengan orang lain dan menang dalam persaingan kita. Cubalah.

41. Saya tidak akan lepas perjuangan bangsa kepada kaum lain. Saya telah sebut bahawa kita telah tubuh parti Melayu untuk mengganti UMNO yang sudah diselewengkan.



42. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Parti kita yang berusia hanya dua tahun sudah menjadi Kerajaan dan mendapat kuasa sebagai anggota Kerajaan campuran untuk membuat sesuatu bagi menjayakan orang Melayu, bagi mengurangkan jarak ekonomi mereka dengan kaum- kaum lain. Kita akan cipta dasar, peluang dan mengadakan kemudahan bagi orang Melayu meningkatkan prestasi mereka.

43. Tetapi kali ini kita akan tentukan segala yang diberi kepada orang Melayu tidak akan disalahgunakan oleh mereka. Jualan pemberian tidak akan dibenar. Kita akan tentukan mereka dilatih dengan cara-cara mengurus, terutama pengurusan wang. Kita akan semai ke dalam hati sanubari mereka nilai-nilai yang mulia. Kita tidak akan teragak-agak bertindak terhadap penyelewengan.

44. Kita akan tentukan hanya mereka yang terlatih atau berpengalaman sahaja akan diberi pertimbangan semasa menilai tawaran mereka dalam tender. CV mereka akan diambil berat, terutama berkenaan tabiat mereka apabila berhutang, termasuk hutang PTPTN.

45. Mereka yang berjaya mendapat lesen, AP, kontrak dan lain-lain mesti laksanakan sendiri. Jika dijual atau dipindah kepada orang lain, samada Melayu atau bukan, maka lesen, AP, kontrak akan dibatalkan. Oleh itu hanya mereka yang mampu melaksana sendiri sahaja perlu memasuki tawaran.

46. Sokongan dari Menteri atau pembesar akan diketepikan. Ini termasuk sokongan oleh Perdana Menteri. Penilaian akan diasaskan kepada kewangan, kecekapan dan pengalaman. Bagi yang belum ada pengalaman, bekerjalah dalam jurusan pilihan dahulu.

47. Tawaran akan dibuka untuk construction, pembinaan infra, perniagaan dan lain-lain tidak lama lagi.

48. Parti Bersatu tidak akan jadi UMNO Najib. Kita tidak akan utama apa diri kita dapat. Keutamaan kita ialah untuk memajukan negara supaya menjadi negara maju. Tumpuan kita ialah agihan nikmat negara maju secara adil dan saksama.

49. Tidak akan ada rampasan hak atau harta sesiapa. Tetapi akan kita ambil kira soal persamaan dan keadilan dalam pembahagian ekonomi semua kaum.

50. Hari ini kita rayakan ulangtahun yang kedua bagi parti kita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Sambil meraya kita akan perkuatkan azam kita untuk menjayakan perjuangan kita. Percayalah apabila negara kita ini maju maka semua dari kita akan mengecapi nikmat.

51. Saya seru kepada orang Melayu untuk menyertai perjuangan kita. Hanya kita sahaja yang boleh memperbaiki kedudukan kita.



52. Dengan berpegang kepada nilai-nilai yang mulia, dengan kesanggupan berkorban untuk masa depan, InsyaAllah akan tercapailah matlamat yang telah kita gariskan untuk bangsa, agama dan negara kita.

53. Jangan lupa slogan kita, bercerai roboh, Bersatu teguh. Ini adalah kali terakhir bagi kita orang Melayu dan Bumiputera lain menebus maruah kita.

Terima kasih.
BERSATU.
Continue Reading...

Sunday, September 9, 2018

Ulang Tahun Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia

No comments:



Ulang Tahun Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia 2016-2018 di Stadium Malawati Shah Alam.













Continue Reading...

Saturday, September 8, 2018

Tun M dan Khazanah Nasional

No comments:


YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad pagi ini di Yayasan Kepimpinan Perdana

Continue Reading...

Friday, September 7, 2018

wawancara bersama tun daim

No comments:
Transkripsi penuh wawancara TV3 dengan Tun Daim


Berikut adalah transkripsi penuh Berita Harian pada wawancara Tan Sri Johan Jaaffar dan bekas Pengarang NST, Mustapha Kamil dengan Tun Daim Zainuddin di TV3 pada 6 September lalu.



Tun nampaknya buat ramalan pada tahun 2008, 2013 dan 2018, nampaknya ramalan itu hampir tepat. tapi apa membezakan dengan ramalan tahun 2018 dengan tahun lain. Mengapa Tun lebih yakin bahawa BN menghadapi masalah besar atau tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018?

TUN DAIM: Saya memang orang lama dan sudah lama dalam dunia politik, dunia perniagaan. Ada ramai kawan. Sebelum PRU 2018 saya bertemu dengan UMNO, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR dan terima banyak laporan. Saya ada ramai kawan. Di dalam UMNO sendiri saya dapat laporan. Kajian mereka, mereka beritahu kepada saya. Kemudian saya bincang dengan Perdana Menteri, selepas itu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hendak jumpa Anwar susah.

Yang dibenarkan jumpa hanya ahli keluarga atau peguam. Maka, untuk atasi masalah ini saya jadi peguam balik. Dengan cara itu saya dapat masuk di (Penjara) Sungai Buloh dan jumpa Anwar. Saya jumpa dan berbincang dalam enam kali. Selepas itu saya tidak dibenarkan. Bila tidak dibenarkan saya tulis surat kepada PM.

Saya tanya mengapa tidak boleh berjumpa kerana saya peguam. Mereka ada laporan tertentu maka saya tidak dibenarkan masuk. Tidak mengapalah sebab kami dah bincang. Yang perlu dibincang masalah ketika itu ialah masalah politik. Saya sendiri dapat laporan daripada UMNO mengatakan mereka akan kalah. Masa kempen mereka beritahu akan kalah. ‘Think tank’ mereka masa kempen pun beritahu mereka akan kalah. Ini orang UMNO kerana kita ada kawan ramai.

Saya ada juga nasihat bekas PM berjaga-jaga akan kalah. Sebabnya banyak. Bezanya itu saja. Kita tahu akan kalah. Maka saya berhubung dengan Tan Sri Rafidah Aziz. Cara mereka (UMNO) dan pemikiran mereka ialah selagi Dr Mahathir seorang, dia tidak akan menang sebab dia sendirian. Yang penting kita ada dua strategi dan paling penting masa mesti tepat. Maka mereka minta saya buat satu wawancara dengan Nanyang Siang Pau. Dengan cara itu kita musnahkan MCA dan MIC dulu sebagai sudah tidak relevan.

Selepas itu tumpu kepada UMNO. UMNO ketika itu bongkak. Dia ingat mesti menang, ada isu, ada jentera, ada angka dan penyandang. Mereka sombong sekali. Kalau dalam adat kita, mereka biadab juga. Orang Melayu kata biadab dan kita tidak boleh terima. Saya bincang dan kita kata, Tun M mesti jadi ketua Pakatan Harapan (PH) dan rakyat Melayu mesti terima dan rakyat pekan juga tidak ada masalah. Kita buat strategi dan Sabah jangan kacau. Biarkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sana.

Lepas itu kita tumpu kawasan kita boleh menang, yang penting FELDA. FELDA dia punya simpanan selamat. Kalau kita pecahkan ‘fix deposit’ jadi mereka tidak ada apalah. Tapi mereka ‘over confident’. MCA biadab. mereka kata ‘undi biru tua, jangan undi orang tua. Rakyat Malaysia tidak boleh terima ini. Kita eksploit benda ini. Kita tengok mana kelemahan, di situ ada kelebihan. Maka bila kita turun padang kita tahu. Buat slogan mudah.

Apakah Tun membayangkan misalnya perubahan yang berlaku dalam kalangan Melayu, mereka percaya orang Melayu tidak akan banyak berubah, tetapi di luar bandar pun berlaku tsunami Melayu?

TUN DAIM: Orang Melayu percaya kepada ketua. Ketua itu pelindung dia. Bila ketua tidak jaga dia, mana dia hendak pergi, dia cari yang baharu. Ini mesti kita eksploit. Kita wujudkan percaya kepada dia (orang Melayu), ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Mereka, dengar mereka bagi la (undi).

Tengok GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan). Kata harga hendak turun tetapi mana? Kerajaan tipu rakyat. Rakyat percaya. Kata harga barang turun. Tengok Datuk Ahmad Maslan cakap. Tetapi tidak turun. Kita buat apa yang orang Melayu percaya begitu juga orang kampung. Bila Dr Mahathir keluar, Rafidah keluar, saya keluar, mereka percaya. Ini yang akan menjaga kepentingan Melayu kerana kita ada rekod.

Adakah Tun nampak peralihan sokongan masyarakat Melayu kepada UMNO dan BN pada masa itu jelas atau rasa sikit saja?

TUN DAIM: Dia begini. Kita tidak perlu banyak. Ramai kata tsunami Melayu. Lima hingga 10 peratus sudah cukup. Jangan kata 30 peratus, orang takut. Kalau lima hingga 10 peratus, orang Melayu akan sokong. Bukan susah hendak dapat lima peratus. Kalau 50 peratus susah. Kita mesti main psikologi, kita perlu lima peratus. Kalau kita lihat undi Melayu sekarang masih dengan UMNO dan PAS. Maka tidak perlu ramai untuk ‘swing’. Bila ‘think tank’ datang jumpa saya, kita buat analisis. Memang tidak perlu begitu ramai.

Kalau kita lihat dengan jentera BN, ia sangat berkesan dan ada sejarah 60 tahun tetapi apa satu faktor penting sehingga mampu buat perubahan. Agaknya ada satu benda yang menyebabkan perubahan mendadak?

TUN DAIM: Jentera mereka juga gagal dan kali ini sudah marah. Mereka tahu siapa dapat dan siapa tidak dapat duit. Duit tidak turun ke bawah. Kita tanya siapa dapat duit. Mereka kata tak dapat. Mereka juga yang kaya. Kita mengapikan dengan kata ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Kita tubuh UMNO untuk jaga kepentingan Melayu, sebaliknya Melayu tidak dijaga, jaga diri mereka saja.

Parti komponen PH iaitu DAP, bagaimana DAP akhirnya sanggup tinggalkan lambang roket?

TUN DAIM: Ia dipanggil perubahan. Perubahan bila orang tengok DAP sanggup berkorban itu penting menunjukkan mereka bukan perkauman, dia pentingkan negara. Lihat DAP bersedia berkorban, MCA sanggup atau tidak? Tidak sanggup, ini cara kita main. DAP dulu orang Melayu tidak boleh terima, tapi bila datang kepentingan negara dia sanggup berkorban. Tidak guna simbol dia, itu pengorbanan.

Kita lihat kerajaan berubah, apa yang Tun rasa selepas 100 hari. Harapan rakyat tinggi, apa pandangan Tun terhadap jangkaan rakyat. Dalam 100 hari ini adakah dapat penuhi sebahagian harapan?

TUN DAIM: Harapan memang tinggi. Apabila kita buang satu kerajaan dan ambil kerajaan baharu, mesti kita hendak dapat yang lebih baik dari dulu, kalau tidak apa guna, perubahan untuk kebaikan. Masa dia buat manifesto, dia pun tidak tahu keadaan sebenar, dia hanya percaya kepada laporan yang lepas. Sekarang bila sudah ambil alih yang pertama kita lakukan Perdana Menteri tubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan.

Malam itu kita mesyuarat sampai jam 12, panggil semua termasuk Bank Negara. Minta tengok akaun. Tengok akaun, kita terkejut. Ini apa dia. Tidak pernah berlaku, angka lain. Terus saya beritahu PM, kena jaga ini sesuatu yang dahsyat berlaku. Sekarang kita perlu semak semua. Setiap sama ada kewangan, ekonomi agensi kena tengok betul-betul ada duit atau tidak. Walaupun tidak sempat 100 hari sebab banyak, GST la (sempat).

Kemudian pemisahan kuasa kita lakukan perubahan kepada Eksekutif, Parlimen dan Perundangan. Sebab itu penjawat awam bila kita tukar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kita tengok ada perubahan, nampak seperti tidak nampak tapi banyak berlaku. tapi kebanyakan tak penting kepada mereka, yang penting sara hidup, harga barang turun atau tidak. Selepas itu masa dulu seperti kita kata ini salah mengapa tidak bawa ke mahkamah. Pasal apa Najib masih di luar, tidak dipenjara.

Orang lupa, masa Najib dulu hakim dipilih orang dia. Peguam Negara orang dia. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) orang dia. Dia kata fail semua sudah tutup. Bila ambil alih tanya mana fail, fail tiada maka kena mula balik. Memerlukan masa. Selain itu orang ini dulu, dipolitikkan. Semua sokong, nak bina semula keyakinan susah.

Siapa kita percaya dan tidak percaya, siapa nak pilih perlu masa. Kita harap rakyat faham kedudukan sebenar. Selain itu kabinet baharu, dulu dia pembangkang 50 tahun cuba. tiba sekarang jadi menteri,. jadi menteri tak apa, mereka semua berkelayakan dan berbakat. Tapi jadi menteri lain, pembangkang lain. Menteri bila masuk sekarang dulu penyokong sana, jadi tidak tahu siapa boleh percaya. kena ambil masa sekejap. Sekarang CEP akan tolong siasat segala dan beritahu kepada PM dan PM beritahu kepada menteri ini keadaan sebenar maka pilih mana lebih diutamakan. Ini memerlukan sedikit masa.

Ada yang melabelkan CEP ini sebagai Council of the Jedi, daripada nama francais filem Starwars.. Dr Mahathir sebagai ‘supreme jedi master’, tetapi lebih daripada itu adalah pandangan orang ramai kepada CEP. Apa sebenar mandat yang diberikan kepada CEP?

TUN DAIM: Kalau pandangan saya, banyak young Jedi lah (ketawa).. kita dah tua pun. Dr Mahathir sangat yakin. Dalam perbincangan kami sebelum ini, beliau sudah nyatakan bahawa kita akan menang. Sebab itu diwujudkan Pakatan Harapan (PH), memakai satu logo dan sebagainya kerana sudah yakin akan menang. Tetapi ketika itu, tidak tahu berapa kerusi akan menang.

Selepas kita tahu hampir menang, Dr Mahathir kata kita mesti cuti. Hari PRU-14 Rabu, kita mesti cuti Khamis, Jumaat, Sabtu, Ahad. Ini kerana kata Dr M, semua satu dunia ramal PH kalah, Singapura juga ramai PH kalah, pasaran (saham) pun ramal PH kalah. Jika PH menang, ‘market’ akan ‘crash’ (pasaran saham akan menjunam) kerana ia adalah tidak disangka, jadi kita perlukan masa.

Sebab itu kita perlu cuti Khamis, Jumaat, Sabtu, Ahad supaya pasaran saham ada masa untuk ‘absorb’ (serap). Ketika itu, Dr Mahathir sudah merancang wujudkan satu majlis penasihat untuk pastikan pasaran saham negara kekal stabil, ia dilakukan sebelum keputusan PRU lagi.

Apa yang membezakan Dr Mahathir dengan pemimpin lain adalah beliau membuat perancangan teliti. Dia dapat menjangkakan apa yang akan berlaku jika PH menang. Kerana satu dunia ramal PH kalah, tetapi kita menang. Jadi, kita kena bersedia. Sebab itu keyakinan perlu dipulihkan segera. Pihak-pihak yang terbabit dalam pasaran saham dipanggil berbincang pada malam itu untuk menentukan hala tuju mereka selain menstabilkan semula pasaran. Itu tujuan pertama. Ini cara Dr Mahathir.

Ahli CEP nampaknya dikumpulkan hampir serta merta selepas kemenangan, adakah ia diusahakan atau sebelum keputusan diumumkan lagi sudah ada senarainya?

TUN DAIM: Bila dah menang, hari berikutnya Dr Mahathir membuat keputusan. Beliau ada senarainya.

CEP memanggil GLC dalam jumlah yang ramai dalam waktu yang diberikan?

TUN DAIM: Memang ramai, kerana kami mahu tahu keadaan sebenar. Betul ke mereka ini boleh percaya, betul ke mereka boleh jana ekonomi negara. Mereka sendiri yang mahu tampil bertemu CEP. Dahulu lain, sekarang bebas untuk mereka datang bercerita keadaan sebenar kepada kami (CEP). Daripada situ, kami boleh membuat analisa. Setiap minggu, saya mesti menulis maklum balas kepada PM. Ia sebagai persediaan sekiranya ada pihak yang bertanyakan perkara itu kepada beliau. Namun, bila kita dah semak semua, keadaan memang mengecewakan. Kecewa besar.

Adakah keadaan itu amat berat?

TUN DAIM: Kalau kita sebut, keadaan itu amat sensitif dan sangat menyedihkan.

Banyak sekali cerita ‘menyeramkan’ daripada syarikat-syarikat GLC, adakah PM sendiri terperanjat dengan penemuan CEP?

TUN DAIM: Daripada segi prestasi kewangan, memang terperanjat. cerita-cerita yang kita dengar (sebelum ini) tidak betul.

Adakah Perdana Menteri membuat rumusan punca kelemahan itu?

TUN DAIM: Semua, daripada tatacara pengurusan, kewangan, ramai yang letak jawatan, itu ini semuanya. Saya bagi laporan kepada PM dan kita ada buat kajian terhadap KWAP, LTAT, Felda, MARA dan semua yang pernah CEP panggil sebelum ini.

Penipuan, salah guna kuasa, rasuah dan segalanya, yang berlaku mengapa ia boleh berlaku sedangkan kita ada sistem, semak dan seimbang?

TUN DAIM: Kita mula dari atas. Kalau bapa tidak baik, anak pun sama. Sejak dahulu saya berpendapat, PM tidak boleh menjadi Menteri Kewangan, kerana akan menjadi terlampau berkuasa. Bila jadi Menteri Kewangan, ‘there’s no check and balance”, tiada pemantauan dalam tadbir urus .

Kita tengok dalam 1MDB. PM sebelum ini jadi Pengerusi 1MDB. Dalam artikel 117 M&A (Memorandum Pertubuhan), tiap-tiap keputusan mesti diputuskan oleh PM. Jadi, tiada semak dan imbang. Sebab dia adalah PM dan Menteri Kewangan, Kabinet tidak akan berani. Apabila disoal, macam Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal kena buang. Jadi, tiada semak dan seimbang. Kalau kita tengok kontrak dengan negara China, saya tidak mahu jawab, tapi kita akan buktikan semua.

Kuasa pada seseorang pemimpin, adakah ia perkara biasa dalam semua kerajaan. Yang tertinggi ada kuasa mutlak?.

TUN DAIM: Jika seseorang pemimpin itu ada moral yang tinggi, dia mesti ingat, dia dipilih rakyat dan tanggungjawab adalah kepada rakyat. Tapi pada akhirnya, jika tamak haloba menguasai diri, anda lihat apa yang berlaku pada negara Filipina contohnya, apa jadi?. Di Afrika, lebih teruk. Bila hanya seorang sahaja yang berkuasa, meskipun dilantik menerusi demokrasi, bila sudah menguasai semua dan tiada semak serta seimbang, dan tiada siapa yang sanggup mencabar untuk mengatakan sesuatu itu tidak boleh dilakukan, masalah akan tetap berlaku.

Kita tengok sekarang, di rumah, ada juta-juta wang tunai walaupun hanya pegawai kerajaan. Ia tidak berlaku sebelum ini. Bila dia tengok kepala buat macam tu, yang bawah semua turun (ikut). Pada malam kalah (PRU-14), itu pengawal keselamatan yang kaut duit kerajaan. Mereka lupa ada rakaman CCTV, kena tangkap semua.

Baru-baru ini, yang skandal perisik luar negara, RM48 juta, ia bukan cerita betul, kalau dengar yang betul, lagi marah. Rakyat akan tertanya macam mana perkara itu boleh berlaku, sedangkan pelakunya berbangsa Melayu, beragama Islam. Di mana pelajaran kita mengenai Islam dan nilai moral? Apa sudah jadi kepada kita? Ia seolah-olah menghancurkan masyarakat kita. Ia adalah serius dan habis merosakkan semua. Masa PRU, KSU pun berkempen, ada yang secara terbuka, Apa sudah jadi?

Rasuah yang berlaku di sana sini, tetapi ‘skill’ (kemahiran) yang berlaku sebelum PRU cukup memeranjatkan?.

TUN DAIM: Ya. ada sesetengah institusi dah bankrap jika kerajaan tidak tolong memang habis. Benda ini ada permulaan moral. Sebenarnya, ia dikatakan bermula pada 2004, apabila PM Datuk Seri Najib Razak ambil alih, ia menjadi lebih teruk. Bila ia bermula tetapi tidak dihentikan, ia menjadi semakin teruk,

Salah satu skandal paling besar berlaku di negara ini ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pada pandangan Tun, mengapa skandal 1MDB boleh berlaku sehingga ke skala yang sedemikian hebat?

TUN DAIM: Jho Low katanya tak terbabit. Itu cerita dia. Kita ada keterangan, kita ada bukti. Sekarang, Pakatan Harapan ambil alih, mereka yang terbabit sanggup jadi saksi dan mereka cerita apa yang berlaku. Kontrak-kontrak… mereka yang ambil bahagian sanggup jadi saksi sekarang, mengatakan apa yang sebenar berlaku. Sekarang, tak usah tipulah.

Kita dah dapat bukti semua. Cuma kontrak, apabila bilateral dengan Singapura, China, jadi kita kena sedikit sensitif. Selain kontrak ini, banyak lagi perhubungan kita, pelaburan dan sebagainya kena jaga. Yang penting pada mereka jangan buka (dedahkan). Tadi duta datang jumpa saya bertanya beberapa perkara. Saya kata tak apa, kita kawan. Sebagai kawan, kita perbetulkan yang silap supaya kedua-dua pihak senang bekerjasama selepas ini. Mereka pun faham. 1MDB ini, selain YB Tony Pua, sayalah yang mula. Saya persoal mengapa wang itu simpan di Cayman Island, bawa pulanglah. Tak jawab, kerajaan diam. Jho Low memang. He is the mastermind.

Dia yang buat ini semua, dengan Arab dan sebagainya. Sekarang kita siasat belum habis. Setiap hari saya dapat cerita baharu yang mengejutkan. Jho Low terbabit di sana, sini, dia hubungkan dengan Abu Dhabi, dengan Arab Saudi. Selepas itu Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong, Singapura, Switzerland. Hubungan ini satu dunia tahu. Kalau dengar CNN, BBC, malah berita China semua keluar berita utama. Afrika pun tahu.



Cuma di Malaysia saja tak tahu. Dalam Parlimen tak boleh cakap. Tiada keikhlasan dan ketelusan. Akhirnya orang tahu juga. Apa guna tipu. Orang Malaysia sekarang boleh dapat berita dari luar negara, tapi mereka masih nak tutup, dengan harapan kalau Barisan Nasional menang pilihan raya yang lalu, memang tutuplah (skandal 1MDB). Tapi rakyat berani, berpendirian (bahawa) kerajaan ini mesti kita buang.

Kita ucap tahniah pada rakyat kerana berani. Tanpa rakyat, masihlah kita menderita. Jho Low sampai sekarang dia masih terbabit. Bila Tun Mahathir nak hantar saya ke China, Jho Low provoke. Dia nak bercakap dengan saya, saya tak mahu. Bila telefon, saya suruh wakil saya cakap. Dia kata, dia boleh tolong. Sebelum tu, saya tanya dia, sidang media pertama apabila saya jadi Pengerusi CEP, saya kata kalau Jho Low betul tidak bersalah, baliklah. Malam itu dia telefon.

Apakah pengakhiran bagi skandal ini. Pendakwaan akan berlaku, tetapi rakyat merasakan letih dengan 1MDB. Selepas ini apa akan berlaku?

TUN DAIM: Kita akan ambil tindakan. Seperti saya katakan tadi, sebelum ini fail ditutup. Sekarang kita mula balik. SPRM kata baru 60 peratus siap. Tapi, kenyataan di sini dah ambil, cuma dari luar negara saja. Tunggu masa. Nak buat itu mesti ada MLE. Sebelum ini, bekas Peguam Negara tak mahu. Switzerland datang, dia tak mahu. Sekarang baru nak mula balik, jadi perlu masa. Tapi, untuk kita, ‘money trail’ sudah cukup. Kita tahu siapa dapat dan sebagainya. Itu mereka tak boleh lari.

Kita banyak bercakap tentang masalah yang berlaku sebelum ini, dan akhir-akhir ini pengumuman hutang sudah mencecah RM1 trilion dan sebagainya. Tidakkah Tun rasa ini menyebabkan kerisauan dalam kalangan pelabur kerana ada tuduhan kita terlalu menumpukan pada aspek pendedahan?

TUN DAIM: Mereka ini semua berniaga di sini. Sewaktu mereka masuk, dia ingat keadaan seperti mana yang dikatakan (kerajaan terdahulu). Kalau boleh, mereka nak kita tutup (isu ini) supaya ‘share’ (saham) masing-masing, kekal. Tapi kerajaan hari ini sanggup berterus-terang. Mereka tidak mahu lagi ada korupsi dan ingin laksanakan reformasi. Kenapa golongan ini tidak mahu? Sebelum ini kata korupsi itu tidak baik.

Apabila kita menentang korupsi habis-habisan, mereka kata jangan beritahu, simpan maklumat ini, rahsia. Jadi ‘double standard’. Jika mahu ketelusan, kita teruskan. Kerajaan ini sampai selamanya tidak akan ada lagi korupsi. Kita akan laksanakan reformasi dan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan mahkamah. Masing-masing bebas supaya rakyat percaya apabila mereka buat aduan, tindakan akan diambil secara adil. Itu yang penting dan itu yang kita mahu. Di akhirnya, kerajaan ini mahu keadilan serta reformasi. Kita juga mahu Parlimen bebas supaya wakil rakyat boleh bersuara. Media juga mesti bebas dan rakyat juga perlu bebas.

Bagaimanakah sentimen pelabur ketika ini selepas mendapat penjelasan daripada Tun?

TUN DAIM: Mereka percaya. Ketika agensi penarafan datang bertemu, saya tanya apa mereka mahu. Mahu kita tipu? Kita boleh tipu, kalau itu yang mereka mahu. Tapi lebih baik berterus-terang supaya senang mereka kaji dan yang lain boleh putuskan sama ada nak melabur atau tidak. Jika datang ke negara ini, semuanya telus. Sembunyi buat apa, esok-esok terkejut. Jangan. Mereka faham. Sekarang Perdana Menteri nak pergi ke Amerika Syarikat dan England. Mereka semua nak jumpa dan dengar reformasi dan perkara lain yang kerajaan nak laksanakan. Jangan sembunyi fakta. Kita perlu tunjukkan keadaan sebenar, kita tak mahu tipu.

Apa langkah selanjutnya bagi mengelak daripada perkara ini berlaku lagi?

TUN DAIM: Pertama, nak 100 peratus sempurna memang tak boleh. Hanya Allah yang sempurna. Tapi, daripada sekolah kita mesti ajar. Sebab itu sebelum ini, Perdana Menteri mahu jadi Menteri Pendidikan. Pada peringkat sekolah perlu dipastikan subjek yang diajar itu adalah pendidikan yang betul. Nilainya mesti ada, khususnya orang Melayu dan Islam. Perdana Menteri panggil ulama, saya juga panggil mufti dan sebagainya.

Saya kata, tak perlu ajar banyak, cukup ajar al-Fatihah. Faham tak al-Fatihah? Jalan yang lurus, akan bawa kejayaan. Jika terpesong, lingkuplah. Allah dah beritahu menerusi surah pertama dalam al-Quran. Apakah jalan yang lurus untuk berjaya? Tak boleh rasuah, tipu orang, bekerja kuat, amanah, baru boleh berjaya. Ajar anak-anak kita ini. Apa makna bismillahirrahmanirrahim. Itu yang penting. Apa makna iqra’. Kenapa Allah suruh iqra’ (baca). Ilmu. Ini yang penting dan mahu diajar oleh Perdana Menteri. Kita mesti tukar dasar pendidikan negara. Bagi orang Melayu faham dan tahu apa yang betul. Kalau boleh ajar sedari kecil, ini nilai yang penting.

Langkah pemulihan ini perlu bermula dari bawah?

TUN DAIM: Ya, mesti daripada bawah. Daripada atas dah lambat. Bolehlah (jika daripada atas), kalau ada akal, Insya-Allah mereka (yang di atas) boleh (berubah). Tapi perubahan daripada kecil ini untuk generasi akan datang. Pada masa depan, jika anak-anak kita ada nilai yang betul, mereka akan tahu mana yang betul dan sebaliknya. Mesti kerja kuat, jangan harapkan kerajaan kerana Bumiputera. Tak boleh, kerana kalau tak dapat nanti mulalah mencuri.

Apa lagi yang patut dilakukan selain nilai agama. Adakah kita sudah hancurkan sistem nilai yang ada pada kita?

TUN DAIM: Memang sudah hancur. Orang Melayu nak senang kaya. Nilai terarah pada material, sedangkan yang penting adalah kita mesti sedia untuk bekerja kuat. Perdana Menteri kata tolong kumpul ilmu. Jika ada ilmu, baru boleh berfikir. Jangan ajar untuk lulus peperiksaan semata-mata. Bila disoal, ditemu bual, tak boleh jawab, kemudian pelik kenapa tak dapat kerja dan marah.

Tak boleh. Perdana Menteri mahu anak-anak di sekolah diajar bagaimana untuk selesaikan masalah. Itu yang penting supaya dalam dunia sebenar, dia tahu selesaikan masalah. Sekarang, jika ada masalah, tak tahu nak buat apa. Sepatutnya bila ada masalah mereka boleh berfikir bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah. Ini yang sangat dikehendaki oleh Perdana Menteri. Jangan buang masa, dari sekolah kita kena ajar, mesti tukar kurikulum ini semua supaya akhirnya apabila mereka lulus, mereka boleh berdiri sama tinggi dengan yang terbaik di dunia, segala cabaran dia boleh jawab.

Rasanya tercapaikah hajat kita untuk jadi negara maju menjelang 2020?

TUN DAIM: 2020 tak bolehlah, mustahil.

Masa dah terlalu singkat.

TUN DAIM: Mana nak capai… penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hampir mencapai 7 juta keluarga, jika di setiap rumah ada 2 atau 3 ahli keluarga lagi, maka jumlahnya sebanyak 21 juta, dua pertiga daripada jumlah populasi Malaysia, maka bagaimana mahu capai status negara maju.

Tapi kita masih percaya kita boleh (capai)?

TUN DAIM: Kita boleh jika kita mula sekarang, Dr Mahathir harap dalam dua tahun ini kerajaan boleh mula perbetul (kesilapan), apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambilalih, ia akan diteruskan.

Tun ada tempoh masa bila Malaysia mampu capai status negara maju jika tidak pada tahun 2020?

TUN DAIM: Saya tiada jawapannya.

Walau apa yang dikata oleh kerajaan, pendedahan yang dibuat dan sebagainya, tetapi di peringkat akar umbi, rakyat percaya bahawa semua ini tidak berlaku sebenarnya. Malah semua ini adalah permainan kerajaan PH untuk menyalahkan kerajaan lama, masih ada pemikiran begitu?.

TUN DAIM : Sebabnya orang kampung senang terpengaruh, propaganda ini senang disebarkan, selalu apa yang diperkatakan adalah untuk menjatuhkan orang Melayu, tidak mementingkan agama, mahu jatuhkan Raja-Raja Melayu, ini semua sangat sensitif kepada orang Melayu. Biarpun dalam perlembagaan perkara ini tidak boleh dipersoalkan, tetapi ia masih dilakukan bagi orang Melayu takut kerana tahu orang Melayu ini mempunyai rasa tidak selamat (insecure).

Mat Saleh dahulu pun datang begitu juga, dia tahu orang Melayu jadi dia eksploitasi kelemahan ini, jadi kita bergaduh sesama kita, bila gaduh sesama kita akhirnya akan cari dialah, pecah dan perintah adalah kaedah yang diamalkan oleh Mat Saleh, Jika lihat pada sejarah orang Melayulah yang memanggil Mat Saleh, mereka hanya berminat untuk berdagang sahaja tetapi sudah tentu mereka akan ambil kesempatan selepas dapat masuk ke sini.

Tun masih lagi, pengaruh Tun sebagai orang yang sangat ‘influential’ masih ada, malah ada parti yang kata bahawa Tun sebahagian daripada konspirasi misalnya untuk tujuan tertentu dalam satu pemilihan parti yang sedang berlaku. Adakah kerana pengaruh Tun atau bayang-bayang kekuatan Tun atau sebagainya, apa sebenarnya yang sedang berlaku sehingga ada konspirasi?

TUN DAIM: (Akhbar) South China Morning Post (SCMP) ada bertanya kepada saya mengenai ini, begitu juga dengan Singapura. Saya kata, yang pertamanya saya sudah tua, sudah bersara, malah kini sudah tiada parti selepas dibuang UMNO. Jika saya berpengaruh, UMNO tidak akan membuang saya. Sebenarnya saya tidak terbabit dalam parti lain, kenapa perlu saya terbabit. Orang tidak kenal hubungan saya dengan Anwar. Saya sudah lama mengenali Anwar. Saya beritahu kepada kepada Singapura dan SCMP, Anwar akan ambil alih (Perdana Menteri). Anwar ada kekuatan dia sendiri, kita tahu.

Tidak perlu semua ini, jangan malukan nama Anwar. Saya memang percaya Anwar akan ambilalih, mereka menggunakan satu alasan seperti ketiadaan modal, cari konspirasilah, itu ini. Ia menunjukkan golongan ini mahu mencari pengaruh, apabila tiada pengaruh mereka menggunakan orang luar. Ini soal dalaman, kenapa biarkan orang luar masuk. Saya pun tidak boleh jawab soalan ini kerana saya bukan ahli parti.

Kuseman.com. 


Daim dedah rahsia PH tewaskan BN
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@nstp.com.my



KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin, mendedahkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah hasil manipulasi terhadap laporan dalaman daripada kumpulan pemikir UMNO serta pengorbanan komponen PH demi negara.

Beliau berkata, berdasarkan kajian dan laporan yang beliau terima daripada kumpulan pemikir UMNO, mereka berkeyakinan yang parti itu dan Barisan Nasional (BN) akan tewas pada PRU-14.

Walaupun begitu, beliau mengakui kemenangan PH turut dipengaruhi faktor lain termasuk sikap bongkak dan biadab pemimpin UMNO serta parti komponen BN yang menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berkempen, yang mana ia tidak disukai rakyat.

“Saya memang orang lama dan sudah lama dalam dunia politik, dunia perniagaan. Ada ramai kawan. Sebelum PRU 2018 saya bertemu dengan UMNO, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR serta terima banyak laporan.

“Saya sendiri dapat laporan daripada UMNO mengatakan mereka akan kalah. Masa kempen pun mereka beritahu akan kalah. Ini orang UMNO. ‘Think tank’ mereka masa kempen pun beritahu mereka akan kalah.

“Ini orang UMNO kerana kita ada kawan ramai. Saya sebelum itu ada juga nasihat bekas PM berjaga-jaga akan kalah. Sebabnya banyak. Bezanya itu saja. Kita tahu akan kalah.

“Mereka (UMNO) juga sombong sekali. Kalau dalam adat kita, mereka biadab juga dan kita tidak boleh terima. Mereka terlebih yakin. MCA juga biadab. Mereka kata ‘undi biru tua, jangan undi orang tua’. Rakyat Malaysia tidak boleh terima ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Soal Rakyat terbitan TV3, malam tadi dengan Tan Sri Johan Jaafar dan Mustapha Kamil Mohd Janor bertindak sebagai moderator.



DAIM (kanan) pada program temu bual eksklusif Soal Rakyat yang disiarkan di TV3 malam tadi.

Daim berkata, menyedari perkara itu, beliau kemudian merancang dua strategi bagi menumbangkan BN iaitu dengan mewujudkan kepercayaan kepada rakyat bahawa MCA dan MIC sudah tidak relevan serta menyerang FELDA yang menjadi ‘simpanan tetap’ BN.

“Kita ada dua strategi dan paling penting masa (melaksanakan) mesti tepat. Maka mereka minta saya buat satu wawancara dengan Nanyang Siang Pow. Dengan cara itu kita ‘musnahkan’ MCA dan MIC dulu sebagai sudah tidak relevan. Selepas itu tumpu kepada UMNO.

“UMNO ketika itu bongkak, dia ingat mesti menang kerana ada isu, ada jentera, ada figura dan penyandang. Saya bincang dan kita kata, Dr Mahathir mesti menjadi ketua dan orang Melayu mesti terima dan orang bandar juga tidak ada masalah.

“Kita buat strategi dan Sabah kita jangan kacau. Biarkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sana. Lepas itu kita tumpu kawasan kita boleh menang, yang penting FELDA. FELDA dia (BN) punya ‘simpanan tetap’. Kalau kita pecahkan ‘simpanan tetap’, mereka tidak ada apalah,” katanya.

Daim turut mendedahkan beliau mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh mengenai rancangan menumbangkan BN.

“Hendak jumpa Anwar susah. Yang dibenarkan jumpa hanya ahli keluarga atau peguam. Maka, untuk atasi masalah ini saya jadi peguam balik. Dengan cara ini saya dapat masuk di (Penjara) Sungai Buloh dan jumpa Anwar.

“Saya jumpa dan berbincang sebanyak enam kali. Selepas itu saya tidak dibenarkan. Bila tidak dibenarkan, saya tulis surat kepada Perdana Menteri dan tanya mengapa tidak boleh berjumpa kerana saya peguam.

“Sudah tentu mereka ada laporan tertentu maka saya tidak dibenarkan masuk. Tidak mengapalah sebab kami dah bincang. Yang perlu dibincang masalah ketika itu ialah masalah politik,” katanya.

Beliau turut menghargai pengorbanan DAP yang sanggup tidak menggunakan logo parti mereka pada PRU-14 bagi menunjukkan mereka sedia berkorban untuk negara.

“Bila orang tengok DAP sanggup berkorban, itu penting menunjukkan mereka bukan perkauman sebaliknya pentingkan negara. Lihat DAP bersedia berkorban, MCA sanggup atau tidak? Tidak sanggup, ini cara kita main.

“DAP dulu orang Melayu tidak boleh terima, tapi bila datang kepentingan negara dia sanggup berkorban. Tidak guna simbol dia, itu pengorbanan,” katanya.



bharian


Continue Reading...