Friday, October 25, 2013

Sebuah Perjuangan : Berani Hijrah




 
Calon BN lepas jawatan kerana rakyat


JERAI 24 Okt. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim sanggup meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semata-mata mahu menabur bakti kepada masyarakat khususnya di kawasan berkenaan.

Anak tempatan kelahiran Kampung Titi Batu itu berkata, beliau mengambil sedikit masa untuk memikirkan tentang perkara itu kerana 'sayang' mahu meletakkan jawatan namun apabila memikirkan hasrat mahu berkhidmat untuk rakyat, beliau rela berbuat demikian.

"Wartawan bertanya saya, tidak sayang tinggalkan jawatan? Lama saya berfikir, namun yang penting saya lebih sayang rakyat dan mahu berbakti kepada masyarakat di Sungai Limau," katanya berucap dalam majlis Kami Prihatin anjuran Yayasan Felda di Simpang Tiga, Sungai Limau di sini hari ini.


Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir; Pengerusi Yayasan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Menurut Dr. Ahmad Sohaimi, beliau bertekad untuk memajukan Sungai Limau jika diberi peluang menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Katanya, beliau juga mahu menggunakan pendekatan baharu berpolitik dalam kalangan generasi muda dengan memastikan penyertaan golongan itu sebagai kelompok pelapis.

Dalam aspek itu katanya, beliau bercadang menubuhkan Jawatankuasa Permuafakatan Ummah yang disertai golongan profesional dan ahli akademik.

"Kita mahu mencari jalan untuk meningkatkan perpaduan dan menjana program ilmuwan kerana masyarakat di sini berpotensi untuk dimajukan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di Sungai Limau memberi peluang kepadanya selepas 25 tahun mereka berada di bawah wakil rakyat Pas.

"Beri kepada saya satu penggal, tengok apa kita nak buat. Andai gagal pulangkan balik (kepada Pas). Setiap undi itu mahal harganya dan saya akan membalas sokongan itu dengan memajukan Sungai Limau. Fizikal saya tidak besar tetapi bercita-cita besar," katanya.

Sumber


Pengundi Sungai Limau perlu berani hijrah

PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau pada 4 November ini dianggap ujian pertama kepada DATUK SERI JAMIL KHIR BAHAROM sebagai Ahli Parlimen Jerai dan Ketua UMNO Bahagian Jerai. Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberi pandangan berhubung pilihan raya kecil di kawasan yang dianggap kubu kuat Pas itu.



UTUSAN: Jurang perbezaan umur calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim dan calon Pas, Mohd. Azam Abd. Samat, agak ketara. Adakah Datuk Seri melihat ini menjadi penghalang untuk BN meraih sokongan?

JAMIL KHIR: Sememangnya ia menjadi ukuran kerana semakin berumur semakin bermakna. Contohnya dari segi profesion sebagai pensyarah di universiti biasanya umur yang senior menjadi ukuran kemampuan dan keilmuan yang dia dimiliki. Tapi apa yang jadi ukuran ialah pengalaman, kalau lihat umur 50-an tentulah ada pengalaman yang banyak dan apatah lagi nak wakili rakyat dalam kawasan seperti ini, itu tahap umur paling ideal.

Bagaimana Datuk Seri hendak membantu calon BN dalam kempennya terutama sekali apabila ada yang mempertikaikan calon BN tidak lagi tinggal di kawasan Sungai Limau?

JAMIL KHIR: Saya lihat mungkin ada salah faham yang tak dimaklumkan kepada masyarakat. Sebenarnya faktor tempat cari makan yang berbeza bukan faktor penolak.

Dulu mungkin seorang yang duduk di Alor Setar dah dianggap jauh bagi orang yang duduk di Sungai Limau. Tapi hari ini duduk di Thailand dan Singapura pun dah dianggap dekat sebab perhubungan kenderaan begitu mudah. Dr. Ahmad Sohaimi selain anak tempatan, beliau juga Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Jerai, ia menjadi faktor berulang alik bertemu dengan masyarakat.

Beliau juga ada rumah sendiri di Kampung Titi Batu, paling tidak seminggu sekali beliau akan pulang.

Ada cakap-cakap yang membezakan calon BN adalah calon untuk dunia manakala calon Pas ialah calon untuk akhirat. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

JAMIL KHIR: Saya melihat dalam ukuran dunia dan akhirat, Islam ajar untuk sampai ke akhirat kita juga perlu dunia. Begitu juga ukuran di dunia ini yang menjadi pertimbangan untuk ditimbang dan dihisab di akhirat. Maknanya dalam menghukum soal dunia dan akhirat ini bukan ukur kerana pelajarannya sahaja. Saya nak sebutkan bahawa calon kita ini adalah guru Madrasah Taufiqiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai sekolah pondok Pak Ya dan juga guru Pondok Fauzi di Yan. Beliau menjadi tenaga pengajar, Islam sebenarnya tak pisahkan hal dunia dan akhirat.

Kawasan Sungai Limau adalah kubu kuat Pas secara tradisinya, bagaimana BN hendak pecahkan tradisi itu?

JAMIL KHIR: Saya melihat begini, memang dari sejak dahulu ini kubu tradisi Pas. Kita akui perkara itu. Saya lihat kini rakyat menilai dan perhatikan setelah sekian lampau ikon legasi tok guru dan juga legasi ulama besar sudah tak dapat dimunculkan lagi di Sungai Limau oleh Pas.

Kita ada satu alternatif baru iaitu ikon dalam bidang akademik dan kita bagi pilihan untuk rakyat memilih ilmuwan akademik ini. Jasa yang beliau tinggalkan kepada anak-anak murid di kawasan ini amat besar. Kita yakin rakyat sedang menilai juga bahawa mereka ada pilihan di hadapan mata kerana banyak penggal diberi kepada Pas. Ada yang bagi tahu kita, mereka perlu berubah bagi peluang pula kepada BN untuk bangunkan Sungai Limau. Bisikan dan suara hati mereka kita dengar dan sampai masa untuk mereka cari perubahan, sebab itu kita pakai slogan ‘Berani Hijrah’.

Apa harapan dan nasihat Datuk kepada pengundi-pengundi yang akan keluar mengundi pada 4 November nanti?


JAMIL KHIR: Tagline ‘Berani hijrah’ kerana 5 November depan adalah Maal Hijrah. Kita nak pakejkan Maal Hijrah itu disambut lebih awal di DUN Sungai Limau. Kita mahu pengundi berani berhijrah dan saya letakkan harapan tinggi kerana saya adalah Ahli Parlimen Jerai.

Sudah tentu dengan kedudukan ini saya mahu pentadbiran Parlimen selaras dengan DUN bagi membolehkan kita melaksanakan program berbentuk kerohanian dan spiritual demi kesejahteraan penduduk Sungai Limau. Oleh itu saya berharap pengundi akan memberi peluang kepada BN kerana kita bukanlah kelompok yang hanya bijak beretorik.

Sumber

Share this article :

0 comments: