Sunday, April 5, 2015

negara dan undang-undang


Undang-undang negara ikut acuan sendiri

Oleh Dr Shamrahayu A Aziz



Sistem perundangan yang mantap adalah antara prasyarat pembinaan negara dan seterusnya sebuah peradaban. Perkara yang tidak dapat dinafikan keperluannya dalam pembentukan peradaban ialah kehidupan masyarakat yang teratur. Keteraturan sosial adalah prasyarat sebuah peradaban.

Dalam menyusun keteraturan sosial itu, pelbagai sudut dan ukuran kehidupan masyarakat perlu diberi perhatian. Dalam melakukan itu sudah tentu perundangan tidak boleh ketinggalan dan undang-undang serta sistem perundangan hendaklah mempunyai hala tuju jelas dan tegas. Malaysia, sebagai sebuah negara yang mempunyai sejarah besar dan pernah menikmati mercu kejayaan hendaklah bersedia bergerak menuju wawasan bagi pembinaan peradaban berkenaan.

Dalam rangka itu Malaysia hendaklah mempunyai undang-undang dan sistem perundangannya yang tersendiri. Hanya undang-undang bercirikan identiti tersendiri dan meletakkan prinsip serta nilai agama boleh mempertahan peradaban negara. Hingga ke hari ini Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri mampu membentuk perundangan yang stabil. Ini terbukti dengan terserlahnya kejayaan Malaysia mengekalkan kesejahteraan negara sehingga kita hampir mencecah enam puluh tahun merdeka.

Walaupun begitu, tinggalan atau legasi British dalam undang-undang dan sistem perundangan negara masih lagi kelihatan - bukan sahaja dalam undang-undang bertulis, tetapi juga dalam pemikiran sebahagian mereka yang terbabit dalam perundangan. Ini perlu ditamatkan. Saya tidak bermaksud menyatakan semua tinggalan British itu tidak baik; bukan semata-mata kerana mahukan 'jati diri' kita membuang semua yang berasal daripada kuasa penjajah, tetapi apa yang saya maksudkan ialah kita perlu bebas daripada legasi yang mengganggu proses pembentukan perundangan kita sendiri.

Mansuh perbicaraan dengan juri

Hingga kini kita berjaya melepasi legasi British mengenai perbicaraan dengan juri dalam kes yang membabitkan hukuman mati. Kita sudah memansuhkannya pada tahun 1995; hampir 40 tahun selepas kemerdekaan. Kita juga bebas daripada rayuan kepada Majlis Privy. British meninggalkan Tanah Melayu dengan sistem rayuan kepada Majlis Privy, sebagai rayuan terakhir kes. Ini berlangsung hampir 30 tahun selepas kemerdekaan.

Selepas kemerdekaan, rayuan kepada Majlis Privy dimansuhkan secara berperingkat; bermula 4 Oktober 1975, rayuan ke Majlis Privy dalam kes keselamatan dimansuhkan; dari Januari 1978, rayuan terhadap kes jenayah dan Perlembagaan dimansuhkan dan rayuan kes yang lain dimansuhkan mulai 1 Januari tahun 1985. Kita bebas daripada legasi ini dalam masa tidak sampai 30 tahun selepas merdeka. Ini adalah suatu kejayaan.

Mahkamah berdiri sendiri

Kini kita mempunyai sistem pentadbiran keadilan jenayah mengikut kehendak kita dan sistem mahkamah kita berdiri sendiri dengan susunan hierarki mahkamah yang tersendiri. Tetapi beberapa lagi legasi British yang boleh dikira sebagai 'mengganggu' pembinaan perundangan kita masih menyerlah pengaruhnya. Antara lain, rujukan kepada 'common law' sebagai satu elemen dalam tafsiran perkataan 'undang-undang' seperti yang dinyatakan dalam perkara 160(2) Perlembagaan.

Selain itu Akta Undang-Undang Sivil yang membolehkan mahkamah merujuk kepada 'common law' di England. Seterusnya, legasi British yang setakat ini menimbulkan beberapa kontroversi dan polemik ialah sistem sistem dualisme - dalam bentuk undang-undang dan juga sistem mahkamah.

Mungkin apa yang kita bincangkan hari ini akan bermanfaat 40 tahun akan datang. Tidak sampai satu generasi sahaja lagi kita akan mencapai 100 tahun merdeka. Masa begitu pantas berlalu. Oleh itu kita harus melihat kedudukan perundangan negara dan kestabilannya untuk sekurang-kurangnya 40 tahun ke hadapan, apabila kita mencapai umur 100 tahun merdeka. Kita hendaklah bermula dan bergerak pantas dengan menggunakan segala nikmat teknologi semasa.

Kini, sudah menghampiri 60 tahun, kita tidak boleh terumbang-ambing dalam menentukan prinsip dan falsafah perundangan negara.

berita harian


Kita hendaklah secara tegas dan yakin mengorak langkah untuk membentuk undang-undang dan sistem perundangan kita. Kita tidak boleh berada di persimpangan.

Hal ini hendaklah difahami semua pihak yang terbabit secara langsung dalam perundangan negara; bermula daripada penyusun kurikulum di universiti sehinggalah pengamal dan hakim di mahkamah.

Bahkan sebermula daripada pendidikan peringkat rendah dan menengah pendedahan kepada hasrat dan hala tuju undang-undang dan sistem perundangan perlu dilakukan.

Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Share this article :

0 comments: