Tuesday, July 28, 2015

Tuan Guru Haji Muhammad Yassin


BAPA MUHYIDDIN ANTARA ULAMA TERSOHOR TANAH MELAYU.

Sedikit riwayat Tuan Guru Haji Muhammad Yassin - Ulama dan Pendidik dihormati di Muar.

Nama lengkap ulama yang menetap di Muar ini ialah Tuan Guru Haji Muhammad Yassin bin Muhammad. Diriwayatkan beliau berasal dari Siak, Sumatera.

Beliau merupakan ayahanda kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Muhammad Yassin. Tuan Guru Haji Muhammad Yassin lahir pada tahun 1902 Masehi dan meninggal dunia ketika berusia 73 tahun di Muar, Johor.

Sepanjang hayatnya, beliau dikatakan mempunyai 46 orang anak, hasil perkongsian hidupnya dengan 4 orang isteri iaitu Allahyarhamah Hajjah Maznah binti Daud, Allahyarhamah Hajjah Khadijah binti Kassim yang merupakan ibu kandung Tan Sri Dato’ Muhyiddin, Allahyarhamah Hajjah Sapiah binti Abdullah dan Allahyarhamah Hajjah Kintan binti Ibrahim. Kebanyakan ahli keluarga Tuan Guru Muhammad Yassin kini menetap di Batu 1 1/4 Jalan Bakri, Muar, Johor.

Tuan Guru Haji Muhammad Yassin adalah seorang pendakwah dan guru yang sangat gigih. Beliau banyak mengajar di daerah Muar seperti di Masjid Jamek Muar, Masjid Parit Jamil, Masjid Seri Menanti, Masjid Bukit Gambir, Masjid Bukit Kangkar dan Masjid Sungei Mati Muar. Adakalanya, beliau mengajar sampai ke Chohong Melaka yang merupakan sempadan antara Melaka dan Muar. Pengajaran beliau kebanyakannya tertumpu kepada kitab-kitab Tasawwuf dan Ilmu Tauhid.

Untuk tujuan mengajar, Tuan Guru Haji Muhammad Yassin akan dibawa menaiki kereta yang dipandu oleh anak beliau sendiri iaitu Allahyarham Haron bin Mohd. Yassin iaitu antara anak beliau yan tertua dari isteri yang pertama. Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan agama khususnya di sekitar Muar amatlah besar. Beliau telah mengasaskan dua buah sekolah untuk tujuan penyebaran ilmu kepada anak-anak tempatan. Sekolah tersebut ialah

1. Sekolah Menengah Md. Yassin di Batu 1 1/4 Jalan Bakri, Muar. Sekolah ini adalah merupakan sekolah persendirian yang diasaskan beliau. Anak beliau seperti Allahyarham Ismail Mohd. Yassin pernah menjadi Guru Besar di sekolah itu manakala anak-anaknya yang lain seperti Allahyarham Kamaruddin Mohd. Yassin, Fatimah Mohd. Yassin dan Baharuddin Mohd. Yassin pernah mengajar di sekolah tersebut sekitar tahun 70-an dahulu.

2. Sekolah Arab Saadiah di Batu 1 1/2 Jalan Bakri. Sekolah ini mengambil pelajar-pelajar lelaki dan perempuan untuk mengikuti pelajaran dalam bahasa Arab.

Tuan Guru Haji Muhammad Yassin menadah kitab kepada ulama besar Muar satu ketika dahulu iaitu Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dikatakan telah berhasil mengkhatamkan beberapa kitab terkenal di Alam Melayu dibawah pengawasan gurunya itu. Antara kitab yang berjaya dikhatam dihadapan gurunya itu ialah Faridatul Faraid karangan masyaikh gurunya iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani yang sangat terkenal di Alam Melayu pada abad ke-19 Masehi. Gurunya iaitu Tuan Guru Haji Abu Bakar inilah yang banyak mempengaruhi corak pemikiran beliau. Pandangan beliau terhadap gurunya seperti yang dicatatkan oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah diungkapkan seperti berikut,

"Ketika aku akan belajar ilmu kemegahan dunia di Sumatera, setelah diketahui oleh Abu Bakar Alim, aku lalu dinasihatinya supaya belajar kepada beliau sahaja. Sekiranya aku melanggar nasihat beliau, mungkin aku menjadi seorang yang jahat.''

Murid-murid lain yang telah menimba ilmu dengan gurunya itu ialah seperti Tan Sri Mohamed Noah. Tan Sri Mohamed Noah adalah sepupu kepada gurunya itu dan merupakan ayah mertua kepada Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua).

Murid gurunya yang lain ialah seperti Datuk Haji Mohd. Noor, ayah kepada Datuk Haji Juma'at, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sebagai seorang ulama dan pendidik yang berwibawa, Tuan Guru Haji Muhammad Yassin telah berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh penting selepasnya. Antaranya ialah seperti Allahyarham Tuan Guru Haji Azman bin Azhari yang telah mengasaskan Khaujakan Johor dan mempunyai pengikut yang bertaburan di serata negeri Johor.


fb demi negara
Share this article :

0 comments: