Saturday, October 27, 2018

Tok Pa Bersatu



PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad menerima borang keahlian Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai BERSATU ketika sidang media di Lobi Galeri BERSATU, Menara Yayasan Selangor. Turut hadir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Foto ASYRAF HAMZAH

Tok Pa sertai BERSATU
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed berkata, keputusan memilih menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) lantaran yakin ia memberi peluang kepada dirinya memainkan peranan lebih berkesan membela kepentingan pengundi di Jeli dan rakyat Kelantan secara keseluruhannya.

Katanya, beliau menyokong usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi penekanan terhadap integriti dan ketelusan ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik dalam kerajaan dan parti politik.

"Saya menyokong langkah sedang diambil untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara yang disifatkan sebagai amat penting bagi meletakkan asas kukuh dalam memastikan ekonomi negara dibangunkan secara lestari.

"Insya Allah, saya berharap dapat turut sama membantu usaha BERSATU selaku parti komponen kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan Bumiputera, di samping menjayakan pelan pembangunan ekonomi yang lebih inklusif untuk manfaat rakyat dan reformasi institusi untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih cerah bagi Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mustapa mengumumkan keluar UMNO, 18 September lalu.

Katanya, beliau mengambil keputusan untuk menyertai BERSATU selepas menjadi Ahli Parlimen Bebas dan meneliti perkembangan politik semasa.

Dalam kenyataan itu, Mustapha turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi BERSATU, Dr Mahathir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan parti berkenaan kerana menerima penyertaan beliau itu.

Beliau sebelum ini mengumumkan keluar UMNO dalam satu kenyataan bertarikh 18 September berkuatkuasa serta-merta selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu.

Mustapa turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Sementara itu, mengulas penyertaan Mustapa, Dr Mahathir berkata penyertaannya dibuat secara sukarela dan bukan atas jemputan parti.

"Saya amat sukacita kerana kita terima keahlian dari bekas tokoh UMNO. Kita telah beri masa kepadanya untuk jadi anggota Parlimen bebas dan setelah kita lihat pendiriannya maka kita setuju beliau layak jadi anggota BERSATU," katanya.

PROFIL

* Dilahirkan - di Bachok, Kelantan pada 25 September 1950.

* Pendidikan awal - di Sekolah Inggeris Bachok pada 1957 dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mohammad Jiwa pada 1963.

* Menamatkan pengajian - di Maktab Sultan Ismail, Jalan Telipot, Kota Bharu pada 1969 sebelum menyambung pengajian dalam bidang Ekonomi di University of Melbourne, Australia pada 1973.

* Memperoleh Ijazah Sarjana Pembangunan Ekonomi - pada 1982 dari Boston University, Amerika Syarikat.

* Pembabitan dalam UMNO bermula - pada 1988 ketika menyandang jawatan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

* Dipilih wakil rakyat - selepas memenangi kerusi Parlimen Jeli menerusi Pilihan Raya Kesembilan pada 1995.

* Dilantik Menteri Pembangunan Usahawan - pada Mei 1995, sebelum Menteri Kewangan II pada September 1998.

* Bekas Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) - sebelum menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

* Pernah menyandang portfolio - Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Kewangan II serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

* Selain menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO - beliau pernah dilantik Ketua Penerangan UMNO pada 2000 sebelum diberikan tugas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta Pengerusi Barisan Nasional Kelantan dari 2000 hingga 2004

bharian 




Ahli Parlimen Jeli sertai Bersatu


Tok Pa sertai Bersatu
Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang akhbar di Menara Yayasan Selangor, malam ini. - UTUSAN ONLINE/ROSLI MASRI

Fadzil Zainol

26 Oktober 2018

PETALING JAYA 26 Okt. - Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menepati jangkaan beberapa pihak sebelum ini.

Beliau hadir ke ibu pejabat parti itu di Menara Yayasan Selangor, di sini malam ini untuk menyerahkan borang penyertaan tersebut kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Penyertaan itu dibuat selepas sebulan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu isytihar keluar UMNO setelah 40 tahun bersama parti berkenaan.

"Saya ingin rakamkan ucapan terima kasih kerana menerima kemasukan saya. Ini membolehkan saya memainkan peranan yang lebih berkesan bagi membela kepentingan pengundi saya di Jeli dan rakyat Kelantan.

"Saya sokong segala usaha Tun yang memberikan penekanan terhadap integriti dan ketelusan dalam tadbir urus dalam kerajaan. Saya juga sokong langkah kerajaan untuk memperkukuhkan kewangan negara dan memastikan ekonomi kita dibangunkan dengan baik," katanya.

Turut hadir semasa penyerahan borang itu ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mustapa pernah berada dalam Kabinet Dr. Mahathir sebagai Menteri Pembangunan Usahawan serta menjadi Menteri Kewangan II pertama yang dilantik ketika Malaysia berdepan Krisis Kewangan Asia kira-kira 20 tahun lalu.

Penyertaan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dilihat penting bagi Bersatu yang dilihat ketandusan barisan kepimpinan yang berpengalaman.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, Bersatu berasa sukacita apabila seorang bekas tokoh UMNO menyertai partinya dan mendapati Mustapa layak untuk bersama dengan Bersatu setelah menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Tindakan Mustapa akan membolehkan Bersatu memiliki 14 ahli Parlimen berbanding 13 orang sebelum ini.

Ditanya sama ada akan terdapat lagi pemimpin kanan UMNO mengikut jejak langkah Mustapa, Dr. Mahathir hanya menjawab pihaknya akan melihat perkembangan yang berlaku.

Terdahulu Bersatu mengadakan Mesyuarat Pimpinan Tertingginya untuk membincangkan hal ehwal semasa parti termasuk menetapkan tarikh Persidangan Tahunan Kedua parti itu pada hujung Disember ini. - UTUSAN ONLINE

utusanonline

Share this article :

0 comments: