Wednesday, June 11, 2008

dua catatan terima kasih


I.
YAB DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA

3 November 2003, Parlimen

MEWARISI KEJAYAAN (USUL UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA TUN DR MAHATHIR MOHAMAD)


Tuan Yang Dipertua;
Izinkan saya bangun membawa usul khas dalam Persidangan Dewan kali ini yang berbunyi; Bahawa Dewan ini, menerima hakikat bahawa Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, yang menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat sejak 16 Julai 1981, dan telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, tegas, cekap, berkesan, cemerlang dan bijaksana, telah pun mengosongkan persada kepimpinan negara;

Menghargai serta menyanjung tinggi perjuangan, pengorbanan, budi, jasa dan bakti Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang amat murni, abadi serta tidak ternilai besarnya, menerusi pelbagai dasar, strategi dan program yang pragmatik, demi perpaduan dan ketahanan nasional, keselamatan dan kesejahteraan bangsa serta kemakmuran dan kegemilangan negara;

Menyedari serta menginsafi konsistensi, kesungguhan dan keprihatinan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu di dalam perjuangannya memartabatkan Islam dan umat Islam di seluruh jagat, khususnya di negara Malaysia yang majmuk, menerusi penguasaan dan kecemerlangan ilmu di semua bidang kehidupan mutakhir;

Menghayati serta menyokong penuh kebijaksanaan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu dalam menangani krisis ekonomi negara akibat kedurjanaan pengganas kewangan antarabangsa menerusi strategi ekonomi, kewangan dan pengurusan yang unik, efektif dan diiktiraf dunia;

Mengiktiraf bahawa Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu adalah satu doktrin perdana bagi perjuangan membina negara Malaysia yang terus berdaulat dan merdeka serta lebih bersatu padu, sejahtera, aman, makmur, maju, cemerlang, bermaruah dan berwibawa di era globalisasi dan neo-kolonialisme;

Mengakui bahawa perjuangan Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu memajukan ICT menerusi penubuhan Koridor Raya Multimedia, serta memajukan bioteknologi menerusi kewujudan Lembah Bio akan memberi manfaat besar kepada bangsa dan negara Malaysia di hari muka;

Mengagumi kewibawaan, kebijaksanaan serta keberanian Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang telah memperkasakan martabat bangsa dan negara Malaysia serta umat manusia di negara-negara membangun secara amnya, di arena antarabangsa, menerusi inisiatif multilateral sewilayah, di antara benua dan di seluruh jagat, serta menerusi pandangan, gagasan serta pemikirannya yang universal di bidang kemanusiaan, kesaksamaan, kesamarataan, perdagangan, sains, teknologi, siasah dan keluhuran undang-undang antarabangsa, khususnya di peringkat ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB);

Maka, Dewan Rakyat yang bersidang pada hari ini, 3 November 2003, bersamaan 9 Ramadan 1424, mengambil ketetapan untuk; Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih dari seluruh rakyat jelata Malaysia kepada Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu; Berikrar akan terus berjuang mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan dan kesejahteraan tanah air menerusi seluruh dasar, strategi dan program yang telah diperkenal serta diperjuangkan oleh Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu;

Terus berusaha ke arah mencemerlangkan rakyat Malaysia di hari muka berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan, prinsip-prinsip Rukunegara dan juga matlamat utama Wawasan 2020. Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengabadikan diri untuk negara bangsa Malaysia selama tempoh 22 tahun, 3 bulan, 15 hari sebagai Perdana Menteri, bermula dari 16 Julai 1981 sehinggalah kepada tarikh beliau bersara pada 31 Oktober lalu. Sesungguhnya khidmat beliau kepada negara bangsa bermula lebih awal dari itu. Suara bernas lagi tegas beliau mula bergema di Dewan ini, sejak dipilih sebagai ahli Parlimen bagi kawasan Kota Setar Selatan dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 25 April 1964.

Perkhidmatan beliau sebagai ahli Parlimen terputus seketika, apabila beliau tewas dalam pilihan raya umum pada Mei 1969. Pada 12 Februari 1973, beliau dilantik sebagai ahli Dewan Negara. Dalam pilihan raya pada 24 Ogos 1974, beliau dipilih menjadi ahli Parlimen bagi kawasan Kubang Pasu. Beliau lalu dilantik oleh Tun Abdul Razak (Allahyarham) sebagai Menteri Pelajaran. Apabila Tun Abdul Razak kembali ke Rahmatullah, beliau dilantik oleh Datuk Hussein Onn (Allahyarham) sebagai Timbalan Perdana Menteri. Di bawah kepimpinan Datuk Hussein Onn beliau pernah menjawat jawatan Menteri Perdagangan dan Industri. Dalam tempoh waktu menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau turut menjadi Menteri kepada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Ditolak 42 bulan beliau terputus menjadi ahli Parlimen, Tun Dr. Mahathir adalah orang kedua paling lama selepas Tun Abdul Ghaffar Baba berkhidmat sebagai ahli Parlimen.

Dalam tempoh hampir 36 tahun menjadi ahli Parlimen, selama 29 tahun beliau menjadi anggota Jemaah Menteri dan selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri. Sewaktu menjadi ahli Parlimen biasa di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara, beliau telah menyuarakan pendapat secara berani - secara kritis, secara terbuka - secara berterus terang. Beliau memiliki identiti sebagai seorang ahli Parlimen yang menyuarakan pandangan bernas dan berpendirian tegas. Beliau senantiasa membawa nada pembaharuan, sering kali mendahului jauh ke hadapan dari segi pandangan, pendirian, unjuran dan wawasan.

Ketika mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, negara di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-24. Ketika beliau mengundurkan diri dari jawatan tersebut, Malaysia telah menyambut hari ulang tahun kemerdekaan kali ke-46. Beliau mewarisi dari kepimpinan terdahulu sebuah negara yang stabil dari segi politik dan makmur dari segi ekonomi. Bertapakkan gagasan sebuah negara yang aman lagi makmur, beliau telah melonjakkan pencapaian negara kepada satu tahap kejayaan yang amat membanggakan.

Pembangunan prasarana fizikal dan pembangunan sumber manusia negara berlaku paling pesat dalam tempoh beliau menjadi Perdana Menteri. Yang lebih penting adalah kejayaan meletakkan negara mendapat pengiktirafan dunia hingga Malaysia dijadikan negara contoh dari segi kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, perpaduan kaum dan toleransi agama serta diiktiraf sebagai sebuah negara Islam yang paling progresif.

Melalui kepimpinan beliau, negara kecil bernama Malaysia bangun untuk memainkan peranan besar di forum antarabangsa. Kerjasama Selatan-Selatan diberikan nafas baru. ASEAN berjaya diperbesarkan. Persidangan negara- negara Komanwel, persidangan negara G15, persidangan negara-negara berkecuali dan persidangan negara OIC dapat dianjurkan di Malaysia. Hari ini Malaysia menjelma sebagai negara kelapan belas terbesar dunia dari segi perdagangan.

Malaysia telah menggariskan wawasan jangka panjang menjadi sebuah negara maju dalam tahun 2020. Malaysia berkeupayaan menangkis ancaman krisis kewangan 1997. Beliau berjaya membina dan menyemaikan keyakinan diri, kebanggaan nasional, nilai maruah dan semangat kenegaraan di kalangan warga. Beliau adalah wira bangsa - wira negara, telah mengharumkan nama negara bangsanya di serata dunia.

Tun Dr. Mahathir - pemimpin berwawasan. Lebih penting daripada itu beliau mempunyai kesungguhan memastikan wawasan menjadi realiti. Beliau merupakan negarawan yang memenuhi aspirasi warganya dan memberikan inspirasi kepada mereka untuk mencapai aspirasi yang diimpikan.

Seorang negarawan yang mendahului pemikiran warga sezaman, namun berjaya mencipta masa depan yang penuh realiti. Beliau melakukan transformasi kepada negara daripada begitu bergantung kepada sumber pertanian menjadi sebuah negara industri termaju di kalangan negara membangun.

Bahawa warga dan negara amat menghargai jasa dan khidmat bakti yang telah beliau laksanakan secara amanah - secara bertanggungjawab hingga memungkinkan warga dan bangsa berada di persada kehebatan -bertapak di altar kecemerlangan, muncul sebagai sebuah negara yang dihormati lagi disegani.

Dewan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa - segala bakti, segala cetusan pemikiran - segala kebernasan pendapat, segala pengorbanan - segala khidmat, segala kesungguhan - segala kegigihan yang telah beliau buktikan.

Sesungguhnya Dewan ini juga merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan seluruh anggota keluarga beliau yang turut sama melakukan pengorbanan besar untuk membolehkan beliau menumpukan tenaga, pemikiran dan masa, mengabadikan diri berkhidmat bukan sekadar untuk negara dan warga Malaysia, malah di rantau ini, di kalangan negara membangun - di kalangan negara Islam.

Kita mendoakan semoga hari-hari persaraan beliau dilimpahkan segala rahmat dan keberkatan, semoga beliau berada dalam keadaan sihat lagi sejahtera. Semoga beliau dan Tun Dr. Siti Hasmah serta keluarga dilimpahkan segala kebahagiaan.

Semoga khidmat bakti beliau diterima oleh Allah s.w.t. sebagai amal makruf, dianugerahkan ganjaran dunia - ganjaran akhirat. Sebesar-besar hadiah persaraan yang dapat warga Malaysia berikan kepada beliau adalah untuk meneruskan wawasan dan impian, menjadikan Malaysia sebuah negara maju, makmur, aman dan stabil.

Saya amat bersyukur bahawa Tun Dr. Mahathir telah mewariskan satu kejayaan; kejayaan mengekalkan kestabilan politik, kejayaan mengukuhkan perpaduan warga, kejayaan membangunkan ekonomi negara, kejayaan mengisi erti kemerdekaan.

Atas tapak kejayaan tersebut, dengan bimbingan Ilahi dan mengambil pedoman daripada kejayaan yang telah dicipta oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, dengan kerjasama anggota Jemaah Menteri dan dengan sokongan dari setiap lapisan rakyat, saya akan berusaha menumpukan fikiran dan tenaga, meneruskan usaha membina kejayaan lebih cemerlang, lebih gemilang, lebih terbilang.

Izinkan saya memetik hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud: Jikalau Allah inginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka Tuhan memberikan bangsa itu pemimpin yang baik... Kita bersyukur kerana Allah s.w.t. telah mengurniakan negara Malaysia dengan barisan pemimpin yang baik. Keempat-empat Perdana Menteri terawal, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum), Tun Abdul Razak Hussein (Allahyarham), Tun Hussein Onn (Allahyarham) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mewariskan kepada kepimpinan terkemudian sebuah negara yang aman, stabil dan makmur.

Pemimpin terkemudian berupaya membina kejayaan lebih cemerlang atas kejayaan yang telah dicipta oleh pemimpin sebelumnya. Setiap Perdana Menteri telah mencipta kejayaan dalam era kepimpinan masing-masing. Dewan ini wajar memperingati jasa dan bakti setiap Perdana Menteri, mewariskan kepada warga sebuah negara yang stabil lagi makmur. Pada petang Jumaat, 31 Oktober 2003, bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah, dengan ketentuan Allah s.w.t. saya telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima. Penentuan tersebut memperkukuhkan betapa kebesaran kuasa Ilahi. Bahawa manusia sekadar merancang, Allah juga yang menentukan. Ketahuilah Allah s.w.t. adalah berkuasa dan mentakdirkan segala-galanya.

Dalam ayat 68 surah al-Qasas, Allah berfirman, Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlaku- Nya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain Allah), Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaannya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.

Saya sedar bahawa dalam usaha nasional untuk mengurus kejayaan dan mempertingkatkan pencapaian ke tahap kecemerlangan, saya mempunyai tanggungjawab dan peranan utama sebagai ketua kerajaan yang baru. Atas kesedaran itulah saya memilih berucap di Dewan yang mulia ini untuk memberi garis panduan serta menjelaskan prinsip-prinsip yang kita perlu pegang bersama dalam hasrat dan usaha mencapai matlamat kecemerlangan dan kegemilangan.

Saya amat insaf betapa tanggungjawab ini menuntut saya melaksanakan secara amanah - secara jujur, secara cekap - secara adil.

Saya lebih sedar betapa tanggungjawab ini akan dinilai oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, oleh rakyat jelata keseluruhannya, dan lebih dari itu, oleh Allah s.w.t. Bahawa jawatan dan kuasa adalah satu ujian dari Allah s.w.t. Jika tanggungjawab ini dapat disempurnakan secara amanah, jujur, cekap dan adil, akan berjayalah seseorang hamba dalam menghadapi ujian Ilahi, di sebaliknya kegagalan memenuhinya akan menjadi satu tanggungan berat untuk dihadapi baik di dunia mahupun di akhirat.

Dewan ini saya pilih sebagai tempat melafazkan ucapan utama yang ulung atas nama Perdana Menteri, sebagai simbol penghormatan kepada Dewan yang mulia ini. Dewan ini adalah simbol institusi demokrasi, institusi yang dilandaskan kepada sistem syura, sistem yang mengutamakan amalan perundingan - budaya perbincangan, tempat undang-undang digubal dan dasar-dasar negara diputuskan.

Sejak pilihan raya pertama dalam tahun 1955, institusi demokrasi ini telah dapat dipertahankan, hanya terputus untuk tempoh 21 bulan semasa pemerintahan MAGERAN. Malaysia terbukti satu-satunya negara yang berani mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan. Institusi demokrasi paling sesuai dalam sistem kerajaan yang mengutamakan suara dan penyertaan rakyat. Institusi demokrasi perlu dipupuk untuk mencapai tahap kematangan. Kepimpinan politik perlu memperlihatkan sebaik-baik contoh. Kepimpinan politik akan berkesan jika dapat dihormati.

Kepimpinan politik perlu memperlihatkan sifat-sifat kejujuran, kerajinan, ketekunan dan kesungguhan, menjadi penggerak dan peneraju kepada kepimpinan- kepimpinan lain. Kepimpinan politik perlu memperlihatkan sikap terbuka, bersedia menerima teguran untuk menyuburkan budaya demokrasi. Kepimpinan politik perlu mencerminkan imej bersih, bebas dari tohmahan dan amalan rasuah serta mengamalkan gaya hidup sederhana. Amalan demokrasi subur jika semangat demokrasi dapat dipamerkan secara penuh bertanggungjawab oleh pelbagai pihak. Perlu diingatkan bahawa demokrasi tidak bererti kebebasan mutlak. Isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum, budaya dan bahasa jangan sama sekali disensasikan, sementara isu-isu yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam perlu ditangani secara tegas.

Kita perlu tegas dalam menghadapi ancaman ekstremisme, keganasan dan militan. Ketegasan kerajaan menangani ancaman sedemikian perlu diberi sokongan padu, demi menjamin keselamatan negara terkawal kukuh dan ketenteraman awam tidak terjejas. Warga Malaysia perlu didewasakan menjadi warga bertanggungjawab berpandukan prinsip-prinsip Rukun Negara; membina masyarakat yang diasaskan dengan semangat Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan.

Kejayaan yang diwarisi pada hari ini tidak mungkin kekal jika kreativiti dan inovasi tidak dijadikan sebahagian dari budaya masyarakat Malaysia. Kemudahan fizikal bertaraf dunia pertama perlu diperlengkap dengan warga berfikiran dan berbudaya dunia pertama. Pembangunan sumber manusia perlu ditingkatkan supaya warga diimbangkan pembangunan dari segi fizikal, mental dan spiritual.

Manusia merupakan input terpenting dalam ekonomi berlandaskan pengetahuan. Oleh itu negara perlu memastikan bahawa pendidikan berkualiti disediakan untuk memberi seluas-luas peluang kepada setiap warga Malaysia memperoleh tahap pendidikan setinggi yang boleh. Di samping usaha ke arah membekalkan ilmu dan meningkatkan kemahiran, pengisian dalaman amatlah penting dalam membangunkan barisan warga yang memiliki jati diri dan daya tahan untuk menghadapi persaingan dunia sejagat.

Sistem nilai yang betul perlu dipupuk demi melindung warga dari terlalu dilanda budaya materialistik hingga sanggup melakukan apa sahaja kerana kepentingan kebendaan atau kepentingan sempit kumpulan dan peribadi.

Sumber baru bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara perlu diterokai. Pendekatan baru menguruskan kegiatan ekonomi sedia ada perlu dirintis demi menjamin daya saing dan daya tahan negara dapat dipertingkatkan. Pembahagian peluang ekonomi perlu memperlihatkan kesaksamaan yang dinikmati oleh seramai mungkin rakyat. Pembangunan luar bandar perlu dirangkaikan dalam arus perdana ekonomi melalui program yang dapat meningkatkan sumber kekayaan penduduk desa. Warga Malaysia hendaklah berani menghadapi dan melakukan perubahan. Bidang- bidang teknologi komunikasi dan maklumat, bioteknologi, sains, teknologi dan pertanian moden masih belum cukup diterokai dan untuk itu amat perlu dipertingkatkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan.

Agenda pembangunan masyarakat bumiputera baik untuk melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian mahupun Masyarakat Sains dan Teknologi Bumiputera hendaklah mencerminkan kesaksamaan pembahagian dan diasaskan kepada meritokrasi di kalangan masyarakat bumiputera supaya masyarakat bumiputera akan benar- benar dihormati keupayaannya; supaya keadilan dapat benar-benar diamalkan di kalangan sesama bumiputera. Mengetepikan bumiputera yang benar-benar layak dan berkebolehan walau apa pun alasannya akan lebih merugikan masyarakat bumiputera dalam jangka masa panjang.

Negara mengiktiraf peranan sektor swasta untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Sektor swasta diharap memainkan peranan lebih penting dan lebih aktif terutama mencipta peluang-peluang baru ekonomi, sekali gus menyediakan pekerjaan. Hasrat tersebut menuntut kepada peranan sektor awam yang lebih cekap terutama dalam memperbaiki sistem penyampaian.

Sektor awam hendaklah secara lebih radikal mengubah daripada hanya peranan kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang, kepada peranan pemudah cara, membantu secara berkesan menjayakan usaha dan peranan sektor swasta dengan kadar lebih cekap, lebih cepat, lebih telus.

Sektor awam berperanan penting memastikan dasar-dasar negara dilaksanakan secara berkesan - secara telus, mencerminkan imej perkhidmatan yang bersih dan bebas daripada rasuah.

Kakitangan awam hendaklah menghayati sedalam-dalamnya slogan Bersih, Cekap dan Amanah hingga dapat dijelmakan dalam budaya kerja dan dapat mempamerkan corak kepimpinan melalui teladan. Layanan mesra dan saksama kepada rakyat terutama kepada kumpulan bawahan, di kalangan warga miskin, di kalangan rakyat biasa, di kalangan yang tidak berpangkat dan tidak berkedudukan, di kalangan yang tidak memiliki nama besar dan tidak mempunyai gelaran, amat perlu diutamakan.

Rasuah adalah amalan jijik. Pendekatan lebih berkesan menangani rasuah hendaklah diterokai. Pendekatan pencegahan sama penting dengan pendekatan punitif. Pendekatan pencegahan yang lebih berkesan perlu difikirkan, antaranya melalui usaha mempercepatkan proses kerja, mengurangkan red tape, memperbaiki sistem penyampaian, meningkatkan mutu kerja dan melakukan audit kerja yang lebih kerap.

Saya menyeru supaya matlamat membina perkhidmatan awam yang sifar rasuah tidak digagalkan oleh amalan kurang sihat di kalangan pihak swasta dan pihak yang tidak berada dalam kerajaan.

Keutuhan negara bertambah kukuh jika undang-undang dikuatkuasakan secara tegas - secara telus. Keberkesanan pencegahan jenayah perlu ditingkatkan. Jenayah yang mempengaruhi nilai moral perlu dibanteras. Kumpulan-kumpulan yang menjalankan rangkaian gelap perlu diperangi dan mereka yang bersubahat dengan kumpulan tersebut perlu didedahkan. Keselamatan harta benda dan keselamatan diri terutama bagi wanita, kanak- kanak dan pengunjung ke negara ini perlu dijamin melalui komitmen dan kesungguhan pihak-pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas.

Negara kita bukan sahaja muda dari segi usia tetapi memiliki komposisi rakyat yang majoritinya muda. Malaysia perlu menjadi bumi tempat bertapak dan langit tempat memberi naungan memenuhi harapan generasi muda. Oleh itu penyertaan warga muda hendaklah digalakkan. Tenaga, fikiran dan idealisme warga muda perlu dibawa dalam arus perdana pembangunan negara dengan menggalakkan perkembangan minda dan intelek, mencambahkan idea, inovasi, ciptaan dan kreativiti. Institusi keluarga berperanan penting dan perlu diperkukuhkan. Mendidik warga muda meletakkan nilai tinggi terhadap institusi keluarga dan membina keluarga bahagia wajib dilakukan demi memastikan bahawa warga tua akan terus dihargai, dimuliakan, disayangi dan diberikan perhatian sesuai dengan ajaran Islam dan budaya masyarakat timur.

Wanita merupakan 50 peratus dari komposisi rakyat, layanan seimbang tanpa prejudis dan diskriminasi terhadap wanita perlu diperlihatkan baik di peringkat penggubalan dasar, di peringkat pelaksanaan dan di peringkat penyertaan. Peranan mereka perlu diiktiraf kepentingannya.

Globalisasi serta teknologi komunikasi dan maklumat telah menjadikan dunia hari ini semakin terangkai. Negara tidak lagi dan tidak boleh hidup secara isolasi. Kita perlu bertekad membangunkan negara menjadi satu wadi di rantau ini, menarik pelaburan asing, meningkatkan perdagangan antarabangsa, serta menjayakan pertemuan budaya.

Dalam menghadapi cabaran permainan politik kuasa besar, kerajaan tidak akan mengorbankan kepentingan negara dan sama sekali tidak berkompromi dalam mempertahankan kedaulatan negara bangsa. Malaysia kekal dan tetap tegas dengan pendirian menuntut keadilan sejagat. Kita akan melakukan pelbagai ikhtiar memastikan ekonomi dunia lebih saksama dan aturan politik dunia dilandaskan kepada undang-undang antarabangsa. Prinsip ini akan kita jadikan pegangan dalam memenuhi peranan sebagai Pengerusi NAM dan OIC.

Dalam mengambil tanggungjawab berat ini saya memberikan jaminan untuk meneruskan segala dasar yang telah digariskan oleh pemimpin-pemimpin sebelum saya. Wawasan 2020 akan terus menjadi inspirasi memacu kita melakukan pembangunan secara komprehensif untuk mencapai taraf negara maju. Kita juga perlu mengusahakan emansipasi dan pengukuhan dalam segala aspek pembangunan manusia dari segi sosial, moral, etika dan politik. Dasar Wawasan Negara akan terus dijadikan rangka strategik kepada dasar ekonomi negara. Semangat Dasar Ekonomi Baru untuk memastikan penyusunan masyarakat yang dapat membina perpaduan nasional dan agenda membasmi kemiskinan tidak harus sama sekali diabaikan. Semangat perkongsian kuasa yang menjadi kekuatan kita berkerajaan dan bernegara akan diperkukuhkan.

Amalan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen didokong dengan menghormati piagam pembahagian kuasa di antara kuasa perundangan, kuasa eksekutif dan kuasa kehakiman, nyata terbukti memberikan satu bentuk semak dan timbang yang amat berkesan untuk menyekat sebarang salah guna kuasa daripada berlaku. Hari ini saya mewarisi tanggungjawab kepimpinan bagi sebuah negara yang telah mencapai kejayaan. Tugas dan tanggungjawab berat ini tidak mungkin dapat dilaksanakan secara berseorangan.

Untuk itu saya mohon mendapat kerjasama dan sokongan daripada setiap ahli Yang Berhormat, daripada para pentadbir, daripada pihak swasta, daripada kumpulan politik, daripada pihak media malah daripada setiap seorang warga Malaysia membantu saya membawa Malaysia mencapai kejayaan lebih cemerlang, lebih gemilang, lebih terbilang. Kepada-Mu Ya Allah, hamba-Mu ini memohon petunjuk dan hidayah, kekuatan dan kecekalan, kesabaran dan kesungguhan.



II
YAB DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA

21 Disember 2003, Pusat Konyensyen Putrajaya


MAJLIS JASAMU DIKENANG SEMPENA PERSARAAN YABHG TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita dapat menghadiri majlis yang penuh bermakna pada malam ini. Malam ini, kita berkumpul untuk memberi penghormatan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Malam ini, secara rasminya, Kerajaan Malaysia raikan beliau sebagai seorang negarawan yang ulung, seorang pemimpin yang telah mengabadikan dirinya demi kemajuan bangsa, agama dan negara.

2. Dalam perjuangan untuk memartabatkan rakyat dan negara, beliau tidak pernah kenal erti letih. Beliau tidak pula kenal erti kecewa atau putus asa. Berkhidmat, berkorban dan berbakti telah menjadi darah daging dalam hidup beliau.

3. Malam ini kita juga ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, seorang wanita, isteri dan ibu yang turut berkorban demi kepentingan rakyat dan negara. Terima kasih kerana sepanjang 22 tahun, Kak Hasmah tidak pernah merungut atau mengeluh kerana meminjamkan suaminya kepada negara. Kesetiaan, sokongan dan kasih sayang beliau telah membolehkan YABhg Tun Dr Mahathir untuk menumpukan segala daya usaha memimpin negara ke arah kecemerlangan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati

4. Kepimpinan Dr. Mahathir telah banyak menukar wajah dan lanskap negara ini. Apabila beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, Malaysia baru sahaja menikmati status sebagai negara merdeka selama 23 tahun. Pada waktu itu, Malaysia merupakan sebuah ekonomi dunia ketiga yang masih bergantung kepada harga komoditi yang terumbang-ambing. Pada waktu itu juga, ramai yang mempersoalkan sejauh mana perpaduan nasional dapat dikekalkan, bagaimana masyarakat majmuk di negara ini dapat menjamin keamanan dan kestabilan.

5. Namun, dalam tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Ekonomi negara telah dipelbagai dan berkembang secara mampan. Perdagangan antarabangsa telah diperluaskan dan pasaran baru untuk keluaran negara telah diterokai. Malaysia mampu mencari jalan penyelesaian sendiri apabila rantau ini diancam krisis kewangan tidak lama dahulu. Negara kini berada dalam keadaan yang aman dan stabil. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebagai negara Islam telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir berada di mana sahaja kita melihat.


6. Pembangunan dan pembinaan infrastruktur negara telah berlaku dengan pesat, sehingga banyak kemudahan awam di Malaysia setanding dengan kemudahan yang disediakan di negara yang lebih maju. Kerajaan telah membina jalinan jalanraya yang menjalar ke seluruh negara, rangkaian komunikasi yang moden dan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang diiktiraf antara terbaik di dunia. Kini, terdapat pelbagai bangunan mencakar langit yang menonjolkan kesenian dan kehalusan budaya tempatan. Ini semua telah menjadi simbol kemampuan dan kemakmuran Malaysia.

7. Dari segi pembangunan mental, Malaysia juga telah mencatatkan perubahan yang mendadak di bawah pimpinan Dr. Mahathir. Kewibawaan dan keberanian beliau untuk menyuarakan idea dan pendapatnya, untuk berkongsi wawasannya dengan orang ramai telah menyuntik keyakinan diri pada rakyat Malaysia. Dengan berbekalkan semangat Malaysia Boleh, kita kini percaya bahawa kita mampu menangani segala cabaran dan melepasi segala rintangan yang dihadapi. Kita yakin bahawa kita boleh bersaing dengan mana-mana bangsa di dunia. Pembangunan sumber manusia telah melahirkan barisan muda yang mempunyai kebangaan nasional dan nilai maruah yang tinggi, sebuah barisan yang berpelajaran, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis - barisan yang bakal membawa negara ke tahap kegemilangan. Mentaliti inilah yang perlu terus dipupuk dan diperkuat - agar Malaysia dapat membina di atas tapak kejayaan yang telah disediakan oleh Dr. Mahathir.

8. Purata pendapatan dan kualiti hidup rakyat telah bertambah baik jika dibandingkan dengan 22 tahun yang lalu.. Kadar kemiskinan telah diturunkan dan lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang mengecapi kemakmuran negara. Bilangan rakyat yang mahir dan berpelajaran telah bertambah. Formula perkongsian kuasa telah mengukuhkan perpaduan antara kaum, menjurus kepada persefahaman antara rakyat yang semakin ketara, toleransi agama yang semakin baik.

9. In the international arena, Dr. Mahathir realised that being a developing nation need not mean that we have to accept being marginalised. He has shown that being a developing nation does not mean that we cannot conduct ourselves with pride and dignity. His statesmanship has given Malaysia a reputation as a country that holds firmly to principle and campaigns tirelessly for justice. We speak with enough clarity to be heard and we speak with enough conviction to be taken seriously. Our engagement in multilateral initiatives and organisations, whether in ASEAN, APEC, NAM, the OIC or the UN is well documented. Our involvement in South-South cooperation through events such as the Langkawi International Dialogue is testament to our commitment to the "Prosper Thy Neighbour" philosophy. Malaysia is now truly a full and active participant in the global race.

Ladies and Gentlemen

10. There is ample evidence that Dr. Mahathir is a man of great foresight and vision. Few people would have imagined 22 years ago that oil palm plantations could be transformed into a gleaming new government administrative centre. And yet here we are, gathered together in the Putrajaya Convention Centre, in the middle of a grand design turned into reality. Few people would have conceived of a developing nation's plan to build a Multimedia Supercorridor - an area where the latest developments and innovations in information and communications technology could be conducted. And yet the MSC has purposefully spearheaded Malaysia's push towards a 21st century economy.

11. There are numerous other examples where Dr. Mahathir has implemented bold initiatives that naysayers were sure would result in failure - the national car project , the Petronas Twin Towers, the Formula One circuit in Sepang come to mind. All of these projects have been successfully implemented and stand as a testament to the courage and farsightedness of an enduring leader.

12. It has been said that Dr. Mahathir is a man ahead of his time - a man whose thinking is frequently 5 or 10 years ahead of his fellow Malaysians. This quality has propelled Malaysia to great prosperity and laid the foundations for future growth. The challenge that is now faced by his successors, starting with myself, is to consolidate the gains and great leaps that we have taken as a nation under his leadership. It is my privilege to carry on his efforts to take Malaysia to greater heights. We must manage our success properly for the sake of future generations - that is the best way to preserve his legacy and to ensure that his efforts and sacrifices have not been in vain.

Ladies and Gentlemen

13. I had the honour of working alongside Dr. Mahathir in the Cabinet for 19 and a half years, including serving as his deputy for almost 5 years. I have cherished the opportunity of observing the man at close quarters and have been inspired by his vision, dedication, discipline and tenacity. I know that he is averse to being idolised. He is uncomfortable with adulation and excessive praise and that he accepts accolades with shyness and reluctance. However, I hope that he will allow us this opportunity to express our appreciation and gratitude for his contributions to the nation.

14. Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Bapa Pemodenan Malaysia. Kami berdoa agar beliau, Tun Dr. Siti Hasmah serta keluarga mereka akan tetap dilimpahkan rahmat dan berkat oleh Allah s.w.t. Kami berdoa supaya mereka sentiasa akan dilindungi Allah dan berada dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera. Semoga hari - hari persaraan akan diisi dengan kebahagiaan dan kegembiraan. Jasamu tidak terbalas tetapi akan sentiasa dikenang.

Terima kasih.


Share this article :

0 comments: