Monday, December 5, 2011

memuat fikir


Akal harus termuat dengan fikir yang bijak. Menatap dengan persepsi lebih jelas dan tidak mendukung kekaburan sebagai ajaran berguna. Siapa yang rajin bermain fantasi barangkali mengasuh akal untuk berfikir, atau meredakan fikir untuk mencari iktibar baru. Mendongak ke langit melihat jalur cahaya atau tebar warna juga harus memberi bahan bantu pada akal untuk menjelajah ke alam fikir. Manusia harus menggunakan fikir dan akal sekaligus kerana di situ akan terjawab segala fantasi, persepsi, dan kebenaran.

Membuat pilihan berkait dengan akal dan fikir. Melakukan pertimbangan adalah menjumlahkan sebanyak fikir dan akal bersama. Merenung, refleksi, muhasabah, dan kontemplasi adalah melalui lorong akal dan denai fikir yang mendalam. Kita berhadapan dengan banyak perkiraan, perhitungan, penjumlahan, percaturan, pembahagian, pemilikian, pengagihan dan segala macam yang bersifat berbagi dan mencari tajam akal dan matang fikir.

Apabila kebenaran didustai dengan berani, apakah lagi yang wajib dikendali oleh akal dan fikir?. Atau apabila keberanian mendustai kebenaran, apakah yang terlarut dalam fikir dan terpahat dalam akal?. Suara yang berani tidak mencermin benar tapi suara yang benar adalah keberanian. Mengapa ada pesongan dalam menyugguhkan kebenaran dan keberanian ingin selalu mengosongkan kebenaran. Tidak bermakna tidak berani itu tidak benar tetapi keberanian menyungguhkan apa yang tiada menjadi ada dan sebaliknya.

Membicarakan nasib bangsa adalah kebenaran dan bukan disungguhkan dengan keberanian semata-mata. Tetapi kebenaran itu menggempakan keberanian dan bukan untuk menegak lemah atau menambah yang kurang. Bukankah dari sejak ingin merdeka kita akan bersungguh-sungguh melentur akal dan fikir membicarakan bangsa dan kemartabatannya. Siapa pula yang tidak menyungguhkan akal dan fikir, merenung dan memerhati, mencongak dan mmembagi, bukankah semua itu atas nama mengangkat nasib bangsa dengan segala keprihatinan, ketelitian dan kebijaksanaan. Kita bersemuka dan meraut bingkai pembinaan bangsa dan negara ini bersama. Apakah permintaan untuk hidup bersama di negara merdeka bukan suatu harap dan denai pada lubuk bangsa?. Bukankah bersama berfikir dan membajak akal untuk menerima dan memberi secara saksama adalah hasrat murni dan kesungguhan bersama untuk memacak makmur di sebuah negara merdeka. Bukankah secara jujur dan bersungguh-sungguh bersama melakar janji bahawa pada sebuah bangsa peribumi ada keistimewaan hak bernegara, menangkat raja sebagai simbol daulat negara, menengahkan bahasa Melayu sebagai bahasa penerus sebuah adat dan fikir lingua franca, dan menerima secara luhur Islam adalah agama rasmi dengan segala hak dan bebas beragama masih ternikmat oleh sejumlah yang lain. Apakah kerakyatan itu bukan hasrat untuk mendukung bangsa dan diterima pula tanpa rasa curiga dan sangsi bersama. Kita telah menjalani bersama dan menerima segalanya termuat dalam akar dan fikir sebagai kesatuan dan kebulatan tekad bersama. Kenapa pada waktu tertentu berbicara soal agama dan bangsa dengan fikir dan akal rasional dianggap rasis dan kebusukan sedang mempersoalkan segala yang dinobatkan bersama satu ketika dulu tidak dianggap apa-apa dan berhukumkan kemanusiaan sejagat. Apakah kita membenci sejarah yang meletakkan kita pada landasan ini? Atau kerana kita berani dan menanggap keberanian adalah segala-gala di dunia ini lalu kita hamburkan bicara dan ungkapan tanpa memikir hati dan kelukaan orang lain. Apakah keadilan terjadi apabila suatu kelompok bebas membahas dan menyakitkan yang satu lagi dengan tiada segan silu? Apakah menyuarakan nasib dan masa depan kelompok tertentu dianggap rasis dan tidak ada rasional dan kurang penting?

Biarlah kita memuat fikir dengan bijaksana dan segala kebijakan itu untuk sebuah kebenaran. Jangan memilih jalan hujung tanpa mendepa semula ke pangkal jalan untuk mencari asal mula dan laluan pergi jauh itu. Tidak ada permainan atau teka teki dalam mencari realiti. Ia kebenaran dan menjadi nyata. Jangan kita menyembunyikan kebenaran dan mendirikan kepalsuan sebagai arca baru yang harus dibanggakan bersama. Kita ingin lebih lama mengecap bahagia di negara tercinta ini.

Marilah memuat fikir dengan kebijakan. Kita mahu negara ini makmur dan dirahmati. Selagi bernyawa, nasib agama, bangsa dan tanah air perlu dibela.
Share this article :

0 comments: