Wednesday, August 22, 2012

bagaimana manusia



Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tidak berhak bercakap bagi pihak pakatan pembangkang dengan menyatakan pembangkang akan melaksanakan hukum hudud jika memerintah negara.

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga berkata, Hadi memang selalu berdolak-dalik dengan membuat kenyataan retorik tanpa sebarang justifikasi.

“Adalah dikesali, Hadi kebelakangan ini membuat kenyataan yang kemudian ditarik balik. Baru-baru ini, beliau berkata Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk menggantikan Islam sebagai agama rasmi dengan Addin, walaupun Perlembagaan secara khusus memasukkan Islam sebagai agama rasmi.

“Kemudian beliau menyatakan tidak membuat cadangan sedemikian. Saya berharap Hadi berhenti daripada membuat kenyataan yang akan menjejaskan prospek pakatan untuk membentuk kerajaan dan memenangi lebih daripada lima negeri yang dimenangi pada pilihan raya lalu,” katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.

Karpal juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Hadi berkata jika pakatan pembangkang memerintah negara, hukum hudud hanya akan dilaksanakan apabila masalah pengangguran dan kemiskinan diselesaikan, serta penetapan gaji minimum dilaksanakan.Beliau juga mendakwa ia sudah dibincangkan dengan DAP dan PAS tetap akan melaksanakannya walaupun tidak dipersetujui oleh sekutunya itu.

Demikian antara rentetan perisiiwa yang berlaku. Dalam pakatan yang sama berbeza pandangan dan berbeza pengertian perjuangan. Masing-masing bertujuan untuk memenangi hati dan fikir penyokong dan mempengaruhi rakyat untuk mempercayai kebenaran perjuangan masing-masing.

Bagaimana manusia? Begitulah situasinya. Apa yang jelas ada pergeseran tetapi masih ingin juga berada bersama-sama konon atas dasar perjuangan menumbangkan kezaliman. Perkara asas yang menjadi teras pakatan berkaitan dengan Islam dan hudud ini tidak diselesaikan dengan mutlak. Masing-masing hanya pesis bermain wayang demi menjaga penyokong dan pengaruh.

Malah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dalam kenyataannya cuba meyakinkan rakyat bahawa teras politik negara tetap dipegang oleh Melayu Islam jika Pakatan Rakyat menggantikan BN. Beliau juga menuduh UMNO memperbodohkan Melayu kerana menyatakan yang kuasa politik Melayu akan hilang jika PR memerintah.

Soalnya sekarang apakah teras Melayu itu yang difahami oleh kepimpinan PAS? Apakah tindakan mempersoalkan perkara berkait dengan Islam itu sudah menunjukkan penodaan terhadap teras Melayu dan Islam. Apakah salah bagi UMNO memperjelas apa yang nampak tempang dalam perjuangan pakatan ini. Ketempangan apakah perlu dibiarkan walaupun jelas menampakkan pergolakan lebih besar akan berlaku sudah bermula sekarang. Apakah sesudah menang pilihan raya DAP akan diam soal Islam ini?. Cabaran DAP jelas ia menusuk ke dalam teras Melayu dan Islam. Mungkin ini disedari tetapi sengaja dilupakan untuk tidak menganggu dan mengguris perasaan DAP.

Bagaimana manusia? Begitulah, apa yang dirasakan merugikan akan didiamkan lama-lama agar ternampak keselarian dan kesepakatan demi kuasa. Begitulah canggung dalam tarinya sudah nampak tetapi masing-masing mengatakan bahawa tak ada masalah.

Apakah heretan menyembunyikan yang benar dan mendampingkan yang batil ini menjadi ikutan manusia hari ini? Apakah rakyat Malaysia akan terbawa bersama dalam penglipur lara politik ini?

KIta sudah matang, marilah bersama berfikir dengan kematangan itu.


Share this article :

0 comments: