Monday, December 10, 2012

DAP dan PAS


Beberapa catatan DAP dan PAS


 Catatan 1




KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Kerajaan PAS Kelantan menyelesaikan segera isu penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu mengeluarkan saman bagi tingkah laku tidak senonoh keatas empat orang bukan Islam baru-baru ini.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan PAS Kelantan menyelesaikan isu itu boleh menjejaskan mesej pakatan pembangkang dalam menghormati kebebasan beragama di negara ini selain berupaya merosakkan kerjasama yang wujud dalam pakatan pembangkang.

“DAP mengambil berat laporan empat individu bukan Islam di Kota Bharu di saman pegawai penguatkuasa perbandaran bagi kelakuan sumbang.

“Walaupun saman untuk “kelakuan sumbang”, tetapi musuh politik telah `menggunakan’ ia sebagai kes khalwat yang cuba mengenakan undang-undang Islam ke atas bukan Islam. Ini boleh melemahkan mesej pakatan pembangkang dalam menghormati kebebasan agama dan kerosakan kerjasama sedia ada dalam pakatan pembangkang,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Guan Eng seterusnya mendakwa, beliau telah menyatakan kebimbangan DAP mengenai isu berkenaan kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang berjanji untuk menyelesaikan perkara tersebut.
“Saya memberitahu beliau (Mustafa) tentang keperluan untuk melihat perkara ini secara serius untuk memastikan hubungan yang kukuh dalam pakatan pembangkang.

“Saya juga telah mengarahkan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Liew Chin Tong untuk berkomunikasi dengan kepimpinan PAS mengenai isu berkaitan dakwaan orang bukan Islam tertakluk kepada undang-undang Islam,” dakwanya lagi.

Media hari ini melaporkan dua pasangan kekasih bukan Islam ditangkap khalwat oleh pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Ketua Pemuda MCA Negeri, Gan Han Chuan dipetik berkata, kes itu pertama kali berlaku dimana pasangan bukan Islam dikenakan tindakan yang sepatutnya dikhususkan kepada orang Islam.
Beliau juga mendakwa pegawai penguatkuasa berkenaan hilang kewarasan dan cuba melaksanakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam.

“Ini adalah pertama dalam sejarah di mana orang bukan Islam telah disaman kerana berkhalwat. Ia adalah luar biasa! Apa yang mereka lakukan dengan undang-undang mereka kini menjejaskan kehidupan walaupun orang bukan Islam,” kata Gan seperti dilaporkan - mynewshub

Catatan 2


KOTA BHARU – Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) percaya sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu akan terjejas jika pimpinan parti itu gagal menyelesaikan isu kontroversi kedai gunting rambut di Kelantan.

Pengerusinya, Hoo Pang Chow berkata, walaupun isu itu dianggap remeh dan kecil kerana melibatkan segelintir masyarakat Cina di kawasan terbabit, namun ia boleh menjejaskan sokongan rakyat bukan Islam terhadap masa depan parti itu, khasnya di Kelantan.

“Sebagai sayap baru parti itu, kita hanya mampu memberi pandangan kerana kita lebih mengetahui kehendak masyarakat bukan Islam dalam membela nasib mereka,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Pas Kelantan wajar mendengar pandangan masyarakat bukan Islam dalam menangani isu kontroversi membabitkan kedai gunting rambut itu.

Beliau kesal dengan sikap sesetengah pemimpin parti itu bertindak melampaui batas dalam melaksanakan dasar Islam sehingga sanggup melampaui batas agama demi mempertahankan perjuangan parti sekali gus mengetepikan kehendak dan hasrat rakyat bukan Islam.

Katanya, apa yang dikehendaki masyarakat bukan Islam ialah kesejahteraan melalui gaya hidup yang sihat, tempat tinggal yang selesa dan pendapatan lumayan.

“Mereka (pimpinan Pas) sepatutnya lebih bertindak sebagai mendidik supaya setiap rakyat boleh menerima segala peraturan dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk melalui peraturan dan undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan.

“Inilah antara nasihat yang sentiasa saya berikan kepada pimpinan Pas dalam menyatakan pandangan berhubung isu kedai gunting rambut dalam kalangan pengusaha bukan Islam di bandar ini,” katanya.

Katanya, beliau sebagai ketua satu daripada sayap parti akan turun padang menjelaskan kepada penyokong DHPP di seluruh negara berhubung isu itu.

Beliau juga berharap perbincangan yang dibuat antara kerajaan negeri dengan beberapa pertubuhan yang mewakili masyarakat Cina baru-baru ini, menemui jalan penyelesaian.

Isu itu timbul dan menjadi hangat baru-baru ini apabila seorang pengurus kedai gunting rambut di Kota
Baharu, Ong Lee Ting mendakwa beliau disaman 11 kali oleh pihak berkuasa tempatan kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010.

Akibatnya, dia didenda antara RM200 hingga RM350 dan mendakwa ramai lagi pemilik kedai gunting turut menghadapi perkara sama.

Tindakan kerajaan negeri itu juga turut dikecam Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang dilaporkan berkata mereka yang bukan Islam boleh membawa perkara itu ke mahkamah.
Bagaimanapun isu itu dipertahankan kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan yang bertegas apa yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan -Sinar Harian

Catatan 3



KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini perlu mencari alternatif dan kaedah baru untuk memastikan agama Islam terus dimartabat, berbanding bergantung kepada PAS serta pakatan pembangkang, kata Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali.
Beliau berkata tindakan DAP yang seringkali membangkang apa jua usaha PAS memartabatkan Islam, serta sikap keakuran kepimpinan PAS, yang dikatakan memperjuang agama, terhadap bangkangan itu jelas mengecewakan rakyat.

Terbaru, Pengerusi DAP Karpal Singh turut campur tangan dalam isu berkaitan dengan penggunting/pendandan rambut wanita tidak dibenarkan memotong/mendandan rambut lelaki termasuk yang bukan Islam yang menyebabkan Jawatankuasa PAS Pusat secara tergesa-gesa meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengkaji semula tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh mereka.

"Apa yang hendak ditimbulkan di sini bukan soal penguatkuasaan peraturan seperti yang terdapat dalam enakmen yang telah berkuatkuasa sejak sekian lamanya. Tetapi lebih kepada soal tentangan dan halangan terhadap peraturan itu yang datangnya daripada DAP rakan politik PAS dalam pakatan pembangkang," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr Hasan berkata tindakan Karpal Singh menggambarkan bahawa DAP tidak sesekali bersedia menerima apa sahaja peraturan yang mempunyai roh Islam, sehinggakan hal-hal yang diterima baik oleh rakyat daripada sudut akhlak turut disanggah. - Bernama

 Catatan 4


KOTA BHARU: Dua pasangan kekasih bukan Islam dilaporkan ditangkap khalwat oleh pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Pemuda MCA Negeri, Gan Han Chuan berkata kes itu adalah pertama kali dalam sejarah dimana pasangan bukan Islam dikenakan tindakan yang sepatutnya dikhususkan kepada orang Islam.

Beliau juga mendakwa pegawai penguatkuasa berkenaan hilang kewarasan dan cuba melaksanakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam.
"Ini adalah pertama dalam sejarah di mana orang bukan Islam telah disaman kerana berkhalwat.

"Ia adalah luar biasa! Apa yang mereka lakukan dengan undang-undang mereka kini menjejaskan kehidupan walaupun orang bukan Islam," kata Gan.
Beliau kemudiannya merujuk kes terdahulu membabitkan seorang pengusaha salun di Kelantan yang mendedahkan dia telah disaman beratus kali kerana pekerja wanitanya (bukan Islam) memotong rambut pelanggan lelaki (bukan Islam).

Sebelum ini, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hu Pang Chaw melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengeluarkan saman bagi tingkah laku tidak senonoh dua lelaki bukan Islam yang telah ditangkap di dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Kota Bharu.

Hu berkata, kedua-dua lelaki itu mengadu kepadanya bahawa pegawai berkenaan meminta wang RM500 "untuk menyelesaikan perkara itu".

Kes lain melibatkan seorang remaja lelaki bukan Islam dan teman wanita bukan Islam yang didapati bersama-sama di dalam kereta yang diletakkan di Taman Tengku Anis baru-baru ini.

"Setakat yang saya tahu, majlis tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan saman kepada orang bukan Islam untuk hubungan yang rapat dengan teman wanita mereka dalam gelap atau di kawasan terbuka," kata Hu.

"Saya percaya ini undang-undang hanya terpakai kepada orang Islam. Dan, saya tidak dapat memahami mengapa empat telah mengeluarkan saman," katanya lagi.





 
Garisan Yang Sama

 DAP dan PAS berada pada garisan pertahanan yang sama. Masing-masing mementingkan perjuangan mereka nampak mulia di mata pengundi. DAP berpegang pada hujahnya orang bukan Islam tidak tertakluk dengan undang-undang Islam. PAS berpegang kepada  undang-undang berkaitan dengan khalwat dan salon unisex. 

Apa yang paling halus di atas garis pertahanan ini ialah bagaimana untuk kembali memberi keyakinan kepada penyokong berkaitan dengan perkara yang begitu sensitif ini. Bagaiamana DAP mahu menterjemahkan kepada ahli bahawa mereka memilih PAS kerana PAS bukan PAS yang dianggap ekstreem seperti dulu. PAS yang lebih fleksibel dan boleh dirundingkan. PAS pula mulai menyedari tentang kepentingan kembali kepada congak perjuangan lama dan tidak terpesong. Peringatan dari Muktamar PAS yang baru berakhir masih terngiang di telinga dan tak boleh disenyapkan. Jika PAS tersasar kali ini PAS akan berada dalam  lingkungan yang amat kritis. Berhadapan dengan penyokong yang mahukan PAS pada akar perjuangan atau menunjukkan bahawa mereka boleh begitu liberal dalam beberapa perkara. 

Kedua-dua parti sudah tersasar dari satah perjuangan mereka. DAP yang nampaknya cuba memberi kefahaman bahawa Islam dari PAS tidak akan berbahaya sebagaimana Islam dari UMNO. Pemimpin mereka turun ke masjid, membawa potongan Al Quran dan sebagainya demi menunjukkan mereka liberal dengan Islam. Supaya penyokong mereka merasa yakin bahawa PAS bukan lagi harimau tetapi kucing siam. Di satu keadaan pula mereka berbuat begitu agar orang Melayu dapat menerima mereka dengan tangan terbuka. Mereka cuba mengelakkan isu yang melibatkan agama dan perkauman secara terbuka.  Mereka mahu dianggap sebagai kucing dalam kalangan penyokong PAS dan bukan lagi singa bertaring yang mahu membaham mangsa bila-bila masa.

LIm Kit Siang sendiri mengakui bahawa dalam pakatan terdapat perbezaan yang cuba diselesaikan secara bersama dalam pakatan. Mudahnya pakatan bermaksud selesaikan perkara berbeza secara sementara dengan mencari di mana boleh dibuat pakat. 

Langit tidak selalu cerah. Apa yang boleh dibuat pakat rupanya mencakupi perkara sensitif iaitu Islam, bangsa dan hak kebebasan. DAP berpuas hati kerana PAS tidak bercakap tentang Melayu sebagaimana UMNO dan mereka amat bangga dengan kerendahan diri PAS ini. PAS juga seronok kerana DAP menunjukkan minat terhadap Islam dengan masuk masjid dan baca potongan Al Quran. Ia berada pada garis di kertas yang nampak lurus tetapi jika dilihat di atas tapak sebenar banyak yang bengkang-bengkoknya. 

Politik adalah permainan. Permainan ini perlu diteruskan dan ada kalanya ia melampau garis yang telah ditetapkan. Garis yang ada pada kertas pakatan tetapi tidak dapat ditabur di atas tanah kenyataan. Inilah jadinya kesan pertembungan baru PAS dan DAP. DAP terpaksa menyerang dan memberi ingat pada PAS. Kejadian di Kota Bharu bukan kali pertama tetapi beberapa kali sudah berlaku peringatan dri DAP. Peringatan ini penting terutama DAP sendiri tidak mahu terperangkap dalam serangan yang akan dibuat oleh MCA dan MIC ke atas mereka. DAP tak mahu calar langsung di mata pengundi  bukan Melayu terutama isu berkaitan agama Islam dan kebebasan. Mereka mahu menjadi jaguh. 

PAS telah memulakan permainan yang tak digemari DAP. Maka DAP terpaksa mengeluarkan teguran kepada PAS. Ia juga tidak sedari bahawa DAP terlalu menegur PAS seolah-olah PAS budak hingusan yang tak tau nak buat apa. PAS pula tersepit antara keperluan muktamar yang memuncakkan semangat ke Putrajaya. Malah penobatan Presiden PAS YB Hj Hadi sebagai bakal Perdana Menteri merupakan satu keputusan untuk mendokong usaha bahawa PAS masih seperti dulu-dulu. DAP benar-benar berharap PAS dapat selesaikan perkara ini kerana bimbang merosakkan pakatan.

DAP menyatakan bahawa isu ini telah diputarbelitkan oleh media perdana dan menjadikan ia semakin keruh. Persoalannya kenapa DAP begitu takut dengan impak keruh dan kerosakan Pakatan Rakyat? Apakah ada perkara lain yang ditakuti DAP? Tentunya DAP takut kepada pengundinya sendiri. Begitu pula PAS untuk bertindak mengikut telunjuk DAP akan memberi kesan besar kerana banyak tuduhan dilemparkan bahawa PAS telah kehilangan taring berdepan dengan DAP.

Jelaslah bahawa perbezaan tetap wujud dan tumbuh membesar bukannya mengecil dan dapat dipakatkan sebagaimana kata LIm Kit Siang. Yang berbeza akan terus berbeza dan sukar untuk melintasi garis tersebut. Apakah situasi ini begitu menguja untuk dinobatkan pakatan rakyat sebagai kerajaan? Mereka sebenarnya bermasalah dalam gelombang dan pertikaian dalam garis-garis isu agama, kaum dan kebebasan. Garis ini tidak boleh dikecilkan. 

Kita telah lama merdeka dan garis ini sebegitu lama dijaga oleh Barisan Nasional atau perkongsian kuasa. Tapi pakatan tidak mahu perkongsian itu tetapi pakatan kuasa.
Tidak banyak ruang keyakinan yang dapat ditulis atas kertas pakatan untuk menjamin bahawa negara ini terus aman dan makmur. Titik hitam masih membesar.

Rakyat Malaysia perlu bijak membuat pilihan.



Share this article :

0 comments: