Saturday, December 13, 2014

Ketua Menteri dan Fatwa


 Semuanya telah diputuskan melalui Majlis Fatwa mana-mana orang bukan Islam yang menulis atau menerbitkan apa-apa bentuk, versi atau variasinya atau apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa atau apa-apa bahan publisiti atau apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media atau apa-apa kaedah lain yang boleh membawa kepada menghina kesucian agama Islam adalah salah dan dilarang serta menjadi satu kesalahan.

Inilah yang pernah kita baca :

Kalimah ALLAH: Hormati keputusan Majlis Fatwa
NOOR AZURA SAHRIL
26 Disember 2012



SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan mengingatkan semua pihak tidak mencabar dan akur dengan keputusan Majlis Fatwa yang telah memutuskan kalimah ALLAH hanya digunakan oleh umat Islam di negara ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad berkata, perkara itu telah diputuskan dengan jelas oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan tanpa perlu dipolemikkan lagi.

"Keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible perlu dihormati semua kaum," katanya mengulas gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendesak kerajaan membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Hasan berkata, di Pulau Pinang, telah diwartakan kalimah ALLAH sebagai antara 40 perkataan yang tidak boleh digunakan bukan Islam.

“Jabatan Mufti Pulau Pinang sudah putuskan perkataan seperti ALLAH, takwa, haji, masjid contohnya hanya boleh digunakan mereka yang beragama Islam.

“Peraturan itu dikuatkuasakan pada zaman Pakatan Rakyat (PR) memerintah dan dipersetujui oleh Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri, di mana beliau telah dimaklumkan dan peraturan telah diwartakan. Beliau pun tahu perkara ini, kita sudah maklumkan dan peraturan sudah diwartakan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

sumber sinar harian

Inilah pula keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 :

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah 

Bil. Muzakarah : Kali Ke-82 
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008 
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites Alor Star Kedah 

1) Ulasan/Hujah 

i. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

ii. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

iii. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

iv. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

v. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.

vi. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

vii. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.

viii. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.

ix. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.

x. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.

xi. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

xii. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.

2) Keputusan

 i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

 ii. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

sumber  al-ghari

Manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bersidang pada Januari 2010 telah memutuskan :

Fatwa Mengenai Kalimah-Kalimah Suci Yang Khusus Bagi Agama-Agama Islam Dan Tidak Boleh Digunakan Agama-Agama Bukan Islam


Tarikh Keputusan:
7 Jan, 2010

Keputusan:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada Januari 2010 telah membincangkan mengenai Kalimah-Kalimah Suci Khusus Bagi Ajaran-Ajaran Agama Islam Dan Tidak Boleh Digunakan Oleh Agama-Agama Bukan Islam. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:


ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004 FATWA DI BAWAH SEKSYEN 48

Pada yang menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 48(3) dan (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, Mufti Negeri Pulau Pinang atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong membuat fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

JADUAL

FATWA MENGENAI KALIMAH-KALIMAH SUCI YANG KHUSUS
BAGI AGAMA-AGAMA ISLAM DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN
AGAMA-AGAMA BUKAN ISLAM


1. Bahawa kalimah-kalimah yang berkaitan dengan kesucian agama Islam adalah khusus bagi agama dan orang Islam sahaja. Oleh itu ia tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam.

2. Orang Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah-kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang besar kepada agama dan orang Islam.


3. Oleh itu orang Islam wajib menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan dan penyalahgunaan terhadap kalimah-kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub.

4. Kalimah-kalimah tersebut ialah seperti berikut:

1.Allah                                                                    21. Imam
2. Firman Allah                                                      22.  Nabi
3. Ulama’                                                               23. Sheikh
4. Hadith                                                                24. Khutbah
5. Ibadah                                                                25.Tabligh
6. Kaabah                                                              26. Akhirat
7. Qadhi                                                                27. Azan
8. Ilahi                                                                   28. Al Quran
9. Wahyu                                                               29. As Sunnah
10. Mubaligh                                                         30. Auliya’
11. Syariah                                                             31. Karamah
12. Qiblat                                                               32. Syahadah
13. Haji                                                                  33. Masjid
14. Mufti                                                                34. Baitullah
15. Rasul                                                                35. Surau
16. Iman                                                                 36.Musolla
17. Dakwah                                                            37. Zakat Fitrah
18. Solat                                                                  38. Hajjab
19. Wali                                                                  39. Taqwa
20. Fatwa                                                                40. Soleh


5. Oleh itu, mana-mana orang bukan Islam yang menulis atau menerbitkan apa-apa bentuk, versi atau variasinya atau apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa atau apa-apa bahan publisiti atau apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media atau apa-apa kaedah lain yang boleh membawa kepada menghina kesucian agama Islam adalah salah dan dilarang serta menjadi satu kesalahan.

Status Penwartaan   Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 1 Apr, 2010
Nombor Rujukan:
[JMNPP/(S)/19/1101/001(16); PUNPP 152.100.1/2/2(1) Jld. 2]
Akta/Enakmen:  ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004

efatwa

Tapi ini pula yang terjadi. Atas alasan apa tidak pasti dan untuk tujuan apa pula tidak pasti.
Ia dikeluarkan oleh seorang pemimpin politik yang berkaitan dengan bidang ehwal agama.

Hanya dirinya sendiri tahu maksud dan tujuan segala yang dilaporkan di bawah ini :

Bukan Islam Pulau Pinang tak dilarang guna kalimah ‘Allah’, kata Guan Eng

OLEH HIMANSHU BHATT
12 December 2014

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberi jaminan fatwa berhubung larangan penggunaan kalimah 'Allah' tidak terpakai oleh masyarakat bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Disember, 2014.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberi jaminan fatwa berhubung larangan penggunaan kalimah 'Allah' tidak terpakai oleh masyarakat bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Disember, 2014.Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberi jaminan hari ini, tiada larangan dikenakan terhadap masyarakat bukan Islam di negeri itu daripada menggunakan kalimah "Allah".

Katanya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004, yang dilampirkan padanya satu fatwa berhubung perkara itu pada 2010, tidak terpakai kepada orang bukan Islam.

"Masyarakat bukan Islam tidak tertakluk di bawah undang-undang Islam," kata Lim pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini.

“Enakmen itu hanya digunapakai oleh masyarakat Islam, tidak oleh bukan Islam. Jadi, tiada isu timbul," katanya mengulas gesaan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker agar Pulau Pinang membatalkan larangan itu.

“Kita tidak meluluskan mana-mana undang yang membenarkan larangan itu terpakai kepada masyarakat bukan Islam," kata Lim yang merupakan setiausaha agung DAP.

"Kenapa mereka minta kita pinda undang-undang walhal tiada undang-undang (yang diperlu) dipinda?" soalnya.

Beliau berkata, penasihat undang-undang negeri juga mengesahkan enakmen tersebut tidak terpakai terhadap masyarakat bukan Islam.

Dalam satu fatwa di bawah Seksyen 48 enakmen itu bertarikh 7 Januari 2010, mufti Pulau Pinang ketika itu Datuk Hassan Ahmad mengisytiharkan 40 perkataan, termasuk "Allah", ialah khusus untuk Islam dan orang Islam sahaja.

Katanya, sementara satu pengisytiharan boleh dibuat, sama ada ia boleh dikuatkuasakan atau tidak ialah perkara berbeza.

Dalam satu kenyataan semalam, Ti yang juga ahli jawatankuasa pusat MCA berkata, Pulau Pinang sepatutnya memulakan langkah dan tidak berterusan mengelirukan rakyat, khususnya komuniti Kristian, mengatakan larangan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' ialah kesalahan Barisan Nasional.

Beliau berkata Lim dan DAP sering menyalahkan Putrajaya, mendakwa yang kegagalan kerajaan pusat dan perdana menteri untuk bertindak menjadi punca kebuntuan dan pertelingkahan undang-undang berhubung kegunaan kalimah Allah.

"Lim sepatutnya sudah sedar sekarang yang enakmen negeri, termasuk di Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan Rakyat, (PR) yang melarang menggunakan kalimah Allah," katanya.

Ti berkata ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) PR Pulau Pinang mempunyai jumlah yang mencukupi di dalam DUN untuk membatalkan pengharaman 40 perkataan itu dengan melakukan pindaan kepada enakmen itu.

Lim berkata hari ini, apa pun keadaannya, bukan satu amalan dan budaya rakyat Kristian Pulau Pinang menggunakan kalimah 'Allah' dalam ibadat mereka kerana biasanya ia dikendalikan dalam Bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil yang mempunyai terjemahan masing-masing untuk perkataan yang membawa makna "Tuhan".

"Jadi, setakat di kalangan rakyat Pulau Pinang, perkataan itu tidak digunakan," katanya.

Lim berkata ia hanya menjadi isu kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang berdoa dalam Bahasa Melayu dan secara tradisinya menggunakan perkataan Allah dalam ibadah mereka. – 12 Disember, 2014.

sumber : the malaysian insider
Share this article :

0 comments: