Monday, December 22, 2014

Mengemis Sokongan


Melayu mengemis pada Cina raih sokongan
SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
21 Disember 2014



 Dr Mahathir sempat melayan permintaan untuk bergambar kenangan bersama sebahagian daripada peserta konvensyen selepas menyampaikan ucaptama di Akademi Kenegaraan Biro Tatanegara, semalam. - Foto Bernama



KUALA LUMPUR – Orang Melayu kini terpaksa mengemis kepada orang bukan Melayu untuk raih sokongan bagi memenangi pilihan raya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini berpunca daripada perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu yang terbahagi kepada tiga puak.

“Orang Melayu kini tinggal 60 peratus dan dengan jumlah ini sepatutnya menang setiap kali pilihan raya kerana kita mempunyai majoriti. Tetapi kita berpecah sesama sendiri dan terbahagi kepada tiga puak yang jumlah setiap satu kurang 50 peratus.

“Dengan jumlah ini, kita tak mungkin mendirikan kerajaan dengan majoriti mutlak. Sebaliknya untuk dapat majoriti memerintah negara, kita terpaksa menjadi pengemis minta pertolongan kaum lain khususnya Cina,” katanya ketika menyampaikan ucap tama di Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (NUSA’14) di sini, semalam.

Katanya lagi, baik Umno, Pas dan PKR masing-masing mengemis di kaki orang Cina DAP supaya mendapat sokongan.

“Bila kita jadi pengemis, kita tidak lagi jadi orang yang berkuasa. Namun, inilah keadaan yang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau turut menegur sikap orang Melayu yang lebih utamakan kata-kata pemimpin atau puak sendiri berbanding ajaran Islam dan al-Quran.

“Kalau puak kita bertindak bercanggah dengan ajaran Islam sekalipun, kita lebih utamakan puak kita, pemimpin kita. Dengan itu, berlakulah perpecahan kerana pemimpin ada hasrat tertentu bagi dirinya.

“Dikumpulkan orang kita di kelilingnya dan mereka ini akan patuh kepada pemimpin walaupun bertentangan dengan agama. Sebab itu, hari ini perpecahan berlaku dalam kalangan orang Islam,” katanya.

sinar harian


Melayu tidak boleh malas, terus kuasai ekonomi
20 Disember 2014


Negarawan yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Ucaptama 'Halatuju Melayu Islam Menjelang Wawasan 2020' pada Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (Nusa'14) di Akademi Kenegaraan Biro Tatanegara, Jalan Bellamy di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Kaum Melayu tidak boleh malas, sebaliknya harus berusaha lebih gigih untuk menguasai ekonomi negara bagi menjamin mereka memperoleh bahagian yang sepatutnya apabila Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan orang Melayu tidak boleh bergantung kepada penguasaan politik semata-mata kerana ia mungkin tidak mampu bertahan tanpa pegangan ekonomi yang kukuh.

Katanya, walaupun melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenal pada 1971 telah ditetapkan agihan ekonomi untuk orang Melayu sebanyak 30 peratus daripada kekayaan negara, namun selepas 20 tahun pelaksanaannya, sasaran itu dilihat tidak berjaya dipenuhi.

"Jadi jika kita mahu bahagian kita, orang Melayu mesti tukar pendirian, mesti usaha lebih gigih untuk dapatkan bahagian kita dalam negara maju.

"Saya khuatir bila kita capai matlamat negara maju pada 2020, orang Melayu menjadi golongan miskin di dalam negara kaya," katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Hala Tuju Melayu Islam Menuju Wawasan 2020' pada Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (Nusa'14) di sini hari ini.

Dr Mahathir turut menjentik soal politik orang Melayu yang kini terpecah kepada tiga parti utama iaitu Umno, Pas dan PKR, yang menurutnya menjurus kepada undi Melayu menjadi minoriti dalam negara yang majoritinya orang Melayu.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan setiap parti Melayu mempunyai sokongan kurang daripada 50 peratus dan akhirnya terpaksa 'mengemis' sokongan kaum lain untuk menang pilihan raya dan kekal berkuasa.

"Bila jadi pengemis, mereka (parti Melayu) bukan lagi merupakan orang berkuasa (sepenuhnya), ini keadaan yang sedang kita hadapi sekarang," katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan pentingnya untuk kaum Melayu kembali mengamalkan ajaran dan nilai-nilai Islam yang sebenar sebagai landasan dan panduan hidup mereka.

"Maju atau mundurnya kita tidak bergantung kepada warna kulit, kekayaan sumber atau tempat tinggal kita, tetapi budaya dan nilai hidup yang dipegang," jelas Dr Mahathir.

"Nilai hidup yang baik termasuk jujur, amanah, bekerja keras perlu dijadikan budaya hidup kita. Kalau setakat berdoa tapi tak berusaha, ALLAH pun tidak akan tunaikan permintaan kita," kata Dr Mahathir.

Kepada satu pertanyaan daripada peserta, Dr Mahathir mengulangi pandangannya berhubung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Sebaliknya wujudkan peluang kerja, latihan untuk rakyat supaya mereka dapat tingkatkan kebolehan dan ilmu untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik dan gaji yang lebih tinggi, itu cara terbaik," katanya. - Bernama

sinar harian
Share this article :

0 comments: