Saturday, January 24, 2015

penjaga dua tanah suci


Mangkatnya Penjaga Dua Tanah Suci


ALMARHUM Raja Abdullah memerintah Arab Saudi selama sedekad.

NAUNGAN pemerintahan bumi Arab Saudi dan dunia amnya tersentak dengan berita kemangkatan Raja Abdullah Abdulaziz pada usia 90 tahun akibat penyakit pneumonia. Putera pertama daripada salah seorang isteri Raja Abdulaziz Abd ar-Rahman Al Saud yang lebih dikenali dengan gelaran Ibn Saud itu dilahirkan di Riyadh pada 1 Ogos 1924.

Almarhum menerima pendidikan awal di Mahkamah Diraja Arab Saudi. Menerima pengaruh daripada bapanya yang merupakan pengasas pemerintahan moden Arab Saudi pada tahun 1932, baginda merupakan anak ke-13 daripada 45 orang anak Raja Abdulaziz yang bertekad mahu membina kembali kehormatan agama Islam, sejarah dan warisan di negara itu.

Bapa baginda mengambil nama keluarga mereka sebagai nama negara tersebut.

Menghabiskan masa selama beberapa tahun tinggal di kawasan padang pasir bersama masyarakat Badwi ternyata mengajar Almarhum Raja Abdullah nilai-nilai kehormatan, kesederhanaan, bermurah hati dan sifat berani.

Memetik maklumat laman web Kedutaan Diraja Arab Saudi di Washington DC, Amerika Syarikat (AS), Almarhum Raja Abdullah merupakan pembiak baka kuda Arab tulen dan ia merupakan hobi kegemaran Almarhum. Pengasas kelab ekuestrian di Riyadh itu juga gemar membaca yang merupakan kunci utama dalam setiap tindakan dalam pemerintahannya. Almarhum juga membina Perpustakaan Raja Abdulaziz di Riyadh dan Casablanca, Maghribi sebagai bukti kecintaannya terhadap membaca.

Menelusuri ketokohan pemerintah ulung itu, Almarhum telah dipilih oleh Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al Saud sebagai Panglima Pengawal Kebangsaan Arab Saudi pada tahun 1962. Almarhum juga menerima mandat sebagai Timbalan Perdana Menteri Kedua pada tahun 1975 menggantikan Raja Khalid.

Apabila Raja Fahd Abdulaziz Al Saud menaiki takhta pemerintahan Arab Saudi pada tahun 1982, Almarhum Raja Abdullah dilantik sebagai Putera Mahkota dan Timbalan Perdana Menteri Pertama.

Almarhum telah dimasyhurkan sebagai raja keenam Arab Saudi pada 1 Ogos 2005 selepas kemangkatan Raja Fahd. Setiap pemerintah Arab Saudi menerima gelaran Penjaga Dua Tanah Suci iaitu Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah.

Sejak memegang tampuk pemerintahan, Almarhum Raja Abdullah telah melakukan banyak pembangunan yang fokus kepada ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan projek infrastruktur di Arab Saudi.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga diraja menjadikan Almarhum Raja Abdullah sebagai salah seorang lelaki paling berkuasa dan terkaya di dunia. Walaupun mengawal satu daripada lima rizab petroleum kebanggaan dunia, Almarhum enggan dipanggil ‘Yang Dimuliakan’ dan tidak gemar tangannya dicium. Almarhum Raja Abdullah juga telah mengejutkan putera dan puteri Arab Saudi dengan memotong elaun mereka dalam memantapkan sumber kewangan negara.

Tokoh agama


Jenazah Almarhum disembahyangkan di sebuah masjid di Riyadh, Arab Saudi semalam.

Almarhum Raja Abdullah digambarkan sebagai seorang yang zuhud (tidak hidup dalam kemewahan) dan menggalas gelaran pentadbir Mekah dan Madinah sekali gus menjadikan Almarhum sebagai salah seorang tokoh agama yang paling penting. Salah satu usaha Almarhum Raja Abdullah yang dianggap perubahan besar dan penting kepada Arab Saudi ialah apabila Almarhum membenarkan golongan wanita di Arab Saudi bekerja sebagai juruwang di pasar raya dan melantik seorang wanita, Norah Abdallah Al Faiz sebagai menteri kabinet pertama pada tahun 2009.

Almarhum turut melancarkan empat bandar ekonomi berskala besar, pembinaan Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah, Universiti Puteri Nourah Abdulrahman hanya untuk wanita dan projek penambahbaikan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada tahun 2007.

Di bawah kepimpinan baginda, sebanyak 500,000 unit rumah untuk mereka berpendapatan rendah dibina melibatkan kos sebanyak RM466 bilion (AS$130 bilion). Pembinaan itu bertujuan untuk meningkatkan gaji pekerja kerajaan dan memastikan kesetiaan dalam pertubuhan agama. Almarhum juga mewujudkan akaun sosial Facebook bagi membolehkan rakyat meluahkan rasa tidak puas hati mereka secara langsung kepadanya.

Sebagai sebuah negara pengeksport minyak terbesar dunia, Arab Saudi ditadbir dengan sistem percampuran tradisi pelbagai puak yang berkemungkinan memberi tafsiran berbeza umat Islam di negara lain. Agensi berita Associated Press melaporkan, ketegasan Almarhum turut menjadi punca utama suaranya berjaya mempengaruhi negara-negara lain di Asia Barat.

Diplomasi


RAJA SALMAN meneruskan legasi pemerintahan Almarhum Raja Abdullah.

Pada peringkat global, Almarhum Raja Abdullah terlibat dalam hubungan diplomasi antarabangsa yang mencerminkan peranan kepimpinan negara dalam mempertahankan negara-negara Arab. Selain itu, Almarhum juga berani menyentuh isu berkaitan Islam dalam usaha untuk mencapai keamanan, kestabilan dan keselamatan dunia.

Almarhum Raja Abdullah agresif menentang saingan terdekat Arab Saudi terutamanya golongan Syiah di Iran. Almarhum juga membentuk gabungan negara Arab untuk berada dalam landasan baharu dengan mengadakan kem anti-Iran dan kem pro-Iran.

Dalam pada itu, Raja Abdullah juga berusaha menyelesaikan konflik besar di negara-negara Arab. Keamanan di Asia Barat dan nasib rakyat Palestin menjadi perhatian sepanjang pemerintahan baginda.

Kedutaan Diraja Arab Saudi di Washington DC juga melaporkan baginda memainkan peranan penting dalam mengatur perjanjian perpaduan nasional Palestin. Selain itu, Almarhum Raja Abdullah merupakan watak penting dalam satu perjanjian perdamaian antara negara Sudan dan Chad di Darfur, barat Sudan.

Kemangkatan Almarhum Raja Abdullah semalam menjadikan Raja Salman Abdulaziz sebagai pemerintah baru dan terakhir negara Arab Saudi yang lahir sebelum penemuan sumber asli utama dunia. Raja Salman, 79, bertanggungjawab untuk mengemudi pergelutan serantau yang disebabkan oleh peperangan di Iraq dan Syria. Almarhum juga terpaksa bersaing sengit dengan kuasa Islam Syiah Iran dan ancaman berterusan daripada cabang al-Qaeda di Yemen.

Saudara bongsunya iaitu Putera Muqrin, bekas ketua perisikan yang telah dilantik sebagai timbalan putera mahkota pada bulan Mac lalu, dijadikan putera mahkotanya. Seperti Almarhum Raja Abdullah, Raja Salman dilihat sebagai pemimpin yang sederhana dengan reputasi berjimat cermat, kerja keras dan berdisiplin, terutama dalam mengawasi putera dan puteri muda dalam keluarga diraja itu.

kosmo online


Raja Abdullah dimakamkan dalam kubur tidak bertanda


RIYADH: Jenazah Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz akan dikebumikan dalam makam tidak bertanda selepas solat Jumaat, hari ini.

Dalam pada itu, peralihan kuasa lancar menyaksikan takhta itu berpindah kepada adik tirinya, Raja Salman dan seorang lagi adik tirinya, Muqrin sebagai putera mahkota bagi menghapuskan kebimbangan ketika kegawatan serantau.

Sejajar dengan ajaran Islam, jenazah Abdullah akan dikapan dengan kain putih, dibawa menggunakan pengusung ke dalam ambulans oleh saudara mara seterusnya dibawa ke masjid untuk disembahyangkan sebelum ke tanah perkuburan untuk dimakam dalam kubur tidak bertanda.

Solat jenazah di masjid akan diketuai Raja Salman dan dihadiri ketua negara Islam dan diplomat kanan termasuk Presiden Mesir, Abdel Fatteh al-Sisi, seorang daripada sekutu paling rapat Abdullah selepas kebangkitan negara Arab.

Golongan kenamaan bukan Islam akan melakukan penghormatan terakhir kepada raja dan putera mahkota yang baharu dilantik serta anggota lain dinasti Al Saud, dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Kemudian, selepas solat Maghrib, Raja Salman dan Putera Mahkota Muqrin akan menerima ikrar taat setia daripada anggota keluarga lain pemerintah, ulama Wahabi, ketua puak, ahli perniagaan utama dan orang penting di negara pentadbiran beraja itu.

Dalam ajaran tegas Wahabi, menunjukkan perasaan sedih secara berlebihan dilarang, selepas kematian monarki Arab Saudi dan anggota tertinggi diraja lain, tiada tempoh rasmi berkabung dan bendera masih dikibar secara penuh.

Walaupun dengan kebanjiran mesej sedih daripada rakyat tempatan dalam media sosial, kekangan agama ke atas peringatan awam bermaksud tiada tanda di ibu kota diraja ini menunjukkan pemerintah sekian lama mereka sudah mangkat. -AFP

bhonline
Share this article :

0 comments: