Friday, June 29, 2018

tun m di jakarta


PM tiba di Jakarta untuk lawatan rasmi
Saharudin Musthafa

28 Jun 2018


PERDANA Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma Jakarta sebentar tadi bagi memulakan lawatan rasmi ke Indonesia.


JAKARTA 28 Jun – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, di sini sebentar tadi bagi mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia.

Ketibaan Dr. Mahathir yang diiringi isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali disambut oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dan isteri, Iriana Widodo.

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri dan delegasi ialah beberapa menteri Kabinet Indonesia.

Sempena lawatan ke negara pertama di Asia Tenggara selepas menjadi Perdana Menteri kali kedua pada 10 Mei lalu, Dr. Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan Jokowi di Istana Presiden di Bogor esok.

Dalam kunjungan yang dinanti-nanti oleh Indonesia juga, Perdana Menteri akan menerima penghormatan tertinggi oleh pentadbiran Presiden Jokowi.

Sejurus tiba, Dr. Mahathir akan bertemu dengan rakyat Malaysia yang menetap di Jakarta dalam sesi khas yang diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan delegasi Majlis Perniagaan Indonesia – Malaysia pada sebelah petang esok sebelum pulang ke tanah air. - UTUSAN ONLINE

utusanonline


Jokowi sambut ketibaan Tun Mahathir
Daripada Zainudin Isa



JAKARTA: Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini, petang ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.

Ketibaan Perdana Menteri yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma jam 6.05 petang waktu tempatan, disambut sendiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dan isteri, Iriana Widodo.

Turut menyambutnya, Menteri Pengiring, Wiranto yang juga Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Ramlan Ibrahim; Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Zamshari Shaharan dan pegawai kedutaan.

Terdahulu, Zamshari dalam sidang medianya kepada wartawan Malaysia berkata, lawatan Dr Mahathir ke Indonesia ditunggu-tunggu memandangkan perdana menteri adalah pemimpin paling kanan yang memainkan peranan penting di rantau ini.

"Lawatan ini amat ditunggu-tunggu oleh pihak Indonesia kerana status perdana menteri sebagai sebagai pemimpin paling kanan dalam kalangan pemimpin Asean," katanya.

Ia adalah lawatan rasmi sulung Dr Mahathir ke negara pertama di Asia Tenggara selepas memegang jawatan Perdana Menteri kali kedua pada 10 Mei lalu.

Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan Jokowi di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat pagi esok.

Menjadi kelaziman Jokowi akan menerima kehadiran ketua kerajaan dan pembesar asing di istana penginapannya di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat iaitu kira-kira 60 kilometer jaraknya dari Jakarta sejak beliau menjadi Presiden Indonesia ketujuh.

Semasa di Istana Presiden di Bogor juga, Dr Mahathir akan diberi penghormatan untuk bersama-sama dengan Jokowi menanam pokok Angsana.

Simbolik pemilihan pokok Angsana yang dicadangkan oleh pentadbiran Jokowi, kata Zamhari, sangat signifikan terhadap keakraban hubungan Malaysia dan Indonesia.

"Simbolik pemilihan pokok Angsana untuk ditanam oleh Perdana Menteri dan Presiden Joko Widodo ialah pokok berkenaan sangat kuat, kukuh dan boleh bertahan lama sekali gus melambangkan asas yang kuat terhadap hubungan bilateral Malaysia dan Indonesia," katanya.

Lawatan rasmi Perdana Menteri juga seiring dengan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia yang disambut tahun lalu.

"Lawatan ini sudah tentu akan tingkatkan hubungan bilateral dengan Indonesia sebagai rakan strategik," katanya.

bharian


Share this article :

0 comments: