Saturday, August 25, 2018

roboh


Dr Mahathir mahu 'Tembok Besar China Kuantan' diroboh
Wartawan Malaysiakini
Diterbitkan 23 Ogos 2018


WAWANCARA | Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melihat tembok yang mengelilingi Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dirobohkan.

Malaysiakini dalam laporan khas tahun lalu menyorot pembinaan tembok sepanjang kira-kira sembilan kilometer mengelilingi kompleks industri berkenaan yang digambarkan oleh penduduk tempatan sebagai "Tembok Besar China Kuantan".

Dr Mahathir dalam wawancara pertamanya selepas pulang dari China berkata beliau sedang cuba meletakkan semula pihak berkuasa Malaysia di kawasan itu dan telah membangkitkannya kepada Beijing.

"Saya jelaskan kepada kerajaan China bahawa kita akan patuhi peraturan, undang-undang dan amalan mereka di China, jadi kita juga mahu mereka mematuhi undang-undang dan amalan di Malaysia. Mereka tidak pernah menyatakan keengganan kepada hal ini.

"Kami perlu memastikan bahawa pembangunan ini mengikut undang-undang dan peraturan," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Pekerja dari China memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dilarang keluar dari kawasan tembok berkenaan dan pekerja dibahagi-bahagi mengikut wilayah tempat tinggal mereka di China.

Wakil tempatan yang dipilih juga mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan masuk.



"Taman industri bukan negara asing, ia masih lagi tertakluk kepada undang-undang Malaysia, menghalang pegawai tempatan masuk bukan perkara yang seharusnya dilakukan.

"Tiada sesiapa yang pernah melakukan perkara itu. Anda bina taman industri dan anda tidak benarkan rakyat Malaysia masuk.

"Ini bukan amalan yang kita gunakan. Kita mempunyai ratusan taman industri dan semuanya tertakluk di bawah undang-undang Malaysia.

"Jadi kita perlu robohkan tembok dan semua (amalan) ini kerana ia salah di sisi undang-undang negara," kata Dr Mahathir.

MCKIP sebelum ini menjelaskan bahawa tembok berkenaan tidak meliputi keseluruhan kawasan taman industri berkenaan dan hanya terhad untuk kawasan kompleks Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

Perlu beri manfaat kepada Malaysia

Dalam wawancara yang berlangsung dalam bahasa Inggeris itu, Malaysiakini bertanya maksud sebenar Dr Mahathir apabila mengatakan "taking down walls".

Dr Mahathir mengesahkan bahawa ia memberi maksud secara harfiah dan figuratif.


"Taman industri ini dibuat di bawah undang-undang Malaysia dan kita perlu menguatkuasakan undang-undang kita di dalam taman industri berkenaan.

"Katakan ada jenayah berlaku di dalam sana, ia tanggungjawab kita. Ia bukan tanggungjawab pihak yang memiliki taman itu," katanya.

Dr Mahathir pulang dari China pada Selasa lalu selepas berbincang dengan Beijing berhubung pengkajian semula beberapa projek mega di Malaysia yang dibiayai oleh negara itu.

Dr Mahathir berulang kali menuduh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjual tanah kepada China sewenang-wenangnya atas nama pelaburan luar.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu menekankan bahawa pelaburan luar langsung perlu memanfaatkan Malaysia dari segi pengetahuan teknologi selain peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan bukannya sekadar memberi syarikat China tanah untuk dibangunkan.


Dilancarkan secara rasmi pada 5 Feb, MCKIP dimiliki 49 peratus oleh Guangxi Beibu Guld International Port Group Co Ltd, sebuah syarikat China yang dimiliki oleh kerajaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi dan 51 peratus pemilikan selebihnya adalah konsortium tempatan, Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd.

Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd merupakan perkongsian awam-swasta yang terdiri daripada IJM Land Bhd (40 peratus), Sime Darby Property Bhd (30 peratus) dan kerajaan Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (30 peratus).

Upacara pembukaan disempurnakan oleh Najib dan Jia Qinglin yang ketika itu merupakan pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Republik Rakyat China.

Dibahagikan kepada tiga fasa, pembangunan 1,219 ekar ketika ini akan disusuli dengan 1,000 ekar dan 800 ekar masing-masing bagi fasa dua dan fasa tiga.

Sebahagian besar fasa pertama, atau 710 ekar, telah dijual kepada Alliance Steel (M) Sdn Bhd, yang merupakan usaha sama antara dua syartikat China - Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan Guangxi ShengLong Metallurgical Co Ltd - menurut jawapan bertulis sidang DUN Pahang bertarikh 14 Sept.

Jawapan bertulis itu menyatakan Alliance Steel, syarikat CHina pertama yang melabur dalam MCKIP, sedang membina loji keluli bersepadu moden yang sudah 50 peratus disiapkan dan dijangka mula beroperasi hujung tahun.

Kerajaan Pahang juga mendedahkan syarikat China yang mengkhususkan kepada bateri kereta berjanji untuk melabur dalam fasa ketiga MCKIP. Laporan media juga menyatakan sebuah lagi syarikat China akan melabur dalam taman industri itu bagi membina kilang aluminium.

MCKIP merupakan projek pertama yang akan dianugerahkan status "Taman Industri Kebangsaan" dan dikatakan akan melonjakkan perkembangan ekonomi tempatan yang akan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada warga Kuantan.

Wawancara ini dikendalikan bersama oleh Andrew Ong, Ng Ling Fong, Nigel Aw dan Norman Goh.

malaysiakini
Share this article :

0 comments: