Sunday, December 30, 2018

akui silap


Melayu perlu akui kesilapan sendiri
Oleh Wartawan NSTP


PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu wajar mengakui kesilapan mereka apabila gagal meningkatkan keupayaan ekonomi mereka berbanding kaum lain menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Perdana Menteri, berkata selama beberapa abad DEB diperkenalkan, dasar itu menambah sedikit kejayaan dan kemajuan Bumiputera.

Namun, katanya, oleh kerana pesaing mereka melonjak lebih jauh dan pantas, maka jarak perpisahan juga menjadi terlalu luas untuk orang Melayu melintasinya.

“Kita orang Melayu dan juga Bumiputera lain mesti pegang kepada kebenaran. Meletak kesalahan kepada orang lain memang sedap tetapi mereka tidak akan betulkan diri mereka untuk menyelesaikan masalah kita.

“Sebaliknya jika kita akui kesalahan pada diri kita, maka bagi yang ikhlas dan jujur, pembetulan boleh dibuat oleh kita. Kita berkuasa ke atas diri kita, tidak ke atas orang lain.

“Saya tidak ingin sebut di sini, apakah kesalahan kita. Tetapi kita perlu akui bahawa banyak sudah tindakan yang dibuat untuk memperbaiki prestasi kita oleh kerajaan tetapi kejayaan amatlah menyedihkan.

“Sebabnya ialah sambutan oleh kita tidak seperti dirancang dan diharapkan. Kerajaan boleh adakan dasar dan layanan kepada kita tetapi jika sambutan oleh kita masih seperti dahulu, hasilnya akan menjadi sama dan mengecewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam ini.

Dr Mahathir turut berkata, dalam percubaan DEB, kaum wanita dilihat lebih serius dan berjaya berbanding kaum lelaki.

“Oleh itu, kita akan tambah punca modal, peluang, lesen dan kontrak juga kepada wanita termasuk di kampung. Kita akan perkenal jenis perniagaan dan peluang baru kepada mereka.

“Untuk meningkatkan kebolehan mereka, latihan dan pelajaran bagi mereka akan ditambah. Keutamaan akan diberi kepada catitan urusan perniagaan.

“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diperbesarkan dan contoh-contoh yang baik dalam perniagaan wanita akan dibantu lagi untuk membesar perniagaan mereka,” katanya.

bharian
Share this article :

0 comments: