Monday, October 31, 2011

martabatkan bahasa melayu


Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu kelapan yang berakhir hari ini mahu bahasa Melayu dimartabat dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan.

Sebanyak lapan ketetapan diputuskan iaitu;

Sistem pendidikan - Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran hendaklah bertegas iaitu dengan berlandaskan Perlembagaan serta akta berkaitan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi. Sebarang dasar yang melanggar undang-undang seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) hendaklah dilarang.

Kerajaan Tempatan - Kerajaan negeri dikehendaki menyeragamkan peruntukan undang-undang berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan nama jalan, bangunan dan iklan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dan begitu juga urusan meluluskan permit dan lesen hendaklah selaras dengan kedudukan bahasa kebangsaan.

Ekonomi dan kewangan - Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara hendaklah melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan ekonomi dan perniagaan serta menjadikan bahasa itu sebagai penggerak utama sistem ekonomi negara.

Pengajian tinggi - Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua tahap pendidikan selain berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang keilmuan.

Perkhidmatan awam - Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendaklah sentiasa memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua tadbiran negara dan menjadikan JPA sebagai pelindung bahasa kebangsaan.

Media, komunikasi dan penyiaran - Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hendaklah sentiasa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam penyiaran berita dan pengucapan pemimpin negara sebagai kaedah penyampaian maklumat kepada seluruh rakyat.

Perlembagaan - Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri hendaklah sentiasa memastikan penghakiman dan penulisan penghakiman di semua tahap mahkamah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi menegakkan keadilan berasaskan undang-undang.

Pemasyarakatan Persuratan Melayu : Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan jabatan hendaklah sentiasa berusaha memperbanyakkan penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua bidang ilmu.
Share this article :

0 comments: