Tuesday, April 2, 2019

Kebangkitan Malaysia sebagai Harimau Asia







Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama “Kebangkitan Malaysia sebagai Harimau Asia” ketika Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff


Rajin, ilmu, amanah untuk pacu kejayaan - Tun M
Oleh Rafidah Mat Ruzki; Khairul Azran Hussin; Mohd Zaky Zainuddin; Mahani Ishak dan Ruwaida Md Zain

SHAH ALAM: Sesuatu bangsa perlu berpegang kepada tiga nilai hidup iaitu kerajinan, mengejar ilmu dan sikap amanah jika mahu memacu kejayaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, dengan hanya menguasai ilmu pengetahuan tanpa kerajinan, seseorang itu tidak mungkin berjaya, berbanding seseorang yang tiada ilmu tetapi rajin mengejar pengetahuan.

Bagaimanapun, katanya, jika seseorang itu rajin dan menguasai ilmu, itu gabungan yang akan membawa kejayaan.

Beliau berkata, pengalamannya ke luar negara membolehkan beliau melihat bagaimana ada orang yang berjaya, ada yang tidak berjaya dan ada yang tidak mungkin akan berjaya.

"Yang menyebabkan kita berjaya ialah pegangan kita kepada nilai hidup. Nilai hidup yang menentukan kita berjaya atau tidak.

"Saya dapati, mereka yang berjaya semuanya mereka yang rajin, yang sanggup bekerja kuat, walaupun mereka tidak berilmu pengetahuan tetapi bila rajin, mereka berjaya.

"Ini naluri manusia. Bukanlah dia pandai sangat tetapi kalau dia berusaha berkali-kali, maka dia menguasai kecekapan itu. Sekurang-kurangnya lebih berjaya daripada mereka yang kurang berusaha," katanya.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika sesi soal jawab selepas melancarkan Inisiatif Harimau Asia sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff

Dr Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama "Kebangkitan Malaysia sebagai Harimau Asia" pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, malam ini.

Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Dr Mahathir berkata, semua pihak perlu berpegang kepada sikap amanah dan berasa malu sekiranya gagal dalam setiap usaha dan tugasan yang diamanahkan.

Katanya, beliau kagum dengan masyarakat Jepun yang lebih rela membunuh diri daripada menanggung malu akibat gagal dalam apa yang diusahakan.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melancarkan Inisiatif Harimau Asia sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff

"Amanah penting. Saya ingin menarik perhatian mengenai perkara ini. Saya dapati ada pendapat, iaitu kalau kita hutang tidak perlu bayar.

"Di negara kita ada berpendapat hutang tidak perlu bayar. Bila kita ada pendapat seperti itu banyak malapetaka akan menimpa kita. Bukan kita seorang sahaja tapi kaum, bangsa kita.

"Sebab itu beramanah janji nak bayar hutang, kita kena bayar hutang. Nak pinjam dari bank pun kena bayar.

"PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) bukan tiada duit. Ada duit tapi tak bayar sebab tidak ada yang menyebabkan kita berasa malu," katanya.

bharian 


3 nilai hidup akan jadikan Malaysia muncul Harimau Asia


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu hadir di Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM di sini hari ini. Turut sama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - UTUSAN ONLINE

Mohd. Asron Mustapha

01 April 2019 10:58 PM

SHAH ALAM 1 April - Malaysia mampu muncul sebagai Harimau Asia semula dan seterusnya menjadi negara maju jika rakyat negara ini mengamalkan tiga nilai hidup iaitu rajin, berilmu dan beramanah.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pada hakikatnya semua bangsa sama dan apa yang membezakan, sama ada mampu menjadi sebuah bangsa yang maju atau mundur adalah bergantung kepada nilai hidup bangsa itu.

Katanya, orang Melayu sendiri mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa Eropah atau Jepun jika mereka memperaktikkan nilai hidup itu dalam segenap aspek kehidupan khususnya dalam kalangan anak muda.


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu hadir di Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM di sini hari ini. Turut sama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - UTUSAN ONLINE

 “Kita semua dikurniakan akal yang sama, tidak kira dari bangsa atau kaum mana sekalipun dan jika ada kerajinan walaupun mungkin kita sedikit lemah, pada akhirnya kita akan berjaya juga atau menguasai kepakaran jika rajin melakukan berkali-kali.


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu hadir di Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM di sini hari ini. Turut sama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - UTUSAN ONLINE

“Kerajinan juga akan membawa kita kepada ilmu dan kombinasi kedua-dua nilai hidup ini akan menjadikan kita masyarakat, bangsa serta negara yang berjaya tetapi jika ada ilmu sahaja namun tiada kerajinan, bangsa itu tetap tidak akan berjaya.

“Ketiganya, kita perlu beramanah dan merasa malu seandainya gagal menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan atau tiada integriti ketika melaksanakan amanah itu,” katanya ketika berucap merasmi Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam ini.

Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menambah, bangsa Malaysia juga perlu merasa malu terhadap kegagalan dan jika sikap tersebut dapat dipupuk dalam kehidupan mereka, ia akan mendorong masyarakat di negara ini menjadi sebuah bangsa berjaya.


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu hadir di Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM di sini hari ini. Turut sama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - UTUSAN ONLINE

“Saya sendiri amat malu jika orang mengatakan bangsa saya malas, mengaitkan bangsa saya dengan kegagalan dan tentunya saya amat berharap rasa malu ini menjadi sebahagian daripada nilai hidup bangsa kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE

utusanonline





Share this article :

0 comments: