Friday, April 19, 2019

Tun M dan 5G



 Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bergambar selepas merasmikan Pameran Teknologi Mudah Alih Generasi ke-5 5G di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Teknologi 5G akan dilancar 2021
Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Mahanum Abdul Aziz

PUTRAJAYA: Malaysia dijangka melancarkan teknologi 5G secara besar-besaran menjelang 2021, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang menjalankan ujian perintis pelaksanaan teknologi 5G di Cyberjaya dan Putrajaya, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara pertama di Asia dan di dunia melaksanakan 5G.


Katanya, ujian perintis yang bermula awal bulan ini itu akan dilaksanakan selama enam bulan dan ia membabitkan 108 peserta industri, agensi kerajaan dan ahli akademik.

"Laporan daripada ujian perintis itu penting untuk menentukan dasar pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia," katanya pada sidang media selepas pelancaran Pameran 5G Malaysia oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

PUTRAJAYA 18 APRIL 2019. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama Tengku Zara Eryna Tengku Ahmad Saifuddin selepas merasmikan Pameran Teknologi Mudah Alih Generasi ke-5 5G di Putrajaya, turut kelihatan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memakai Microsoft Hololens ketika melawat gerai pameran Digi selepas merasmikan Pameran Teknologi Mudah Alih Generasi ke-5 5G di Putrajaya, turut kelihatan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Hadir sama ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.

Gobind berkata, penggunaan teknologi 5G membentuk sebahagian daripada Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang disasarkan untuk menyediakan sambungan digital kukuh, mampu milik dan berkualiti tinggi dan memastikan liputan perkhidmatan yang meluas, kelajuan tinggi dan lebih pilihan kepada pengguna.

Mengulas mengenai kadar harga perkhidmatan 5G, Gobind berkata, ia belum diputuskan lagi, namun menegaskan tidak akan membebankan rakyat dan munasabah bagi membolehkan semua orang dapat mengakses teknologi itu.

Pameran 5G Malaysia itu diadakan selama empat hari bermula hari ini bagi memberi peluang kepada rakyat di negara ini untuk melihat dan mengalami secara langsung manfaat teknologi 5G dan kesannya kepada kehidupan mereka.

Sebanyak 11 pempamer yang terdiri daripada gergasi teknologi dunia termasuk Huawei, Ericsson dan Nokia turut sama menyertai pameran terbabit.

Antara tarikan utama adalah aplikasi 5G dalam kereta pandu sendiri, yang mana pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman menaiki kereta tanpa pemandu yang dipasang pada model Proton dan dikawal sepenuhnya dengan jaringan salinghubung antara komputer.

bhonline
Share this article :

0 comments: