Friday, June 12, 2020

galah sejengkal


GALAH SEJENGKAL TUN DR MAHATHIR

 Dr Maszlee Malik



Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz pernah ditanya,

“Tok Guru, apa perlunya kita kena berpakat dan bekerjasama dengan orang lain seperti Semangat 46, Keadilan dan DAP? Padahal kita dah kuat, penyokong kita ramai, kita boleh menang sendiri di Kelantan.”

Jawab Tok Guru, “Beginilah. Umpama kita nak kait rambutan. Pokok rambutan tinggi. Galah kita tak sampai. Kalau kita cari sejengkal lagi galah, sambung dengan galah kita, Insha-Allah satu pokok rambutan kita boleh kait. Galah sejengkal inilah yang membantu kita dapat banyak lagi hasil.”

Tulisan saya yang lepas telah jelas saya nyatakan bahawa kalau PH hanya berharap kepada kemampuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka sampai bila-bila pun PH tidak akan mampu melepasi angka keramat 112.

Jika hanya mahu menjadi pembangkang sampai bila-bila, bolehlah ketepikan Tun Dr Mahathir dan pengaruh yang beliau bawa. Tapi jika mahu kembali sebagai Kerajaan seperti yang telah diberikan mandat pada PRU14 yang lalu, maka di sinilah ‘galah sejengkal’ Tun Dr Mahathir berperanan.

Analoginya mudah. Galah Dato’ Seri Anwar Ibrahim hanya mampu mencapai 92 atau lebih sedikit tetapi tidak mampu melepasi 112, sebaliknya sekiranya disambung dengan galah sejengkal Tun Dr Mahathir, maka angka 112 boleh dilepas. Bahkan 130 atau lebih sedikit pun boleh dijangkau.

Tun Dr Mahathir boleh ‘ramp-it’ sehingga 148 jika betul rundingan dan percaturannya. Dengan menambah galah sejengkal Tun Dr Mahathir dengan galah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka buah-buah yang banyak di bahagian atas pokok boleh dikait dengan mudah.

Walaupun kedua-dua tokoh iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir telah kehilangan pengaruh yang agak signifikan melalui penghianatan orang nombor 2 dalam parti masing-masing, kita tetap juga perlu bertanya siapakah yang masih berpengaruh kuat untuk berunding bagi mendapatkan sekurang-kurangnya sokongan 5 lagi kerusi yang berbaki?

‘The New Political Norm’ atau Kebiasaan Baharu Politik di Malaysia adalah permainan nombor dan angka bilangan Ahli Parlimen. Walaupun telah berlaku sebelum ini di peringkat negeri-negeri, namun Langkah Sheraton telah mendefinisikan kebiasaan baru politik Malaysia apabila tumbangnya Kerajaan PH hanya melalui perpindahan Ahli-ahli Parlimen dari pihak Kerajaan kepada pihak pembangkang.

Sebab itulah untuk melepasi angka 112 ini, saya khuatir kekuatan satu pihak sahaja tidak mencukupi.

Dengan sambungan ‘galah sejengkal’ Tun Dr Mahathir bersama 5 Ahli Parlimen dan Warisan, angka 112 ini boleh dicapai. Ditambah pula dengan beberapa ahli parlimen BERSATU feksyen Tan Sri Muhyiddin yang sedang dilema mempersoalkan kedudukan mereka, selain daripada beberapa orang Ahli Parlimen UMNO yang sudah muak dengan budaya rasuah dan kleptokrasi parti mereka.

Hanya melalui PH+ mengambil semula Kerajaan sahajalah negara boleh diselamatkan dan koruptor-koruptor jerung yang bakal terlepas satu demi satu tidak akan dibiarkan.

Galah sejengkal ini tidak akan berhenti di sini. Jika kita memahami keajaiban dan menghormati galah sejengkal Tun Dr Mahathir ini, bukan sahaja Kerajaan boleh diambil semula, PRU15 pun bolehlah distrategikan untuk menyempurnakan ‘Heineken Effect’ (to reach where others can’t) dan seterusnya menang dengan bergaya Insya-Allah.

YB Dr Maszlee Malik
Ahli Parlimen Simpang Renggam

Share this article :

0 comments: