Friday, July 20, 2018

Tun M dan 16 Julai




Tarikh bersejarah buat Tun Mahathir hari ini...
Julai 16, 2018


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengangkat sumpah mengesahkan kedudukan sebagai ahli Dewan Rakyat bagi penggal ke-14 hari ini.

Beliau mengangkat sumpah 69 hari pasca detik bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Paling bersejarah apabila majlis angkat sumpah ini berlangsung pada tarikh yang sama beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4 pada 1981.


Menurut Arkib Negara, hari ini dalam tahun 1981, Dr. Mahathir menerima watikah pelantikan menggantikan Tun Hussein Onn yang telah meletakkan jawatan atas sebab-sebab kesihatan.

Pada waktu itu, Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan yang disaksikan oleh Pemangku Ketua Hakim Negara ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Shah.

astoawani 


Perlantikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad Sebagai Perdana Menteri


16 Julai 1981 – Perlantikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang ke-4 dibuat setelah Perdana Menteri, Tun Hussein Onn meletakkan jawatan pada 16 Julai 1981. Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad telah mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Istiadat penuh rasmi itu telah disaksikan oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn serta dihadiri oleh para Menteri Kabinet, Ketua Polis Negara (Tan Sri Haniff Omar), Panglima Angkatan Tentera (Tan Sri Mohamed Ghazali), dan Peguam Negara (Tan Sri Abu Talib Othman).

Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad lahir pada 20 Disember 1925 di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, kemudian ke Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Setar, seterusnya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya Singapura dan lulus dengan ijazah M.B.B.S pada tahun 1952.

Penglibatan beliau dalam politik bermula pada tahun 1974, di mana beliau telah menang tanpa bertanding di kawasan Parlimen Kubang Pasu.

Beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 6 Oktober 1974. Manakala pada 5 Mac 1976, beliau telah diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia disamping memegang portfolio pelajaran.

Sepanjang pemerintahannya, Dr. Mahathir boleh disifatkan sebagai jaguh dan pemimpin Asia yang dinamik dan terkemuka. Malah beliau adalah satu-satunya pemimpin yang berjaya meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai sebuah negara industri baru yang berpotensi dan berkembang maju.

Pada peringkat antarabangsa pula beliau memperkenalkan dasar luar Malaysia yang proaktif serta membolehkan Malaysia dikenali di dunia. Yakni membina dasar luar yang bersifat global tertumpu kepada diplomasi ekonomi dan ketegasan dalam komunikasi politik antarabangsa.

Pelantikan Dr. Mahathir Mohamad pada hari ini dalam tahun 1981, membuktikan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad adalah tokoh politik yang tiada tandingan malah beliau telah menyusun impian dan gagasan masa depan Malaysia melalui Wawasan 2020.

Pada 31 Oktober 2003 Tun Dr Mahathir Mohamad telah berudur dan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia lalu digantikan oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi sebagai perdana menteri Malaysia yang kelima.

Sumber : Arkib Negara Malaysia










Share this article :

0 comments: