Tuesday, April 13, 2021
Saturday, November 28, 2020
Monday, November 23, 2020
fikir
Continue Reading...
sedih dan sunyi
Pada 19 November lalu, Khamis, Dr Mahathir Mohamad dalam blognya meluahkan perasaan sedih dan kesunyiannya apabila merakamkan peringatannya pada Khalid Julong.
Menurut beliau, dengan pemergiannya maka tamatlah satu generasi pejuang Melayu.
Khalid meninggal dunia sehari sebelum itu, 18 November 2020. Ia merujuk pada generasi pertama pejuang kemerdekaan.
Siapakah Khalid Julong? Beliau ialah Tan Sri Khalid Abdullah berusia 98 tahun ketika meninggal dunia.
Maknanya beliau lebih tua daripada Mahathir, yang kini berusia 95 tahun. Terdapat sebuah syarikat Khalid yang bernama Julong Sdn Bhd.
Tidak banyak orang yang dapat mencapai usia begitu panjang.
Maka apabila Mahathir berkata dengan pemergian Khalid itu berakhirlah satu generasi pejuang Melayu, bermakna tinggal beliau yang masih hidup.
Tetapi keistimewaan Mahathir berbanding dengan anggota generasinya yang lain ialah beliau masih sihat, aktif dan berpengaruh dalam politik.
Masih mampu hadir dan berucap di Dewan Rakyat.
Daripada maklumat yang penulis terima, Khalid dan ahli-ahli keluarganya adalah penyokong Bersatu ketika Mahathir menjadi pengerusinya.
Mahathir menggunakan ungkapan “pejuang Melayu” bagi menyifatkan satu kumpulan yang sedar politik dalam generasi beliau.
Iaitu satu generasi muda selepas Perang Dunia Kedua.
Perkataan “pejuang” ini membawa konotasi seseorang bergiat untuk mencapai matlamat politik tanpa menghiraukan sebarang balasan kewangan atau jawatan.
Ia merupakan ciri-ciri aktivis generasi awal Umno terutamanya sebelum merdeka.
Ciri-ciri ini mula hilang selepas masuk generasi kedua dan ketiga setelah merasa kekuasaan yang boleh mendatangkan ganjaran.
Istilah “pejuang” ini juga yang digunakan bagi nama parti barunya, Parti Pejuang Tanah Air.
Ketika penubuhannya, Mahathir menekankan soal perjuangan tanpa mengharapkan ganjaran.
Parti ini masih tidak dapat kelulusan daripada pendaftar pertubuhan (RoS).
Rasanya kelulusannya mungkin dihalang oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu.
Menurut Mahathir, beliau berkenalan dan berdamping dengan Khalid dalam arena politik apabila tamat sahaja Perang Dunia Kedua.
Mereka berada dalam Saberkas yang merupakan “sekumpulan anak Melayu yang memiliki kesedaran akan bangsanya” .
Saberkas merujuk pada Syarikat Bekerjasama Am Saiburi yang ditubuhkan pada Januari 1946, iaitu sebelum penubuhan Umno lagi.
Ia bukanlah syarikat perniagaan, tetapi merupakan badan politik.
Pada masa itu, persatuan disebut juga sebagai syarikat iaitu persepakatan sekumpulan orang.
Bekerjasama am merujuk pada kegiatannya yang berbentuk umum, sama ada politik, ekonomi atau sosial.
Saiburi pula adalah nama Kedah dalam bahasa Siam.
Semasa pendudukan Jepun, Kedah seperti mana juga Perlis, Kelantan dan Terengganu berada di bawah kekuasaan Siam.
Siam hanya melepaskan negeri-negeri itu pada British setelah diugut London akan menggunakan kuasa veto menghalang negara itu daripada menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Saberkas adalah pertubuhan kecil dan kewujudannya tidak lama kerana ia kemudian menjadi sebahagian daripada cawangan-cawangan Umno.
Tetapi dalam buku-buku sejarah, Saberkas ini dikenali sebagai kumpulan radikal, malah mempunyai kecenderungan fahaman kiri.
Radikal di sini bermaksud mahu perubahan yang cepat, dan kiri bermakna tumpuannya adalah membela kepentingan rakyat umum yang kebanyakannya susah.
Akibatnya, menurut catatan sejarah, ia kurang mendapat sambutan kerana orang Melayu adalah konservatif dan tidak suka pada perubahan radikal, apatah lagi dengan ada unsur kekirian.
Maka pertubuhan yang lebih dapat diterima ialah Kesatuan Melayu Kedah.
Namun begitu kedua-dua pertubuhan itu menghantar wakil ke perhimpunan Umno.
Apabila Umno Kedah ditubuhkan, ia terdiri daripada Kesatuan Melayu Kedah dan Saberkas juga.
Menurut Mahathir: ” British merancang untuk rampas negeri-negeri Melayu untuk dijadikan tanah jajahan mereka. Malayan Union akan tamatkan kewujudan orang Melayu dengan Tanah Melayu mereka.”
Selepas Perang Dunia Kedua, British kembali ke Tanah Melayu dengan merancang untuk memiliki negeri ini.
Malayan Union yang dilaksanakan mulai tahun 1946 itu adalah hendak menjadikannya sebagai tanah jajahan yang kekal.
Ia berbeza daripada apa yang berlaku sebelum perang.
Ketika itu yang menjadi tanah jajahan British adalah Pulau Pinang, Melaka dan Singapura dalam pentadbiran yang bernama Negeri-negeri Selat.
Sementara sembilan negeri Melayu yang lain merupakan negeri-negeri naungan atau protectorates dalam sistem Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Keseluruhan entiti ini dipanggil British Malaya.
Walaupun ia merupakan satu sistem kolonial tetapi kedudukan negeri-negeri naungan adalah berbeza daripada tanah jajahan.
Dalam negeri naungan, raja-raja masih berdaulat walaupun kuasa pentadbiran dipegang British melalui perjanjian.
Dalam Malayan Union pula, raja-raja bukan saja tidak berdaulat tetapi kedudukannya dihapuskan.
Begitu juga negeri-negeri. Union bermaksud kesatuan. Maka sudah tiada negeri-negeri di mana kesemuanya digabungkan di bawah satu pentadbiran di Kuala Lumpur.
British memerlukan Malaya kerana ketika itu satu perempat daripada pendapatan ekonominya datang dari negeri “kenit” ini.
Getah dan timah menjadi sumber pendapatan penting dan ia tidak akan melepaskan bumi ini.
Dengan Malayan Union, ia menjadi wilayah bebas bagi British untuk membawa masuk sesiapa saja ke negeri ini.
Ia sudah tidak menjadi Tanah Melayu dan bangsa Melayu dikira sudah tiada. Apa yang ada ialah Malaya.
Selain penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union, pergolakan dunia memaksa Britain memberikan kemerdekaan pada Tanah Melayu.
Perang Dingin membawa kepada Darurat apabila Parti Komunis Malaya mengangkat senjata pada tahun 1948 atas arahan Soviet Union.
Amerika Syarikat pula tidak mahu British kembali kuat dengan terus mengekalkan empayarnya.
Mahathir menyebut nama rakan-rakan seperjuangannya iaitu dari satu generasi awal; “Khalid, Azahari Taib, Khir Johari, Khir Pa’ Awang, Hj Taha dan Chegu Senu”.
Khir Johari adalah menteri pelajaran dalam kabinet Tunku Abdul Rahman.
Chegu Senu merujuk pada Senu Abdul Rahman, pernah menjadi setiausaha agung Umno yang lantang bersuara.
Semuanya sudah tiada.
“Tinggal saya seorang. Saya sedih. Semua mereka kawan lama. Saya kesunyian,” kata Mahathir.
Dalam politik, Khalid adalah wakil rakyat bagi Alor Merah dan pernah menjadi exco negeri Kedah.
Selepas politik, beliau memasuki dunia korporat, pernah menjadi pengarah di Pernas International Holdings sebelum menyertai Utusan Melayu (M) Bhd sebagai pengerusi eksekutif.
Beliaulah yang mengusahakan supaya Utusan Melayu menjadi syarikat korporat dengan nama Kumpulan Utusan untuk disenaraikan di bursa saham.
Selain itu beliau mengusahakan sebuah bangunan ibu pejabat di Wangsa Maju, tetapi kemudiannya dijual pada Felcra.
Tetapi perjuangan Mahathir sendiri penuh dengan liku-liku kesedihan dan kesunyian.
Dari awal lagi, beliau bertembung dengan Tunku yang menghalangnya bertanding dalam pilihan raya pertama tahun 1959 walaupun Mahathir adalah calon jauh lebih layak berbanding yang lain.
Perjuangan politiknya yang panjang, penuh dengan pergolakan. Beliau menubuhkan Umno Baru bagi menggantikan Umno lama.
Beberapa dekad kemudian, beliau menubuhkan Bersatu yang hendak dijadikan pengganti Umno tetapi parti itu telah meninggalkannya.
Pejuang merupakan usaha terkini yang lebih sukar untuk menggantikan Bersatu dan Umno.
Selain itu, orang yang disediakan untuk menggantikannya juga tidak menjadi: Musa Hitam, Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan akhir sekali, Muhyiddin Yassin.
Friday, November 20, 2020
fikir
Continue Reading...
khalid julong
KHALID JULONG
1. Khalid Julong meninggal pada 18 November 2020. Dengan pemergiannya maka tamatlah satu generasi pejuang Melayu.
2. Kami berkenalan dan berdamping dalam arena politik apabila tamat sahaja perang Dunia Kedua. Kami berada dalam Saberkas, sekumpulan anak Melayu yang memiliki kesedaran akan bangsanya.
3. British merancang untuk rampas negeri-negeri Melayu untuk dijadikan tanah jajahan mereka. Malayan Union akan tamatkan kewujudan orang Melayu dengan Tanah Melayu mereka.
4. Khalid, Azahari Taib, Khir Johari, Khir Pa’ Awang, Hj Taha, Chegu Senu dan lain-lain sudah tidak ada.
5. Tinggal saya seorang. Saya sedih. Semua mereka kawan lama. Saya kesunyian.
6. Saya berdoa roh arwah Khalid Julong akan dirahmati Allah SWT.
- Yb Tun Dr Mahathir Mohamad
Subscribe to:
Posts (Atom)