Saturday, October 3, 2015

Makam Sultan Melaka

No comments:
DI MANA MAKAM SULTAN SULTAN MELAKA?


Selepas bandar Melaka ditawan oleh penjajah Portugis pada tahun 1511,Sultan Mahmud Shah beserta para pengikut dan rakyatnya berundur ke selatan dan meneruskan legasi kedaulatan Kesultanan Melaka serta memulakan satu babak perjuangan baru bagi orang Melayu untuk mengambil semula kota Melaka.Perjuangan menghalang penyebaran kuasa Portugis dan melepaskan cengkaman mereka ke atas kota Melaka yang dimulakan oleh Laksamana Hang Nadim diteruskan sehingga Sultan Mahmud Shah sendiri mangkat pada tahun 1521 dan dimakamkan di Kampar,Sumatera Timur.

Apabila bandar Melaka ditawan,tugas pertama yang dilakukan oleh penjajah Portugis ini ialah memusnahkan masjid agung (yang diperkirakan terletak di pinggir Sungai Melaka) dan istana sultan Melaka (yang diperkirakan terletak di atas atau kaki bukit Melaka berhampiran masjid).Tapak masjid dan istana diratakan dan batu-bata dari bangunan-bangunan tersebut digunakan semula untuk membina dan mengukuhkan kubu pertahanan mereka di Melaka,yang masyhur dengan nama A Famosa.

Mereka juga turut membongkar segala makam-makam dan kubur-kubur di persekitaran masjid termasuklah makam sultan-sultan,makam ulama dan pembesar Melayu di situ.Seperti biasa juga,batu-batu nisan dari kubur kubur tersebut juga digunakan untuk pembinaan kubu pertahanan A Famosa tersebut.Musnahnya kompleks makam diraja Melaka tersebut sememangnya merupakan satu kerugian yang amat besar kepada khazanah kebudayaan Melayu Melaka.

Namun pada tahun 1921,telah ditemui satu penemuan yang mengejutkan.Sebuah batu nisan dengan ukiran khat yang sangat unik dan halus telah ditemui di sebalik runtuhan dinding kota A Famosa,di mana sebelum itu,batu nisan itu mungkin adalah sebahagian dari batu batu peninggalan era Kesultanan Melaka yang digunakan Portugis sebagai bahan binaan untuk membina dan menambak tembok kota A Famosa tersebut.

Nisan yang telah patah bahagian atasnya didapati berukirkan tulisan khat Arab yang dipahat dengan unik.Tulisan khat berbahasa Arab tersebut dapat dibaca oleh seorang sarjana Belanda bernama Jean Pierre Moquette (1856 - 1927).


Berikut merupakan petikan tulisan bahasa Arab yang terdapat di atas permukaan batu nisan misteri itu;

"Hadzihi al-raudzat al-mukaddasat al-mutahharat al-zawiyat al-safiyat al-munnawarat lil Sultan al-adil wa'l malik al-badzil al Sultan Mansur Shah ibni Muzaffar Shah al-marhum ; Qad intaqala min dar-al mahal (i) ila dari i'l ma'al (i) yawm al Arba'a min Rajab,sanat ithnataini wa thamanina wa thamanumiata"

Terjemahannya dalam bahasa Melayu ;

"Inilah kubur yang suci,yang kudus makam yang bergemerlapan cahayanya kepunyaan sultan yang adil dan raja yang pemurah iatu Sultan Mansur Shah ibni al-marhum (Sultan) Muzaffar Shah ; sesungguhnya telah berpindah ia dari negeri berubah-ubah (yang baru) ini ke negeri tempat kembali yang penyudah pada hari Rabu,bulan Rejab,sanat (tahun) dua dan lapan puluh dan lapan ratus." (bermaksud tahun 882 Hijri bersamaan 1477 Masihi)

Di sebelah peermukaan nisan yang bertulis tersebut,terdapat beberapa baris tulisan lagi yang sebahagiannya telah pudar dan rosak.Walau bagaimanapun,dua baris teratas tulisan itu berjaya dibaca oleh J.P Moquette.Tulisan yang juga dalam bahasa Arab itu bermaksud ;

"Sesungguhnya dunia ini fana,dunia ini tidak kekal"

"Sesungguhnya dunia ini ibarat sarang yang ditenun oleh labah-labah"

Dari penemuan batu nisan,akhirnya ditemui semula satu khazanah epigrafi Melayu Islam yang sangat berharga ini dari terus tersembunyi di sebalik runtuhan A Famosa tersebut.Diketahui bahawa batu nisan ini asalnya milik makam seorang sultan Melaka bernama Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muzaffar Shah.

Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) ini merupakan antara sultan Melaka yang teragung dalam sejarah dan pada masa pemerintahan bagindalah,Kesultanan Melaka mencapai zaman kegemilangannya sebagai penguasa unggul perdagangan antarabangsa di Selat Melaka serta menjadi empayar terkuat di Kepulauan Melayu pada pertengahan abad ke 15 Masihi.

Selepas anda membaca artikel ini,tentu anda tertanya tanya mengapa dalam banyak banyak makam raja-raja Melaka yang hilang,hanya batu nisan makam Sultan Mansur Shah sahaja ditemui? Di mana kesan makam Sultan Mansur Shah yang sebenar berada? Di mana pula makam raja raja Melaka lain seperti Iskandar Syah (pengasas Melaka), Sultan Muhammad Shah dan Sultan Muzaffar Shah?

Sekian,wallahualam

Info : Hanya dua makam pemerintah Kesultanan Melaka yang masih terpelihara dan wujud sehingga sekarang iatu Makam Sultan Alauddin Riayat Shah (1477 - 1488 Masihi) di Pagoh,Johor dan Makam Sultan Mahmud Shah (1488 - 1511 Masihi) di Kampar,Sumatera Timur,Indonesia.

Bibliografi : Othman Mohd Yatim dan Abdul Halim Nasir,EPIGRAFI ISLAM TERAWAL DI NUSANTARA,terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2007)

-RAD-

Continue Reading...

fikir

No comments:
Continue Reading...