Saturday, April 4, 2009

jalan penuh liku

No comments:
- kepada pejuang

jalan ini penuh liku
kenalilah lorong dan denai perjuangan
fahamilah makna dan sumpah perjuangan
hayatilah semangat dan roh perjuangan
jalan ini penuh liku
masih banyak menunggu dan menanti
di balik semak dan belukar masa depan
mereka yang bangga membesarkan keraguan
mereka yang lega membenihkan kebencian
mereka yang rajin membajak ketaksuban
mereka yang menggali parit kegagalan
menanti di lorong-lorong kesempatan

jalan ini penuh liku
untuk sampai ke rumah kemenangan
bukakanlah pintu kasih sayang
bukakanlah jendela simpati
sambutlah suara dan seru mereka yang jauh di bendang
mereka yang berpanas di lautan
mereka yang tak pernah berhenti berjuang
mereka yang tak pernah menyoal manakah hasil perjuangan
sebaliknya terus berjuang kerana
mereka telah jadikan perjuangan darah dan daging
kehidupan
dengarkanlah keluh dan ratap
tawa dan senda mereka
kerana di situlah bermulanya
perjuangan nasib bangsa

jalan ini penuh liku
dan pastinya ramai yang datang membawa mangkuk harapan
minta diisi dengan keberanian dan keadilan
minta dipenuh dengan keikhlasan dan kesepakatan
mereka menunggu dan menunggu
isilah mangkuk harapan dengan
bubur dan sayur kemuliaan
mereka pasti senyum bahagia
mencari jalan pulang

jalan ini penuh liku
peganglah hati dan suara mereka
setiap kali memegang tangan dan bertanya khabar
usapkan keyakinan dan belaikan semangat
mereka pasti akan berlari dan terus berlari
memikul perjuangan ini
seia sederap bersama

jalan ini penuh liku
jangan biarkan mereka yang pernah berjasa
sendirian meratapi kesunyian
sebaliknya kongsikanlah kesunyian mereka
dengan cerita bahagia tentang wangi sejarah mereka
kerana apapun yang terjadi mereka adalah pejuang
dengan lakaran peta bakti yang ditinggalkan

jalan ini penuh liku
mara melangkah menuju yang satu


-selamat berjuang untuk semua di bukit gantang, bukit selambau dan batang ai
jalan ini penuh liku tetapi kita masih mampu
selamat kembali tun dr mahathir dan tun dr siti hasmah
Continue Reading...