Sunday, December 30, 2018

BERSATU pilihan orang Melayu

6 comments:
Parti BERSATU sebagai pilihan orang Melayu, bukan lagi UMNO


PELBAGAI peristiwa berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lalu setelah Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO. Namun, sejak akhir-akhir ini, beberapa Ahli Parlimen UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan mungkin lebih ramai selepas ini.

Apakah BERSATU bakal mengambil alih peranan UMNO sebagai tunjang perjuangan orang Melayu? Ikuti wawancara khas wartawan NSTP, KADIR DIKOH bersama beberapa editor kanan media tempatan, dengan Pengerusi BERSATU yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya, baru-baru ini.

S: Baru-baru ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerima kemasukan tiga bekas Ahli Parlimen UMNO, dan dijangka lebih ramai akan berbuat demikian. Apa sebenarnya yang sedang berlaku dengan perkembangan terbaharu ini?

J: Kita tidak boleh mengutuk semua ahli UMNO hanya atas kesalahan yang dilakukan kepemimpinan parti itu. Ini kerana ada antara mereka yang komited kepada perjuangan parti dan ada yang tidak. Mereka ini hanya menjadi pengikut, kepemimpinan parti yang menentukan hala tuju parti. Sebagai pengikut parti, mereka tidak terbabit langsung dalam membuat formula dan dasar berkaitan parti. Mereka ini orang biasa yang terpilih menjadi calon dan terpilih serta menang pilihan raya. Sekarang mereka sudah melihat ada tuduhan yang berat ke atas Najib (Datuk Seri Najib Razak), mereka nampak UMNO bukan lagi parti seperti dulu dan tidak lagi berjuang dalam landasan perjuangan asalnya, jadi mereka memutuskan untuk keluar parti.

Ada antara mereka ini masih berminat terbabit dalam politik, maka mereka mahu menyertai BERSATU tetapi menyatakan enggan memegang apa-apa jawatan dalam parti termasuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya akan datang. Jadi, kami beritahu mereka untuk menyertai BERSATU, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi, satunya mereka perlu meninggalkan UMNO dan menjadi ahli Bebas, sepanjang tempoh itu mereka perlu menunjukkan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH). Selepas itu, mereka boleh memohon untuk menyertai kami, atau boleh membuat permohonan awal menyertai BERSATU.

Namun, kami akan menilai sikap mereka sebelum diterima masuk ke dalam BERSATU. Satu lagi syarat, mereka boleh menyertai BERSATU dan tidak akan diberikan apa-apa jawatan dalam parti. Pada masa depan, mereka boleh bertanding merebut jawatan tetapi pada masa ini, mereka tidak sama sekali akan diberikan sebarang jawatan yang ada dalam parti, ketika ini. Mereka boleh menyertai BERSATU sebagai ahli biasa, tanpa memegang apa-apa jawatan. Sebagai mana yang diketahui, pada pilihan raya lalu, UMNO masih menjadi parti yang popular di mata sesetengah pengundi Melayu. UMNO menjadi parti yang istimewa bagi sesetengah orang Melayu, tetapi ada yang kecewa dengan perkembangan semasanya.

Jika BERSATU mendapat tempat di hati orang Melayu, maka parti ini akan menjadi kuat dan ini akan mengukuhkan kedudukan dalam PH. Kami bukannya secara mudah mahu mengambil pemimpin UMNO. Kami bukannya mengambil pemimpin UMNO secara semberono, kerana tiada tempat diberikan kepada kepemimpinan UMNO yang ada kes di mahkamah; menjadi penyokong tegar Najib dan mereka yang pernah menyumpah seranah pemimpin BERSATU dan PH termasuk yang melabelkan saya dengan pelbagai gelaran. Ini bermakna bukan sesiapa saja bebas untuk menyertai BERSATU.

S: Ramai yang berasakan kemasukan pemimpin UMNO ke dalam BERSATU satu perkembangan yang tidak sihat untuk parti. Bagaimana dengan perkara ini?

J: Mereka yang mahu menyertai BERSATU ini bukannya dalam kalangan pemimpin UMNO, mereka ini hanya pengikut saja, jika ada pemimpin pun hanya satu dua orang saja. Pemimpin UMNO yang mahu menyertai BERSATU tidak mudah mempengaruhi cara parti ini. Kebanyakan pemimpin yang ada dalam BERSATU hari ini, pernah juga menjadi pemimpin dalam UMNO, namun mereka ini ada pemikiran mereka sendiri dan mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan cara UMNO ini.

S: Adakah pemimpin dalam PH ada mengemukakan kebimbangan mereka dengan perkembangan terbaharu ini bahawa UMNO mengambil alih kepemimpinan BERSATU?

J: Memang ada pemimpin dalam PH yang menyatakan kebimbangan mereka. Kami juga memandang serius perkara ini, kerana kami tidak mahu UMNO dilihat sedang mengambil alih BERSATU atau parti lain dalam PH. Kami serius memastikan perkara ini tidak berlaku kerana sesetengah yang mahu menyertai BERSATU ini, ada pengaruh mereka sendiri di kawasan masing-masing. Jika kita menolak mereka ini, ia akan memberi kesan kepada undi dan sokongan kepada BERSATU. Mereka ini boleh menambahkan undi kepada kita. Kita mahukan undi mereka ini untuk mengukuhkan kedudukan BERSATU dan PH.

S: Adakah ini strategi PH untuk mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen?

J: Saya secara peribadi tidak minat dengan persoalan mendapatkan sokongan dua pertiga ini. Saya mahukan pembangkang yang kuat. Pada masa ini, tiada pembangkang yang kukuh, kerana nampaknya kebanyakan menuju kehancuran. MCA dan MIC nampak seperti tidak berfungsi, begitu juga beberapa parti lain di Sabah. UMNO pula dilihat terbahagi kepada beberapa kumpulan, ada yang mahu kekal dalam Barisan Nasional (BN), ada yang mahu keluar, ada yang mahu bermain politik dan membuat ikatan dan kesatuan baru politik. Tidak ada parti pembangkang yang boleh dipercayai ketika ini. Ketika saya menerajui BN, saya selalu kata, kita mahukan pembangkang yang boleh dipercayai dan untuk menjadi ‘cermin’ kepada kita. Jika tidak ada ‘cermin’ ini, kita selalu akan ingat kita sentiasa cantik sedangkan kita hodoh sebenarnya.

S: Baru-baru ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyatakan UMNO membuat perundingan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagal berunding dengan Tun. Adakah ini bermakna UMNO kini sedang bermain politik dengan anda dan Anwar?

J: Terpulang kepada mereka, jika mereka hendak jumpa saya, saya akan menemui mereka, jika mereka mahu berjumpa Anwar, jumpa saja, mereka boleh jumpa sesiapa saja yang mereka mahu. Kerajaan PH hari ini, tidak melarang sesiapa saja untuk berjumpa atau bercakap dengan mana-mana pemimpin dalam kerajaan. Kita tidak seperti kerajaan zaman Najib, apabila ada orang yang berjumpa dengan saya mereka akan terus dikenakan tindakan. Begitu juga, pegawai sektor korporat pun dilarang bertemu dengan saya, sehinggakan semua kawan saya terpaksa ‘lari’ kerana jika mereka bertemu dan menyatakan sokongan kepada saya, mereka bakal berhadapan tindakan. Malah, ada satu syarikat menyatakan sokongan kepada saya, mereka dikenakan tindakan membayar cukai tambahan sehingga RM90 bilion. Sampaikan pada satu ketika, saya tiada kawan dan tiada duit kerana mereka ini takut memberikan bantuan sehinggakan saya terpaksa bersusah payah sendirian. Sekarang ini, kita tidak sekat kalau ada sesiapa mahu berjumpa Najib, malah sesiapa pun boleh berjumpa Anwar dan kalau nak jumpa Lim Kit Siang atau sesiapa pun, tiada masalah. Itu hal mereka.

S: BERSATU mengadakan Perhimpunan Agung keduanya. Apakah mesej yang mahu disampaikan dalam perhimpunan kali ini.

J: Pencapaian BERSATU tidak begitu baik pada pilihan raya umum yang lalu. Kami hanya memenangi 13 kerusi kerana parti ini tidak dapat didaftarkan apabila disekat oleh kerajaan terdahulu. Keadaan itu menyebabkan BERSATU terpaksa bertanding pada pilihan raya menggunakan tiket dan logo serta bendera PKR. Di sesetengah tempat, pengundi tidak faham bahawa calon BERSATU menggunakan logo PKR dan ini mungkin sebab kami kalah. Seperti di Kedah, selain Parlimen Langkawi, tempat saya bertanding dan Jerlun kawasan Datuk Seri Muhkriz, keputusannya tidak konsisten sedangkan kami percaya boleh menang banyak kerusi, tetapi kalah. Sekarang, pendaftaran BERSATU sudah disahkan dan boleh menggunakan bendera dan logo kami sendiri. Namun, kini calon BERSATU bertanding atas tiket PH yang mana dulu tidak dapat didaftarkan sebagai satu pakatan. Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PH tidak dapat didaftarkan, kerana ketika di zaman Najib, mana-mana parti yang menjadi saingan BN akan disekat pendaftarannya.

S: Tun menyatakan untuk hanya menjadi Perdana Menteri bagi tempoh dua tahun saja, adakah Tun akan terus kekal menjadi Pengerusi BERSATU selepas itu atau ada perancangan lain?

J: Saya akan terus menjadi Pengerusi BERSATU kerana saya masih Ahli Parlimen. Saya cuma tidak jadi Perdana Menteri saja.

S: Apakah penilaian Tun terhadap pencapaian pemimpin BERSATU yang ada dalam barisan Kabinet?

J: BERSATU hanya memenangi 13 kerusi Parlimen tetapi mempunyai kekuatan yang sama dengan parti lain dalam barisan Kabinet. Kami mempunyai enam wakil dalam barisan Kabinet sama seperti parti lain dalam PH. Mereka (Menteri ahli BERSATU) masih baru, ada antara mereka datang berjumpa dengan saya untuk mendapatkan nasihat. Adakala mereka ini teruja dan membuat kenyataan yang tidak berapa baik untuk parti dan diri mereka sendiri. Kita tidak boleh harapkan orang baru boleh menjadi pakar pada hari pertama mereka melaksanakan tugas masing-masing. Ada yang buat kesilapan, namun, perkara itu boleh kita perbetulkan.

S: Perhimpunan Agung BERSATU bermula, apakah mesej dan agenda yang akan dibawa?

J: Kita akan beritahu rakyat dalam Mesyuarat Agung kedua ini bahawa Kerajaan PH sudah pun dapat menyusun kerajaan. Pada masa ini, orang ramai masih tidak menghargai sedangkan bukan mudah untuk menyusun lima parti menjadi satu kerana kita bukannya bersatu sejak dulu. Saya hanya orang luar dan diterima sebagai Perdana Menteri. Apa yang tidak boleh dinafikan sekarang ini, kita sudah ada kerajaan dan berfungsi seperti kerajaan iaitu kita membahagikan kerja mengikut kementerian dan jabatan. Kita sebenarnya sebagai sebuah kerajaan sudah mencapai banyak kemajuan tetapi kita tidak umumkan. Satunya, kita dapati kakitangan kerajaan telah dihasut kerajaan Najib dulu sehingga terbabit rasuah dan kecurian wang serta mereka memihak kepada BN. Orang itu, kita perlu singkir dan dipindahkan ke tempat lain, dan tempat itu kita kena digantikan dengan orang lain. Perkara ini walaupun sukar, hari ini kerajaan ini sudah dapat berfungsi dan boleh pergi membuat rundingan dengan pelbagai pihak termasuk ASEAN dan APEC, kita berjalan seperti sebuah kerajaan walaupun telah dirosakkan oleh Najib.

Berkenaan soal kewangan, kita percaya kita dapat kurangkan hutang yang dibuat pada zaman Najib yang lebih RM1 trilion itu. Kesannya, duit kita yang ada daripada cukai ini, kita terpaksa gunakan untuk membayar hutang dan ini menyebabkan kita tidak cukup untuk memberi wang BRIM. Itu bukan cara kita. Kita akan tolong orang miskin tetapi bukan beri bantuan umum kepada semua orang hanya untuk dapat sokongan mereka. Kita kekurangan wang sekarang ini, namun kita dapat perkenalkan satu bajet yang lebih besar daripada 2018. Semua ini, rakyat masih pertikaikan. Kita sudah buat macam-macam benda yang jika dibandingkan dengan negara lain, ini tidak mungkin dapat di buat. Biasanya, di negara lain apabila bertukar kerajaan, akan ada rusuhan dan percubaan menjatuhkan kerajaan dan sebagainya. Ini tidak berlaku di sini. Kita masih dapat sokongan rakyat, kita tidak boleh cerita semua yang kita buat kepada rakyat kerana mengambil kira kesan kepada pasaran. Kita kena ambil kira juga pasaran saham ini supaya pelabur asing dan tempatan terus berjalan. Kita kena cakap dengan cara yang tertib supaya kita tidak menyebabkan perkara negatif berlaku kepada kita.

S: Ada dilaporkan prestasi Menteri dalam kalangan ahli BERSATU kurang memuaskan, adakah kemungkinan berlaku rombakan Kabinet selepas Perhimpunan Agung parti ini nanti?

J: Ini (prestasi) untuk membuat perbandingan dengan siapa, adakah hendak buat perbandingan dengan Najib. Anda mahu kerajaan Najib menangkah? Jika Najib menang, apa akan jadi dengan negara ini? Akan banyak lagi hutang dan banyak lagi yang rosak, banyak penekanan, ada rasuah dan akan ada pencurian. Perkara itu tiada dan ini satu kejayaan BERSATU. Sekarang ini, itu semua sudah tiada, tiada lagi sungutan berkaitan rasuah, kita tidak berapa dengar dah, saya tidak tahulah jika ada laporan atau tidak. Sekarang ini, orang berasa bebas dan lega, itu satu kejayaan.

Sekarang ini, kita bagi keyakinan kepada rakyat, mereka boleh bergerak berniaga, berkawan sesiapa saja dan bercakap. Itu bukan kejayaankah, kalau kita hendak bandingkan dengan zaman Najib. Nak buat perbandingan dengan siapa? Jika kita bandingkan kerajaan dulu, dulu lain pada masa itu tiada masalah pencurian, tapi kini kita menghadapi banyak kekurangan wang. Dalam keadaan itu pun, kerajaan sekarang berjalan dengan baik dan berjaya memberi keyakinan kepada orang asing malah mereka memandang tinggi pencapaian kita. Tetapi orang sini (rakyat) tidak menghargai, mereka hendak segera, dalam tempoh enam bulan, tiada masalah, mana boleh tiada masalah jika kita ada hutang lebih RM1 trilion. Misalnya, kalau gaji RM4,000 sebulan tetapi kita membuat hutang lebih RM50,000, bolehkah kita kata kita tidak ada masalah.

Dulu kita tidak pernah hutang sampai macam itu. Masa saya dulu pun tidak pernah, masa Tun Hussein, masa Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman pun sama. Kita ada buat hutang tapi tidak pernah sebanyak itu. Ini buat hutang sampai tidak boleh bayar. Sekarang ini, mereka kutip cukai untuk bayar hutang jadi duit yang kita dapat jadi sikit.

S: Jadi, tidak akan berlaku rombakan Kabinet?

J: Tidak ada rombakan Kabinet kerana kita bagi peluang untuk mereka meningkatkan prestasi mereka.

S: Adakah benar dakwaan yang menyatakan BERSATU kini adalah BERSATU 2.0 kerana sudah ramai ahli UMNO menyertainya.

J: Biarlah BERSATU ini menjadi parti Melayu Bumiputera. Sesiapa yang Melayu Bumiputera boleh masuk menjadi ahli BERSATU tetapi ada syarat. Orang yang mahu menyertai ini perlu bersih dan tidak terbabit rasuah serta dedikasi menjalankan kerja kepada rakyat dan negara. Sesiapa yang pegang prinsip itu, kita boleh terima.

S: Tun, apakah usaha untuk menarik ahli BERSATU dalam kalangan orang muda?

J: Kita memberi tempat kepada orang muda. Tak pernah dalam sejarah Malaysia orang berumur 25 tahun menjadi Menteri (Syed Saddiq), itu penghargaan kita. Wanita juga begitu, ada empat Menteri wanita. Tidak pernah ada dalam Malaysia. Jadi, kita percaya bahawa orang muda juga berkaliber, boleh, sehingga nak buat rundingan dengan negara luar dan berdebat dengan negara asing, boleh. Jadi orang muda ada tempat dalam parti BERSATU, lebih daripada UMNO. Ya, kita ada Pemuda (UMNO), tetapi Pemuda tidak pernah dapat tempat. Kita percaya parti ini akan dipengaruhi minda muda, dan mereka ini kita harap apabila dewasa akan mengambil alih (pentadbiran) daripada orang dewasa sekarang.

S: Tun ketika kali pertama menjadi Perdana Menteri mempengerusikan Perhimpunan Agung UMNO. Ini kali pertama Perhimpunan Agung BERSATU, atas kapasiti Perdana Menteri dari BERSATU. Tahun lalu, mesyuarat agung BERSATU diadakan di dewan kecil, Shah Alam. Adakah mesyuarat agung BERSATU kali ini, mungkin akan berbeza dengan sistem yang Tun perkenalkan sebelum ini?

J: Mesyuarat agung (AGM) ini belum lagi AGM yang tersusun rapi kerana pemimpin BERSATU, ketika ini dilantik waktu kita tubuhkan parti, jadi mereka bukan dipilih penyokong mereka di bahagian-bahagian. Jadi kita akan adakan mesyuarat agung lagi, beristima (berhajat) untuk menukar perlembagaan supaya kita boleh tubuh cawangan, bahagian dan selepas itu, pemimpin cawangan dan bahagian akan dipilih oleh ahli bahagian dan cawangan itu. Kemudian, apabila kita ada sekali lagi, mesyuarat agung, maka wakil mesyuarat agung itu akan datang daripada pemimpin bahagian yang dipilih. Jadi itu, cara kita buat (AGM) secara tersusun. Ada juga cadangan, kita membenarkan setiap ahli membuat pemilihan. Dan kita dapati bahawa sistem itu terdedah kepada pelbagai masalah (gangguan). Jadi, di waktu ini walaupun kita akan pinda perlembagaan, tetapi masih terbuka untuk memilih perlembagaan yang lebih sesuai dengan parti kita. Kali ini, walaupun kita ada mesyuarat agung, tetapi ahli yang datang dipimpin pemimpin yang dilantik.

S: Bagaimana penerimaan rakyat kepada BERSATU?

J: Makin ramai (sokong) BERSATU. Tetapi ada masalah sikit, nak daftar ahli baharu, susah. Kadang-kadang ada orang tidak begitu betul (waras) buat masalah, dalam mendaftar ahli baharu, jadi untuk menyusun pendaftaran, kadang-kadang timbul banyak masalah.

S: Bagaimana sistem pemilihan yang sesuai untuk BERSATU?

J: Saya berpendapat one man one phone susah la. Lebih baik kita jemput, yang nampak sama dengan UMNO, tetapi kita lihat kriteria berlainan.

S: Tiga parti mendapat sokongan Melayu, begitu juga DAP yang mempunyai ahli daripada pelbagai kaum. Bolehkah BERSATU menjadi ‘kuat’ hanya dengan mendapat sokongan Melayu seperti UMNO, kerana persaingan mendapatkan undi Melayu sangat tinggi ketika ini?

J: Ketika pembentukannya, UMNO sangat kuat. Secara praktikalnya, ketika itu, ramai Melayu menyertai UMNO, dan sebab itu, UMNO menjadi parti orang Melayu. Bagaimanapun, ketika kita sedang bersusah payah menuntut kemerdekaan daripada British, kita memberi kerakyatan kepada Cina dan India. Ya, kita memberinya (kerakyatan). Tambahan kepada itu, Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri) memberi sejuta kerakyatan tanpa syarat kepada bukan Melayu. Kerakyatan Melayu menurun daripada 80 peratus kepada 60 peratus. Dengan majoriti 60 peratus Melayu, PAS meninggalkan UMNO. Ulama dalam UMNO, keluar dan menyertai PAS, dan menggunakan agama untuk menarik ‘keluar’ ramai orang Melayu yang ‘beragama’.

Dengan itu, UMNO terpaksa bergantung kepada parti lain dan ketika mencapai kemerdekaan, kita sudah membentuk gabungan dengan MIC dan MCA. Jadi, kita terpaksa mengukuhkan hubungan dengan MIC dan MCA, dan dengan cara itu sahaja mereka diterima masuk dalam kerajaan Barisan Nasional (BN). Masa itu, UMNO masih kuat, kerana PAS hanya boleh mendapat sokongan kuat di Pantai Timur. PAS tidak pernah menjadi kerajaan. UMNO jadi kuat (memerintah), tetapi kemudiannya, disebabkan defection, excoursion, UMNO menjadi makin lemah. Kemudian, saya keluar UMNO pada 2003, UMNO masih lagi kuat. Dalam satu pilihan raya, 90 peratus kerusi dimenangi UMNO dan BN. Selepas itu, kepemimpinan UMNO berada di landasan salah, dan UMNO kehilangan sokongan. Saya cuba bersama mereka, tetapi saya sudah meninggalkan parti.

Dan apabila Najib datang (Perdana Menteri), saya kembali menyertai UMNO, dengan harapan memperkukuhkan UMNO, tetapi sekali lagi, Najib membuat kesalahan. Sekali lagi, saya terpaksa tinggalkan UMNO. Melayu sepatutnya mempunyai hanya satu parti, tetapi apabila parti melakukan kesalahan, kita tidak boleh memaksa Melayu menyokong parti (UMNO). Saya terpaksa keluar, dan BN perlu ada gabungan baharu. Parti baharu Melayu, tidak akan pernah dapat menggantikan BN. Parti baharu yang kita tubuhkan dengan parti pembangkang, mempunyai objektif yang sama. Objektifnya, untuk menjatuhkan Najib.

S: Adakah BERSATU akan jadi satu parti orang Melayu, seperti yang pernah dimenangi UMNO?

J: Melayu mahu parti yang kuat. BERSATU adalah parti orang Melayu, dan pelbagai kaum lain, mereka nak masuk BERSATU. Kalau mereka tidak sertai BERSATU, ke mana mereka nak pergi? Mereka tidak boleh sertai UMNO. UMNO dah musnah. Mereka sertai BERSATU, kerana Melayu takut dan mereka rasa terancam, mereka rasa kalau mereka ‘berpecah’, mereka tidak boleh dapat hak dan layanan sama rata daripada negara ini. Mereka ini sedang ‘mencari’ parti. Mereka tidak boleh menyertai PKR, kerana parti itu terima keahlian kepelbagaian kaum. Mereka tidak dapat sertai AMANAH kerana itu parti pelbagai kaum, juga tidak dapat sertai DAP. Jadi apa pilihan mereka?

S: Tun, berapa lama masa untuk Melayu dapat keyakinan?

J: Saya harap ini tidak akan mengambil masa yang lama, tetapi saya ingin katakan perkara ini, yang saya sedang mengkaji tingkah laku manusia. Apa yang membuat mereka berjaya atau gagal, ada kaitan dengan budaya dan amalan mereka termasuk sistem nilai yang dipegang. Kita membuat perbandingan antara Melayu dan Cina. Orang Cina ini kerja kuat, dinamik dan sangat berpengetahuan, (sebab itu) mereka berjaya, dan walaupun tanpa gabungan mereka terus berjaya. Lihat negara kita sekarang, Melayu tinggalkan bandar untuk menetap di kampung. Tiada lagi Kampung Kerinchi, tiada lagi Kampung Abdullah Hukum, tiada lagi Sungai Penchala, kerana mereka miskin dan mereka ketakutan untuk jadi lagi miskin. Mereka menjual tanah mereka pada harga yang tinggi dan pindah ke kawasan pedalaman. Bandar berkembang menjadi kawasan pedalaman. Sekali lagi, mereka jual tanah dan ulangi proses sama.

Sehingga sekarang, ia kembali menjadi hutan. Mereka ketakutan, tetapi akhirnya mereka kembali menetap dalam hutan. Mereka mahu seseorang melindungi mereka, dan percaya hanya Melayu boleh melindungi mereka. Jadi, mereka mahu parti ini. Kalau kita tidak mendekati mereka, kita tidak akan mendapat sokongan dan kita akan selalu kalah. Sepatutnya, kita tidak menubuhkan BERSATU, dan tidak menekankan yang kita parti Melayu. Saya sangat yakin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Najib akan menang seperti PRU-13. Ya, majoriti undi popular diberikan kepada pembangkang tetapi kerana struktur perlembagaan, Melayu masih boleh menang pilihan raya dan membentuk kerajaan. Tetapi, mereka membentuk incompetence crooked goverment - Kleptokrasi.

S: Tun bagaimana untuk mengubah pemikiran orang Melayu yang terlalu selesa dengan UMNO, selama ini?

J: Banyak benda yang kita buat, kita kena tukar. Nilai hidup yang kita pegang dan amal, tetapi nilai hidup kita tidak sesuai dengan kejayaan. Kita tahu kalau tak kerja, tidak dapat duit. Kalau tak usaha, kita tak maju. Kenapa orang Bangladesh datang sini? Ini kerana orang Melayu tak mahu kerja. Saya jumpa satu kumpulan pemilik restoran, mereka nak bawa masuk pekerja dari India. Saya tanya, kenapa tidak ambil Melayu? Mereka jawab, ‘sudah ambil tetapi tiga, empat hari mereka lari”. Tadi, saya baru jumpa kontraktor Melayu. Saya tanya, pekerja datang dari mana? Beliau jawab, “pekerja datang dari Indonesia, Thailand”. Saya tanya lagi, “Melayu mengapa tak ambil?”. Beliau jawab, “ ambillah. Dapat 100, lekat tiga orang. Kenapa? Panas la. Nak buat kerja panas, sampai tak mahu buat kerja (buruh). Saya kata, ‘kalau tak mahu kerja, orang lain masuk la. Negara kita sekarang, sudah mempunyai tujuh juta pendatang asing kerana kita (Melayu) tidak mahu kerja”.

Bila saya kata Melayu malas, ramai yang marah saya. Tetapi ini kebenaran. Ada orang kata tidak mahu kerja restoran kerana kena kerja lapan jam, kerja pelayan, bukan nak kena pandai (bijak belajar) sangat. Tetapi kerana kena berdiri lapan jam, lenguh, tidak mahu kerja. Ada yang takut kerja panas, berpeluh, takut hitam. Jadi, kalau kita tidak mahu kerja, orang lain (asing) akan datang bekerja dan akhirnya, pendatang asing yang memiliki kekayaan dan negara kita. Kita tidak boleh marah kepada dia (pendatang asing). Kenapa orang Cina, India datang sini? Kerana kita tidak mahu kerja. British buka ladang getah, kita (Melayu) tak mahu kerja. Kita nak kerja tanam padi, dalam setahun tak perlu kerja kuat dan lama. Lepas tanam padi, nak tangkap ikan sikit, tetapi kita tidak mahu kerja buruh. Sekarang, kalau kerja di kilang, mahu kilang yang ada aircond, tetapi kita kena belajar, rajin.

S: Adakah BERSATU akan menjadi parti yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu kerana ramai kecewa dan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku hari ini?

J: Kalau tidak BERSATU, siapa? Mahu masuk UMNO? Kalau boleh masuk UMNO pun, apalah sangat. UMNO penyangak. Dia (Melayu) nak pergi ke mana? Kita tidak bagi tempat kepemimpinan (jawatan) kepada mereka tetapi yang bersih, bukan daripada UMNO, kita beri tempat. Kita sahaja parti Melayu yang ada. Kalau dia nak parti Melayu, BERSATU sudah ada. Kalau BERSATU tak baik, pergi bagi baiklah. Kalau anda tahu cara untuk baiki, masuk (sertai parti) dan baiki.

S: Macam mana BERSATU nak selesaikan masalah ‘orang tak mahu kerja’ ini?

J: Kita ada masalah besar, yang akan mengambil masa lama untuk diserap. Perkara paling penting adalah karakter orang (pemimpin) dan sistem penilaian kepada rakyat. Sistem penilaian jika salah, dan sistem yang mereka ada, tidak akan pernah membawa kejayaan kepada mereka. Kita tahu ada segelintir negara yang berjaya, ada negara yang gagal. Mereka semua sama dan tidak ada banyak perbezaan antara China, Jepun dan Korea. Tetapi sistem penilaian mereka dilihat berjaya. Melayu kata mereka mengambil pekerja Indonesia. Melayu dan Indonesia, orang yang sama tetapi budaya berbeza. Kontraktor maklumkan mereka suka mengambil pekerja Indonesia, mereka boleh buat kerja lebih masa, bila-bila masa yang disuruh tetapi pekerja Melayu banyak alasan. Kita kena bermula semula di tadika, kerana keluarga tak lagi ajar anak mereka. Ibu bapa bekerja, tiada masa berkualiti dengan anak-anak. Kita akan ke sekolah dan mengajar sistem nilai baharu.

Untuk orang Melayu, sistem nilai terbaik adalah sistem nilai berasaskan Islam. Islam mengajar banyak perkara bagus, tetapi mereka tidak mengikuti. Contohnya, tidak dibenarkan pecah belahkan orang Islam tetapi ada orang kerana politik, memecah-belahkan Islam. Anda semua bersaudara, kita tidak melayan saudara dari parti lain, misalnya, tidak boleh kahwinkan anak kerana berlainan politik. Jadi, kita mahu ajar cara Islam dan kita akan berjaya.

S: Tindakan tegas untuk kekalkan keamanan?

J: Langkah memberi peluang dan sokongan kepada Melayu perlu tetapi mereka adalah Melayu yang sama, yang gagal. Kita perkenalkan banyak dasar, tetapi mereka gagal. Kalau saya beri peruntukkan RM1 juta kepada Melayu, Cina, India. Apa mereka akan buat? Kalau orang Melayu, mereka akan membeli kereta pertama seperti Lamborghini tetapi orang Cina menggunakan duit untuk membuka perniagaan dan orang India pula akan cari tempat, kolej pendidikan untuk menjadi doktor. Inilah kebenarannya. Saya tidak mahu melihat kejatuhan bangsa saya, tetapi saya kena beritahu yang mereka salah. Sebab itu, saya tekankan perubahan tingkah laku. Tindakan tegas semata-mata, tidak akan membawa kejayaan kepada Melayu, mereka mesti menukar karaktor.

S: Adakah dasar pendidikan yang ada kini mencapai sasaran perancangan Tun?

J: Saya sudah bercakap kepada mereka mengenai proses perubahan dasar pendidikan ini. Saya perlu beritahu, sekolah kebangsaan sudah menjadi sekolah agama. Itu yang berlaku kini dan pelajar Cina dan India tidak lagi pergi ke sekolah kebangsaan, kerana ada empat masa digunakan untuk mata pelajaran Islam. Itu tidak salah, jika orang Islam mahu memantapkan mata pelajaran berkenaan tetapi tidak boleh bergantung kepada mata pelajaran itu saja, jika tidak lebih baik kekal dengan sistem lama yang hanya mengajar mata pelajaran agama saja. Mereka perlu diajar dengan pelbagai ilmu lain, Sejarah, Matematik dan Sains. Mata pelajaran Matematik dan Sains ini akan diajar dalam Bahasa Inggeris.

bharian


Continue Reading...

akui silap

No comments:
Melayu perlu akui kesilapan sendiri
Oleh Wartawan NSTP


PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu wajar mengakui kesilapan mereka apabila gagal meningkatkan keupayaan ekonomi mereka berbanding kaum lain menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Perdana Menteri, berkata selama beberapa abad DEB diperkenalkan, dasar itu menambah sedikit kejayaan dan kemajuan Bumiputera.

Namun, katanya, oleh kerana pesaing mereka melonjak lebih jauh dan pantas, maka jarak perpisahan juga menjadi terlalu luas untuk orang Melayu melintasinya.

“Kita orang Melayu dan juga Bumiputera lain mesti pegang kepada kebenaran. Meletak kesalahan kepada orang lain memang sedap tetapi mereka tidak akan betulkan diri mereka untuk menyelesaikan masalah kita.

“Sebaliknya jika kita akui kesalahan pada diri kita, maka bagi yang ikhlas dan jujur, pembetulan boleh dibuat oleh kita. Kita berkuasa ke atas diri kita, tidak ke atas orang lain.

“Saya tidak ingin sebut di sini, apakah kesalahan kita. Tetapi kita perlu akui bahawa banyak sudah tindakan yang dibuat untuk memperbaiki prestasi kita oleh kerajaan tetapi kejayaan amatlah menyedihkan.

“Sebabnya ialah sambutan oleh kita tidak seperti dirancang dan diharapkan. Kerajaan boleh adakan dasar dan layanan kepada kita tetapi jika sambutan oleh kita masih seperti dahulu, hasilnya akan menjadi sama dan mengecewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam ini.

Dr Mahathir turut berkata, dalam percubaan DEB, kaum wanita dilihat lebih serius dan berjaya berbanding kaum lelaki.

“Oleh itu, kita akan tambah punca modal, peluang, lesen dan kontrak juga kepada wanita termasuk di kampung. Kita akan perkenal jenis perniagaan dan peluang baru kepada mereka.

“Untuk meningkatkan kebolehan mereka, latihan dan pelajaran bagi mereka akan ditambah. Keutamaan akan diberi kepada catitan urusan perniagaan.

“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diperbesarkan dan contoh-contoh yang baik dalam perniagaan wanita akan dibantu lagi untuk membesar perniagaan mereka,” katanya.

bharian
Continue Reading...

Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi BERSATU Malaysia

No comments:
Ucapan dasar Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua BERSATU




1. Bersyukurlah kita kerana dapat bersama-sama mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-2 bagi parti kita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini. Berada di PICC ini pun adalah satu kejayaan. Dahulu kita tidak pun dapat berdekatan di sini. Alhamdulillah.

2. Kesyukuran ini juga kerana kita dapat mengadakan perhimpunan ini dengan penuh rasa tenang dan atas kesedaran bahawa kita telah berjaya mencapai sebahagian besar dari perjuangan PPBM.

3. Jika pada perhimpunan yang pertama kita hanyalah sebuah parti pembangkang yang dianggap tidak berkeupayaan menandingi gabungan parti pemerintah, kita berhimpun pada kali ini sebagai satu anggota gabungan yang memerintah.

4. Kerana itu kita perlu bersyukur. Walaupun kita yakin kemenangan itu datang dari kerja kuat ahli-ahli parti dan rakan-rakan dari komponen Pakatan Harapan, semestinya kita menyedari bahawa ianya ditentukan oleh Allah SWT jua. Kita berdoa kepada Allah meminta sesuatu bagi kita. Tetapi jangan kita lupa Allah tidak akan makbulkan permintaan jika kita tidak berusaha sendiri ke arahnya.

5. Kejayaan ini tidak harus menjadikan kita bongkak. Sifat bongkak itu amat dibenci Allah SWT. Selain dari itu ia juga tidak disukai oleh masyarakat. Apabila kita bongkak dan sudah tidak disukai oleh masyarakat, kemenangan kita tidak akan berulang.

6. Kemenangan bukan untuk kita gembira sahaja. Ia datang dengan satu tanggungjawab yang berat. Tanggungjawab yang perlu kita tunaikan ialah memenuhi janji kita semasa berkempen, dan juga yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan.

7. Semasa kita berkempen kita tidak tahu dengan mendalam akan keadaan kerosakan yang telah menimpa negara. Hanya setelah kita mengambil-alih Kerajaan, barulah kita tahu kerosakan yang berlaku amatlah teruk dan merangkumi hampir setiap bahagian pentadbiran Kerajaan. Walaupun sudah tujuh bulan sejak kita mengambil alih tampuk Kerajaan, kita masih menemui kerosakan dalam jentera Kerajaan dan kewangan negara yang tersembunyi dahulu.

8. Malangnya, rakyat sudah bosan dan tidak lagi memberi perhatian kepada kesalahan Kerajaan terdahulu. Mereka hanya ingin lihat hasil pemulihan negara oleh kita. Ramai rakyat yang tidak pun memberi perhatian kepada tindakan undang-undang yang diambil terhadap pemimpin dahulu. Sebaliknya dengan lantang pemimpin dahulu cuba mengajar kita tentang cara-cara kita tangani masalah. Masalah yang ditinggal oleh mereka. Jika mereka begitu pandai, kenapakah mereka tidak betulkan kerosakan semasa mereka memerintah dahulu.

9. Di dalam negara, Peguam Negara telah memulakan langkah-langkah awal untuk mendakwa pemimpin-pemimpin terdahulu atas kesalahan salah-guna kuasa dan rasuah oleh mereka. Tindakan yang diambil ke atas mereka bukan disebabkan oleh perasaan ingin balas dendam oleh kita, tetapi hanya kerana menghormati pemerintahan mengikut undang-undang, the rule of law.



PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

10. Amatlah mengecewakan apabila ada yang menolak kesalahan yang jelas telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang terdahulu. Jika kesalahan mereka tidak diproses mengikut undang-undang maka kita akan dituduh melepas geram dan membalas dendam. Tetapi proses undang-undang mengambil masa. Untuk dilihat kita memerintah mengikut undang-undang kita perlu terima kelewatan proses.

11. Sudah tentu percubaan pemimpin-pemimpin dahulu untuk sekarang menjadi juara orang Melayu dengan mengambil bahagian dalam demonstrasi baru-baru ini tidak ikhlas. Rakyat tidak akan tertipu dengan perbuatan ini. Jika mereka ikhlas, masalah yang kita hadapi tidak akan berlaku.

12. Apa yang sebenar berlaku ialah parti yang dahulu disanjung tinggi kerana perjuangan melawan Malayan Union dan memerdekakan negara, sudah ditolak oleh rakyat, khususnya orang Melayu, kerana terlibat dengan rasuah, pencurian dan pengamalan pemerintahan kleptokrasi. Hari ini mereka hancur berkecai kerana perbuatan mereka sendiri.

13. Hari ini yang penting ialah pemerintahan negara yang baik oleh kita - kita dalam Parti BERSATU bersama rakan kita dalam Pakatan Harapan. Setakat ini kita berjaya menubuh kerajaan di peringkat Pusat dan di beberapa buah negeri. Tidak ada rusuhan berlaku. Pemerintahan kita membawa ketenangan dan kestabilan yang menjayakan rakyat dan pelabur. Ekonomi negara sekarang tumbuh dengan baik walaupun dunia tidak stabil.

14. Hutang kita sedang ditangani dengan baik dan jentera pentadbiran pun dibersih dan dipulih semula. Malangnya rakyat, terutama golongan miskin merasai tekanan kos sara hidup yang tinggi.

15. Kerajaan dahulu pernah memberi duit percuma kepada rakyat secara rambang. Kita Pakatan Harapan (PH) tidak mampu. Sebabnya kita tidak mampu ialah kerana kita tidak selewengkan wang kerajaan. Lagipun sebahagian yang tidak kecil dari pendapatan kerajaan terpaksa diguna untuk bayar hutang dan faedah yang amat tinggi. Jika hutang tidak dibayar maka kita boleh menjadi muflis – bankrap. Kalau jadi muflis, semua pendapatan kita akan diguna untuk bayar hutang. Tidak akan ada wang sedikit pun untuk bantu rakyat. Inilah malapetaka yang dibawa oleh kerajaan dahulu.

16. Kita sedang usaha menurunkan harga barang. Tetapi ini akan mengambil masa sedikit. Insya-Allah kos sara hidup akan turun.



Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - NSTP/Asyraf Hamzah

17. Parti Pribumi Bersatu Malaysia adalah parti Melayu/Bumiputera seluruh Malaysia. Ia ditubuh kerana UMNO, parti Melayu sudah tidak lagi mengutamakan perjuangan asal parti itu – iaitu melindungi dan memajukan orang Melayu dan Bumiputera.

18. UMNO ditubuh kerana orang Melayu sangsi akan kemampuan mereka bersaing dengan kaum lain di Malaysia, terutama apabila merdeka. Di zaman British mereka sudah pun ketinggalan, miskin dan lemah. Hanya dengan bersatu dalam parti politik baharulah mereka dapat yakinkan diri mereka bahawa hak mereka sebagai anak watan tidak akan terlucut dan mereka akan terpinggir di negara mereka sendiri. Penubuhan UMNO meyakinkan mereka bahawa kuasa politik Melayu/Bumiputera boleh menjaminkan keselamatan mereka.

19. Selama 50 tahun lebih setelah merdeka kedudukan mereka terpelihara walaupun kuasa mereka semakin lemah kerana perpecahan di kalangan mereka.

20. Kemudian kepimpinan yang mengambil alih pada 2003 menukar haluan. Dari sebuah parti yang menjadi juara orang Melayu dan Bumiputera, UMNO diubah menjadi alat untuk perkaya diri pemimpin. Rasuah oleh pemimpin berkembang dengan pesat sehingga melibat bukan sahaja pemimpin politik tetapi sebahagian dari anggota kerajaan. Kepimpinan kerajaan sendiri menjadi pengamal utama rasuah dalam negara. Dengan itu pengamalan rasuah berkembang di kalangan pemimpin politik dan juga pentadbiran.

21. Rakyat menderita kerana harga barangan dan khidmat yang tinggi. Khidmat dari anggota kerajaan juga tinggi kerana rasuah. Peniaga dibelasah dengan lebih teruk lagi, dipaksa membayar cukai yang tidak mengikut undang-undang.

22. Cogankata negara dialih kepada “Cash is King”. Duit itu Raja. Maka seluruh anggota kerajaan, politik dan pentadbiran mengejar wang tanpa mengambil kira halal atau haram.

23. Semua ini merosakkan negara terutamanya kewangannya. Daripada sebuah parti yang demokratik, UMNO sudah jadi suatu dictatorship yang tugas utamanya ialah mengekal pemimpin tertingginya. Wang yang dicuri ditabur untuk mendapat sokongan rakyat. Dan rasuah pun merebak luas.

24. Pemimpin UMNO yang tidak senang dengan apa yang sudah berlaku kepada parti cuba membawa balik parti ke landasan asal, tetapi gagal. Nasihat ditolak oleh pucuk kepimpinan. Khidmat kepada negara dan rakyat tidak dianggap boleh menawan hati rakyat. Yang diperlukan ialah sogokan wang. Jika duit tidak cukup, duit dipinjam atas nama kerajaan, tetapi duit itu dicuri untuk sogok rakyat.

25. Maka pemimpin UMNO yang sedar akan pertukaran matlamat dan dasar yang berlaku memilih untuk keluar dari UMNO dan menubuh parti lain. Jika parti baru ini berhasrat mendapat sokongan orang Melayu, maka ia hendaklah menjadi parti Melayu/Bumiputera. Ternampak jelas parti campuran kaum belum dapat diterima oleh orang Melayu. Sebaliknya tanpa sokongan pengundi Melayu, tidak mungkin mana-mana parti kalahkan UMNO.

26. Dengan itu maka ditubuhlah parti kita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Parti ini adalah parti Melayu Bumiputera dari segi keahliannya. Tetapi itu sahaja persamaan dengan UMNO selepas 2003. Kita tidak ingin menjadikan UMNO selepas 2003 sebagai contoh bagi kita. Sebaliknya, Parti Pribumi dengan ikhlas berjuang untuk Pribumi. Soalnya kenapakah keutamaan diberi kepada pribumi dalam negara berbilang kaum. Tentulah PPBM ini menjadi parti perkauman.

27. Kita sudah merdeka lebih dari 60 tahun. Di waktu kita mencapai kemerdekaan harapan kita ialah Malaysia akan menjadi negara satu bangsa yang bertutur kata dalam satu bahasa, berbudaya yang sama. Tetapi harapan ini tidak menjadi kenyataan. Masing-masing kaum tegas untuk kekalkan identiti kaum mereka. Dengan ini kewujudan satu bangsa terhalang, tidak tercapai. Ini tidak berlaku di negara-negara berbilang bangsa yang lain, umpamanya Amerika Syarikat, Australia, Indonesia dan Thailand.


Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - NSTP/Asyraf Hamzah

28. Pengasingan identiti ini tidak mengapa jika tidak terdapat pengasingan dalam aktiviti hidup dan kemajuan. Rata-rata kita dapati pengasingan kawasan juga iaitu kaum-kaum tidak tinggal bersama, tetapi di kawasan masing-masing. Ini pula mengasingkan aktiviti hidup yang berlainan. Umpama satu kaum ramai di bandar, satu kaum di desa dan satu lagi di ladang-ladang. Perpisahan ini mempunyai kesan kepada kemajuan ekonomi dan agihan kekayaan antara mereka. Umumnya yang tinggal di bandar lebih maju dan kaya dari yang tinggal di desa.

29. Oleh kerana orang Melayu dan Bumiputera lain bermastautin di desa maka mereka kurang maju berbanding dengan kaum di bandar.

30. Sekarang ini pula bandar sedang berkembang dengan luasnya. Kerana kemiskinan penduduk Bumiputera di pinggir bandar sering menjual tanah mereka dan berpindah jauh dari bandar, iaitu ke kawasan yang kurang peluang untuk menjana kekayaan. Maka jarak perpisahan antara yang tinggal di bandar dan di luar bandar pun menjadi lebih jauh.

31. Semua yang berlaku ini menakutkan orang Melayu di luar bandar dan orang Melayu dalam bandar yang lebih prihatin terhadap nasib masa depan mereka. Mereka mencari perlindungan dari nasib yang buruk yang akan menimpa mereka, bahkan sudah pun menimpa mereka.

32. Sebenarnya keselamatan mereka hanya dapat ditentukan oleh mereka sendiri dengan meningkatkan keupayaan mereka. Dengan perkataan lain mereka hendaklah kejar ilmu dan kecekapan dan sanggup bertekun dalam usaha menjayakan diri mereka. Tetapi mereka sudah begitu jauh ketinggalan di belakang sehingga sukar bagi mereka mengejar kaum yang kaya. Mereka berpendapat mereka perlu dilindungi dan untuk ini, pada pendapat mereka hanya boleh dilakukan oleh kaum mereka sendiri melalui politik. Sebab itulah parti yang disertai dan dipimpin oleh mereka sendiri perlu diadakan.

33. Inilah sebab-sebabnya kita tubuh Parti Pribumi Bersatu sebagai parti Melayu dan Bumiputera. Sementara kita lindungi Melayu/Bumiputera, caranya bukanlah dengan merampas hak dan harta orang lain. Tidak pernah sepanjang kita merdeka ada rampasan dibuat.

34. Buat beberapa abad negara telah perkenal Dasar Ekonomi Baru; dasar yang bertujuan mengurangkan jarak perpisahan antara kaum. Dasar ini telah menambah sedikit kejayaan dan kemajuan Bumiputera. Tetapi oleh kerana pesaing mereka melonjak lebih jauh dan pantas, maka jarak perpisahan juga menjadi terlalu luas untuk mereka sendiri melintasi.

35. Kita orang Melayu dan juga Bumiputera lain mesti pegang kepada kebenaran. Meletak kesalahan kepada orang lain memang sedap tetapi mereka tidak akan betulkan diri mereka untuk menyelesaikan masalah kita. Sebaliknya jika kita akui bahawa ada juga kesalahan pada diri kita, maka bagi yang ikhlas dan jujur, pembetulan boleh dibuat oleh kita. Kita berkuasa ke atas diri kita, tidak ke atas orang lain.

36. Saya, tidak ingin sebut di sini apakah kesalahan kita. Tetapi kita perlu akui bahawa banyak sudah tindakan yang dibuat untuk memperbaiki prestasi kita oleh kerajaan tetapi kejayaan amatlah menyedihkan.

37. Sebabnya ialah sambutan oleh kita tidak seperti dirancang dan diharapkan. Kerajaan boleh adakan dasar dan layanan kepada kita tetapi jika sambutan oleh kita masih seperti dahulu, hasilnya akan menjadi sama dan mengecewakan.



Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan perwakilan berdiri menyanyikan lagu parti BERSATU pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - NSTP/Aizuddin Saad

38. Dalam percubaan Dasar Ekonomi Baru kita dapati kaum wanita lebih serius dan berjaya dari kaum lelaki. Di mana-mana sahaja kita dapati kejayaan yang tinggi didapati oleh kaum wanita. Ada di antara yang sudah jadi jutawan pun hanya dengan membuat keropok lekor, tudung kepala dan alat kecantikan wanita. Mereka juga mengeluarkan makanan biasa yang tahan lama dan dibungkus dengan cukup menarik. Ternampak jelas jika diberi peluang kaum wanita mampu berjaya lagi.

39. Oleh itu kita akan tambah punca modal, peluang, lesen dan kontrak juga kepada kaum wanita termasuk di kampung. Kita akan perkenal jenis perniagaan dan peluang baru kepada mereka.

40. Untuk meningkatkan kebolehan mereka, latihan dan pelajaran bagi mereka akan ditambah. Keutamaan akan diberi kepada catitan urusan perniagaan. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diperbesarkan dan contoh-contoh yang baik dalam perniagaan wanita akan dibantu lagi untuk membesar perniagaan mereka. Mereka yang berjaya akan dibantu lagi. Pertandingan antara mereka akan diadakan dan hadiah akan diberi kepada yang berjaya besar.

41. Berkenaan dengan peluang bekerja dalam kerajaan dan swasta, yang menjadi ukuran ialah kelulusan yang baik dan pengalaman yang luas. Diskriminasi terhadap wanita semata-mata kerana jenis mereka akan dihapuskan.

42. Generasi muda juga akan diberi layanan istimewa, Dalam pertanian dan perniagaan kita kerap mencuba menjayakan mereka yang sudah ada dalam bidang-bidang ini. Hakikatnya ialah yang sudah dewasa sukar untuk menerima cara-cara dan teknologi baru. Sebaliknya yang muda lebih mudah dibentuk dan disemai dengan cara-cara baru. Kita lihat umpamanya penggunaan komputer dan telefon bimbit lebih mudah dikuasai oleh generasi muda berbanding dengan generasi tua.

43. Ramai dari generasi muda lebih terlatih dan berpelajaran. Pengalaman mereka mungkin kurang. Tetapi ini boleh diatasi dengan pendedahan kepada kerja sebagai pekerja upahan.

44. Hari ini terdapat contoh-contoh yang baik dikalangan orang muda dalam bidang industri, pertanian moden dan ternakan.

45. Negara kita amat bergantung kepada barangan dan makanan yang diimport dari negara asing. Sebaliknya barangan ini boleh dikeluarkan dalam negara kita.

46. Generasi muda akan diberi latihan dan peluang untuk memasuki bidang-bidang ini. Bermula dengan bekerja sebagai tenaga upahan, yang berminat boleh diberi peluang dan dibantu untuk memasuki bidang yang hampir sama, sebagai entrepreneur.

47. Saya tumpukan kepada apa yang akan dilakukan oleh pemimpin politik dari PPBM dalam Kerajaan Pakatan Harapan kerana masa berpolitik sudah berakhir. Kita sekarang menjadi sebahagian dari Kerajaan yang memerintah. Dan Kerajaan yang memerintah berkuasa untuk melayani keperluan rakyat. Kuasa sebagai pemimpin dalam Kerajaan bukan untuk dibanggakan. Ia juga bukan untuk mendapat keuntungan bagi diri sendiri. Kuasa pemimpin Kerajaan ialah untuk memaju dan membangun negara. Dari ini rakyat akan hidup lebih selesa dan sempurna.

48. Matlamat kita masih sama. Kita ingin jadikan negara ini negara maju setaraf dengan negara maju yang lain. Negara maju tidak bermakna jika kita, sebagai sebahagian dari rakyat negara, terus tidak maju seperti kemajuan yang dicapai oleh rakyat lain. Kita tidak hendak jadi puak yang miskin di negara yang kaya. Nikmat dalam negara ini hendaklah dikecapi bersama oleh semua kaum.

49. Ada di antara kita yang berpendapat bahawa kemajuan boleh dicapai jika dihentikan bantuan oleh pemerintah. Yang anehnya ialah orang yang mempunyai pendapat sedemikian mendapat kemajuan kerana dibantu oleh kerajaan, diberi peluang dan tempat dalam kerajaan.

50. Bagi yang lemah, tongkat boleh membantu. Bantuan seperti ini tidak harus dikekalkan. Apabila sahaja kekuatan kembali tongkat perlu digugur.

51. Pendapat bahawa tongkat adalah tanda kemuliaan adalah salah. Mengekalkan tongkat kerana kemuliaan bagi diri tidak berasas. Sebaliknya yang berdiri tegak dalam menghadapi serta mengatasi cabaran – mereka inilah orang yang mulia.

52. Kita jangan tipu diri. Memanggil diri kita Tuan tidak menjadikan kita Tuan jika kita masih menjadi kuli orang.


Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama ahli Majlis Tertinggi ketika menyanyikan lagu Perjuangan Kita pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Saudara, saudari sekalian,

53. Hari ini orang Melayu berada dalam keadaan yang tidak menentu dan kehilangan haluan. Parti mereka kalah dan berpecah sehingga secara berkesan tidak wujud lagi. Pemimpin mereka bertelagah dan ahli tidak tahu apa yang sudah jadi pada mereka. Ada yang keluar dari UMNO, ada cuba hidupkan UMNO. Ada yang masih fikir mereka sebagai sebuah parti politik boleh bergabung dengan parti-parti lain, mendapat cukup bilang untuk mendiri kerajaan campuran. Ada pemimpin yang percaya mereka akan pimpin kerajaan campuran baru ini.

54. Semua harapan ini meleset, mimpi Mat Jenin, mimpi akan sesuatu yang tidak berasas dan tidak akan berlaku.

55. UMNO sudah hancur, dihancur oleh pemimpin yang tamak dan anggap manusia boleh dibeli dengan duit. Sebuah parti yang mulia, dibangun untuk menyelamatkan kaum bangsa Melayu, sekarang dikalah, dihina dan tidak terdaya dipulih semula.

56. Malangnya yang sebenar menjadi mangsa ialah orang Melayu, penduduk pribumi di negara bertuah ini. Mereka sudah hilang jaguh mereka.

57. Apakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ditubuh untuk menyelamatkan orang Melayu dan Bumiputera lain harus berdiam diri dan membiar kehancuran Melayu/Bumiputera berterusan. Walaupun kita bukan pewaris UMNO tetapi kita bertanggungjawab kepada orang Melayu dan Bumiputera.


Perwakilan bersorak tanda sokongan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan dasar pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto BERNAMA

58. Rasis, perkaumankah ini? Dalam negara satu etnik pun apabila berlaku perpisahan yang terlalu jauh antara yang miskin dan yang kaya, sejarah melapor bahawa rusuhan berlaku, perang saudara akan tercetus dan negara akan hancur.

59. Apatah lagi jika perpisahan antara miskin dan kaya ditambah dengan perpisahan antara kaum, yang miskin dari satu kaum, yang kaya dari kaum lain.

60. Kombinasi antara dua faktor ini amatlah merbahaya. Ia boleh mencetuskan rusuhan yang serius dan mendalam. Rusuhan akan membawa malapetaka kepada semua rakyat Malaysia. Tidak semestinya rusuhan akan berlaku. Tetapi ralatkah kita ketepikan kemungkinan.

61. Kaum tidak dapat ditukar. Tetapi jarak antara miskin dan kaya boleh dikurangkan jika tidak pun dihapuskan.

62. Tidak bertanggungjawablah kita jika kita tidak cuba elak dari rusuhan kaum dengan sekurang-kurangnya mengurangkan jarak antara miskin dan kaya.

63. Melayu sekarang sudah keliru, kehilangan pemimpin, kehilangan haluan. UMNO sudah tidak ada lagi. Siapa, parti yang mana yang boleh mereka bergantung?

64. Jikalau tidak BERSATU, parti mana? Mungkinkah PAS? Saya tak nak komen. Pilihlah PAS. Itu bukan pilihan saya.

65. Ya, orang UMNO memang bersalah. Tak payah saya cerita lagi. Kita semua tahu. Tetapi apakah kerana UMNO bersalah kita harus salahkan seluruh bangsa Melayu?

66. Ramai yang tidak senang melihat penerimaan bekas ahli UMNO oleh BERSATU. Mereka takut bekas-bekas ini akan membawa masuk budaya UMNO.

67. Kita BERSATU tidak mudah terima. Ada syarat. Mesti keluar dari UMNO dan jadi bebas. Sebagai bebas secara ikhlas sokong Pakatan Harapan dan BERSATU. Tidak akan ada penerimaan oleh BERSATU sebagai satu kumpulan bekas UMNO. Hanya akan diterima sebagai individu bebas. Rekod akan dikaji dengan teliti.

68. Jika diterima, tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU-15. Lama. Ya lama. Ujian keikhlasan tidak boleh dipercepat. Hanya jika betul-betul ikhlas, jika sudah buang budaya UMNO, barulah boleh diterima sesuai untuk pegang jawatan.

69. Kita akan tentukan mereka tidak diberi peluang mengembang fahaman dan cara-cara mereka, iaitu cara UMNO. BERSATU bersih dan kita akan tentukan ia terus bersih. Yang akan bertukar ialah bekas parti lain. Mereka akan serap budaya kita. Mereka akan bekerjasama dengan kita.

70. Dengan itu kita akan jadi pelindung kepada orang Melayu dan Bumiputera – pelindung sementara – kerana pelindung yang sebenar ialah kita sendiri.

71. Lindungan bagi kita akan terhasil jika kita tidak miskin. Selagi kita miskin kita tidak akan berasa selamat. Bukan politik, bukan kuasa politik, bukan parti politik yang boleh melindungi kita. Kita sudah lihat bagaimana parti politik kita yang terkenal kekuatannya, tetapi parti politik inilah yang meletak kita dalam keadaan amat bahaya.

72. Tetapi jika kita kaya, jika kita berjaya dalam semua bidang, tidak ada siapa yang boleh ancam kita.

73. Tetapi bagaimanakah kita boleh berjaya, boleh jadi kaya dan maju. Sebenarnya kita ada kebolehan. Tetapi kebolehan yang tidak diguna oleh kita, tidak akan menjayakan kita.

74. BERSATU tahu bagaimana kita boleh berjaya, bagaimana kita boleh selamatkan diri kita, orang Melayu dan Bumiputera lain.

75. Tak perlu saya ulas di sini bagaimana BERSATU boleh ubah nasib orang Melayu/Bumiputera. Yang kita minta hanyalah kepercayaan dan kesanggupan menurut cara yang akan diperkenal oleh kita.

76. Percayalah, Melayu boleh selamatkan diri mereka sendiri. Percayalah hanya Melayu sahaja yang boleh selamatkan diri sendiri.


Jemputan khas, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut hadir di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Tuan-tuan dan puan-puan,

77. Kita bersidang bukan kerana perlembagaan kita suruh kita bersidang: bukan kerana takut ROS. Kita bersidang kerana kita berhasrat menyelamatkan orang Melayu. Kita bersidang kerana kita ingin majukan orang Melayu.

78. Kita bersidang kerana kita berhasrat memulihkan maruah bangsa kita.

79. Inilah tujuan kita berpolitik. Bukan kerana nak jadi Perdana Menteri, atau Menteri, atau Menteri Besar dan Ketua Menteri.

80. Kita berpolitik supaya kita tidak lagi akan bergantung kepada politik. Kita berpolitik untuk menyelamat dan membebaskan kita melalui kejayaan sebagai satu bangsa yang mampu bersaing dengan siapa sahaja, tiap seorang dari kita berdaya tahan sendiri tanpa bertongkat.

81. Untuk perjuangan yang mulia ini, berkorbanlah apa sahaja. Hasil pengorbanan kita akan dihargai oleh anak cucu kita. Akan berkatalah mereka, jika tidak kerana pengorbanan oleh kita, maka akan tertinggallah mereka di pinggir hutan, miskin papa di tanah air mereka.

82. Ya. Saya akan dituduh rasis kerana pendedahan nasib Melayu/Bumiputera ini. Tetapi selama lebih 70 tahun saya telah lihat kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsa saya.


Tun Dr Mahathir Mohamad memukul gendang sebagai simbolik perasmian Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali kedua di PICC Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

83. Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan. Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain. Pemulihan berada di tangan kita. Usaha yang diperlukan tidak sebegitu besar. Insya-Allah akan terhasillah pengorbanan kita yang sedikit.

84. Itulah pesanan saya. Peluang bagi menyampaikan ucapan seperti ini di tahun hadapan mungkin ada, mungkin tidak. Justeru, peluang ini tidak boleh dilepaskan. Diharap bangsaku akan tolak budaya lama dan cipta budaya baru, budaya yang tetap akan menyelamatkan kita.

85. Maka dengan ini saya rasmikan mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua BERSATU.

Sekian.

Wabillahitaufik walhidayah, wassallamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

bharian
Continue Reading...

Friday, December 28, 2018

selamat bersidang

No comments:

SELAMAT BERSIDANG
28 HINGGA 30 DISEMBER 2018
PICC PUTRAJAYA
Continue Reading...

Monday, December 24, 2018

gesekan biola tun hasmah

No comments:


SITI Hasmah bersama Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah (kiri) dan Datuk M.Nasir (kanan) membuat persembahan istimewa bagi Tabung Dana Kasih Malaysia pada Konsert Duo Lagenda di Istana Budaya. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman


Gesekan biola Siti Hasmah khas buat Muhammad Adib


KUALA LUMPUR: Gesekan biola Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang ditujukan khas oleh isteri perdana menteri itu buat anggota bomba yang terkorban semasa bertugas, Muhammad Adib Mohd Kassim, ternyata memukau penonton konsert ‘Duo Lagenda’ di Istana Budaya di sini malam tadi.

Sebelum memulakannya, beliau menarik perhatian pada hadirin dengan merujuk kepada majlis perkahwinan Muhammad Adib yang telah ditakdirkan tidak berlangsung.

“Hari ini pastinya ada satu majlis perkahwinan di sebuah kampung di Kuala Kedah. Tapi hajat tidak kesampaian kerana pengantin lelaki pergi menghadap Allah. Semoga mereka semua (keluarga) dalam keadaan sihat sejahtera dan reda dengan aturan Allah,” kata isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Hadirin yang jelas tersentuh dengan suasana malam itu, kemudiannya memberikan penghormatan dengan beramai-ramai berdiri di akhir persembahan kira-kira 20 minit itu.

Muhammad Adib, 24, yang tercedera akibat oleh perusuh semasa beliau hendak melaksanakan tugas memadam kebakaran semasa kejadian rusuhan di kuil di Subang Jaya pada 27 November itu, meninggal dunia di Institut Jantung negara pada 17 Disember.
SITI Hasmah membuat penampilan istimewa dengan mempamerkan kebolehan menggesek biola bagi lagu Fatwa Pujangga secara solo pada Konsert Duo Lagenda Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir di Istana Budaya, malam tadi. - Foto BERNAMA

Memulakan persembahan pada 10.40 malam, Dr Siti Hasmah tampak profesional menggesek biola untuk lagu Fatwa Pujangga secara solo menerusi segmen khas di pertengahan konsert itu, sebagai persembahan iringan kepada penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir.

Beliau turut menggesek biola bagi lagu Engkau Laksana Bulan dan Gubahanku sambil dinyanyikan secara duet oleh Jamal dan M Nasir.

Dr Siti Hasmah mendahului persembahannya dengan memohon penonton menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Adib.

Persembahan Dr Siti Hasmah berlangsung sempena malam VVIP konsert itu, bertujuan mengumpul dana bagi mengisi Tabung Kasih Malaysia yang dilancarkan Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia).

Dalam konsert itu, Jamal dan M Nasir mendendangkan seleksi lagu popular mereka antaranya Cinta dan Tangis, Bicara Cinta, Aku Penghibur, Kau Lupa Janji, Terharu, Cenderawasih, Gadis Melayu, Hati Emas, Hijab Kekasih, Mustika, Apokalips, Gerhana serta Keronchong Untuk Ana, dan mereka turut berduet menyanyikan beberapa lagi lagu termasuk Ghazal Untuk Rabiah.

Konsert yang bermula 20 Disember itu turut menampilkan penyanyi undangan dari Australia, Cassidy Anderson.

Turut hadir menyaksikan konsert itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi dan Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani. – BERNAMA

BHARIAN 




Continue Reading...

Saturday, December 22, 2018

bantu FELDA

No comments:
Peruntukan khas RM77 juta untuk bayar tunggakan peneroka
Oleh Irwan Shafrizan Ismail



PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan khas RM77 juta bagi membantu peneroka FELDA melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kementeriannya mengambil perhatian serius ke atas masalah aliran tunai FELDA yang sangat kritikal bagi tahun ini.

Katanya, masalah itu mendapat keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengarahkan bantuan diberikan.



“Peruntukan berjumlah RM77 juta ini disediakan bagi membantu peneroka FELDA melunaskan bayaran tertunggak berikut iaitu bayaran khairat kematian berjumlah RM1.2 juta yang membabitkan waris kepada 120 peneroka yang sudah meninggal dunia.

“Bayaran tunggakan kepada Felda Technoplant Sdn Bhd bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka sebanyak RM43 juta.

“Bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula berjumlah RM32.8 juta untuk manfaat 38,000 peneroka FELDA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, peruntukan tahun 2018 sebanyak RM77 juta itu akan disalurkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal selia FELDA.

bharian
Continue Reading...

senyum

No comments:

Continue Reading...

Monday, December 17, 2018

Penghormatan Rangsit University

No comments:
Dr Mahathir terharu terima penghormatan Rangsit University



BANGKOK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini menerima ijazah kedoktoran kehormat dalam kepimpinan sosial, perniagaan dan politik daripada Rangsit University (RUS) Thailand di kampus induknya di daerah Mueang Pathum Thani, 30 kilometer dari sini.

Dr Mahathir dianugerah ijazah kehormat itu pada majlis konvokesyen ke-34 universiti berkenaan di mana 5,950 graduan universiti itu turut menerima ijazah masing-masing dalam sesi yang diadakan pada sebelah pagi dan tengah hari.

Perdana Menteri Malaysia itu adalah tokoh umum berprofil tinggi keempat dianugerah ijazah kedoktoran kehormat oleh universiti berkenaan selepas mendiang Puteri Srinagarindra (aka Somdet Ya), Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck (2009) dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe (2016).

Majlis penganugerahan berwarna-warni di Bangunan Gimnasium yang tersergam itu berlangsung penuh tradisi, dengan Dr Mahathir dipersilakan ke bilik resepsi dan disarungkan jubah kedoktoran baldu merah serta hitam.

Isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, turut diberi penghormatan untuk memakai jubah baldu biru serta merah dan mengiringi suami beliau ke atas pentas.

Majlis itu dimulakan dengan nyanyian ‘Negaraku dan lagu kebangsaan Thailand oleh 40 anggota Rangsit University Orchestra di bawah pimpinan Vanich Potavanich.

Ini diikuti oleh penyampaian ucapan sanjungan oleh Presiden RUS, Dr Arthit Ourairat, yang memuji pelbagai pencapaian Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir dan perjuangan beliau menentang ketidakadilan sosial serta ekonomi bagi semua.

Beliau turut menyentuh usaha Dr Mahathir untuk memulihkan ekonomi negara termasuk mendapatkan semula kekayaan yang hilang akibat skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selepas menyampaikan ucapan sanjungan itu, Arthit menyerahkan kepada Dr Mahathir topi akademik kedoktoran, sijil serta sebuah plak.

Ia disusuli dengan ucaptama Dr Mahathir di mana beliau berkata: "Saya berasa terharu dengan pengiktirafan ini dan berbesar hati untuk menerima penghormatan ini sebagai Perdana Menteri Malaysia dan bagi pihak negara saya. Saya sesungguhnya amat menghargai pengiktirafan ini dan saya akan berusaha untuk terus menyumbang kepada rakyat Malaysia dan negara di seluruh dunia.

"Saya gembira kerana diberi peluang untuk berucap kepada pelajar universiti ini, anda semua adalah pemimpin hari esok dan harapan bagi generasi masa depan. Ke arah itu, universiti mempunyai peranan penting dalam menyediakan peluang dan sokongan kepada pelajar untuk meneroka pengetahuan baharu dan merealisasikan potensi mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau mengambil maklum bahawa RUS bergerak ke arah menjadi sebuah universiti penyelidikan dan berharap kerjasama dapat dijalin antara RUS serta universiti di Malaysia.

Selepas ucapan itu berakhir, lagu berjudul ‘Dreamland Will Shine’ yang ditujukan khas buat Dr Mahathir didendangkan oleh Areeya Rotajanadit.

Susunan muzik dikendalikan dekan konservatori muzik RUS, Dr Denny Euprasert dengan gubahan melodi oleh beliau sendiri manakala lirik pula hasil nukilan Pisamai Chandavimol.

Lirik lagu itu berkisar mengenai usaha dan pengorbanan oleh seorang pemimpin yang berdedikasi.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Dr Mahathir berkata beliau bukan saja berasa terharu, bahkan turut mengagumi lagu yang ditujukan khas buat beliau, sesuatu yang baharu bagi dirinya jika dibandingkan dengan pelbagai sanjungan yang diterimanya sehingga kini.

RUS sudah pun mewujudkan jaringan kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi di Malaysia, antaranya Universiti Utara Malaysia dan UniKL.

Turut hadir dalam majlis itu ialah anggota delegasi dari Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, pegawai kerajaan dan wakil daripada beberapa universiti di Malaysia.

Majlis konvokesyen Rangsit University juga disiar secara langsung menerusi https://m.facebook.com/rangsituniversity. - BERNAMA

bharian 

 
Continue Reading...

Wednesday, November 28, 2018

upah

No comments:
Peguam pemaju upah RM150,000 untuk ceroboh kuil - Muhyiddin
Oleh Irwan Shafrizan Ismail



PUTRAJAYA: Siasatan polis mendapati peguam kepada pemaju One City Development Sdn Bhd memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, kelmarin.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dua peguam terbabit adalah antara 21 orang yang sudah ditahan polis bagi membantu siasatan insiden rusuhan berkenaan.

“Siasatan polis mendapati peguam syarikat pemaju mengupah sekumpulan lelaki untuk ceroboh dan kawal kuil sebelum polis datang ke tempat kejadian.

“Sejumlah RM150,000 diserah kepada ketua kumpulan ini yang mana setiap orang diberi upah antara RM150 hingga RM300.

“Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab ini menimbulkan kemarahan penganut sehingga timbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda. Kita kesal dengan tindakan cuai diambil pemaju, sekiranya tindakan gopoh ini tidak diambil, saya yakin kekecohan tidak berlaku,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Ditanya sama ada wang upah berkenaan diberi oleh pemaju, Muhyiddin berkata pihaknya kita tidak menolak akemungkinan itu.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh berada di dalam keadaan kritikal.

One City Development Sdn Bhd adalah pemaju yang memiliki tanah kuil berkenaan.



MUHYIDDIN mengadakan sidang media khas di Putrajaya, hari ini berhubung isu pergaduhan yang tercetus di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya, kelmarin. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

bharian
Continue Reading...

Monday, November 26, 2018

Tun M dan pegawai kanan kerajaan

No comments:





Hasrat kita bukan setakat untuk mendapat pegawai kerajaan yang bersih, tetapi ahli-ahli politik yang dipilih oleh rakyat juga mesti bersih.”

- Tun Dr Mahathir semasa berucap di Majlis Perjumpaan Pegawai Pegawai Kanan Kerajaan di Langkawi International Convention Centre


DR Mahathir Mohamad bersalaman dengan pegawai-pegawai kanan Kerajaan pada majlis perjumpaan pegawai-pegawai kanan Kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC). - Foto BERNAMA

Pegawai kerajaan diminta bersabar dengan menteri - PM
Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Hamzah Osman

LANGKAWI: Pegawai kanan kerajaan diminta bersabar dengan sikap menteri, timbalan menteri dan pegawai lantikan politik, yang mungkin tidak sependapat dalam cara kerajaan baharu ditadbir.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, berkata kebanyakan menteri, timbalan menteri dan pegawai terbabit masih baharu serta tidak mempunyai pengalaman bagaimana negara ditadbir.

“Kecuali saya yang mempunyai sedikit pengalaman menjadi Perdana Menteri sebelum ini, lain-lain menteri dan timbalan menteri masih baharu.

“Saya minta pegawai kerajaan sabar dan bertolenrasi dengan mereka. Cuba terangkan langkah terbaik dalam membuat sebarang keputusan,” katanya pada sesi dialog Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, bertanya mengenai campur tangan pegawai lantikan politik tertentu yang enggan mematuhi peraturan sebenar proses pentadbiran menyebabkan pihaknya terpaksa campur tangan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, ada menteri dan timbalan menteri takut berhadapan dengan pegawai kanan kerajaan terutamanya mereka yang mempunyai pengalaman luas.

“Menteri sebenarnya takut jumpa pegawai kerajaan yang berpengalaman, malah ada (menteri) lari tidak mahu jumpa media.

“Tetapi yang hendak buat kerja ini pegawai kerajaan, kita hanya beri arahan. Saya selesa dengan kebanyakan pegawai senior ketika ini kerana dahulu mereka adalah pegawai junior saya,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan melantik penyokong parti politik tertentu yang tidak mempunyai kelayakan dan kelulusan untuk memegang jawatan penting dalam jabatan atau institusi di bawahnya.

“Sekarang, kita tentukan pemegang jawatan tertinggi dalam kerajaan terdiri daripada mereka yang terlatih dan cekap. Ada ahli politik tidak cekap dan profesional, kita tidak pilih.

“Mereka tiada kelulusan, kecekapan, namun ada hasrat untuk jadi pegawai tertinggi. Kita bimbang mereka tidak menjayakan institusi tapi untuk diri sendiri,” katanya.

Dr Mahathir berkata, bagi mengembalikan pentadbiran yang baik dan menjamin masa hadapan, kakitangan awam yang terbabit dalam kegiatan salah laku perlu disingkirkan.

Sementara itu, pada sidang media, Dr Mahathir berkata, keputusan kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD), bukan dibuat kerana tekanan daripada PAS dan UMNO.

Katanya, langkah itu juga diambil kerana kerajaan mengetahui rakyat tidak setuju dengan tindakan meraktifikasi ICERD.

“Saya menafikan kita buat keputusan tidak meratifikasi ICERD kerana politik atau bimbang hilang sokongan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Keputusan ini dibuat Kabinet dan tidak perlu dibawa ke Parlimen. Saya sudah katakan, adalah mustahil (raktifikasi) kerana perlu sokongan dua pertiga ahli parlimen, malah ada wakil rakyat kita (Pakatan Harapan) tidak sokong,” katanya.

Mengulas mengenai PAS yang meneruskan hasrat berhimpun pada 8 Disember ini, Dr Mahathir berkata, ia terpulang kepada parti itu dan penyokongnya kerana negara ini mengamalkan demokrasi.

“Ini negara demokrasi, mereka ingin berdemostrasi pergilah. Cuma jangan buat kotor sahaja,” katanya.

bharian



Tun M yakin dapat ‘bersihkan’ jentera kerajaan


TUN Dr. MAHATHIR MOHAMAD (kiri) menjawab soalan yang diajukan pada program Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini. Turut sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar. - UTUSAN ONLINE/FARIZ RUSADIO

Jamaliah Abdullah
24 November 2018 

LANGKAWI 24 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan keyakinan bahawa ‘pembersihan’ dalam jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan akan berjaya dilakukan sepenuhnya sekali gus dapat menggembalikan status negara sebagai Harimau Asia.

Perdana Menteri berkata, pembersihan jentera kerajaan daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan itu perlu juga segera dilakukan demi memulihkan keyakinan rakyat kepada penjawat awam.

“Untuk kembali menjadi pemerintah yang mampu tadbir negara dan kayakan negara maka mereka yang terlibat dengan kegiatan salah perlu diketepikan.

“Perlu tindakan diambil kerana kesalahan yang dilakukan oleh mereka lantas ramai daripada mereka akan tersingkir dan digantikan oleh pegawai lebih rendah. Kalau kita kekalkan pegawai terdahulu yang rasuah dan seleweng tidak dapatlah kita susun reformasi.

“Dalam masa enam bulan kita dapat pulih negara dengan baik dan tadbir dengan jentera yang sudah dibersihkan, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di sini hari ini.

Berucap lanjut, katanya, pembersihan itu kelak membolehkan pemberian kuasa kepada jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan dilaksanakan pada tahap terbaik.

“Pemberian kuasa kepada jentera kerajaan perlu tersusun. Kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi dahulu maka jentera kerajaan yang dulu dihormati, disanjung tinggi, cekap beramanah dan berwibawa sudah tidak lagi,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, jentera kerajaan mesti tersusun, rapi, cekap dan mengutamakan khidmat kepada negara bukan untuk diri sendiri.

“Kita bersihkan bukan setakat pentadbir tetapi yang dipilih oleh rakyat iaitu ahli politik juga. Mereka terpaksa menghadapi pembersihan
misalannya kalau ahli politik
diberi jawatan tingggi dalam syarikat berkaitan kerajaan sedangkan mereka tidak ada kepakaran maka banyak kesalahan dilakukan.

“Sekarang kita tentukan jawatwn dalam kerajaan dan institusi bukan daripada ahli politik tetapi mereka yang cekap, terlatih dan profesional,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Continue Reading...

Saturday, November 24, 2018

tiada ratifikasi

No comments:
UNTUK SIARAN SEGERA

Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (International Convention On The Elimination Of All Forms Of Racial Discrimination – ICERD)

Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi Konvensyen
Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (International Convention On The Elimination Of All Forms Of Racial Discrimination –ICERD).

Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
23 NOVEMBER 2018

Continue Reading...

Wednesday, November 21, 2018

lost

No comments:

Continue Reading...

mustahil

No comments:

Jika pembangkang tidak bersetuju atas isu ICERD seperti juga pihak Kerajaan Pakatan HARAPAN maka ianya tidak akan menjadi isu pun kerana ianya mustahil untuk dilaksanakan, jadi demonstrasi yang dianjurkan pembangkang tu atas tujuan apa sebenarnya



Bersatu ulang pendirian tiada keperluan tandatangani ICERD
Bernama | Diterbitkan pada 17 November 2018 


MARZUKI: Banyak lagi konvensyen berhubung hak asasi manusia yang boleh diberi penekanan namun ICERD bukan salah satu daripadanya. - Gambar fail


KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengulangi pendiriannya tidak menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Setiausaha Agungnya Datuk Marzuki Yahya berkata banyak lagi konvensyen berhubung hak asasi manusia yang boleh diberi penekanan namun ICERD bukan salah satu daripadanya.

"ICERD ini semua sedia maklum Timbalan Presiden Bersatu (Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir) dah keluar kenyataan menjelaskan kita (Bersatu) tak menerimanya.

"Bersatu sama sekali menolak dan tidak mengakui ICERD salah satu tuntutan yang patut kita tandatangan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Bersatu Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Penerangan Bersatu Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor.

Pada 9 Nov lepas, Mukhriz dilaporkan berkata tiada keperluan untuk negara menandatangani ICERD kerana ia tidak bersesuaian dengan situasi 'unik' di negara ini.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal diadakan, Marzuki berkata Bersatu akan menyokong calon yang akan diletakkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi berkenaan.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya di Seremban memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal dan PRK DUN itu perlu diadakan serta-merta.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas calon PKR Dr S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei, Dr Streram, seorang pakar bius, memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah.

-- BERNAMA
Continue Reading...