Saturday, December 30, 2006

hujan dan airmata

No comments:
dipandangnya anak kecil yang tidur
apakah mimpi anak itu barangkali
berlari di gigir air mengejar perahu kertas
memijak tanah basah dengan kaki kecilnya
menadah tangan memegang butir-butir hujan
melihat pekat langit
rumah kita mana?

si ayah hanya terdiam di birai pintu
hujan semakin luruh
si ibu mendekati, hujung selendangnya masih basah
diramasnya tangan si ayah terasa hangat dan berat
hatinya dikepung kesayuan
airmata si ibu jatuh lagi
hujan semakin memberat

dipandangnya anak kecilnya yang tidur
dilihatnya dari dalam lebat hujan
anaknya berlari dan berlari
ketawanya melenyapkan deru hujan
kaki kecilnya memijak air
dalam gigil si anak menghulurkan tangannya
digenggamnya lumpur hitam yang basah
ini tanah dari laman rumah kita

si ayah bungkam
matanya dibalut air
dia memeluk anak kecil itu
esok kita akan pulang
esok kau masih boleh berlari
di laman rumah kita
tak siapa menghalangnya
kita masih ada rumah
kita masih ada tanah

si ibu selendangnya basah
hujan masih menderu
membawa kesejukan yang panjang
Continue Reading...

Wednesday, December 27, 2006

banjir

No comments:
mereka menghidu basah derita
mereka mengharungi basah sengsara
kesejukan membesarkan selimut getir
benua air
manusia menjadi kecil dan rapuh
sedih dalam gigil

aduhai teman-teman
ini dugaan menuntut hangat ketabahan
tuhan sedang menguji kita
dengan duka yang basah
pasti akan ada mentari
membawa berita bahagia
pasti
Continue Reading...

Wednesday, December 13, 2006

aturkan langkahmu

No comments:
aturkan langkahmu, canangkan ke jagat murba
ini perjalanan baru mengutip kaca
bersihkan segala jelaga membalut cermin perjuangan
sudah disediakan buluh jadikanlah rakitnya
sudah disediakan tangga panjatlah ke atas sana
sudah disediakan tali ikatlah jangan terburai
sudah disediakan pagar pastikan setianya melindungi kita
sudah disediakan timba ambillah airnya kita semakin dahaga
sudah disediakan jerat tahanlah di denai pilihan
sudah disediakan jarum jahitlah baju pembelaan
sudah disediakan beras pastikan tiada sebutirpun tersalah bahagian
sudah disediakan kandil pasanglah hambatlah kegelapan
sudah disediakan belati gunakan dengan pasti
sudah disediakan sudah disediakan segala-galanya

aturkan langkahmu, canangkan ke jagat murba
ini perjalanan baru mengutip duri
bersihkan segala jelaga membalut cermin keberanian
sudah disediakan akal carilah bijaksananya
sudah disediakan jiwa carilah kebersihannya
sudah disediakan semangat carilah perjuangannya
sudah disediakan nafsu carilah kepayahannya
sudah disediakan suara carilah keramahannya
sudah disediakan hati carilah keikhlasannya
sudah disediakan cita-cita carilah pedomannya
sudah disediakan cinta carilah pengikatnya
sudah disediakan rindu carilah pertemuannya
sudah disediakan sudah disediakan segala-galanya

aturkanlah langkahmu
jagat murba menunggu
Continue Reading...

Thursday, November 30, 2006

gurindam hidup

No comments:

Kalau mahu jauh penyakit
Tutur sedikit kerja membukit

Kalau mahu disayang orang
Hasad dengki elok dihalang

Kalau mahu diri dihormati
Jangan sombong bila dinasihati

Kalau sudah orang budiman
Nama dipuja musuh dan taulan

Kalau orang penuh jasa
Namanya disebut di dalam doa

Kalau mudah menyerah kalah
Bangsa mudah kehilangan tanah

Kalau mahu tunjuk muafakat
Musuh dipujuk teman didekat

Kalau diri suka dipuji
Itu tandanya orang mengeji

Jangan cepat lupa janji
Kawan baik habis lari

Hidup jangan bakhil dan takbur
Nama sendiri mudah terkubur

Kalau benci orang mengeji
Sebelum bertindak buatlah uji

Jika bangsa ingin maju
Jangan pandir diajak berguru

Kalau bangsa mahu perkasa
Jangan berhelah memutar kata

Kalau mahu hidup selamat
Harta si miskin jangan dilesap

Continue Reading...

Wednesday, November 29, 2006

sejuknya tanah ini

No comments:
semacam ada gegar
dalam kesenyapan itu
persis mata pedang terhunus
menunggu
pohon-pohon palma yang dibasahkan hujan
memilih untuk diam
atau menahan asakan

sejuknya tanah ini
ketika kaki memijak, terasa ia memegangku
apakah yang terjadi sebenarnya?
pohon-pohon palma itukah yang menakutkanmu
atau gegar itu yang membingitkan
atau mata pedang itu?

di atasmu aku masih berdiri
memandang awan bergulung
peganglah kakiku semahumu
kerana kesejukanmu
mengalirkan hangat darahku
mengajarku memahami
gegar dan kesenyapan

dan hujan turun lagi
membasahkan kita
dengan air kemakmuran
Continue Reading...

perjalanan

No comments:
kepada bob dan ismail

pamitan
daun-daun itu bertaburan
jejak itu sirna
usai
tinggal hanya kesenyapan

tuhanku,
di ambangMu
mereka berteduh
amin.

bob - allahyarham jamaluddin osman
ismail - allahyarham mohd ismail sarbini

al-fatihah



Continue Reading...

Tuesday, November 28, 2006

ambang

No comments:
barangkali sekadar menyusur
jejak yang jauh lorong yang berliku
mencari bagaimana segalanya bermula
melihat bagaimana segalanya berakhir
kerana sesekali
kita pasti pulang
ke ambang itu


Continue Reading...