Sunday, July 22, 2007

sajak 2 : fajar kuala lumpur

1 comment:

fajar april itu menjelma dengan garis merah
embun pagi entah kenapa begitu cepat keringnya,
bara dan panas menusuk-nusuk sukma
membelah tangkai rasa
edward gent berdiri dengan pedang di pinggang
memerhati union jack yang bergulung di puncak tiang
ada bara benci menyelinap di tangkai kalbu
detiknya telah tiba

mana rimba yang perlu digondolkan
mana bijih yang perlu ditakungi
mana emas perlu digali
mana lagi tanah yang belum kuinjaki
mana yang mahu bangkit menentang
raja-raja mereka tangannya telah kurantai besi
mereka menjadi pengemis di bumi sendiri

di angkasa matahari menebarkan cahaya panasnya
kelibat para sultan masih tiada
sang gabenor mengangkat sumpah
tiada sultan menjadi saksi
union jack bergulung di puncak tiang
hatinya meraung membelah langit kuala lumpur

bangsa ini sudah mula bermain api
ini Melayu benar-benar menempah bara
terasa pedang di tangannya penuh darah

kuala lumpur digegar tempik dan sorak
station hotel yang sepi bertukar menjadi laut manusia
lelaki-lelaki bersongkok berlilit kain putih menjeritkan suara
ini sebuah perkabungan
ini sebuah penindasan
ini sebuah penipuan
inggeris itu sudah kemabukan kuasa
marilah ambil darahku
marilah belah jantungku
jangan kauambil tanahku
jangan kauambil raja-rajaku

daulat tuanku dilaungkan menerjah cakerwala
hidup melayu digemakan membelah langit
wanita-wanita selendangnya basah oleh airmata
gembira dan sayu bercantuman bersama panas mentari
sultan masih bersama rakyat
tak ada siapa bisa menggugat
pemuda-pemuda menjeritkan sumpah keramat
perjuangan kita baru bermula
bersatu, mari kita rempuh malayan union

gema suara berdentuman membelah kuala lumpur
raja-raja menatap rakyat penuh sayu
hanya airmata yang mengalir melukiskan gundah kalbu
rakyat dan raja bersatu di benteng terakhir
kuala lumpur menjadi saksi
gelora semangat bangsa bangkit mengharung perjuangan
seorang pemuda gagah bersuara
ini bumiku bumi tanah tumpah darahku
jangan kauambil tanahku
jangan kauambil raja-rajaku
jangan kauambil maruahku


Continue Reading...

sajak 1 : malam terakhir

No comments:

-kepada pejuang-pejuang


pada malam itu gigil menggelapar ke puncak langit
bintang-bintang seperti berhenti mengerdip
anak-anak tidur tanpa selimut
wanita-wanita melabuh selendang hujungnya basah
entah kali ke berapa airmata itu mengalir dan diusap jua

pemuda-pemuda di pintu bersandar memandang ke malam hitam
cerita-cerita pedih mengalir perlahan menyelinapi jantung
raja-raja dipaksa menandatangani perjanjian
esok akan menjelma seorang gabenor
mengangkat tajamnyapedang malayan union
bangsaku selamanya akan menjadi hamba
melarat dan meraung dalam kawah inggeris

bapa-bapa di tengah balai tenggelam dalam resah pekat
berpandangan seketika sedang mata dihentak gusar
mana bangsaku
mana negeriku
mana agamaku
manakah masa depan

tak pernah ada malam sehitam ini
angin pun berhenti mendesah langit begitu sepi
kesenyapan menerpa mengigit tangkai kalbu
amat sunyi sekali
penghulu yang berdiri menghadap tangga terganggu alur rasanya
benarkah esok tanah ini masih milikku lagi?

di kuala lumpur kongres tadi pagi penuh semangat dan emosi
bara perjuangan telah dinyalakan, bangsaku tiada pilihan
sederap melangkah marilah kita berpegang tangan
mari kita bersatu memijak batu-batu penindasan
gema suara tunku ab rahman dan datuk onn bersilih ganti
marilah kita lepaskan rantai yang mengikat
ini pesan keramat meramas onak yang menikam

malam semakin larut
dengan resah yang semakin berat
suara tunku kembali memulas tangkai emosi
suara datuk onn kembali memangkas tangkai hati
suara kongres kembali mencakar tangkai akal
pemuda-pemuda bingkas membetulkan songkok di kepala
wanita-wanita meramas hujung selendang yang basah
bapa-bapa merenung tajam ke hutan malam
bersatu
suara itu tiba-tiba bergema

Continue Reading...

Friday, July 20, 2007

aku akan menulis tentang kemerdekaan ini

No comments:
aku tidak punya cara lain untuk meraikkannya
tetapi kemerdekaan ini begitu besar maknanya
begitu mahal harganya begitu tinggi kedudukannya
aku dibesarkan dalam alun merdeka
menyedut udara dan dewasa bersama angin merdeka
memijak tanah, mendaki bukit, mengharung sungai,
dan segala-galanya aku bergerak atas nama kemerdekaan
aku perlu meraikannya dengan cara terdaya oleh akal dan batinku
dengan pengalaman, ilmu yang dapat kugenggam dalam sebuah perjalanan
sari kehidupan, inti jiwa, gelodak rasa ia barangkali bermakna
untuk menyatakan pada tanah dan bumiku
aku bangga menjadi anakmu

aku akan menulis tentang kemerdekaan ini
sebagai ingatan kecil manusia kerdil
perkongsian dan ingatan
bersama teman-teman warga bumi bertuah ini

barangkali catatan yang bakal kunukilkan
hanyalah debu-debu berterbangan
tetapi walau sekecil manapun erti kemerdekaan ini
amat besar dan bermakna bagi diriku

50 sajak-sajak kemerdekaan
ini hasratku ini impianku
untuk tanahku untuk bumiku
Malaysia

untuk bangsaku untuk wargaku
merderka!!!!!!
Continue Reading...

pahlawan

No comments:
pamitan
pahlawan negara
demi bakti demi pertiwi
kalian adalah perwira
demi tanah tercinta
pahlawan
ya tuhan, cucuri rahmatmu
ke atas roh mereka

pahlawan
pahlawan
pahlawan
pahlawan
pahlawan
pahlawan

alfatihah
Continue Reading...