apakah kita begitu lama mengecap manis merdeka
hingga kelazatan menukar rasa
atau untuk lebih merasa lebih patriotisme
mau dianggap diri pembela nusa
ingin pula menukar cetera
kerana catatan lama begitu tak bermakna
tak membuka warna merdeka seindah teringinkan
begitukah makna merdeka hanya sekelumit cuma
semakin keliru semakin mabuk oleh kemahuan dan cita-cita
bongkak
kesombongan mendabik dada membaca hamun dan cerca
inikah wajah bangsaku
masih terbelenggu antara merdeka dan pasung penjajah
tuan yang hanya tau duduk dan membuka mulut bersuara
apakah sebenarnya yang telah kauberikan untuk sebuah merdeka
hingga mereka yang rebah dan terkorban demi negara
kauletakkan di kaki dan memijaknya
apakah kau sudah terlalu banyak memberikan
untuk negaramu dan merdeka ini
lalu melaungkan suara persis kaulah pejuang ternama
dan begitu besar korban dan gigihmu menyanggah petualang
atau kau hanya burung tukang yang tau bersuara
menghias malam dengan cerita dongeng dan gelak tawa
sedang kau tak pernah menatap airmata
mereka yang pergi dan bagaimana pedihnya yang ditinggalkan
menyambung perjalanan hidup ini
pejuang adalah pejuang
mereka pembela nusa penyelamat bangsa dan maruah negara
begitu lama nama mereka tersemat dalam piala sejarah
mereka telah melakukan yang terbaik untuk sebuah negara
merangkak dari cengkam penjajah dan merasa merdeka
pejuang adalah pejuang
kemuliaan mereka jauh melebihi kerakusan kesombonganmu
dan apa pun
kau tak pernah merasa sakit dan payah
berjalan di garing tanah menyedut udara panas penjajah
kau tak pernah merasa apa-apa
dan kau pun hari ini berjalan di atas gelimpangan mayat dan alir darah
mereka
barangkali kau sedang mencuba
menjadi petualang pada tanda
54 tahun merdeka ini
barangkali
Continue Reading...