Wednesday, September 28, 2011

peringatan buat bangsaku

No comments:



Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai...


USAH LUPAKAN MASA YANG PERGI ITU...
PERJUANGAN BELUM SELESAI


Continue Reading...

titah tuanku

No comments:

Raja Dr. Nazrin Shah menyampaikan Titah DiRaja sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.

Segala puji tertentu bagi Allah Subhanahu Wata'ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

Hamba-Mu ini, dengan hati yang bening - ingatan yang hening, melafazkan seikhlas tutur dari denyut nadi - menzahirkan setulus kalam dari pancaran hati, kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, mengangkatkan martabat Hamba-Mu ini untuk menyempurnakan satu tanggung jawab fardu kifayah di pagi ini.

Dengan segala kerendahan sifat - kelemahan kudrat, hamba-Mu mohon mendapat petunjuk dan panduan dari Mu jua.

Selawat dan kesejahteraan ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, semulia-mulia kejadian. Demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah SWT sehingga ke hari kebangkitan.

"Wallahi, Wabillahi, Watallahi' Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undang-undang dan Perlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini.

Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri."

Demikian lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara. Status Ketua Utama Negara bukan sekadar simbol hiasan. Status Ketua Agama Negara menuntut kepada penyempurnaan tanggung jawab besar memenuhi amanah.

Terkandung lima kata kunci dalam sumpah jawatan tersebut iaitu: Undang-undang, Perlembagaan Negeri, Agama Islam, Adil dan Aman. Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia ini, dianjurkan, menyusuli ketetapan yang diperkenankan dalam Persidangan Majlis Raja-Raja.

Menjunjung titah duli-duli yang maha mulia raja-raja, patik merafak sembah junjungan kasih setinggi-tingginya atas limpah perkenan duli-duli tuanku, memberikan pengiktirafan ke atas batang tubuh patik, menyempurnakan hasrat duli-duli tuanku, untuk patik menzahirkan titah diraja atas tema 'Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah'.

Setiap yang tersurat dizahirkan dari yang tersirat. Ketetapan Majlis Raja-Raja memperkenankan kelangsungan Kongres ini, perlu direnung secara tajam, diamati secara halus dan diselami secara mendalam.

Betapa keprihatinan yang tersirat dalam ruang minda Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Melayu tentang senario semasa negara; senario semasa negara yang harus dirangkaikan dengan lima kata kunci yang terkandung dalam sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong; senario semasa negara berkaitan Islam, survival ummah dan perpaduan ummah, soal keluhuran Perlembagaan, soal kedaulatan undang-undang, soal keadilan, soal keamanan; serta lebih utama keprihatinan duli-duli yang maha mulia itu, sebagai pewaris kepada tujuh wasiat yang telah diperkenankan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu oleh sembilan Raja Melayu pada tarikh 5 Ogos 1957, lalu memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Perlembagaan Persekutuan secara nyata menetapkan kewajipan penting Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaku Ketua Utama Negara untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa.

Tanggung jawab penting tersebut didukung bersama oleh sembilan Raja Melayu di negeri-negeri.

Tanggung jawab penting tersebut telah sekian lama diamanahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu telah menyempurnakan amanah tersebut dengan memastikan kesucian Islam tidak ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam dilindungi dari penyerapan fahaman lain hingga boleh dimurtadkan.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri menggubal undang-undang untuk mempertahankan agama Islam dan penganutnya dari dipengaruhi unsur-unsur agama lain.

Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun ke-14. Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara. Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka.

Dengan pengislaman Raja Melaka dalam tahun 1409, Islam bertapak lebih kuat di alam Melayu, dijadikan agama rasmi Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458) Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara.

Risalah Islam memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu. Islam mengisi kandungan rohani, begitu serasi - begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu.

Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan umat Melayu di Malaysia. Islam mengubah anutan agama umat Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh Allah SWT.

Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat.

Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru.

Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu. Ia telah mencetuskan satu revolusi pemikiran di kalangan umat, berupaya menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur. Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya.

Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme dan intelektualisme di kalangan umat, mengangkat adab dan susila serta kesedaran terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan.

Beberapa pengubahsuaian lantas berlaku dalam sistem pemerintahan dengan pengenalan identiti baru. Raja dan kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai 'penjelmaan tuhan di bumi', status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah 'bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi al-Ard)" . Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia.

Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan.

Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu. Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu. Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak. Di Perak, Undang-Undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalam pentadbiran masing-masing.

Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu meneruskan tradisi pemerintahan beraja yang kekal berpandukan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.

Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam. Proses peralihan kepada sistem pentadbiran perundangan Inggeris telah dilakukan dari negeri ke negeri. Hal ehwal Islam ditadbirkan secara berasingan dengan penubuhan institusi-institusi khusus untuk urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Di Perak, pentadbiran Islam dipertanggungjawabkan kepada beberapa Orang Besar Negeri yang dilantik oleh Sultan. Salah seorang Orang Besar Delapan, Imam Paduka Tuan dilantik memegang jawatan Kadi.

Di pertengahan abad ke-19, terdapat gelaran-gelaran Imam Seri Raja Kota Lama Kanan, Imam Siraja Pakih Kota Lama Kiri, Imam Malaikat Amin Ketior, Imam Siraja Diraja Geronggong, Imam Seri Jidin Sayong, Imam Siraja Mahkota Bota, Imam SyakuI-Islam Pasir Salak dan Imam Siraja Dalam Istana Sultan.

Dalam abad ke-20, Majlis Orang Besar-Orang Besar dan ulama ditubuhkan untuk mengambil tanggung jawab mengurus tadbir hal ehwal Islam di Perak .

Amat ketara, urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi aspek perundangan, toleransi, ekonomi dan sosial ketika itu, telah diterima sebagai cara hidup masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di bumi ini .

Pengiktirafan tersebut selanjutnya diterjemahkan melalui kes Raman - lawan Laton, apabila Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah 'lex loci of the land'.

Begitu ketara Inggeris mengakui hakikat bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf sebagai agama bagi negeri-negeri Tanah Melayu, berkedudukan tertinggi berbanding agama-agama lain.

Berasaskan hakikat tersebut, Hakim Abdul Hamid yang menganggotai Suruhanjaya Reid telah bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan supaya Islam dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Parti Perikatan adalah gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat Melayu, masyarakat Cina dan masyarakat India, tiga kaum utama di kalangan penduduk Tanah Melayu.

Dengan pertimbangan bahawa sudah terdapat 15 negara di dunia ketika itu meletakkan agama dalam Perlembagaan mereka, Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan istimewa di negeri-negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:

"If in these countries a religion has been declared to be the religion of the State and that declaration has not been found to have caused hardships to anybody, no harm will ensure if such a declaration is included in the Constitution of Malaya.

''In fact in all the Constitutions of Malayan States a provision of this type already exists. All that is required is to transplant it from the State Constitution and to embed it in in the Federal".


Tradisi pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang dicapai oleh kaum-kaum dan kumpulan-kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), meletakkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak-hak, keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja di negeri-negeri.

Islam adalah 'Magna Carta', satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain, telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan; dan hakikat akan penerusan kedaulatan Raja-Raja Melayu di Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya di kenali sebagai Malaysia.

Adalah penting untuk Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan secara menyeluruh untuk memastikan kesemua peruntukan yang terkandung di dalamnya adalah berikat dan berkuasa.

Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah.

Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.

Dalam kes Dato' Menteri Othman Baginda & Anor melawan Dato Ombi Syed Alwi bin Syed Idrus , Ketua Hakim Negara ketika itu, Yang Amat Arif Raja Azlan Shah memutuskan antara lain:

"In interpreting a constitution two points must be borne in mind. First, judicial precedent plays a lesser part than is normal in matters of ordinary statutory interpretation. Secondly, a constitution, being a living piece of legislation, its provision must be construed broadly and not in a pedantic way - with less rigidity and more generosity than other Acts" (see Minister of Home Affairs v Fisher (1979) 3 All ER 21)

Yang Amat Arif Raja Azlan Shah seterusnya menyatakan:

"It is in the light of this kind of ambulatory approach that we must construe our Constitution. The Federal Constitution was enacted as a result of negotiations and discussions between the British Government, the Malay Rulers and the Alliance Party relating to the terms on which independence should be granted. One of its main features is the enumeration and entrenchment of certain rights and freedoms. Embodied in these rights are the guarantee provisions of Article 71 and the first point to note is that, that right does not claim to be new. It already exists long before Merdeka, and the purpose of the entrenchment is to protect it against encroachment."

Segala yang terpahat di dalam Perlembagaan adalah dalam semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu diperuntuk dan dipertahankan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain dilindungi, kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah Negara kekal terjamin.

Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan semata-mata melalui suara majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli Dewan Negara tanpa perkenan Raja-Raja.

Perkara-perkara ini tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan modal politik untuk kepentingan politik. Perkara-perkara tersebut adalah prinsip asas, prinsip utama yang tidak boleh sama sekali diperdagangkan.

Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain - lawan - Fatimah Sihi dan yang lain, telah memberikan tafsiran berikut:

"... Peruntukan 'Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai' bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak.

''Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggung jawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatur suai dan di hala tuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam...."

Setelah 54 tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah 13 Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah 12 kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan sepanjang masa.

Segala persetujuan yang telah dicapai wajib dihormati. Prinsip-prinsip asas terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan.

Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka.

Ummah wajib berdiri teguh - berpendirian tegas, tidak berundur ke belakang walau setapak sekalipun. Pencerobohan-pencerobohan yang dilakukan di masa lalu, hari ini perlu dibayar dengan harga tinggi oleh ummah.

Abdullah Munsyi mencatatkan bahawa dalam adat resam Melayu, pengajian al-Quran diperkenalkan kepada anak sebelum mempelajari Bahasa Melayu; tetapi Raffles pada 1810 telah menganjurkan supaya pelajaran bahasa Melayu hendaklah diasingkan dari dasar pelajaran Al-Quran. Satu arahan yang pada hakikatnya merupakan senjata halus, memulakan pemisahan pengajian Islam dalam sistem pendidikan di kalangan ummah.

Muhammad Nejatullah Siddiqi, yang dianggap penulis paling berpengaruh di kalangan generasi pertama ahli Ekonomi Islam, menghuraikan bagaimana sistem pendidikan yang diwarisi di negara-negara Islam memisahkan pendidikan sekular dengan agama lalu menghindarkan peluang kepada umat Islam menguasai pengetahuan ekonomi.

Pelbagai muslihat yang dilakukan di masa lalu, hari ini telah menidakkan ummah kepada haknya; betapa kedaulatan Kesultanan Melayu Johor terhakis sepenuhnya dari lakaran sejarah Singapura dan betapa pula Kedaulatan Kesultanan Melayu Kedah di Pulau Pinang turut dipadam, dan betapa Melaka pada hari ini sudah tidak beraja lagi; dan betapa Hukum Kanun Melayu dihakis dari menjadi sumber undang-undang setelah diketepikan dengan penerimaan Common Law Inggeris.

Penghakisan martabat agama Islam di bumi ini bukanlah sesuatu yang tidak mungkin terjadi atau tidak dirancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar negara. Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan - satu nyanyian, satu perkhemahan - satu lawatan; ia mungkin bermula dengan segenggam garam - setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu kalimah - satu ceramah.

Beta pernah menzahirkan peringatan bahawa pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah mimbar.

Ia bermula dari satu ungkapan, satu ucapan, satu khutbah, satu tazkirah atau satu doa; ia bermula dari pencerobohan kecil dan jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang salah; petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat Islam dan terhadap institusi Islam.

Hari ini, kemusnahan ummah dan watan tidak lagi perlu menghadapi pencerobohan dari Alfonso de Alburque atau Raffles atau Francis Light atau Yamashita atau Mac Michael.

Pencerobohan-pencerobohan baru boleh berlaku melalui manipulasi fakta sejarah, melalui perbuatan mempersendakan lagu kebangsaan, melalui penghinaan bendera negara, melalui pelanggaran menghormati kalimah suci Allah yang sekian lama eksklusif kepada umat Islam. Keangkuhan semakin berlaku - toleransi umat Islam semakin dicabar.

Ummah kelihatan semakin dilemahkan, ia mungkin berpunca dari satu kenyataan, satu ungkapan. Ia mungkin berpunca daripada satu kekaburan dasar atau satu tafsiran yang salah; ia mungkin berpunca dari perlakuan rasuah atau perbuatan pecah amanah. Walau apa puncanya, ia laksana anai-anai yang semakin membesarkan busut - yang semakin mereputkan ummah.

Umat Islam wajib menghayati semangat "Bersatu teguh, bercerai roboh". Umat Islam wajib mengambil iktibar dari peristiwa penyatuan yang dicerminkan oleh kaum lain dalam mempertahankan maruah mereka.

Dua patah perkataan yang terselit di antara ribuan perkataan dalam sebuah novel, yang dianggap menghina kaum mereka, telah menyatupadukan warga berketurunan India Malaysia untuk membantah secara habis-habisan.

Meskipun tidak ada niat penulis novel untuk menghina mana-mana kaum, tetapi atas semangat mempertahankan maruah bangsa, warga Malaysia berketurunan India dari pelbagai kumpulan politik, baik yang bersama kerajaan mahupun yang tidak bersama kerajaan, para akademik dan pelbagai organisasi, bercantum tekad - bergabung usaha, bersatu suara - bersatu tindakan atas nama mempertahankan maruah.

Tuntutan mereka menghasilkan kejayaan. Semangat bersatu sedemikian atas nama maruah bangsa, sewajarnya dijadikan teladan. Islam akan terhakis apabila tanggung jawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara tegas. Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa, sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara-perkara prinsip menyentuh akidah.

Hari ini nama suci Allah, dilaporkan telah digunapakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam - tanpa mengendahkan potensi yang boleh mengelirukan akidah anak-anak Islam - tanpa mempedulikan betapa terhirisnya perasaan ummah.

Nama suci Allah yang termaktub di dalam al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God. Allah adalah kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam, kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain.

Kalimah suci Allah bukan sekadar 'nama am' yang bermaksud 'Tuhan' walau apa bentuknya. Kesucian kalimah Allah amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut bila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan

bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas. Allah adalah nama khas, Tuhan Maha Suci - Tuhan Maha Agung.

Allah adalah satu-satunya Tuhan berdasarkan Kalimah Syahadah yang dilafazkan:

"Bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah";

Amatlah bahaya jika prinsip asas agama diredakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik. Sesungguhnya insiden yang sedang berlaku, merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini.

Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala terhadap umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan Islam di bumi ini; ujian Ilahi terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya, di kalangan ummah, ulama, barisan pemimpin, organisasi politik hatta Raja-Raja.

Ia adalah ujian terhadap ketegasan umat Islam untuk mempertahankan kalimah tauhid, Keesaan Ilahi, Allah yang "satu" lagi berkuasa di atas segalanya, Allah yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka yang telah ditentukan. Dalam menghadapi cabaran besar ini, berpegang dan yakinlah kepada kalam Allah mengikut yang terkandung dalam ayat 26 Surah Al Imran yang bermaksud:-

"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki; Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu"

Berpeganglah kepada kebesaran Ilahi, dengan bersendikan keteguhan iman, untuk berani menegakkan yang hak, menentang perlakuan mungkar.

Yakinlah bahawa kuasa itu adalah amanah Allah, datangnya dari Allah, dan ALLAH akan memberi berkat, memberi petunjuk, memberi perlindungan dan memberi kemenangan kepada mereka yang memiliki kekuatan untuk mempertahankan kesucian kalam tauhid.

Hanya sanya kerana politik, umat Islam jangan sampai hilang pedoman untuk tidak menghalang sesiapa sahaja "mengALLAHkan" apa sahaja yang mereka anggap tuhan. Satu keredaan yang membuka jendela kepada proses yang berpotensi menyimpangkan akidah.

Sudah terlalu lama umat Islam di bumi ini, berfikiran selesa dengan status bangsa, status agama dan status sejarah. Sudah terlalu lama umat Islam berfikiran selesa sebagai pewaris kepada tanah air pusaka bangsa.

Sudah terlalu lama umat Islam berpendirian selesa sebagai penduduk majoriti di sebuah negara merdeka, sudah terlalu lama umat Islam bersandarkan keselesaan kepada tiang politik yang disifatkan kukuh. Keselesaan umat Islam telah mengulitkan mereka leka tidur di siang hari bermimpikan bahagia.

Hari ini segala-galanya telah berlalu. Tanpa sesuatu langkah strategik - langkah berani, umat Islam dibimbangkan sedang menghitung hari, berada di ambang untuk menghadapi nasib bermusafir kelana di rumah sendiri. Ada kalanya umat Islam yang berani bersuara tentang bangsanya dan umat Islam yang berpendirian tegas untuk mempertahankan kesucian agamanya, dianggap melakukan dosa kepada negara-bangsanya.

Ummah mengimpikan pencapaian ekonomi yang lebih baik, profesion pekerjaan yang lebih baik, taraf hidup yang lebih baik, urus tadbir negara yang lebih baik.

Ummah mengimpikan pemerintahan adil lagi saksama; pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang tidak dilaksanakan secara diskriminasi, melalui badan kehakiman yang berintegriti; pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender, keadilan sosial, menyediakan kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan.

Ummah mengimpikan negara yang bebas dari kekacauan dan persengketaan; negara yang mengagihkan kemakmuran secara saksama. Sesungguhnya masih ada jurang di antara menggapai harapan dengan realiti, lalu mencetuskan pelbagai reaksi - pelbagai kebimbangan - pelbagai keresahan.

Raja-Raja Melayu sejak zaman berzaman memiliki sifat prihatin terhadap kelangsungan bangsa dan kesucian agama, dua perkara yang begitu dekat di hati Raja-Raja Melayu.

Rekod-rekod perundingan membuktikan, semasa era pentadbiran Inggeris, Raja-Raja Melayu senantiasa mengingatkan Inggeris untuk memastikan berlakunya perimbangan terhadap pribumi dalam program yang diperkenalkan oleh Inggeris baik dari segi pendidikan, pertahanan, pekerjaan, penghijrahan, pembukaan tanah dan pelbagai perkara lagi.

Raja-Raja Melayu sangat prihatin terhadap masalah perpaduan ummah di hari ini.

Ummah kelihatan berada dalam babak yang begitu taksub untuk menang 'sorak' tanpa memikirkan kampung lamannya mungkin tergadai.

Raja-Raja sedang memerhatikan pendirian taksub kepimpinan politik di kalangan ummah, memilih untuk berpatah arang berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi puntung-puntung arang; pimpinan politik di kalangan umat Islam hari ini tidak lagi menghayati semangat biduk berlalu kiambang bertaut.

Dalam suasana pimpinan politik di kalangan umat Islam tidak lagi mahu bersepakat, umat Islam perlu mempunyai platform penyatuan yang kukuh - platform penyatuan yang bebas dari politik berparti.

Majlis Agama Islam (MAJLIS) di bawah payung naungan Raja-Raja perlu berada di barisan hadapan memenuhi peranan kritikal ini. Roh Islam wajib dikembalikan. Islam itu adalah sumber kekuatan perpaduan yang amat hebat.

Islam berperanan sebagai penentu identiti, sebagai peta spiritual di dalam hidup, memberikan panduan dan makna, tujuan dan harapan, serta berperanan sebagai faktor tersangat penting untuk membina perpaduan. Dalam konteks negara ini, Islam memberikan identiti ummah dan identiti negara.

Islam adalah benteng pertahanan kekuatan ummah, benteng pertahanan yang gagal ditembusi oleh setiap kuasa yang pernah melakukan penjajahan politik, penjajahan budaya, penjajahan ekonomi di bumi ini.

Islam tidak wajar dilihat melalui lensa politik, kerana lensa politik boleh berubah. MAJLIS adalah institusi bukan politik, institusi yang bertanggung jawab secara langsung kepada Raja-Raja sebagai Ketua Agama Negeri.

Majlis Agama Islam diwujudkan melalui Undang-undang Tubuh Negeri sebagai Pihak Berkuasa Utama Negeri mengenai hal ehwal Islam selepas Raja Pemerintah. Institusi ini hendaklah berstatus bebas sebebasnya dari pengaruh dan campur tangan politik berparti; dan Raja pada setiap masa wajib memastikan takhta kekal di atas politik kepartian.

Majlis Agama Islam Negeri berada dalam kedudukan yang boleh memenuhi dua peranan secara bijaksana untuk memastikan kelangsungan Islam dan survival umat Islam di negara ini.

Dalam perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan dalam perkara-perkara yang tidak menderhaka kepada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, 'MAJLIS' wajiblah memenuhi peranan pelengkap, bekerjasama erat dengan kerajaan yang dipilih secara demokratik; tetapi dalam apa juga usaha yang bercanggah dengan semangat asal Perlembagaan dan berunsur menderhakai Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, 'MAJLIS' wajib secara tegas - secara lantang, berpegang kepada prinsip, menolak serta menentang; serta segera menyembahkan kepada perhatian Raja-Raja cadangan-cadangan alternatif demi mempertahankan syiar Islam - demi menjamin ummah tidak berakhir dengan nasib berdagang di bumi sendiri.

Peranan MAJLIS kini semakin kritikal dan masa tidak memihak kepada umat Islam kerana kekayaan ekonomi dan kekayaan intelek masih belum memihak kepadanya.

Majlis Agama Islam wajib keluar dari kepompong pendekatan yang usang dan berani mencabar tradisi yang jumud. Dalam mendukung tanggung jawab besar terhadap ummah, 'MAJLIS' perlu melakukan perekayasaan, membawa minda keluar dari sangkar kurungan ciptaan Inggeris, mencelikkan pandangan untuk berupaya merangka rancangan dan tindakan yang lebih substantif.

Hassan Al Bana dalam Usul Ishrin menggariskan Islam ialah sistem yang syumul merangkumi seluruh aspek hidup, Islam adalah negara dan watan, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman; Islam merangkumi material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, akidah yang benar dan ibadat yang sah.

Insan yang menerima Islam sebagai pegangan agamanya, memiliki ikatan dan komitmen yang mendalam kepada Tuhan Maha Pencipta. Islam adalah Addin, satu cara hidup yang lengkap dan berkesinambungan, mengaitkan kehidupan di alam dunia dan di alam akhirat, perlu dibincangkan secara berintegrasi tanpa memisahkan komponen duniawi dengan komponen ukhrawi.

'MAJLIS' wajib menghayati tafsiran sedemikian dalam hasrat melakukan transformasi peranan, transformasi agenda dan transformasi pendekatan.

Justeru, peranan MAJLIS harus diluaskan, dimerdekakan dari minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris. Peranan MAJLIS hendaklah ditakrifkan secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran dan tenaga pelaksana berwibawa untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik.

Selagi tindak tanduk MAJLIS tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, Negara hendaklah mengiktiraf MAJLIS sebagai institusi strategik, berpotensi menyempurnakan tanggung jawab fardu kifayah, berperanan sebagai benteng terakhir dan terpenting untuk menjamin kelangsungan Islam dan survival ummah walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara.

MAJLIS perlu menimbangkan empat platform untuk diberikan fokus utama untuk berperanan lebih berkesan dalam membela nasib ummah.

Pertama: menyemak dan menghalusi dasar-dasar negara dan pelaksanaan dasar agar tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan tidak bertentangan dengan wasiat Raja-Raja Melayu.

Kedua: mengenal pasti, memantau, membantu dan memperlengkap usaha-usaha Negara untuk
membangunkan taraf ekonomi, taraf pendidikan dan taraf sosioekonomi ummah.

Ketiga: menerokai usaha untuk membangunkan modal insan dan modal sosial di kalangan ummah agar tidak tercicir dan ketinggalan dengan menyuntik perisian dan komponen latihan yang lebih relevan dengan keperluan guna tenaga semasa dalam institusi-institusi pendidikan agama di semua peringkat terutama di luar bandar.

Keempat: Memaksimumkan kegunaan infrastruktur agama Islam sedia ada seperti masjid dan surau, dipelbagaikan aktiviti dan dibangunkan sebagai pusat pembangunan kecemerlangan ummah.

sumber : UMNO Kg Serdang Setiawan Perak
Continue Reading...

Monday, September 19, 2011

jalan itu

No comments:


jalan itu, barangkali membawamu pulang
atau membawamu pergi
jalan itu akan menamatkan pengembaraan
atau memulakan perantauan
jalan itu memulakan kejauhan
atau mendekatkan harapan

biarlah jalan itu
memberi kesempatan untuk jauh mencari
dan menemukan kembali
memang tak ada pilihan
hanya jalan itu
dan masa depan itu pun
tertanda di hujung jalan itu

dan mereka yang telah pergi
turut melalui jalan itu
menyempurnakan perjuangan
untuk sebuah masa depan

dan esok
akan lahir anak-anak
untuk pulang dan pergi
melalui jalan itu
dan biarlah mereka seperti kau dan aku
dapat merasa nikmat jalan itu
mencari masa depan



Continue Reading...

Friday, September 16, 2011

wasiat raja-raja melayu

No comments:

Gambar atas : Raja-raja Melayu bergambar bersama Wakil Ratu Britain.

Hubaya-hubaya bangsa, bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-duli Yang Maha Mulia sembilan orang Raja-raja Melayu sebagai raja pemerintah dari empat buah “Negeri Melayu Bersekutu” dan lima buah “Negeri Melayu Tidak Bersekutu” memberikan perkenan menurunkan tandatangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat tujuh wasiat Raja-raja Melayu yang berbunyi :

Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kami bersatu padu dan berpegang teguh padanya, selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera. Tujuh perkara itu ialah :


1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu

2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain

3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara

4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu memerintah negara ini

5. Kami isytiharkan Islam sebagai agama Pesekutuan

6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu

7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain


Sila baca dan fahami wasiat di atas tanpa prejudis perkauman dan politik sempit, khususnya kepada segelintir chauvinist yang masih lagi wujud di negara kita selepas hampir setengah abad merdeka.


DAULAT TUANKU!!!!

sumber: ibnu rusydi



Continue Reading...

selamat hari malaysia

No comments:
selamat hari malaysia

MENUJU MASA DEPAN DENGAN PARADIGMA BARU



Continue Reading...

Thursday, September 8, 2011

jamal abdillah

No comments:
jamal513

“Janganlah kita bercakaran sesama sendiri hanya mengejar kepentingan diri. Kita harus bersatu padu memertabatkan negara kita. Jangan mudah membiarkan orang lain menginjak maruah bangsa kita. Bukanlah saya bermaksud untuk berpolitik tetapi saya sedar bahawa tiada parti lain yang mampu menjaga kepentingan rakyat selain daripada UMNO dan BN,”
(Jamal Abdillah)

Sumber : Agenda Daily

dan kepada yang lain, kembalilah ......




Continue Reading...

Friday, September 2, 2011

gerakan komunisme di tanah melayu

No comments:
Rentetan Peristiwa ( 6 Jun-21 Julai 1948 )

TARIKH PERISTIWA
6 Jun
Pesuruhjaya Tinggi mengumumkan tentang kejadian keganasan yang semakin berleluasa di ladang-ladang, lombong dan kilang yang dicetuskan oleh pihak komunis.
12 Jun
Tiga orang ketua Cina Kuomintang telah ditembak mati di rumah mereka di Johor oleh lima orang pengganas komunis.
14 Jun
Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu dalam satu sidang akhbar mengumumkan tentang peningkatan kejadian rusuhan oleh komunis yang melibatkan 10 kejadian pembunuhan dan 3 serangan ke atas pengurus ladang Eropah.
15 Jun
Pesuruhjaya Tinggi menemui wakil-wakil majikan dan ketua-ketua Majlis Perundangan Persekutuan dan Majlis Penasihat Buruh untuk membincangkan pergolakan yang sedang berlaku.
16 Jun
Tiga orang peladang bangsa Eropah telah dibunuh di Perak oleh beberapa orang Cina yang bersenjata. Darurat telah diisytiharkan di beberapa daerah di Perak dan Johor.
17 Jun
Darurat diisytiharkan di seluruh negeri Perak dan Johor. Polis membuat beberapa serbuan di pejabat-pejabat Parti Komunis Malaya termasuk Ibu Pejabat Persatuan Bekas-bekas Anggota MPAJA. Peladang dan pekerja estet diberi perlindungan. 12 orang Cina bersenjata dan beruniform menyerang Balai Polis di Jeram Choh, Johor.
21 Jun
Polis membuat serbuan di seluruh negara dan 600 orang ditangkap.
28 Jun
Peraturan Darurat dikeluarkan yang membawa kepada penubuhan pasukan Konstabel Khas. 40 orang Cina bersenjata dan beruniform menyerang Balai Polis di Kuala Krau, Pahang.
29 Jun
Pengganas menyerbu pekan Jerantut, Pahang serta membakar Balai Polis dan merampas barangan di kedai-kedai.
1 Julai
Pegawai jajahan berbangsa Cina telah dibunuh di Langkap, Perak.
5 Julai
Polis dan tentera digabungkan bagi membenteras keganasan komunis.
7 Julai
Serangan udara dilancarkan ke atas khemah-khemah pengganas dalam hutan di Perak Utara.
8 Julai
Salah seorang ketua pengganas komunis, Tan Kan juga bekas ketua Kesatuan Buruh Johor ditembak mati dalam satu serangan balas di Johor.
9 Julai
Dua peladang berbangsa Eropah bersama seorang Melayu dan india telah terbunuh dalam satu serangan di Batu Sawah, Pahang. Pengganas turut menyerang Balai Polis di Langkap, Selatan Perak dan seorang konstabel terkorban.
10 Julai
Polis dan askar Gurka berjaya membunuh 4 pengganas komunis dan menawan 19 orang pengganas di Kuala Lumpur.

12 Julai
Pengganas beruniform merampas lombong arang batu di Batu Arang Selangor. 5 pekerja China dibunuh dan loji dimusnahkan.Mereka turut mengambilalih estet Senggang di Kuala Kangsar, Perak. Darurat diisytiharkan di seluruh negara.
14 Julai
4 orang awam berbangsa Cina termasuk seorang wanita dibunuh di Ulu Yam, Selangor.
15 Julai
3000 anggota polis tambahan dan ramai lagi konstabel khas telah direkrut.
15 Jun
Pesuruhjaya Tinggi menemui wakil-wakil majikan dan ketua-ketua Majlis Perundangan Persekutuan dan Majlis Penasihat Buruh untuk membincangkan pergolakan yang sedang berlaku.
16 Julai
Lau Yew, ahli jawatankuasa Pusat Tentera PKM bersama 10 orang lagi telah terbunuh dalam satu serangan di Kajang Selangor.
17 Julai
300 pengganas komunis telah menyerang Balai Polis Gua Musang, Kelantan. Seorang polis terbunuh dan 14 orang cedera. Pekan Gua Musang telah diduduki oleh pengganas selama beberapa hari.
20 Julai
Seorang tentera British dan 6 askar Melayu terbunuh manakala 3 cedera dalam satu serangan hendap di Gua Musang. Di Selangor, seorang guru besar sekolah Cina telah di bunuh.
21 Julai
Pengumuman mengenai pengenalan sistem pendaftaran negara. 2 keluarga bangsa Eropah telah dihalau dari kediaman mereka dan sebuah konvoi polis turut diserang. Beberapa bangunan dibakar dalam serangan ke atas 3 buah estet di Perak.


Gambar-Gambar Sewaktu Darurat

Ordinan Peraturan Darurat 1948 yang menguatkuasakan perintah darurat di seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 12.7.1948
Khemah pengganas-pengganas komunis yang dijumpai oleh polis
Keratapi merupakan pengangkutan yang penting dalam proses pemindahan penduduk-penduduk ke kampung-kampung baru sewaktu darurat

Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra tiba untuk mengadakan rundingan dengan Chin Peng di Baling 28.12.1955
Serangan dan kebakaran yang dilakukan oleh 80 orang pengganas di Pekan Simpang Tiga, Setiawan, Perak menyebabkan 1,000 orang kehilangan rumah tangga dalam masa darurat, 17.5.1958
Pasukan wanita pengawal kampung menjalankan latihan untuk pertahanan sawah-sawah mereka di dalam masa darurat

Penunjuk-penunjuk perasaan menentang fahaman komunis di seluruh negara
Papan notis di sempadan 'Kawasan Putih' di Melaka
Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu,Tunku Abdul Rahman Putra di majlis menandatangani Surat Pengisytiharan Penamatan Darurat di Kuala Lumpur,29.7.1960


Gerakan Komunisme di Tanah Melayu

Fahaman Komunis di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1923. Beberapa sekolah malam telah ditubuh dan digunakan untuk menyebarkan dakyah kebangsaan Cina serta Komunisme. Di samping itu, pertubuhan-pertubuhan buruh Komunis telah juga muncul pada tahun 1926. Pada tahun tersebut, di Negeri Sembilan sahaja di mana terdapat ramai suku Hailam (suku Hailam dikatakan pendokong utama fahaman Komunis), terdapat tidak kurang sepuluh pertubuhan pekerja yang berkait rapat dengan pihak Komunis. Perkembangan seterusnya telah membawa kepada penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) pada April 1930 di atas arahan Pertubuhan Komunis Antarabangsa (Communist International atau Comintern) yang dipengaruhi oleh Rusia. PKM dikehendaki mendapatkan sokongan orang Melayu (terutamanya kaum petani) dan orang India. Bagaimanapun PKM merasa terdesak mendapatkan sokongan orang Cina kerana permusuhan di antara negeri China dan Jepun semakin serius di antara tahun 1931-1937. Oleh yang demikian, PKM cuba menjuarai kempen anti-Jepun di kalangan mereka dan kurang memberi perhatian kepada dasarnya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Bagaimanapun PKM tetap meneruskan kegiatannya menghasut kaum pekerja di ladang-ladang getah dan di bandar-bandar dengan matlamat mewujudkan kegelisahan perindustrian. Sepanjang lewat 1930an, pemogokan berlaku di merata tempat di samping rusuhan akibat kempen anti-Jepun.

Pada masa pendudukan tentera Jepun, kedudukan PKM menjadi lebih kuat kerana permuafakatan mereka dengan pihak British untuk menentang Jepun. Ahli-ahli PKM berpeluang mendapat latihan dan kemahiran dari segi ketenteraan daripada pihak British. British menubuhkan Sekolah Latihan Khas 101 di Singapura di bawah Kolonel Spencer Chapman untuk melatih beberapa pegawai dan anggota PKM bagi menjalankan kerja-kerja sabotaj dan penentangan terhadap tentera Jepun. PKM telah menghantar empat kumpulan mengandungi 165 orang anggota dengan setiap kumpulan menjadi teras kepada pasukan gerila di Selangor, Negeri Sembilan, Johor Utara dan Johor Selatan.

PKM mula mengatur strategi dengan menubuhkan Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA). Dari empat kumpulan yang asal, tentera tersebut berkembang menjadi lapan unit dengan tiap-tiap satunya menjalankan gerakan di setiap negeri. Setiap unit ini berhubung dengan Jawatankuasa Tentera Pusat PKM. Orang-orang Cina pula sentiasa bersedia memberikan sokongan tenaga manusia, wang ringgit, makanan, bekalan dan maklumat kepada MPAJA kerana bencikan layanan kasar askar-askar Jepun. SEAC (Southeast Asia Command) yang menubuhkan Force 136 juga telah bersetuju membekalkan alat-alat senjata, wang, bekalan dan pegawai-pegawai untuk melatih orang-orang PKM menggunakan senajata-senjata baru. Sebagai balasannya, MPAJA setuju memberikan kerjasama menentang Jepun. Pada Julai 1945, sebanyak 3,500 senjata kecil, peluru dan 500 pegawai dan anggota diberikan kepada MPAJA. Latihan juga dimulakan dengan bersungguh-sungguh tetapi gerakan tidak pernah dijalankan. Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1945.

Dalam tempoh dua minggu di antara masa Jepun menyerah kalah dan pihak Tentera Berikat mendarat untuk menduduki semula Tanah Melayu, Bintang Tiga /MPAJA mengambil kesempatan keluar dari hutan dan merampas senjata-senjata Jepun dan Tentera Kebangsaan India. Mereka menguasai Tanah Melayu seolah-olah rejim komunis telah berkuasa sepenuhnya. Mereka menubuhkan 'Mahkamah Rakyat' dan menjatuhkan hukuman bunuh sewenang-wenangnya. Pentadbiran Tentera British (BMA) yang ditubuhkan pada 12 Disember 1945 terpaksa bertindak segera menghentikan aktiviti MPAJA dan memaksa pasukan tentera tersebut dibubarkan.

Namun begitu, semasa pemerintahan BMA, PKM tidak diharamkan. Kedudukannya yang agak bebas berbanding masa sebelum perang, menggalakkan PKM bergerak secara terbuka sebagai sebuah parti politik. Di antara tahun 1946 hingga awal 1948, PKM cuba memperkukuhkan kedudukannya dari segi politik meskipun masih memberi perhatian utama kepada pergerakan buruh. PKM cuba mempergunakan parti-parti radikal seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Malayan Democratic Union, Malayan Indian Congress (MIC), Hizbul Muslimin dan Saberkas (Kedah). PKM juga memainkan peranan penting dalam perjuangan PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat – All Malaya Council of Joint Action) untuk mengagalkan gagasan politik yang diperjuangkan oleh Raja-raja Melayu-UMNO-British. Dalam pada itu, PKM juga menyebarkan dakyah dan pengaruh ideologi mereka ke dalam persatuan-persatuan sekerja, belia dan penuntut-penuntut sekolah. Mereka juga menjadi dalang dan penghasut kesatuan-kesatuan sekerja untuk melancarkan mogok hampir di seluruh negara. Sehingga 1947, lebih kurang 300 kes mogok berlaku dalam industri getah dan bijih timah.

Bagaimanapun dengan lahirnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, PKM menyedari perjuangannya melalui politik akan menemui kegagalan. Apabila pucuk pimpinan PKM diambil alih oleh Chin Peng, PKM mula menukar strategi dengan melancarkan gerakan-gerakan keganasan secara terbuka. PKM menubuhkan pasukan tentera gerila yang dinamakan Tentera Anti-British Penduduk Tanah Melayu (MPABA) untuk melancarkan pemberontakan bersenjata dengan tujuan mewujudkan kawasan-kawasan bebas (liberated areas). Beberapa buah unit yang ditubuhkan mula meresap ke khemah-khemah di hutan, menjalani latihan serta memperlengkapkan diri mereka dengan senjata-senjata. Bermula Jun 1948, mereka melakukan keganasan dan pemberontakan dengan menyerang pekerja-pekerja estet dan lombong, menebas beribu-ribu batang pokok getah, merosakkan jentera lombong, membakar rumah pekerja, mengelincirkan keretapi dan membakar bas-bas. Beberapa orang kontraktor buruh di ladang getah dan lombong dibunuh termasuk pengurus-pengurus ladang bangsa Eropah. Gerakan ini dilakukan untuk melumpuh dan membinasakan ekonomi kapitalis dan sistem pertahanan British. Untuk mengawal keadaan huru-hara dan porak peranda ini, kerajaan terpaksa mengisytiharkan Darurat pada 16 Jun 1948 di Johor dan Perak. Darurat kemudian diisytiharkan bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1948. Berikutan pengisytiharan darurat tersebut, PKM diharamkan.

Manakala itu, PKM telah menubuhkan Min Yuen, pasukan bawah tanah untuk menyelusup ke dalam masyarakat dengan tugas membekalkan gerila, perubatan, makanan, wang dan maklumat serta membunuh agen-agen dan pembelot. Orang-orang Asli juga dipaksa membantu mereka. PKM kemudiannya menubuhkan Tentera Pembebasan Bangsa-bangsa Tanah Melayu (Malayan Races Liberation Army) terutamanya untuk mendapat sokongan orang-orang India dan Melayu. MRLA mempunyai 4,000 anggota dan dibahagi kepada 10 rejimen yang berpengkalan di setiap negeri. Mereka melakukan serangan hendap ke atas konvoi-konvoi bersenjata, menyerang ladang-ladang, kampung-kampung dan balai-balai polis yang terpencil serta membunuh ejen-ejen dan penyokong anti-Parti Komunis Malaya. Mereka juga memperhebatkan kempen, propaganda dan ugutan untuk menarik penyokong-penyokong ke dalam perjuangan mereka. Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British telah dibunuh pada Oktober 1951 dalam satu serangan hendap oleh pengganas komunis.

Pembunuhan Sir Henry Gurney telah merangsang gerakan drastik dan pelipatan kali ganda kekuatan tentera di Tanah Melayu. Dalam menangani kegiatan-kegiatan kejam, ganas dan subversif PKM, beberapa langkah dan tindakan telah diambil oleh kerajaan. Pada bulan Mei 1950, Lt. Jeneral Sir Harold Briggs selaku Pengarah Gerakan memperkenal dan melaksanakan rancangan 'Kampung Baru' yang didirikan di atas tanah pemberian Sultan. Melalui Rancangan Briggs (Briggs Plan) ini, setengah juta penduduk kawasan-kawasan terpencil dikumpul dan ditempatkan di kampung-kampung baru. Rancangan ini telah berjaya memutuskan bekalan makanan, senjata dan rangkaian pengaruh di antara penduduk dengan pengganas komunis (PKM). Walaupun PKM bertindak balas secara besar-besaran, kempen Jeneral Sir Gerald Templer yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi pada tahun 1952 telah berjaya memusnahkan 2/3 kekuatan PKM. Templer telah melaksanakan kempen serampang dua mata iaitu peperangan terhadap komunis dan peperangan terhadap fahaman perkauman. Perang Saraf dilancarkan oleh Templer dari tahun 1952 hingga 1954 untuk mempengaruhi dan memenangi hati dan minda komunis dan rakyat awam secara psikologi. 20 juta risalah digugurkan dari udara bagi menyeru anggota PKM menyerah diri serta soal selidik dibuat dari rumah ke rumah untuk mendapatkan maklumat berhubung aktiviti komunis. Pada tahun 1953, operasi Kawasan Putih dan Kawasan Hitam diisytiharkan bagi memberi kesedaran kepada rakyat agar tidak bekerjasama dengan komunis serta mengekalkan kampung mereka bebas dari ancaman. Gerakan-gerakan sosial seperti lawatan pegawai-pegawai tinggi British ke hospital, pembinaan dewan orang ramai dan sebagainya telah menarik minat penduduk menyokong kerajaan.

Keganasan yang dilakukan oleh PKM juga telah mengurangkan sokongan
penduduk negara ini tambahan pula langkah-langkah kerajaan mengambil hati masyarakat Cina dengan pemberian hak taraf kerakyatan serta memupuk benih-benih semangat kenegaraan di kalangan penduduk Tanah Melayu telah menyukarkan perjuangan PKM untuk mencapai matlamatnya. Rang undang-undang Pindaan 1952 meningkatkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada orang Cina dari 10% kepada 55%. Usaha memperkenalkan kad pengenalan diri untuk semua penduduk Tanah Melayu secara tidak langsung mengagalkan cita-cita PKM untuk menakluki Tanah Melayu. Menjelang tahun 1953, PKM telah kehilangan 7,000 ahlinya. Chin Peng bersama beberapa ketua rejimennya terpaksa berundur ke selatan Thailand.

Pada 9 September 1955, tanpa campurtangan British, kerajaan Perikatan telah menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada anggota PKM dengan syarat PKM meletakkan senjata. Susulan dari tawaran tersebut, satu rundingan telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955 di antara wakil Parti Perikatan dan wakil PKM. YTM Tunku Abdul Rahman Putra selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu disertai oleh Dato' Sir Tan Cheng Lock dan Sir David Marshall bertegas bahawa PKM mesti menyerahkan senjata sebagai syarat perletakan senjata. Setiausaha Agung PKM, Chin Peng tetap tidak mahu menerima syarat tersebut. PKM juga menolak tawaran pengampunan beramai-ramai yang diberikan oleh YTM Tunku. Walaupun rundingan tersebut gagal, namun PKM mengalami kekalahan siasah bila mana kerajaan Perikatan kekal dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf PKM sebagai sebuah parti politik serta tidak menerima fahaman komunisme di negara ini. Pada 1 September hingga 31 Disember 1957, sekali lagi tawaran penyerahan diri kali kedua kepada PKM diisytiharkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Setelah 12 tahun berjuang, dengan 4,338 nyawa terkorban dari kalangan pasukan keselamatan dan orang awam (1865 pasukan keselamatan dan 2473 orang awam) serta 6,711 pengganas komunis, negara akhirnya mencapai kemenangan. Chin Peng beserta 400 saki-baki pengikutnya tiada jalan lain melainkan berundur ke selatan Thailand. Pada 29 Julai 1960, YTM Tunku Abdul Rahman Putra menandatangani surat pengisytiharan tamat darurat setebal 176 muka. Darurat secara rasminya diisytiharkan tamat pada 30 Julai 1960. Ordinan Peraturan Darurat 1948 juga dimansuhkan.

Setelah darurat tamat, pasukan keselamatan meneruskan operasi-operasi susulan dengan bantuan Angkatan Tentera Diraja Thailand dan polis di sempadan Malaysia-Thailand untuk menghapuskan saki baki kumpulan PKM yang bergiat semula. Setelah 34 tahun selepas Rundingan Baling, PKM akhirnya bersetuju mengadakan perjanjian damai. Kerajaan Thai menjadi orang tengah dalam proses rundingan perdamaian yang diadakan di Hadyai, Thailand. Pada 2 Disember 1989, perjanjian damai ditandatangani oleh Malaysia dan PKM dengan PKM bersetuju meletak dan menyerahkan senjata sepenuhnya serta menamatkan ancaman mereka di Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia




Continue Reading...

sang pejuang

No comments:



Continue Reading...

Thursday, September 1, 2011

biarkan hati bersalaman

No comments:
kita pun bertemu di sini
merangkul lebaran memeluk sinar merdeka
detik sebegini akan senyap memberitahu
tentang ketulusan dan kejujuran
tentang keberanian dan kebenaran
akan datang ke kelopak jiwa kolam rasa
salam yang kita sambut
lafaz yang kita ungkap
seringkalikah ia tiba ke tangkai hati
akan berbekaskah segalanya
di tanah kalbu di teluk nurani
benarkah kesetiaan demi perjuangan bersama
bahawa kita tak akan beranjak dari mendokong pertiwi
menebalkan kasih sayang pada tanah kelahiran
dan akan kita korbankan semuanya
demi setanggi negara
dan kita akan pasrah dan ikhlas memohon
tuhanlah yang memberi petunjuk dan pedoman
segenap apa yang termimpi

kita ingin suburlah pohon perpaduan
yang menemukan hati kita pada jarak yang amat akrab
menerima apa yang terjadi dengan rasa takwa
kekurangan adalah kelemahan yang diinsafi
kemenangan adalah kejayaan yang disyukuri
kita bukan berniat membesarkan sengketa
dari segala keremehan
atau menjadikan suatu yang berat dan terbeban
bersama mendukung dan memikul
tidak membongkar sauh kebencian
hanya kerana kita ingin mengutip keuntungan
dan menyangkal melulu
hanya kerana kita ingin dilihat wira
sedang kita sendiri menyedari
semua itu adalah dongeng palsu
yang berbuai sorak sorai dan puja puji melata
dan kita selalu bertopeng untuk turun ke gelanggang
menutup lemah dan khilaf
agar kita selalu ternampak sempurna

biarkan hati bersalaman
mengerti bahawa persahabatan dan persaudaraan
adalah keagungan pertalian
kita melihat apa yang terbenam di hati masing-masing
memahami bahawa hidup kebersamaan ini
adalah segala-galanya
terindah dan mententeramkan
kita tidak berniat untuk menjadi hanuman palsu
yang pada akhirnya berbungkus kaku
ke dalam kotak kayu di sisi panggung
kelir akan kosong
cetera akan berakhir
semuanya menjadi permainan
sang dalang menukang cetera

biarkan hati kita bersalaman
bersama lebaran
bersama sahut merdeka
kerana
kita inginkan negara dan pertiwi
seringkali mengecap
harum bahagia



catatan : takziah buat keluarga datuk dr hassan ahmad
alfatiah. semoga Allah merahmati

Continue Reading...