Monday, December 19, 2016

suara dan fikir

No comments:

Daim bersuara, krisis keyakinan kronik
18 Disember 2016


SAYA telah diminta berkongsi pandangan mengenai isu struktural yang dihadapi oleh negara kita dan apa yang boleh dilakukan berkaitan dengannya.

Saya amat keberatan untuk menurunkan pemikiran saya dalam bentuk tulisan atau berkongsi pandangan saya dengan masyarakat.

Sejak bersara, saya menjauhkan diri daripada perbincangan terbuka. Saya lebih banyak menghabiskan masa dengan mengembara. Namun keadaan telah berubah dan kita sedang mengalami krisis yang sangat teruk.

Saat ini, jelas terdapat isu struktural jangka panjang yang mungkin memberi kesan kepada hala tuju kita ke arah status negara maju.

Ini termasuklah isu pendidikan, pasaran buruh, dasar fiskal kewangan kerajaan, pertumbuhan inklusif dan kemapanan ekonomi.

Bagaimanapun, apa yang negara kita perlukan pada masa ini adalah usaha untuk menangani perkara yang lebih asas walaupun sukar untuk diselesaikan.

Seperti telah saya katakan berulang kali, apa yang perlu kita tangani sekarang adalah defisit keyakinan yang kronik. Untuk mengatasi defisit itu kita mesti tahu asal-usul permasalahannya.

Terdapat beberapa sebab kita mengalami defisit keyakinan.

Pertama, kekurangan integriti, kejujuran dan keberanian moral. Ketiadaan sifat-sifat moral yang tinggi ini berlaku secara meluas di kalangan elit negara ini, khususnya mereka yang berkuasa.

Gejala rasuah yang berleluasa sehingga wang awam boleh dicuri untuk kegunaan persendirian oleh kakitangan awam atau kes kakitangan awam menyembunyikan jumlah wang yang begitu banyak sudah tidak lagi memeranjatkan kita. Seolah-olahnya gejala rasuah yang sistemik telah menyelubungi dan melumpuhkan negara sehingga kita terpaksa menerimanya bulat-bulat.

Hakikatnya, mereka yang korup harus dihukum dan kita tidak patut menunjuk sebarang simpati terhadap mereka.

Namun adakalanya penjenayah yang mempunyai perlindungan politik tidak segera dihadapkan ke muka pengadilan.

Dalam kes rasuah Jabatan Air Negeri Sabah misalnya, sudah hampir dua bulan berlalu sejak mereka yang disyaki, dilepaskan melalui ikat jamin. Ini memberi ruang kepada orang ramai untuk terus membuat spekulasi mengenai salah guna sistem pentadbiran.

Demikian juga dengan tuduhan rasuah di Kementerian Belia dan Sukan. Dan siapakah yang boleh menafikan kewujudan kes rasuah berbilion ringgit serta salah guna kuasa sedang berlaku di negara kita?

Agak penting juga untuk diingatkan bahawa kekurangan integriti nasional mempunyai kesan yang sangat buruk. Dan kesannya boleh dirasai melangkaui generasi pada hari ini.

Kajian menunjukkan negara yang dianggap mempunyai kadar rasuah tinggi mengalami kadar pertumbuhan ekonomi lebih rendah berbanding negara yang bersih daripada gejala rasuah, selain menghadapi kesan negatif dalam pertumbuhan ekonomi.

Tiada siapa mahu melabur di negara yang tidak menghormati peraturan perundangannya sendiri.

Ramai yang lupa bahawa punca sesuatu masyarakat atau sesebuah negara itu boleh berjaya ataupun gagal, dan sesuatu tamadun serta empayar agung boleh runtuh adalah disebabkan kekurangan atau ketiadaan integriti.

Oleh itu, untuk menyelesaikan isu-isu struktural ini maka adalah penting jika sifat mulia perlu diwujudkan di peringkat paling atas di kalangan mereka yang berkuasa.

Malah, kelangsungan negara kita dan kejayaannya bergantung kepada keutuhan moral setiap orang, terutama di kalangan mereka yang memimpin.

Pemimpin mesti menegakkan tingkah laku berintegriti tinggi, tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepada mereka dan tidak mengambil kesempatan atas kedudukan pangkat masing-masing. Mereka yang berkuasa mesti berwaspada dan beringat bahawa menyalahgunakan kuasa adalah satu sifat tidak bermaruah.

Kedua, kekurangan empati dan penggunaan akal logik di kalangan pemimpin memainkan peranan dalam melebarkan lagi jurang keyakinan terhadap mereka.

Di kala rakyat berasa kesempitan akibat peningkatan kadar gaji yang perlahan, peningkatan kos sara hidup akibat pelupusan subsidi dan nilai mata wang ringgit yang lemah, tidak semena-mena kita mendengar berita bahawa lebih setengah bilion ringgit akan diguna untuk mengubah suai taman di ibu kota.

Ini sangatlah tidak sensitif dan tidak masuk akal, lebih-lebih lagi apabila peruntukan untuk sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan telah dipotong.

Wajarkah memotong peruntukan, tetapi kita menggunakan berjuta-juta duit rakyat untuk menaik taraf sebuah taman? Jika kerajaan betul-betul jujur mengambil berat taman-taman di ibu kota, maka taman seperti di Bukit Kiara sepatutnya sudah lama diwartakan.

Ketiga, kemahiran mengawal dan mengawasi ekonomi negara amat cetek. Kita kononnya berbangga mengatakan “asas-asas ekonomi kita adalah kukuh”, tetapi sebenarnya ekonomi kita dijanakan oleh hutang.

Ini tidak lestari. Hutang kerajaan berserta liabiliti luar jangka telah dengan mudah melampaui had hutang yang ditetapkan.

Untuk belanjawan tahun hadapan sahaja, kita perlu meminjam sehingga 90 peratus bagi membiayai perbelanjaan pembangunan. Bagi setiap RM1 pendapatan yang kita sasarkan untuk dipungut, 98 sen daripadanya terpaksa digunakan untuk perbelanjaan operasi seperti pembayaran gaji, pembayaran faedah hutang dan pemberian subsidi. Sekali lagi diulangi, cara ini sememangnya tidak lestari.

Kadar hutang isi rumah sahaja pun sudah berada pada tahap tertinggi dalam sejarah, malah yang tertinggi di rantau ini. Dengan kurangnya kadar simpanan isi rumah, rakyat pastinya terdedah kepada bahaya kemiskinan.

Sehingga akhir tahun lalu, kadar hutang korporat di luar sektor kewangan juga amat tinggi, iaitu 105 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini adalah lebih tinggi daripada kadar hutang negara sedang pesat membangun.

Begitupun, kita masih mahu berbangga menyatakan bahawa ekonomi kita sedang berkembang, dan bermegah pula apabila presiden baharu Amerika Syarikat dikhabarkan berasa kagum dengan kadar pertumbuhan ekonomi kita. Sedangkan ekonomi Amerika Syarikat sedang menikmati kapasiti penuh dan ini dibuktikan dengan kadar penganggurannya yang berkurangan serta peningkatan kadar gaji.

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi sahaja tidak cukup. Ia mesti memberi faedah kepada rakyat dan negara.

Malangnya, meskipun pertumbuhan ekonomi kita adalah positif, angka pengangguran bertambah setiap tahun. Sejak awal tahun lalu, jumlah penganggur meningkat 16 peratus.

Golongan siswazah tidak mempunyai kerja kian membesar di mana hampir satu daripada tiga orang adalah penganggur.

Bahkan ada graduan lulusan kejuruteraan yang terpaksa menjual nasi lemak. Dan kerajaan kita nampaknya berbangga dengan ‘pencapaian’ ini!

Syarikat-syarikat juga tidak mengambil pekerja baru seperti dahulu. Angka jawatan kosong tahun ini adalah yang terendah dalam tempoh sedekad lalu.

Fakta yang diketahui menunjukkan jawatan kosong yang ada pun kebanyakannya untuk pekerjaan separuh mahir ataupun berkemahiran rendah.

Kesannya, jumlah tenaga buruh berkemahiran rendah di negara ini kian bertambah manakala jumlah tenaga kerja mahir semakin berkurangan.

Ini tidak memberi prospek bagus bagi negara yang sedang menuju ke arah berpendapatan tinggi. Adalah sia-sia apabila negara akhirnya mencapai pendapatan tinggi, tetapi majoriti rakyatnya masih berpendapatan rendah.

Hal-hal di atas adalah faktor yang membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan. Jadi apa yang mesti kita lakukan?

Ada dua perkara perlu dibuat. Ada yang mudah dan ada yang sukar.

Pertama, sebuah pasukan pengurusan ekonomi yang baru mestilah ditubuhkan dan diberi mandat untuk memperbetulkan ekonomi yang sudah lesu ini.

Rakyat, berserta dengan pelabur di dalam dan luar negara, mesti mempunyai keyakinan dan kepercayaan ke atas mereka yang menguruskan ekonomi.

Oleh itu, ahli-ahli pasukan ini mestilah terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kepakaran teknikal yang tinggi, cekap, berintegriti dan berani untuk berkata benar. Mereka yang tidak kompeten dan kurang pandai tidak boleh diberikan tugas ini walau setinggi mana pun kesetiaan mereka kepada ketua.

Kita boleh lihat tahap kebolehan Jawatankuasa Khas Ekonomi yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu. Mereka gagal sama sekali. Kumpulan ini mesti dibubarkan.

Pada masa yang sama, perdana menteri tidak boleh memegang jawatan menteri kewangan.

Ini adalah contoh tadbir urus yang buruk.

Kedua, dan yang tidak kurang pentingnya, kita mesti berusaha untuk membuang mentaliti feudal, terutama di kalangan mereka yang memegang amanah negara.

Jika seseorang pemimpin sudah melakukan kesalahan atau jenayah, adalah menjadi tanggungjawab orang bawahannya, terutama penjawat awam untuk mengambil tindakan pembetulan; bukannya bekerjasama menutup kesalahan jenayah tersebut.

Perlu diingatkan, ahli politik yang dipilih oleh rakyat untuk memimpin kerajaan sebenarnya adalah hamba kepada rakyat Mereka hanya diberi mandat dan kuasa oleh rakyat untuk memimpin kerajaan dan memerintah bagi pihak rakyat itu sendiri.

Maka dengan itu, sifat menghormati dan akauntabiliti terhadap rakyat yang telah mengundi mereka adalah ciri paling utama perlu ada di kalangan pemimpin.

Pemimpin bukannya tuhan yang mesti disembah dan dituruti setiap masa. Seruan ini bukanlah baru. Kira-kira setengah abad yang lalu, ahli falsafah dan pakar sosiologi negara, Syed Hussein Al-Attas telah memberi amaran terhadap bahaya ini; “…mereka yang berkuasa …mengharapkan orang bawahan mereka supaya sentiasa setia hinggakan boleh timbulkan konflik dengan etika atau peradaban normal…orang bawahan ini diwajibkan setia dalam apa jua keadaan walaupun keadaan itu melanggar nilai-nilai dan falsafah masyarakat Malaysia.”

Sekali lagi, ini memerlukan integriti dan kejujuran walaupun ia membuatkan seseorang itu berada dalam minoriti. Perdana menteri kita yang pertama pernah berkata “jika anda fikir anda kaya, ada ramai orang yang lebih kaya daripada anda.

Jika anda fikir anda pandai, ada ramai orang yang lebih pandai daripada anda. Jika anda fikir anda adalah jujur, maka anda adalah sebahagian daripada golongan yang sedikit. Maka dalam hal ini, adalah terbaik untuk menjadi sebahagian daripadanya”.

Dalam mendepani rakyat, sama ada berkaitan aspek ekonomi, sosial atau politik, kejujuran adalah prinsip terbaik. Pembohongan hanya akan membawa kepada lebih banyak pembohongan, dan apabila rakyat sudah tidak mempercayai anda, walaupun ketika anda memberitahu yang benar, mereka tetap tidak akan yakin terhadap anda. Anda tidak akan dapat menyelesaikan masalah negara selagi wujud defisit keyakinan.

Daripada pengalaman saya sewaktu krisis ekonomi 1986 dan 1998, saya lebih terbuka dan jujur terhadap masalah yang dihadapi manakala rakyat pula mempunyai keyakinan untuk memberi kita lebih masa dan ruang agar kita boleh menyelesaikan masalah tersebut.

Tanpa keyakinan dan sokongan rakyat, penyelesaian isu-isu ekonomi akan menjadi amat sukar, terutama jika isu itu memberi kesan secara langsung kepada mereka.

Dalam erti kata lain, ia adalah satu kerjasama erat di antara yang memerintah dengan dan yang diperintah.

Pembaharuan dalam institusi sedia ada juga diperlukan. Kita mesti ambil semua langkah wajib, termasuklah meminda undang-undang bagi memastikan kebebasan badan kehakiman dan institusi keselamatan tanah air.

Kebebasan bersuara, perbezaan pendapat dan idealogi mestilah dialualukan, bukannya didakwa. Inilah intipati sesuatu demokrasi yang betul-betul terbuka, segar dan berjalan lancar.

Jika kita gagal menggembleng usaha untuk membuat pembaharuan penting seperti dinyatakan di atas bermakna kita akan terbabas dan menjauhi sasaran untuk mencapai kemakmuran. Kita harus berasa bimbang terhadap masa depan yang akan kita tinggalkan kepada anak cucu kita.


*** Artikel ini disiarkan dalam The Edge, semalam.
Tun Daim Zainuddin,
Bekas Menteri Kewangan

sinar harian
Continue Reading...

Tuesday, December 13, 2016

Pada Yang Muda Kusematkan Harap

No comments:



Pada Yang Muda Kusematkan Harap

Aku tidak perlu apa-apa kekayaan
Aku mengerti umurku yang tua
menunggu masa bertemu Ilahi
Aku boleh selesa diam tidak bersuara
Supaya dijulang dan diangkat oleh mereka
Sepanjang nafas dan usia

Tetapi aku harus bersuara di akhir hayat
Tanpa meminta apa-apa untuk diriku
Malah tidak mengapa aku dihina dan dicerca
Semuanya kerana mataku melihat kemusnahan
oleh pemimpin di puncak kuasa
Yang rakus dan boros tidak terhalang
Menabur rasuah dan membeli orang

Pada mata tuaku
Aku melihat hutang berbilion
yang akan dibayar oleh cucu dan cicit rakyat
Aku melihat wang dipinjam hari ini
seperti tiada lagi hari esok

Semuanya
untuk membeli segala undi
untuk membeli segala kuasa

Pada senja hayatku
Aku melihat apa yang dibina berdekad lama
Dimusnahkan dengan wang
yang bukan miliknya

Dia menghidangkan wang haram untuk semua memujanya
Dia menjanjikan bulan dan bintang kepada semua
tanpa mengira harga yang perlu dibayar
oleh cucu cicit kita
setelah dia tiada lagi bernafas

Segala wang haram
Disamun, dirompak dan dipinjam secara halus
Untuk dibayar oleh rakyat

Wang haram diselerakkan untuk suap dedak mereka
yang tiada lagi nilai dan hormat diri

Mereka menjual negara
Mereka menjual diri
Mereka menjual maruah
Mereka menjual agama

Aku tidak dapat melakukan semua
Namun pada yang muda kusematkan harap
Untuk membetulkan Malaysia
Dengan bersama, BERSATU, berganding
Supaya ia tidak tenggelam
Dengan tangan kotor
dan harganya dibayar
oleh cucu dan cicit kita

Tun Dr. Mahathir Mohamad
10 Disember 2016

(Sajak ini dibacakan oleh Tun Mahathir Mohamad di Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah pada 10 Disember 2016
Continue Reading...

kerendahan diri

No comments:
MAZA MEMUJI TUN SITI



"Sudah beberapa hari saya teringatkan ketinggian budi Tun Dr. Siti Hasmah. Agak sudah beberapa bulan saya tidak bertemu beliau. Gambaran wajah Tun Siti yang paling indah yang saya lihat ialah ketika beliau memakai telekung untuk solat. Ketika itu saya pergi menziarahi Tun Mahathir di IJN. Tun Siti sendiri yang menelefon saya menjemput saya ke sana. MasyaAllah, wajah Tun Siti ketika bertelekung saling tak tumpah bagaikan wajah nenek saya yang sudah kembali ke rahmatullah.

Berjalan ke berbagai tempat dalam negara ini, bertemu dengan berbagai pihak memberikan kita berbagai maklumat mengenai persepsi masyarakat terhadap berbagai perkara khususnya para pemimpin politik. Cetusan dan ulasan rakyat itulah yang menjadikan saya ingatkan Tun Dr Siti Hasmah..

Jika kita masih ingat semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, amat sukar untuk kita dengar ulasan buruk mana-mana pihak terhadap Tun Siti. Wajahnya yang tidak sombong, gayanya yang tidak ego, kerendahan dirinya dan sikap tidak campur tangan dalam politik menyebabkan beliau tidak dimusuhi. Ya! Ketika Tun Mahathir berada di puncak kuasa dengan penuh kemegahan pun beliau tetap bersikap sebagai seorang isteri yang tidak menyibuk diri menjadi ‘menteri tambahan’. Orang tidak memperkatakan tentang sikap suka campur tangan beliau dalam urusan politik, tidak beliau dibenci kerana berlebih-lebihan dalam gaya dan cara.

Tun Siti sangat sederhana sehingga sekarang. Saya sendiri pernah mendengar Tun Mahathir bersungut kerana lama menunggu Tun Siti di kereta dan cuaca agak sejuk. Ketika itu di London. Saya masih ingat jawapan Tun Siti: “ada orang hendak bercakap dengan kita, takkan kita hendak tinggalkan”. Masa itu ada rakyat Malaysia di London yang datang berbual dengan Tun Siti ketika beliau hendak turun dari Malaysia Hall.

Saya kagum dengan Tun Siti sebab setiap kali saya berkesempatan berbual dengan Tun Mahathir, samada di meja makan atau di tempat biasa, Tun Siti yang selalu berada di sebelah Tun Mahathir tidak pernah mencampuri perbualan kami khususnya tentang politik. Beliau selalu menjadi pendengar setia kepada Tun Mahathir. Jika ada pun beliau mencelah, beliau akan bertanya khabar keluarga saya atau pandangan agama tentang urusan harian. Sekalipun beliau sebenarnya tidak pernah berjumpa keluarga saya. Tun Mahathir bertuah mendapat isteri yang tahu apa perwatakan yang sewajarnya dan tidak dianggap ‘busy body’ bagi negara ini ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Maka tidak hairanlah ketika Tun Mahathir berada dalam ketegangan krisis politik beliau, Tun Siti tidak menjadi sasaran kemarahan musuh-musuh politik Tun Mahathir. Hanya yang bermulut celupar sahaja yang cuba mengguris Tun Siti yang selalu diam itu. Itu pun puak yang suka menyentuh urusan peribadi orang yang tidak kaitan dengan kepentingan umum rakyat.

Begitu lama Tun Mahathir di tampok kuasa. Tun Siti tetap bersederhana. Tiada cerita kemewahannya semasa di luar negara, atau bising campur tangannya dalam projek itu dan ini, tiada cerita ‘kegarangannya’ kepada pihak sana dan sini. Beliau hanya tersenyum dan merendah diri. Bahasanya tidak bongkah, gayanya tidak berlagak. Tidak banyak cerita di media tentang dirinya, sehingga melebihi suaminya. Namun, sebagai insan tentulah ada kekurangan dan kelemahan di sudut-sudut tertentu. Demikianlah semua manusia.
Setiap orang pemimpin memerlukan isteri yang ‘tidak menyibuk’ seperti Tun Dr Siti Hasmah. Walaupun sangat terpelajar, tetapi tahu membawa diri sebagai isteri pemimpin. Setiap isteri pemimpin mesti pandai menjaga maruah suaminya. Pandai menjaga nama baik politik suami.

Jangan sampai suami dibenci rakyat kerana gaya dan sikap isterinya. Ertinya, jangan sampai rakyat membenci seseorang pemimpin ‘pasal bini dia’. Buat semua isteri pemimpin, jadikanlah Tun Siti Dr Hasmah sebagai contoh yang baik dalam hal ini! Jangan lebih lajak dari laju, rakyat tak suka perangai macam itu!

Peranan isteri berdoa agar suami berada di jalan yang benar. Menasihati suami agar sentiasa ingatkan Allah dalam urusan rakyat. Janganlah isteri pula yang menyebabkan kemurkaan Allah dan kemarahan rakyat kepada suaminya..Tun Dr Siti Hasmah, tahniah!"
Continue Reading...

Wednesday, December 7, 2016

kehebatan

No comments:
PRU 14: UMNO akan menang besar


Saya beberapa kali ditanya oleh teman-teman tentang potensi UMNO dalam PRU 14. Saya dengan penuh yakin memberitahu UMNO akan mencapai kemenangan besar sekaligus menyumbang kepada kelestarian BN sebagai parti kerajaan. Walaupun teman-teman di luar UMNO kurang gembira dengan jawapan itu, saya mempunyai beberapa hujah yang menyokong ramalan saya.

Pertama, UMNO terbukti sebuah parti yang tidak menghadapi masalah. Memang ada yang tidak setia kerana ingkar arahan ketua. Tetapi semua iti sudah keluar bukan lagi masalah UMNO.

Maknanya yang masih ada dalam UMNO tidak menimbulkan masalah dari segi kesetiaan. Kesetiaan yang ada dalam UMNO jangan diperkecilkan, ini terbukti luahan kesetiaan pada Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu.

Tidak ada satu pun pun pemimpin yang mempersoalkan kepimpinan tertinggi dalam isu integriti. Ini satu sikap mempertahan ketua yang sangat baik dalam UMNO.
Kedua, UMNO adalah satu-satunya parti yang melindungi orang Melayu. Siapa sahaja asalkan Melayu. UMNO juga menegakkan Islam di negara ini dengan membanteras perbuatan yang bertentangan dengan Islam dalam kalangan pemimpin UMNO.

UMNO juga mempunyai sekutu bukan Malayu dan bukan Islam, MCA, MIC dan Gerakan kuat menyokong UMNO dalam soal memartabatkan Islam di negara ini.
UMNO membanteras rasuah hingga ke akar umbi dan tidak seorang pun pemimpin UMNO yang terlepas, kecuali tidak didakwa di mahkamah. Pendakwaan adalah hak mutlak Peguam Negara yang arif tentang undang-undang. Ini tidak ada kena mengena dengan UMNO.

Ketiga, UMNO tidak seperti pembangkang yang mendapat dana politik daripada pihak asing. Setakat ini tidak ada bukti UMNO menerima dana asing. Atas nama UMNO tidak ada dana asing.

Keempat, semua penganalisis termasuk yang terdiri daripada kalangan ahli akademik memberikan analisis yang memuaskan tentang potensi UMNO menghadapi PRU 14. Tidak ada dalam kalangan penganalisis membayangkan UMNO dalam bahaya. Ini sesungguhnya membuktikan kekuatan UMNO.

UMNO adalah satu-satunya parti politik yang tidak berpolitik. UMNO semata-mata berkerja dan berkorban untuk rakyat. Ini ditegaskan oleh banyak pemimpin UMNO.
Kelima, pemimpin-pemimpin UMNO yang ada skandal seks bukan lagi bersama-sama UMNO. Yang tinggal dalam semuanya yang bersih sekaligus menjunjung ajaran Islam yang sebenarnya. UMNO sangat tegas dalam isu ini.


Keenam, semua parti pembangkang kecuali Pas berada dalam keadaan terdesak. Ini disahkan berulang kali oleh pemimpin-pemimpin tinggi UMNO dalam banyak ucapan mereka.

Ketujuh dan terakhir, UMNO mempunyai yang pembangkang tidak ada; Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, penjawat awam, kementerian, agensi kerajaan, Pengerusi JKKK dan Makam Pahlawan di Masjid Negara.

Pejuang kemerdekaan, Pak Sako, A Samad Ismail, Said Zahari malah Mat Kilau tidak disemadikan di Makam Pahlawan kerana mereka bukan UMNO.

Disebabkan UMNO muncul sebagai parti yang kuat lagi dominan dari pelbagai aspek, UMNO tidak perlu berkerja keras untuk menang selesa dan cemerlang dalam PRU 14.
Maka UMNO tidak perlu membuang masa bercakap mengenai pembangkang. Biarlah apa pun nak jadi dengan pembangkang, ini bukan tanggungjawab UMNO. Tidak perlu memberi publisiti percuma kepada pembangkang dalam media kawalannya.

kayangdailypost
Continue Reading...