BUDI DAN BAHASA
20 Feb 2017
Budi bahasa budaya kita
Slogan mendesak di mana-mana sahaja
Jangan lupa budaya bangsa
Ulangi di mulut mencukupilah juga.
Kita diingat jangan lupa
Budaya silam warisan kita
Tetapi jika tersalah apa-apa
Rentap kursi balik tidak mengapa.
Budi bahasa budaya Melayu
Sering bertukar mengikut masa
Jika tersilap jangan malu
Budi bahasa perkara lama.
Kesipuan jangan dibiar berlaku
Tiada kursi alasan mencukupi
Kurang santapan diganti muruku
Bangsa tersungkur takdir disalahi.
Budi bahasa slogan negara
Bersopan santun pakaian disedia
Selempang kanan jangan dikirikan
Jangan guna tangan kiri waktu makan.
Budaya bangsa budi dikenang
Itulah adat Melayu lama
Setelah naik tangga ditendang
Kalau nak turun terjun sahaja.
Wahai bangsaku berbudaya barukah kamu
Atau berbangsa lainkah kamu
Hilang adat hilang malu
Duit disembah raja baharu.
Lanun sudah menjadi raja
Bukan jenayah bila mencuri
Bintang di langit dipasang di dada
Rakyat menyembah duit yang diberi.
Batu putih bertuan baru
LKY menjadi Raja
Bila terkenang zaman dahulu
duduk mengalir air mata.
Menangislah kamu wahai Melayu
Negara dijual kerana duit itu raja
Sembahlah kamu raja baharu
Itulah peranan hamba raja.
Tangisan tidak membawa ke mana-mana
Setelah negara dimiliki orang
Junjunglah penjual negara yang kaya
Mungkin sekupang dua tercicir di belakang.
Kutiplah kamu dedak dan serdak
Itu sahaja yang tertinggal bagi mu
Tertutup mata, mulut dan pekak,
Tersumbat hidung, matilah kamu.
Menangis meratap penjunjung jenazah
Kenapakah dedak disumbat hidung
Baunya sedap menolak payah
Akhirnya maut diangkat perusung.
Wahai bangsaku bijak bestari
Tak fahamkah kamu kesannya tenggelam
Tidak bernyawa bermakna mati
Berakhirlah sudah cerita silam.
Dr Mahathir bin Mohamad
chedet.cc