selamat datang ke ambang

merenung dengan akal membaca dengan fikir
segenap kata segenap makna
bahasa suara bangsa fikir nusa degup ibunda
tanah keramat hidup bersama bersatu berpecah tiada

putrajaya

Monday, March 23, 2009

suara negarawan

No comments:

UCAPAN OLEH

YABHG TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

DI PERHIMPUNAN DAN SIDANG KEMUNCAK PRIBUMI PERKASA NEGARA

DI KOMPLEKS SUKAN TNB, JALAN BANGSAR,

KUALA LUMPUR

PADA HARI AHAD, 22 MAC 2009

——————————–


1. Terlebih dahulu saya ucap terima kasih kepada penganjur perhimpunan ini kerana menjemput saya dan memberi peluang kepada saya untuk berucap kepada hadirin.

2. Saya yakin ramai daripada kita yang hadir, terutamanya orang Melayu dan bumiputra lain, hadir kerana kita berasa kita berada dalam keadaan cemas, keadaan yang merbahaya, keadaan terancam.

3. Kenapa tidak? Kita kini diserang berkali-kali oleh berbagai pihak.

4. Ramai daripada orang lain berkata Melayu adalah kaum pendatang.

5. Melayu mengamalkan apartheid ala kulit putih Afrika Selatan.

6. Melayu tidak adil, suka menidakkan hak kaum-kaum lain.

7. Melayu sudah cukup kaya dan tidak perlu dasar Ekonomi Baru lagi.

8. Semua peluang perniagaan dan pelajaran diberi hanya kepada orang Melayu.

9. Kuasa politik dibolot oleh orang Melayu dan lain-lain.

10. Berhadapan dengan tuduhan dan tohmahan ini Melayu sekarang tidak boleh mempertahankan diri, bahkan tidak boleh bercakap berkenaan dengan bangsa mereka tanpa dituduh sebagai racist. Mereka harus terima sahaja semua tuduhan/tohmahan ini dan berdiam diri atau bersetuju sahaja. Mereka juga boleh tambah tokok kepada kecaman ini dan mereka ini akan dianggap liberal dan disanjung tinggi oleh orang lain. Sebenarnya orang Melayu sekarang berada dalam ketakutan, tidak mempunyai pemimpin yang sanggup pertahankan mereka. Sebaliknya pemimpin mereka mengerohkan lagi keadaan dengan memohon maaf walaupun kesalahan dilaku oleh orang lain.

11. Demikianlah situasi yang mereka hadapi sehingga mereka berasa mereka bersalah, tergamam dan tak dapat berkata apa-apa.

12. Keadaan hari ini lebih merbahaya daripada keadaan semasa British merancang untuk menakluk negeri-negeri Melayu dengan perancangan Malayan Union. Pada masa itu kita boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada sesiapa yang akan tuduh kita sebagai racist. British pun tidak panggil kita racist. Mereka akui memang pun hak orang Melayu menuntut negeri-negeri Melayu sebagai hak orang Melayu. Semua perjanjian berkenaan dengan negeri-negeri di semenanjung mesti dibuat dengan Raja-Raja Melayu. Tidak ada siapa dari kaum laim yang berhak membuat apa-apa perjanjian.

13. Sekarang orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri ini negeri Melayu, tidak boleh sebut negeri ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Negeri Jepun boleh dikatakan negeri orang Jepun, negeri Korea – negeri orang Korea, negeri China – negeri orang Cina, negeri India – negeri orang India. Tetapi negeri Melayu – bukan negeri orang Melayu. Dahulu mungkin. Tetapi tidak sekarang. Sekarang Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan hak orang Melayu. Kesanggupan dan kerelaan orang Melayu berkongsi milik negara ini tidak sedikit pun dihargai. Pemberian satu juta kerakyatan oleh Tunku Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai bahkan tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja.

14. Orang Melayu dikatakan kaum pendatang di negaranya sendiri. Dan kaum pendatang lain tidak boleh dipanggil kaum pendatang. Jika sesiapa berbuat demikian, mereka mesti minta maaf. Tidak perlu sesiapa minta maaf jika berkata Melayu kaum pendatang.

15. Namun saya memberanikan diri untuk bercakap sedikit berkenaan orang Melayu di Malaysia walaupun akan dituduh sebagai racist. Saya beranikan diri kerana sesungguhnya orang Melayu berada dalam keadaan cemas, dilanda oleh bermacam-macam masalah dan ancaman. Jika orang Melayu tidak dibenar bercakap berkenaan masalah mereka, maka mereka mungkin jadi kaum yang terlucut hak (dispossessed) di negara mereka sendiri. Bahaya ini benar kerana kita sudah lihat tekanan dan kehinaan terhadap bangsa kita apabila mereka dijadikan bangsa minoriti di wilayah yang dahulu adalah sebahagian daripada negeri-negeri Melayu.

16. Keadaan ini boleh berlaku kepada orang Melayu bukan sahaja kerana orang lain tetapi kerana orang Melayu sendiri. Mereka suka membinasakan diri mereka.

17. Mereka tidak mahu merebut peluang yang disedia bagi mereka. Tempat di universiti tidak diambil. Peluang perniagaan diselewengkan. Belia Melayu tidak ingin belajar, lebih berminat dengan melepak atau jadi Mat Rempit.

18. Majoriti daripada rakyat Malaysia yang terlibat dengan dadah terdiri daripada orang Melayu, yang mendapat penyakit HIV Aids kebanyakan adalah Melayu, kes rogol dan jenayah lain juga ramai orang Melayu.

19. Yang gagal dalam perniagaan juga Melayu, tidak bayar hutang Melayu, tak selesaikan kontrak juga Melayu.

20. Gejala jualan AP pun melibatkan Melayu.

21. Kita tak suka dengar semua ini. Kita malu. Tetapi jika tidak disuarakan masalah tidak akan hilang dengan sendirinya. Orang lain tahu juga. Lebih baik malu jika kita dapat sedarkan beberapa kerat daripada kita dan mereka mengubah tabiat supaya tidak melakukan yang salah lagi. Yang lain tak malu tak mengapa. Tak mungkin kita dapat sedarkan semua. Yang kena akan terus kena.

22. Dasar Ekonomi Baru dibentuk supaya dalam jangkamasa 20 tahun kita akan dapat bahagian kita sebanyak 30%. Tetapi sekarang sudah hampir 40 tahun. 20% yang dikatakan kita dapat pun dapat kerana badan-badan yang mewakili Melayu, bukan orang Melayu sendiri. Kita hendak supaya DEB diteruskan. Apa gunanya jika kita tidak mahu guna peluang yang diwujudkan? Apakah kita mahu DEB kerana nak jual AP, kontrak, lesen dan sebagainya? Lebih baik DEB tidak diteruskan dan kita tidak dapat selewengkannya. Sekurang-kurangnya kita tak akan malu kerana pelbagai ejekan yang akan dibuat kepada kita.

23. Kita bernasib baik kerana dalam bidang politk kita cekap, kita kuat, kita dapat menguasai Kerajaan selama 50 tahun. Walaupun Melayu berpecah kepada beberapa parti, bermusuh sesama sendiri, tetapi majoriti Melayu masih dapat kekalkan kuasa mereka. Mereka dihormati dan disegani.

24. Tetapi itu pun sudah terlepas daripada genggaman kita. Sekarang kita tidak kuat lagi. Parti Melayu yang terkenal sudah kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12. Parti Melayu yang menangpun berada dalam ketakutan jika parti rakan mereka menolak mereka. Sekarang orang tidak lagi hormat kita. Apa sahaja yang dituntut orang lain, baik yang menang, baik yang kalah akan kita layan. Kita yang perlu hormati orang lain. Tersilap sikit kita minta maaf bagi pihak semua bangsa Melayu.

25. Sesungguhnya pemimpin kita yang perjuangkan kemerdekaan, yang menebus maruah kita sudah kita khianati. Mereka berjuang bermati-matian supaya kita hidup bahagia. Mereka korbankan apa sahaja yang ada pada mereka. Pemimpin Melayu hari ini, pengikut –pengikut mereka tidak tahu mengenang budi. Mereka khianati pejuang-pejuang dahulu dengan melupakan perjuangan asal kerana utamakan kepentingan diri sendiri. Biar bangsa hancur asalkan dapat kemenangan bagi diri sendiri, dapat jadi Menteri, Perdana Menteri, dapat kontrak, dapat duit.

26. Kononnya nak jadi Perdana Menteri termuda. Bukan nak majukan bangsa dan negara, hanya jawatan tertinggi untuk diri sendiri seawal mungkin. Dengan apa cara sekalipun, halal atau haram, tak mengapa asalkan boleh jadi Perdana Menteri termuda.

27. Jika kita sudah sanggup jual bangsa kita, kita jual untuk dapat duit sedikit, untuk jawatan kecil dan besar, untuk isi temolok kita, alamatnya apa? Yang dikejar tidak akan dapat, yang dikilik akan berciciran. Lepas itu kita tidak ada apa-apa yang boleh diraih lagi. Semuanya akan dikuasai orang. Pada masa itu kita jadi hamba sahaja, kita akan meminta-minta sepanjang masa.

28. Ada pula yang dibawah bertanya, orang yang mereka sokong dapat jadi Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar – dapat kereta, dipanggil Yang Berhormat, elaun besar, terbang sana, terbang sini.

29. Kita dapat apa? Duduk di takuk tu juga. Lebih baik kita ambil sedikit bagi diri kita, sementara ada peluang.

30. Salahkah kalau kita terima duit sedikit? Mungkin kita tidak undi orang yang menyogok. Dia bukan tahu. Tetapi Tuhan tahu. Kamu membuat sesuatu yang haram. Kamu bukan sahaja jual bangsa. Kamu menolak agama kamu yang melarang, yang mengharamkan perbuatan kamu. Kamu berdosa.

31. Tapi tak mengapa. Masih muda, tak akan mati lagi. Bila dekat nak mati pakai kopiah putih dan sembahyang kuat-kuat.

32. Tetapi yang haram, haram juga. Kalau makan daging bibi haram, makan duit rasuah lebih haram, kerana ia akan binasakan bukan kita sahaja, tetapi kaum bangsa kita yang semuanya beragama Islam.

33. Pengundi salah, samada undi penyogok atau tidak. Salah kerana sudah terima jenayah rasuah sebagai budaya kamu. Apabila rasuah dibudayakan, percayalah bangsa dan negara mungkin dijajah oleh penyogok secara langsung atau tidak langsung. Bangsa akan dihina oleh dunia, akan dipandang rendah, akan dipermainkan orang. Akhirnya yang makan suap, mereka sendiri akan jadi mangsa, mereka sendiri akan terpaksa hulur untuk mendapat apa yang sebenarnya hak mereka. Inilah nasib bangsa yang menjadikan rasuah sebagai budaya biasa.

34. Sesungguhnya Melayu mudah lupa. Kita lupa betapa kita dijajah dahulu, kita terpaksa panggil tuan orang yang menjajah kita, orang yang menghina kita. Tak boleh cakap berkenaan ketuanan Melayu. Kamu jadi hamba dahulu, bukan Tuan, layak hanya untuk tanam padi, tangkap ikan, jadi kuli orang, bawa kereta orang, tukang masak orang.

35. Selama 450 tahun kita dijajah, hidup sebagai hamba, dianggap tidak layak mentadbir negara sendiri, tidak layak merdeka.

36. Kita terpaksa letak diri kita dibawah naungan negara-negara jiran yang lebih kuat.

37. Tiap tahun kita usung bunga emas dan perak untuk dipersembahkan kepada negara penaung-penaung kita.

38. Kadang-kadang Raja kita pun pergi bersama, untuk membukti kesetiaan diri dan negeri kepada negara penanung.

39. Kata orang Kedah “Terkerempun-kerempun” apabila berhadapan dengan orang asing. Mungkin ramai yang tidak faham. Tanyalah orang Kedah. Itulah “body language” kita dahulu walaupun hari ini ada juga, tetapi pada Raja yang tak bertakhta.

40. Saya biasa lihat seorang orang tua Melayu berbasikal di tendang jatuh oleh askar Siam semasa Kedah diberi kepada Siam oleh Jepun. Kesalahan orang tua ini ialah kerana tidak berhenti dan menghormati lagu kebangsaan Siam.

41. Saya biasa lihat orang Melayu ditempeleng dan disuruh panjat pohon kelapa seperti kera oleh Jepun. Inilah nasib orang yang tidak merdeka, tidak memerintah negara sendiri. Boleh ditendang, boleh ditempeleng.

42. Dan yang lihat diam sahaja, tak dapat buat apa-apa, termasuk saya. Dalam kehinaan ini muncul kesedaran dan semangat untuk menebus balik maruah bangsa. Dan bergabunglah orang Melayu untuk menangkis rancangan Malayan Union British, untuk mengekalkan perhambaan orang Melayu. Tidak siapa yang bertanya “apa yang saya akan dapat bagi diri saya” pada ketika itu. Yang kita tumpukan ialah untuk membebaskan bangsa dan negara daripada dijajah dan dihina. Kalau dalam proses ini kita terkorban, atau kita berada seperti biasa, itu tidak mengapa. Yang kita utamakan ialah maruah bangsa kita, tidak lagi akan ditendang, tidak lagi akan ditempeleng – tetapi akan dihormati oleh kawan dan lawan.

43. Sekarang kita merdeka. Perjuangan pengasas negara telah berjaya. Kita tidak akan ditendang dan ditempeleng lagi. Kita bebas daripada kehinaan. Memang pun keadaan terhormat ini sudah menjadi perkara biasa bagi kita. Bagi ramai dari kita ia datang bergolek. Ia datang melayang. Ia tidak akan dipisah dari kita.

44. Perjuangan orang dahulu adalah perkara lama, tidak perlu diingati. Yang jelas kita sudah merdeka, dapat pelajaran dan kaya sedikit. Soal tendang, tempeleng, itu cerita lama. Pepatah Melayu berkata sekali merdeka, selama-lamanya merdeka. Apa pun kita buat merdeka tetap merdeka. Sekarang ialah masa untuk kita “enjoy”. Kita kecap sepenuhnya nikmat yang ada pada kita.

45. Apa dianya semangat ke-Melayuan? Apa relevannya? Bukankah kita sudah berjaya? Hendak semangat buat apa lagi? Masuk parti untuk apa? Perjuangan sudah selesai dengan jayanya.

46. Tidak bermakna masuk parti jika tidak dapat sesuatu bagi diri sendiri. Kita sokong orang dapat jadi Yang Berhormat, jadi Menteri, dapat peluang raih duit kerajaan dan lain-lain. Kita tak bolehkah dapat sikit bagi diri kita?

47. Tetapi benarkah kita akan merdeka selama-lamanya? Memang benar. Walaupun kita tidak buat apa-apa untuk mengekalkan kemerdekaan, bukankah sudah 50 tahun kita merdeka? Apa yang hendak dikhuatirkan? Lima puluh tahun, 100 tahun lagi pun kita akan merdeka walau apa pun kita lakukan. Takkanlah kerana kita ambil 100 Ringgit duit sogokan maka akan hilanglah kemerdekaan kita? Kita boleh sembahyang hajat dan terima 100 Ringgit lagi. Orang lain terima lebih daripada kita., katanya satu juta. Masih kita merdeka. Tidak benar kerana sedikit rasuah kemerdekaan akan hilang.

48. Tetapi ingatlah penjajahan tidak selalu berbentuk penaklukan secara langsung. Penjajahan boleh berlaku walaupun kita miliki pemerintahan sendiri. Ia boleh berlaku apabila pemerintah kita yang dipilih dan diberi kuasa oleh kita sudah menjual diri mereka kepada orang lain, samada dari dalam negeri atau dari luar. Atau takut jiran marah.

49. Pemerintah yang mengikut telunjuk orang lain bukan bebas lagi. Pemerintah yang menjadi pemerintah melalui rasuah akan benar diri mereka disogok kerana perlu mendapat kewangan yang cukup untuk membeli sokongan lagi supaya kedudukan mereka sebagai pemerintah akan kekal.

50. Untuk mendapat sogokan yang cukup mereka akan sanggup ikut arahan penyogok. Dengan perkataan lain mereka akan jadi alat pada penyogok.

51. Kepentingan penyogok tidak sama dengan kepentingan kita, atau kepentingan bangsa dan negara.

52. Kita sudah lihat hanya kerana hendak kekal sebagai pemerintah, ada yang sanggup layan apa sahaja arahan, tuntutan, desakan oleh pihak yang menentukan jawatan bagi kita. Kalau pun apa yang dituntut merugikan orang Melayu, itu tidak mengapa asalkan kita dapat jawatan, walaupun sebagai “figurehead”, patung sahaja, tidak berkuasa pun.

53. Jika kita terjemah keadaan ini kepada jawatan yang didapati kerana disogok apakah yang tidak sanggup kita buat? Jual bangsa, jual negara pun kita sanggup.

54. Apabila kita sudah jual bangsa dan negara apakah kita merdeka lagi? Sudah tentu tidak.

55. Justeru itu tidak benar kepercayaan kita bahawa sekali merdeka selama-lamanya merdeka. Pada permukaannya kita merdeka tetapi pada hakikatnya kita sudah kembali dijajah. Apabila kita kembali dijajah maka kita sudah khianati pejuang-pejuang kemerdekaan kita dahulu.

56. Itulah kenyataan yang sebenar.

57. Melayu mudah lupa. Kata seorang ahli falsafah; “Mereka yang lupa akan sejarah mereka akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”.

58. Inilah hasil daripada mudah lupa. Kita lupa bahkan kita tidak suka diperingati akan sejarah kita. Apa kena-mengena peristiwa 50 tahun dahulu? Apa kena-mengena dengan kita akan kemiskinan Melayu, dengan kedaifan mereka dalam bidang ilmu dan profesyen di masa dahulu? Itu dahulu, ini sekarang. Sudah tentu sejarah penjajahan kita dahulu tidak ada kena mengena dengan keadaan kita sekarang. Tidak ada pelajaran yang akan kita dapati daripada sejarah 100, 500 tahun dahulu. Itu semua cerita dongeng.

59. Apa yang kita lakukan sekarang, kita lakukan kerana kita sudah merdeka dan selamat. Buatlah apa pun kita tetap selamat, tetap merdeka.

60. Jadi penagih dadah, jadi pelepak, jadi “Mat Rempit”, jadi penjenayah pun tak mengapa.

61. Bukankah kita yang memilih dan membentuk Kerajaan? Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap kita. Jika kerana amalan buruk kita, sesuatu yang tidak baik menimpa kita, bukankah menjadi tanggungjawab Kerajaan pilihan kita untuk menyelamatkan kita?

62. Jika kita diserang orang bukankah menjadi tanggungjawab Kerajaan yang kita pilih untuk menangkis serangan ini?

63. Jika kerana Kerajaan yang kita pilih terdiri daripada orang yang sogok duit pada kita dan mereka pula disogok oleh orang lain dan mereka berasa lebih terikat kepada yang menyogok mereka dan kurang bertanggungjawab kepada kita kerana sokongan kita mereka dapati kerana kita terima sogokan, apakah yang dapat kita buat? Tak banyak. Hanya menerima sahaja.

64. Akan menjadi lebih buruklah nasib kita sepanjang masa.

65. Hakikat yang sebenar ialah sokongan kita, undi kita yang kita jual tidak lagi mengikat mereka yang kita pilih untuk jadi Kerajaan.

66. Mereka akan anggap balasan kepada sokongan kita sudah pun dibuat melalui wang sogokan daripada mereka.

67. Sesungguhnya nasib kita ada di tangan kita. Jika nasib ini tidak baik kitalah yang harus berusaha untuk memperbaikinya. Ingatlah, Tuhan telah berfirman yang Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubah nasibnya.

68. Apakah kita sedang berusaha untuk memperbaiki nasib kita? Tidak ternampak satu pun usaha ke arah ini. Yang kita lihat ialah perbuatan merosakkan lagi keadaan nasib yang sudah buruk ini.

69. Kita tahu yang kita lakukan bukan untuk memperbaiki keadaan. Tetapi kita lakukan juga untuk kepentingan semasa kita. Masa depan soal lain.

70. Pejuang-pejuang kemerdekaan telah pilih demokrasi sebagai cara kita memerintah. Kenapa?

71. Sebabnya ialah kerana mereka percaya majoriti daripada rakyat tentulah bijak dalam amalan mereka, tentulah tahu antara yang baik dengan yang buruk, tentulah bijak semasa membuat pilihan.

72. Pengasas kemerdekaan percaya majorti akan tahu pilih apa yang baik bagi mereka. Sudah tentu mereka akan menolak orang yang hanya bergantung kepada sogokan untuk dipilih.

73. Tetapi mereka tidak sangka pewaris mereka, sebilangan yang tidak kecil akan tolak kebaikan dan mengutamakan sogokan untuk menentukan siapa akan memerintah mereka.

74. Pejuang kemerdekaan yang sedar betapa sukarnya bagi orang Melayu mendapat peluang dan bantuan dahulu dan dengan kerana itu Melayu tidak berjaya.

75. Dengan kesedaran ini mereka merangka untuk mengadakan lebih banyak peluang dan sokongan kepada bangsa mereka supaya bangsa mereka boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain, bahkan dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Mereka percaya semua peluang dan sokongan akan direbut oleh pewaris daripada bangsa mereka.

76. Ya, mereka ini kebanyakan sudah tidak ada, sudah tinggal kita. Tetapi jika mereka ada apakah perasaan mereka? Tentulah mereka akan kecewa dan hampa amat sangat kerana segala-gala yang mereka ilhamkan sudah dipermainkan oleh pewaris mereka, tidak dihargai oleh pewaris mereka.

77. Mereka melihat bagaimana peluang dan bantuan disalahgunakan atau ditolak dengan begitu sahaja. Sepatutnya dengan peluang belajar di semua peringkat bangsa mereka sudah jadi bangsa yang berilmu. Dengan peluang berniaga mereka sudah jadi kaya, atau sekurang-kurangnya tidak miskin.

78. Tetapi tidak. Peluang bukan sahaja tidak direbut tetapi peluang digunakan secara yang boleh merosakkan bangsa. Mereka lepak, mereka jadi Mat Rempit, yang lakukan jenayah yang kadang-kadang menyebabkan kematian mangsa mereka.

79. Diberi peluang berniaga, diberi modal, diberi latihan tetapi kerana ingin kaya cepat mereka memperdagangkan peluang, kontrak, lesen, permit dan sebagainya.

80. Modal mereka guna untuk belanja bagi memenuhi nafsu, hutang mereka tidak dibayar. Kerana kelakuan beberapa daripada mereka, bangsa mereka dicap sebagai bangsa yang tidak beramanah, dan tidak boleh dilayan, tidak boleh diharap dengan duit ringgit.

81. Dan banyaklah lagi perbuatan mereka yang tetap mengecewakan pejuang bangsa dahulu.

82. Kata mereka, jangan buka pekong di dada.

83. Malu kata mereka.

84. Tetapi tidakkah lebih malu apabila mereka lakukan apa yang telah saya sebutkan. Tak buka pekong pun busuk juga. Biarlah pekong di dada dibuka supaya kerana bau terlalu busuk kita akan cuba melepaskan diri daripadanya. Jika tidak ia akan menjadi lebih busuk di dalam dan akan bunuh kita.

85. Semua yang disebut ini menjadi pengkhianatan kepada pejuang bangsa dahulu. Kerosakan kerana ini lambat laun akan merosakkan masa depan kita.

86. Tetapi yang terdahsyat diantara amalan buruk kita ialah rasuah, terutama rasuah politik. Politiklah yang dapat memberi kuasa walaupun pada yang lemah dan miskin. Politik kita sewaktu perjuangan untuk kemerdekaan berjaya memberi kekuatan kepada Melayu sehingga mereka yang daif ini dapat mengalahkan kuasa besar dunia. Hanya dengan bersatu dan bertindak bersama, hanya dengan pendirian yang tegas kelemahan dapat diatasi dan kejayaan dicapai. Sesungguhnya kuasa politik kuasa ajaib.

87. Selagi ada kuasa ini kepada kita, percayalah kita akan dapat pulih segala-galanya, kita akan dapat mengatasi kelemahan kita, kita akan dapat tentukan masa depan kita.

88. Tidakkah kita lihat bagaimana daripada bangsa yang dijajah dan dihina, kuasa politik sudah mengubah nasib kita demikian sehingga kita dianggap sebagai contoh kepada bangsa-bangsa lain di dunia.

89. Bandingkan negara kita 50 tahun dahulu di waktu kita mencapai kemerdekaan dan negara kita sekarang. Negara dagang yang ke-17 terbesar di dunia. Kemiskinan dikurangkan daripada 70 peratus kepada lima peratus. Bandar sebesar bandar di negara maju, penuh dengan pencakar langit. Bekalan air, api dan kenderaan yang terkini.

90. Pendapatan per kapita yang 20 kali lebih tinggi dari 50 tahun dahulu dan lain-lain.

91. Semua ini adalah hasil kuasa politik semata-mata. Kerana kuasa politik, negara berbilang kaum, ugama, budaya dan bahasa dapat distabilkan. Dan sesungguhnya kita sudah dapat berdiri hampir sama tinggi dengan kaum-kaum lain dan bangsa-bangsa lain.

92. Tetapi sekarang kita lakukan perbuatan untuk menghakis dan menghapus kuasa politik kita.

93. Kerana wang yang sedikit, kerana 100-200 Ringgit kita jual kuasa politik, kita serah nasib kita kepada perasuah, perasuah yang akan jual bangsa dan negara.

94. Apakah akan jadi kepada kita apabila kuasa politik terlucut daripada kita? Apakah kita akan terus merdeka? Saya fikir tidak.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

95. Perhimpunan Melayu hari ini memang menjadi hak bagi kita kerana kita menghadapi masalah-masalah yang besar-besar, bukan satu tetapi banyak masalah.

96. Kita semua berasa cemas. Di mana-mana sahaja orang Melayu sedang berhimpun untuk membincang masalah mereka, kecemasan yang mereka rasai.

97. Jika pada hari ini kita dapat menyedarkan akan musibah yang sedang dan akan timpa keatas kita, jika kesedaran ini akan menyebabkan kita bertindak keras terhadap mereka diantara kita yang mencetuskan masalah ini, jika kita dapat bandingkan gejala rasuah yang menjadi ancaman terhadap kita yang terbesar sekali, maka ralatlah perhimpunan ini, berjayalah perhimpunan ini.

98. Saya tak salahkan orang lain. Saya salahkan kita sendiri. Tak mungkin orang lain menguasai kita jika kita tegas dan tidak membenarkan mereka.

99. Maju mundurnya bangsa kita terpulanglah kepada kita. Ingatlah Tuhan tidak akan ubah nasib kita melainkan kita berusaha mengubah nasib kita sendiri.

100. Oleh itu berusahalah mengubah nasib diri sendiri setelah kita berhimpun di sini untuk membincang masalah yang kita hadapi. Saya percaya perbincangan kita akan membuahkan pemikiran dan tindakan yang boleh menyelamatkan kita.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.



sumber : big dog

Continue Reading...

Tuesday, March 17, 2009

warisan

No comments:
Anak Kecil Main Api
Terbakar Hatinya Yang Sepi
Airmata Darah Bercampur Keringat
Bumi Dipijak Milik Orang

Nenek Moyang Kaya Raya
Tergadai Seluruh Harta Benda
Akibat Sengketa Sesama Kita
Cita Lenyap Di Arus Zaman

Indahnya Bumi Kita Ini
Warisan Berkurun Lamanya
Hasil Mengalir Ke Tangan Yang Lain
Peribumi Merintih Sendiri

Masa Depan Sungguh Kelam
Kan Lenyap Peristiwa Semalam
Tertutup Hati Terkunci Mati
Maruah Peribadi Dah Hilang

Kini Kita Cuma Tinggal Kuasa
Yang Akan Menentukan Bangsa
Bersatulah Hati Bersama Berbakti
Pulih Kembali Harga Diri

Kita Sudah Tiada Masa
Majulah Dengan Gagah Perkasa
Janganlah Terlalai Teruskan Usaha
Melayu Kan Gagah Di Nusantara
Melayu Kan Gagah Di Nusantara
Melayu Kan Gagah Di Nusantara

Lirik di atas dipetik dari lagu Warisan. Lagu yang menjadi darah daging BTN. Dan sepatutnya, ia menjadi darah daging bangsa kita. Ia sepatutnya menjadi dodoian bangsa, menjadi peringatan, menjadi renungan panjang. Ia amat tragis tetapi jangan biarkan ia benar-benar sebuah tragedi. Ia amat menyakitkan tetapi jangan biarkan ia benar-benar menjadi kesakitan. Marilah tuan yang budiman, kita renung bersama.

Tuan yang dimuliakan, sempena perhimpunan besar minggu depan elok rasanya setiap yang terlibat sebagai perwakilan merenung lirik dan kata dalam "warisan" sebelum melaksanakan tanggungjawab. Carilah iktibar ambillah pedoman dari susunkata dan inti bahasanya. Barangkali ia dapat memberitahu kita satu rahsia. Yang kita pilih adalah pendokong perjuangan. Agar segala luka dan tragis dalam lirik di atas jauh haluannya...


Tidak banyak pilihan. Renunglah seketika dan carilah keputusannya, tuhan merahmati orang yang mulia hati dan teguh pendiriannya. demi perjuangan keramat.
BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT
untuk
mempertahankan
WARISAAN


Selamat bersidang para perwakilan.
Continue Reading...

Saturday, February 7, 2009

daulat tuanku

No comments:






Foto dari Rocky's Bru



daulat tuanku
daulat tuanku
daulat tuanku



Continue Reading...

Tuesday, November 18, 2008

ucaptama - melayu dan pribumi

No comments:
Kepentingan Melayu dan Pribumi dalam Sejarah dan Perundangan

Ucaptama oleh
YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia
di Majlis Wacana Isu Perundangan dan Hak-Hak Pribumi Anjuran PERKASA
Kuala Lumpur, 16 November 2008



Mukaddimah

KEBELAKANGAN ini terlalu banyak cemekan yang menghina orang Melayu. Seolah-olah Melayu sudah hilang marwah dan hilang punca. UMNO diberi katadua bila seorang pemimpinnya mengatakan bahawa dalam lipatan sejarah ada penumpang di negeri Melayu; bangsa diberi malu di tanah air sendiri. Kerja perli dan mengaibkan ini dilakukan oleh pelbagai pihak terhadap kedudukan utuh Bangsa Melayu khususnya dan kaum pribumi di Malaysia ‘amnya.

Pada masa-masa tertentu didapati seolah-olah fakta dan sejarah menjadi alat mainan politik masing-masing lalu Melayu dan pribumi ditempelak, dipertikai, dicemuh dan dihina. Seorang Timbalan Menteri dari parti Gerakan lantas mendakwa pada 10 Oktober lalu di majlis rasmi parti nya, bahawa orang Melayu kononnya sama saja dengan kaum-kaum lain sebagai pendatang ke Negara ini. Pemimpin celupar itu yang secara kebetulan memenangi kerusi Dewan Rakyatnya di Perak Mac lalu atas sokongan pengundi Melayu akhirnya merumuskan jika tak faham sejarah jangan memandai-mandai. Sementara itu ada pula pihak lain yang meluahkan pendapat bahawa kononnya Melayu tak ada mempunyai taraf ketuanan.

Terbaru ialah pandangan bahawa lantaran Barack Obama baru saja menang pilihanraya di Amerika Syarikat justeru di Malaysia juga perlu ada situasi di mana sesiapa saja harus boleh jadi Perdana Menteri. Ini bukan perkara baru kerana Per. 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan memang tiada menekankan bangsa mana yang harus dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Cuma, sebagaimana Lee Hsien Loong PM Singapura berkata di pulau republik itu baru-baru ini – tidak praktikal bagi orang bukan-Cina jadi PM. Begitu jugalah di Malaysia, PM masa depan harus terdiri dari kalangan yang bangsanya majoriti di Malaysia. Lantaran Melayu dan pribumi memegang kedudukan majoriti, seharusnya siapa jadi PM tentulah sesuatu yang di putuskan oleh mereka dan bukan oleh bukan Melayu.

Mereka yang lebih jauh igauannya melontarkan pendapat bahawa di Malaysia kononnya diskriminasi begitu hebat hingga segala prasarana politik dan sosial yang selama ini menjadi sifat semulajadi kenegaraan dan negarabangsa perlu dipinda atau diubah supaya wujud suasana sama rata dan sama rasa. Ini hanya boleh dilakukan melalui suara majoriti dalam sistem demokrasi. Apa yang ada pada Perlembagaan Persekutuan itulah yang harus kita hormati kerana dokumen Negara itu adalah hasil perjuangan bersama yang sebahagian besar daripadanya merupakan kontrak sosial yang pokok. Soal hendak meminda perlembagaan adalah soal lain, sesuatu yahg harus bergantung pada kekuatan politik sesuatu kumpulan.

Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan-luahan yang mempersenda bangsa mereka. Ramai pula yang tak puashati lantaran tiada tindakan setimpal yang diambil oleh pihak-pihak tertentu bila Melayu dipersenda sedemikian rupa. Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tak kisah dan lantas membiarkan sahaja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing.

Masih ingatkah kita peristiwa di mana Melayu diberi amaran supaya jangan lagi melibatkan keris dalam soal-soal perjuangan? Masih ingatkah kita siapa yang mengatakan Melayu itupun pendatang dan semua juga pendatang ke negara ini? Masih ingatkah kita bila Ahmad Ismail mengingatkan fakta sejarah tentang situasi ‘menumpang’ dan ‘pendatang? Sekarang Ahmad Ismail telah digari oleh partinya sendiri. Tetapi mereka yang menghina masyarakat Melayu dan pribumi masih berdiri di busut tinggi sambil ketawa menghilai dan bertepuk tangan. Ketua pemuda kita pernah di beri amaran jangan cium keris lagi. Kini pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi condong akibat dasar sosialis kerajaan baru P.Pinang. Kemudian berlaku pula amalan tangkap lepas, tangkap lepas di sisi undang-undang keselamatan negara yang selama ini menjamin ketenteraman awam. Seolah-olah kuasa politik dan undang-undang yang ada sudah luntur. Memang boleh dibandingkan dengan pepatah bila pohon tumbang kura-kura pun naik.

Dalam persekitaran inilah kita berpolemik hari ini. Mari kita susur sejarah. Kemudian kita kaji undang-undang Negara kita. Akhirnya kita rumuskan apa harus dibuat bagipihak orang Melayu dan kaum pribumi agar masa depan anak cucu kita tidak kacau. Agar kita dan mereka tidak tercari-cari atau teragak-agak tentang haluan dan kedudukan bangsa. Agar kita jangan seperti pantun bidalan:

Udangnya banyak di hilir
Ikan diatur dengan galah
Undang-undang memang mahir
Tapi bicara kita kalah

Dengan latarbelakang dan suasana begini kita harus meneliti semula kedudukan orang Melayu dan pribumi dari dua aspek, pertama dari sudut sejarah dan kedua dari sudut perundangan. Kedua-dua aspek ini sebenarnya berkait rapat. Sementara undang-undang adalah peraturan dan syarat yang dicipta manusia melalui penguatkuasaan legislatif atau lunasan di Raja (royal prerogative) fakta sejarah adalah laluan hidup dan tamadun sesuatu bangsa. Tentunya sejarah bersandar kepada fakta tarikh dan zaman. Walaupun sebab-musabab atau huraian sejarah mungkin boleh dihujjah dan dipertikaikan menerusi sentimen politik, agama dan budaya masing-masing, ianya tetap menimbulkan kenyataan yang mengikut sarjana dinamakan fakta sejarah atau historical fact.

(a) Fakta Sejarah boleh dianggap sebaga faktor utama yang meneguhkan hujjah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali dunia sebagai Malaya (Land of the Malays).

Ini adalah sepertimana India adalah negeri orang keturunan bangsa India yang stok asalnya berunsur Dravidian; sepertimana orang Arab di Timur Tengah khususnya di Arab Saudi; sepertimana negeri Cina dinamakan Cina lantaran bangsa Cina yang bertamadun 5,000 tahun itu mendiami dan mewarisi negara itu turun-temurun; atau sepertimana England didiami Anglo-Saxon. Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.

Sepertimana Christopher Columbus menemui Red Indians di benua Amerika pada abad ke-15 sebagai penduduk asal benua Amerika, begitulah juga I-Tsing, seorang sarjana Cina yang menetap lama di Palembang sekitar 671 masihi, menggunakan istilah Moloyu1 untuk merujuk kepada orang Melayu yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Pengembara-peniaga Arab pada abad ke-7 juga menyebut beberapa kawasan negeri Melayu seperti Pahang, Temasik, Terengganu, Jambi dan lain-lain dalam catatan mereka. Temasek, Jawa, Inderagiri dan kepulauan lain di kawasan lautan Tenggara lazim kemudiannya dinamakan Nusantara2 oleh para sarjana tempatan. Saudagar Arab yang menjelajah Perlak di Acheh pada 1242, Melaka 1420, Sulawesi 1470, dan lain-lain kawasan kepulauan rantau ini juga mengIslamkan Raja-raja Melayu yang pada masa itu rata-rata beragama Hindu dan menamakan mereka sebagai Sultan walaupin nama dan terma-terma Sanskrit serta beberapa amalan budaya Hinduisme masih berpengaruh, terutama berkaitan kepercayaan animisme dan semangat.

Walaupun pedagang India mula intim dengan Melaka selang beberapa tahun selepas Parameswara membuka negeri Melaka pada tahun 1403, pedagang Cina hanya mula pesat di Melaka selepas pelayaran Cheng Ho. Masyarakat Nyonya-Baba dipercayai mula bertempat selepas tahun 1413. Tetapi apa yang harus diambil sebagai kenyataan atau fakta sejarah ialah bahawa Melayu adalah penduduk hakiki berkurun-kurun sebelum Melaka dibuka. Melayu sebagai warga asal Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara sudah difaktakan sejarah. Jika ini masih dikhuatiri sebagai kurang cukup sebagai bukti, Sejarah Melayu penulisan klasik Tun Sri Lanang amat memadai sebagai bukti bahawa orang Melayu dan raja mereka adalah bangsa asal di kepulauan Melayu dan Semenanjung Tanah Melayu.

Kisah antiquiti berkaitan personaliti pra-sejarah seperti Raja Suran, Wan Empok Wan Malini di Bukit Siguntang, Demang Lebar Daun, Sang Sapurba, Sang Nila Utama, Cati Si-Bilang Pandai, Raja Seri Maharaja, Datuk Perpateh Nan Sebatang dan Datuk Temenggung – semua ini adalah ikon keturunan kita yang menerokai dunia sebelah sini sekurang-kurangnya semenjak 2,500 tahun lalu. Dr. Heine Geldern dan Dr. Van Stein Callenfels dua orang sarjana autoritatif tentang asal-usul Melayu menyatakan perihal ini dengan jelas. Sarjana berdua ini juga memperakui bahawa orang Melayu proto pernah menjelajah jauh hingga ke Pulau Easter dan Madagascar. Dan menurut Richard Winstedt, stok keturunan Melayu menjangkau jauh hingga menakluki Polenesia 3.

Di zaman Inggeris bertapak di Semenanjung yang secara kasarnya antara 1874 hingga 1957 tenaga buruh India dan Cina dibawa masuk bagi memenuhi kehendak politik dan ekonomi mereka 4. Pada suatu tempoh masa dalam tahun-tahun 1920han bukan Melayu lebih ramai daripada Melayu di Semenanjung. Buruh India untuk kerjaraya, perladangan getah dan perkeranian; kaum Cina untuk sektor perlombongan, perniagaan runcit dan keperluan pentadbiran negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Untuk menyamakan kedudukan orang Melayu di Semenanjung dan pribumi di Sabah Sarawak dengan asal-usul keturunan kaum pendatang amatlah menyeleweng dan bersifat tidak jujur.

(b) Pencorakan Kuasa politik yang diterjemahkan melalui kuasa pememerintahan

Tanpa menghitung panjang lebar mengenai kuasa pentadbiran Inggeris, satu-satunya institusi tradisional yang mereka tidak berjaya menghapuskan ialah hak-hak keitimewaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu itu ialah kedaulatan dan keistimewaan Raja-Raja Melayu. Ini adalah kerana institusi Raja atau kesultanan Melayu itu sentiasa rapat dengan psyche keMelayuan. Secara tradisi pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lain pentadbir Inggeris sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu. Ini adalah kerana mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata “the Malays have their own outright position as native inheritors of their land.” 5

Dalam The Federation of Malaya Agreement 1948 atau Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, semasa Bintang Tiga dan gerombolan penjahat komunis bergelut untuk merampas Malaya dari tangan British, pegawai-pegawai tinggi mereka terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal. Perkara-perkara pokok seperti hak hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam dan adat istiadat Melayu antara lain diberi peruntukan di dalamnya. Perjanjian ini sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum-kaum lain tidak disia-siakan. Perjanjian inilah yang menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid 9 tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Dalam laporan Suruhanjaya Reid terkandung ayat ini:

The Alliance in their memorandum said – The Constitution should therefore provide that the Yang di-Pertuan Besar (Agong) should have the special responsibility of safeguarding the special position of the Malays.6
Ungkapan rasmi tersebut membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan seperti yang dipeturunkan di atas adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudkan khas orang Melayu disisi kaum-kaum di Malaya ketika itu. Hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Walaupun Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 45 kali, peruntukan ini kekal sehingga kini di bawah Perkara yang sama. Bahasa perundangan yang digunakan di bawah Per. 153 adalah bersifat wajib kerana klausa (1) memperuntukkan:

Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.
Peruntukan ini sebenarnya lebih tegas lagi bahasanya di dalam versi Bahasa Inggeris kerana ayat awalannya berbunyi “It shall be the responsibility of the Yang di-Pertuan Agong to safeguard the special position of the Malays and the legitimate interests of other communities…” Dengan lain takrif, Yang di-Pertuan Agong tak dapat tiada wajib memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputra dan kepentingan2 sah kaum-kaum lain di Negara ini.

Dari sini kita harus melihat kandungan peruntukan 153 selebihnya. Klausa (2) mentakrifkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dalam tugas baginda memelihara kedudukan istimewa orang Melayu adalah tertakluk kepada Perkara 40 Perlembagaan yang mewajibkan nasihat Kabinet atau salah seorang daripada Menteri yang bertindak menasihati baginda. Dalam konteks inilah Yang di-Pertuan Agong berkuasa merezabkan sebahagian jawatan dalam perkhidmatan awam. Klausa 153 (2) juga menyebut tentang permit atau lessen, biasiswa atau bantuan. Per 153 amat luas kerana adanya perkataan “atau lain-lain kemudahan khas”. Klausa (3) pula memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan arahan berkaitan pemberian keistimewaan-keistimewaan tersebut. Penting disebutkan di sini bahawa sekali bantuan atau keistimewaan itu diberikan, ianya tidak boleh dilucutkan sewenang-wenangnya.

PERUNTUKAN-PERUNTUKAN TRADISI YANG ASASI DI BAWAH PERUNDANGAN NEGERI PERSEKUTUAN

Setiap Perlembagaan sesebuah Negara sedia mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan-peruntukan “entrenched” atau yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa, yakni dengan hanya kelulusan 2/3 dari anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat. Peruntukan-peruntukan itu seperti yang disenaraikan di bawah hanya boleh dipinda dengan persetujuan Majlis Raja-Raja 7:

  • Per. 10 (4) [perihal kuasa Parlimen membuat undang-undang cegahan berkaitan keselamatan negara, keistimewaan-keistimewaan dan kewarganegaraan],
  • Bahagian 3 (Kewarganegaraan),
  • Perkara 38 (Majlis Raja-Raja),
  • Per. 63(4) (Keistimewaan-keistimewaan Parlimen),
  • Per. 70 (Keutamaan Yang Di-Pertua Negeri dan Raja),
  • Per. 71(1) (Jaminan Kerajaan Persekutuan terhadap Perlembagaan negeri],
  • Per. 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan),
  • Per. 153 (Hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra),
  • Per. 181 (Kedaulatan & keistimewaan Raja-Raja Melayu)

RUMUSAN pertama yang boleh dibuat ialah bahawa Kuasa pengimbang tetap ada pada Raja-Raja Melayu samada yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, para Sultan masing-masing atau pada Majlis Raja-Raja yang berfungsi di bawah Per. 38. Di semua negeri di Semenanjung, misalnya, hanya orang Melayu yang boleh di lantik sebagai Menteri Besar tetapi hal yang sama tak wujud di Persaekutuan, di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Per. 43 (2) syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat YDA seseorang itu mendapat sokongan ramai Dewan Rakyat. Dalam keadaan ini tentunya suatu hari nanti seorang warganegara Malaysia bukan Melayu boleh menjadi PM. 8

Walaupun ini merupakan sesuatu yang kurang menggembirakan para nasionalis Melayu, namun realitinya adalah sedemikian. Inilah yang menyebabkan seseorang ketua pembangkang di Dewan Rakyat akan sentiasa cuba mendapatkan sokongan majoriti daripada keanggotaan Dewan itu. Dalam konteks yang sama YDA mempunyai tiga fungsi dan kuasa yang tidak boleh di persoalkan:
(a) pertama melantik seseorang Perdana Menteri 9;
(b) kedua tidak memperkenankan membubar Parlimen (apabila didesak oleh sesuatu pihak); dan
(c) meminta supaya diadakan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja dan mengambil tindakan darihalnya.

Kuasa ini juga wujud di bawah Perlembagaan semua negeri beRaja. Peristiwa di Perlis dan Terengganu pada bulan April 2008 jelas menukilkan fakta ini. Walau apapun yang dipertikaikan faktanya ialah Raja Melayu mempunyai kuasa mutlak walaupun ada pihak-pihak yang menyatakan bahawa Raja mesti ikut nasihat dalam menentukan sesuatu di bawah Per. 40 Perlembagaan. Pada suatu hakikat ini memang benar tetapi harus difahami bahawa bahasa perundangan yang sedia ada di bawah Per. 43(2) cukup jelas untuk membenarkan Raja bertindak melantik Perdana menteri mengikut pandangan subjektifnya. 10

Ini bermakna keistimewaan orang Melayu dan Bumiputra bukanlah tanpa sempadan dari segi realitinya. Justeru, keistimewaan itu harus dilampini dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan. Ekonomi Bumiputra seharusnya kini melebihi paras 30% dari segi perolehan asset. Malangnya Bumiputra masih dikatakan berada ditahap kurang dari 20%. Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap? Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib yang lain. Sebagai warga Malaysia yang majoriti tiada salahnya jika cita-cita politik UMNO misalnya ingin mencapai 50% atau 60% sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi. Dari sudut ini jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini telah kurang berjaya memperjuangkan kaedah atau mekanisme penyampaian dasar DEB itu walaupun dari segi pembangunan banyak kemajuan tercapai.

Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan di Negara ini memerlukan kaedah penggunaan yang baru. Ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan hanya setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa Kebangsaan. Keadaan sekerat belut sekerat ular dalam pembahasaan harus ditinggalkan. Usaha dan tugas memantau melalui kuatkuasa undang-undang Dewan Bahasa & Pustaka berkaitan penggunaan bahasa Kebangsaan harus diketengahkan segera. Lantaran Kabinet telahpun meluluskan pindaan undang-undang yang diperlukan setahun lalu usaha memperkukuh kedudukan bahasa Kebangsaan mesti diutamakan. Bangsa yang kurang menekankan bahasa nasionalnya akan ketinggalan dalam hal-hal pemupukan budaya nasionalnya juga.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu memang akan tetap kukuh dan berkuatkuasa selagi pemerintahan berparlimen dan Raja berperlembagaan kekal di Malaysia. Sistem yang ada juga bermakna bahawa kepentingan warga bukan Melayu tidak diabaikan kerana kuasa Parlimen membuat undang-undang negara yang berasaskan keadilan dan kesaksamaan tetap wujud dan terpelihara. Demikianpun, rakyat Malaysia harus diberi lunas menghormati dan menghayati kedaulatan Raja. Cara terbaik ialah dengan melunaskan Rukunegara sepenuhnya melalui latihan dan pembelajaran.

Yang perlu diingati ialah, setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti yang terkandung pada Per. 153, atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu (Per. 38 dan 181), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Per. 152), perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara (Per. 3) ¬ ini semua belum menjamin kekuatan semulajadi, jauh sekali mendaftarkan ketuanan Melayu itu sendiri. Kita mesti kuat dari segi politik. Bila kuasa di tangan harus pandai menggunakannya dengan bijak. Ketuanan akan datang dan kekal jika kuasa politik kukuh dan terus membela bangsa sendiri. Malangnya kekukuhan dan ketuanan bukan komoditi yang mudah diperolehi dengan hanya laungan. Ia akan hanya datang dan berada di sisi apabila perjuangan itu luhur dan tidak kotor.

Ketuanan sesuatu kaum atau supremacy sesuatu masyarakat tidak boleh dipergantungkan sangat lantaran sifat itu lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara. Laungan ketuanan Melayu itu seharusnya dilihat dari sudut ilmu, kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab, disiplin politik dan sebagainya. Kalau kita beli undi untuk jadi ketua Bahagian atau hendak jadi pemimpin dalam UMNO bagaimana kita boleh kata kita Tuan?

Sebagai warga asal, orang Melayu dan pribumi memang boleh berbangga dan mendabik dada jika sifat-sifat tinggi peradaban tersebut terlengkap pada diri pemimpin dan yang dipimpin. Bila ini terbukti, dengan sendirinya orang Melayu dan kaum pribumi akan di lonjakkan oleh masyarakat Malaysia. Tetapi sekadar melaungkan Melayu tuan kepada sekalian yang lain barang sudah tentu akan menyulitkan perjuangan itu sendiri.

Hanya Raja kita yang boleh dianggap Tuan kepada semua warganegara Malaysia. Selainnya kita adalah sama di sisi undang-undang.11 Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Berhadapan dengan peruntukan ini tidaklah wajar mana-mana orang mendakwa atau menuntut bahawa bangsanya adalah tuan kepada yang lain. Kesultanan atau Raja Melayu yang menjadi tunggak dan simbol kuasa dan kerajaan yang berdaulat memang memungkinkan orang berani melaungkan ‘Ketuanan Melayu’.

Sebagai perbandingan, Red Indian di Amerika dan orang Maori di New Zealand, misalnya masih belum berani menonjolkan diri mereka sebagai pihak yang dipertuankan oleh warga majmuk di Negara mereka. Ini disebabkan bilangan mereka yang kecil dan keupayaan politik mereka terhad. Melayu dan pribumi memang mempunyai kelebihan dari segi bilangan penduduk 12 dan hak-hak tertentu di negara ini tetapi kekuatan politik orang Melayu sendiri sudah banyak terhakis akibat politik UMNO, PAS dan PKR. Jika kekuatan politik orang Melayu dapat disatukan atau sekurang-kurangnya UMNO itu sendiri diperkasakan perjuangannya barang sudah tentu kuasa bangsa akan menjana kuasa yang lebih besar. Bila itu berlaku bolehlah ditepuk dada ditanya selera. Nanti orang lain yang akan mengatakan bahawa Melayu adalah tuan di negara mereka.

Takrif Melayu itu sendiri mempunyai tiga syarat asas: pertama seseorang itu hendaklah menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu. 13 Definasi Melayu ini tentunya menimbulkan masalah oleh kerana jika kurang tersempurnanya salah satu daripada syarat yang tiga itu mungkin menyebabkan seseorang itu tidak lagi layak dianggap sebagai Melayu. Walaubagaimana pun kesukaran seperti ini belum pernah disuai di hadapan mahkamah di Negara ini. Ini tidak bermakna ia tidak akan muncul nanti sebagai suatu kemungkinan yang membawa kepayahan. Misalnya dari segi bahasa dan adat istiadat mungkin akan muncul persoalan: adakah kita kini berbahasa Melayu dengan lazimnya? Adakah kita mengamalkan budaya kita sehingga secara jelas mengandungi adat istiadat Melayu; apakah dia adat istiadat Melayu itu?

Bila ini semua dipersoalkan sebanyak sedikit natijah tidak sempurna mungkin muncul. Orang Melayu dan pribumi akan terasa bahawa sesungguhnya terdapat banyak ketinggalan dan kekurangan yang ada pada diri mereka sendiri. Justeru sebelum dlaungkan ketuanan, keagungan dan sebagainya muhasabah diri perlu dilaksanakan. Kekuatan dalaman perjuangan mesti dicapai kembali supaya para pemimpin Melayu insaf bahawa politik mencapai dan mengekalkan kuasa harus terumpu kepada bangsa sendiri terlebih dahulu. Agenda Melayu sedia ada pada UMNO, parti-parti politik dan badan-badan bukan Kerajaan serta ummah Melayu itu sendiri. 14

SYOR

  • Melayu-Bumiputra perlu memperkasakan politik melalui bilangan mereka yang besar. Untuk itu mesti bersatu tenaga dan perjuangan.
  • Mengenal sejarah bangsa untuk panduan perjuangan.
  • Mengenal kelemahan politik dan ekonomi dan mengatasi dengan muhasabah diri.
  • Politik Melayu melalui UMNO mesti dirobah – Fasal 3 Perlembagaan UMNO perlu dihayati lantaran di dalamnya sedia terkandung agenda Melayu yang sebenar.
  • Mewujudkan lapisan muda yang berilmu dan berbudaya Melayu
  • Menolak nisbah sekurang-kurangnya 30% dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan Negara dimiliki Bumiputra.
  • Semua dasar berkaitan Melayu-pribumi dan Islam diputuskan terlebih dahulu oleh tapisan politik sebelum diputuskan kerajaan.
  • Hindari perjuangan lemah imej. Bertindak bila Melayu atau UMNO dicerca oleh politik luaran. Jangan mudah minta maaf bila tidak bersalah. Simbol-simbol kekuatan perjuangan wajib dipertahankan. Bahasa jiwa bangsa perlu jadi amalan. Penjiwaan perjuangan dipasakkan ke dalam hati sanubari golongan puteri putera.
  • Sistem penguatkuasaan undang-undang dan dasar dijamin pantas dan saksama.

-------------------------------

1 Untuk mengkaji sejarah kekuasaan etnik dan penemuan-penemuan awal di Tenggara Asia, lihat G. Coedes, Indianized States of South East Asia, 1968.

2 Perkataan nusantara mencantumkan dua pengertian – ‘nusa’ dan ‘tara’. Nusa bererti tanah air dan ‘tara’ ‘kedudukan’ atau ‘keadaan’. Nusantara secara sosio-geografis bererti kawasan kenegerian dalam satu kelompok. Nusantara juga sering disebut sebagai negeri-negeri kepulauan Melayu.

3 Richard Winstedt, The Malays – A Cultural History, Singapore, 1947, m.11

4 Campurtangan rasmi Inggeris bermula 1874 dengan termeterainya Perjanjian Pangkor yang melibatkan Inggeris dan Sultan Perak, Raja Abdullah. Melalui Perjanjian Pangkor pentadbiran negeri Perak secara keseluruhan dilaksanakan oleh Inggeris melalui sistem Residen. Kepada Raja dikhaskan bidang-bidang Islam dan adat istiadat Melayu. Nasihat Inggeris dalam semua hal hendaklah dipatuhi di bawah kuatkuasa Perjanjian itu. Antara 1874 dan 1895 Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang berada di bawah pentadbiran Federated Malay States (FMS). Antara 1896 hingga 1914 (bermulanya Perang Dunia Pertama) negeri lain di Semenanjung dimasukkan ke dalam pentadbiran Unfederated Malay States (UMS).
5 Frank Swettenham, British Malaya, Oldam Printer, 1905 m.78.

6 Malayan Constitutional Report 1957 [Laporan Suruhanjaya Reid 1957] m.73 para 168. Perkataan The Alliance di atas merujuk kepada Parti Perikatan yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC. Parti Perikatan ditukar menjadi Barisan Nasional pada tahun 1974 di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Ke-dua.

7 Lihat Per. 159(5). Peruntukan inilah yang memperkasa kedudukan Raja-Raja, Bahasa Kebangsaan, kewarganegaraan,

8 Jawatan Timbalan Perdana Menteri tiada diberi peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

9 Kuasa ini tertakluk kepada Per. 43(2)(a) yang menetapkan YDA hendaklah melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu; akan didapati bahawa kuasa subjektif YDA di bawah peruntukan ini tidak boleh canggahi lantaran perkataan-perkataan “yang pada pendapatnya”. Kuasa di-Raja di sini kelihatan bersifat mutlak walaupun di bawah Per.40 YDA hendaklah mengikut nasihat berkaitan mana-mana tugas baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan.

10 Kerajaan Negeri Perlis dan Terengganu pada bulan April 2008 telah menerima nama-nama pemimpin dari Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi sebagai Menteri Besar masing-masing negeri. Lazimnya siapa yang dinasihati PM untuk jadi MB atau Ketua Menteri sesebuah negeri nasihat atau cadangan MB itu dipersetujui sahaja oleh Raja. Tetapi dalam hal Perlis dan Terengganu, Raja dan Sultan berkenaan enggan melantik calon-calon yang dicadangkan oleh PM i.e.Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis) dan Datuk Seri Idris Jusoh (Terengganu). Sebaliknya Raja dan Sultan kedua-dua negeri itu melantik Datuk Mohd Isa bagi Perlis dan Datuk Seri Ahmad Said bagi Terengganu. Perlakuan ini sekali gus memudarkan imej kepimpinan PM dan menimbulkan kesan negatif kepimpinan. Peristiwa ini tidak pernah berlaku sebelumnya.

11 Per. 8 berbunyi: Semua orang adalah samarata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Klausa (2) pula memperuntukkan hendaklah tiada apa-apa pembezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab agama,kaum, keturunan, atau tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang…

12 Pecahan penduduk 2008 – sekitar 27 juta: Melayu 62%; Cina 29%; India 11%; Lain-lain 8% Lihat Buku Fakta Malaysia 2008, JPM, Putrajaya.

13 Lihat Per.160. Anihnya, definasi Cina atau lain-lain bangsa tiada diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

14 Lihat Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Enam pecahan matlamat di bawah fasal ini mengandungi semua tujuan dan perjuangan parti itu yang menonjolkan agenda Melayu secara keseluruhan.

sumber : another brick in the wall
Continue Reading...