Hidup penuh warna, ungkap seseorang. Warna adalah perlambangan, simbolik, dan memaknakan, itu pandangan yang lain. Warna menjadi ikon dan manifestasi tertentu dan menyarankan makna tertentu, kata lain pula. Begitu warna diungkapkan dan ditafsirkan dalam rajah hidup manusia.
Tidak kurang pula warna dikaitkan dengan semangat, kerohanian, dan melakarkan kefahaman intrinsik, keturunan, strata dan budaya. Citra yang mencermin jauh lebih mendalam dalam sekadar sebutan warna merah, jingga, biru, atau kuning. Warna menjadi sensitiviti pula dalam rujukan sosial dan gender serta salasilah. Ia bukan perkara enteng dan dengan warna ia menjadi pertikaian, konflik dan segala macam anarki sosial. Warna bukan boleh dipersendakan dalam situasi tertentu dan begitu memberi impak kepada sudut pandangan dan pemikiran.
Apakah kita telah ingin bermain warna? Meletakkan warna sebagai objek mudah untuk menjadi sasaran dan memperleke, memperbodoh, mempermainkan, mempertingkatkan atau memuja dan mengangungkan boleh diterima pakai dalam label warna. Hingga dalam hidup bermasyarakat warna mempunyai martabat tersendiri. Tidak kurang pula dalam dunia dagang warna berkait dengan kejayaan, kemewahan, dan survival.
Memilih untuk membuat provokasi dengan warna bukan langkah bijak dan bukan senda gurau murahan. Permainan yang jarang terjadi dalam label sosial masyarakat negara ini tiba-tiba disogokkan untuk menjadi sentimen meraih sokongan dan pujaan. Apakah memilih untuk merujuk kepada warna kulit dengan mahu memperkecilkan atau merendah taraf dan martabat adalah kecindan yang terbaik dalam kerukunan hidup bermasyarakat?
Wit atau humor apakah jika terniat untuk merendahkan dan memaki hamun orang lain dengan label warna? Ia tiada lain adalah melintas garis sensitiviti secara sengaja dan ingin bermain-main dengan suatu yang menjadi begitu dielakkan selama ini. Apakah ia satu cara untuk memberitahu dan menyungguhkan kebenaran apa yang diungkap oleh penutur sebagai benar dengan memberi huraian terhadap warna dan sekaligus mempunyai niat tertentu pula. Malah kata warna diikuti dengan kata nista yang amat jarang dan tak diperguna dalam situasi politik atau hubungan manusia. Kata nista yang lebih merujuk kepada kebencian yang meluap-luap dan menghina.
Begitu manusia dengan gelagat dan stail untuk hanya semata-mata menganggap orang lain palsu dan dia benar. Apakah khalayak politik negara tercinta ini menerima manusia yang mencanangkan sensitiviti sedemikian? Apakah kita mahu mendengar lebih banyak lagi ungkapan warna yang sudah pasti berfokus kepada kebencian dan merendahkan martabat? Apakah kita akan menjadi lebih matang, prolifik dan selari dengan persekitaran dunia hari ini untuk membantai atau menyerakah orang lain dengan rujukan warna yang terang-terang berhasrat menghina dan memalukan.
Apakah ini label baru sang pelahap kuasa pergunakan apa saja semata-mata meraih sokong dan dokong?
Hanya waktu menentukan.
Wanita gigit lengan anggota polis di kedai kopi
13 minutes ago
0 comments:
Post a Comment