Friday, January 27, 2012

pandanglah dengan keinsafan..


Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tetap relevan kepada orang yang tidak tahu menjaga diri dan tidak menghargai peluang yang harus digunakan sebagai seorang mahasiswa, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah melarang sekiranya mahasiswa ingin mengadakan sebarang debat dalam kawasan universiti tetapi yang hendak dikawal adalah perbuatan mereka berkempen secara melampau.

"Yang kita larang adalah tindakan nak pergi kempen di sana sini. Orang bayar duit kepada kita. Kita belajar menggunakan orang lain, jadi kena bertanggungjawab dengan orang yang bekalkan kita dengan wang supaya belajar betul-betul.

"Kemasukan (ke universiti) kebanyakan pelajar Melayu bukan kerana pencapaian tinggi, (dan) kalau tak kerja kuat mereka akan ke belakang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi Bicara Tokoh bersama beliau sempena Tahun Koperasi Antarabangsa 2012 di Alor Setar hari ini.

Dr Mahathir berkata mahasiswa seharusnya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran, dan selepas tamat pengajian dan mempunyai pekerjaan serta pendapatan sendiri, barulah mereka bebas melakukan apa saja.

"Kita fikir (jika) tak demonstrate (berdemonstrasi) tak boleh jadi ahli politik yang baik. Saya dulu takdak demonstration pun tapi boleh jadi ahli politik yang ada kebijaksanaan juga," katanya.

Beliau berkata lebih menyedihkan ialah yang sering terlibat dengan demonstrasi membantah AUKU adalah mahasiswa Melayu, manakala kaum lain tidak melakukan perkara itu.

"Saya bukan rasis tapi budak Melayu ini kelulusan tak tinggi, orang inilah yang nak sangat hapuskan AUKU. AUKU tidak relevan kalau kita tahu menjaga diri," katanya.

- Bernama

Begitu jelas dan mudah untuk difahami apa yang disebutkan oleh ayahanda Tun Dr Mahathir. Tahu diuntunglah, dalam kefahaman budaya kita. Tegak lalang apalah gunanya, biar menjadi padi berisi. Makin tunduk banyak manfaaatnya. Sedarlah anak-anak, dari mana kita bermula dan ke mana mahu pergi. Pandanglah dengan keinsafan...

Kita ini bukan bangsa mewah dan banyak harta. Kita datang dari sejarah yang begitu getir dan memerlukan masa panjang untuk mengubah segalanya. Tidak ada siapa-siapa boleh membantu kita kalau kita tersepit dan jatuh. Kalau kita rebah dan berdarah tak ada siapa membebat luka kita. Melainkan tangan kita sendiri melakukan segalanya. Diri kita sendiri menanggung akibatnya. Kita harus belajar untuk mengerti apa yang barangkali kita sengaja tak mahu fahami. Dari mana datangnya apa yang kita miliki hari ini. Ia bukan bergolek tiba atau melayang datang. Bukan semuanya mudah berada dalam genggaman tangan kita. Ia daripada sebuah perjuangan yang telah lama dibangunkan dan dipertahankan. Jangan mudah mendengar kata dagang, anak di pangku dilepaskan, kera dihutan disusukan.

Tataplah kembali ke dalam perjuangan dan lorong masa yang telah kita lalui bersama. Kita memperolehi semua ini bukan dengan hanya senyum berbunga tetapi dengan tangis dan pengorbanan. Perkara 153 memberi kita banyak yang kita rasakan dan kecapi. Insaflah ia datang bukan dengan mudah tetapi atas pengorbanan, keperitan dan kejerihan. Ada yang perlu dikorbankan demi perjuangan kita, demi memastikan kita boleh bertapak dan maju ke muka.

Sudah lupakah pesan guru-guru sewaktu belahjar di sekolah dulu. Tidak pernah ada guru berpesan di menara gading rebutlah AUKU. Tak pernah guru kaunseling yang memberi ceramah berkata matlamat kamu adalah AUKU. Siapa pun tak pernah berkata apa-apa untuk itu. Kenapalah sesudah merebut semuanya dan berada di tempat yang selama ini begitu diidam-idamkan kita lupa dari mana segalanya bermula. Ingatkah lagi kali pertama ketika membaca surat tawaran layak ke menara gading bersambut linangan airmata dan lupakah pula kuntuman senyum ibu ayah ketika menerima berita kejayaan anak ke menara gading. Ramai yang gembira dan senyum bangga. Malah di kampung, di taman perumahan, di rumah teres, banglo atau mana sahaja akan ada doa selamat dan kenduri menghantar kita ke menara gading ini.

Barangkali semuanya lenyap apabila bergelar mahasiswa. Kata guru hilang dalam ingatan. Pesan ibu dan bapa lenyap dalam surut masa. Senyum berbunga dan doa selamat bukanlah kenangan yang memimpin kita ke menara perjuangan untuk menjadi mahasiswa terbilang. Kita mula terhidu minat, gelagat dan ragam mereka yang datang dengan janji dan pesan. Kita mula merasa belum cukup hanya buku-buku, nota syarahan dan kuliah untuk menjadi mahasiswa. Kita mahu kebebsan dan suara. Kita sudah merasa dipinggir.....

Semuanya menjadi mainan obsesi yang merosak harapan dan impian. Segala yang selama ini tak tertemu dalam diari hidup akhirnya menjadi catatan perjuangan yang dianggap mustahak dan membela. Kita menjadi manusia tertindas dan kita mahu pembelaan. Tapi kita tidak tahu di manakah segala penindasan dan apakah penganiyaaan itu. Semuanya tiba-tiba datang. Kita mahu berkokok menjadi jaguh dan lupakan buku-buku. Sang pejuang tak perlu semua itu. Kita perlu suara kita didengar. Kita sedang menyalakan api. Tidak pula kita tahu apakah yang mahu kita bakar. Kita menjadi terbawa-bawa dalam gelombang yang kita sendiri tidak fahamai mengapa ia perlu kita harungi. Mengapa mengharung badai yang kita sendiri akan karam di sana. Apakah nasib kita tak ada siapa mendengarnya? Apakah kita menjadi merempat dan susah untuk berkuliah dan sukar berhadapan segala karenah pengurusan universiti? Apakah kita dizalimi dengan segala kezaliman yang dahsyat?. Kita pun sukar memahami untuk apa semua ini. Kita menjadi pembengis yang tidak pasti untuk apa segala amarah itu.

Kita hanya mendengar hujah dan kata-kata. Kita mahu menjadi jaguh macam yang pernah kita dengar dari cerita-cerita zaman berzaman. Mahasiswa membela rakyat membela nasib rakyat. Ia barangkali dongeng yang diperbesar dan kita lena dan khayal mendengarnya. Lalu kita pun mula menjadi sang pemimpi yang menemukan mimpi baru : pembelaan nasib mahasiwa, nasib mereka tertindas, nasib masa depan, nasib semua orang..... Begitu panjang senarainya tapi tak tertulis seincipun bagaimana nasib diri sendiri??? Siapakah yang membelanya??????

Hanya obsesi dan kita menjadi manusia berperang dengan realiti. Kerana ramai yang mengikut jalan yang kita lalui ini akhirnya sesudah meninggalkan universiti menjadi manusia biasa dan tak ada apa-apa. Lebih malang tak dapat menamatkan pengajian, terkandas dan membawa rasa kesal berpanjangan. Pernah seorang memberitahu. Masa di kampus kenapa kau begitu bersungguh-sungguh dengan AUKU, mahu demonstarsi banyak menghalang apa saja. M Nasir nak menyanyi di kampus pun kau pasang banner? Habis kenapa dah keluar universiti ke sana ke mari mencari projek kerajaan untuk menyara keluarga. Atau mengharap kerjaya di sektor awam untuk sesuap nasi?. Bukankah kerajaan ini yang kau selar habis-habisan dulu. Katanya, apalah dikenang masa tu fikiran muda kena ikut arus. Kena bantah baru kita rasa kita berguna. Tapi kalau keluar macam sekarang buat macam tu mana boleh bro, soru pun boleh miss...

Ah, perjuangan hanya untuk melepas musim dan ketika. Hanya untuk megisi kekosongan masa dan ruang berlalu. Haruskah semua itu diperbuatkan dan diteruskan?

Usahlah begitu, kembali kepada perjuangan mencari kecemerlangan. Ilmu yang menjadi destinasi kita. Bukan bersorak dan menyinga hanya untuk kepentingan mereka yang bijak memancing peluang.

Dengarlah kata-kata ayahanda Tun Dr Mahathir dengan waras. Beliau layak untuk berkata-kata begitu, beliau telah melihat segalanya di Malaysia ini. Beliau telah mengalami segalanya. Siapa lagi yang mahu kita rujuk selain diri ayahanda Tun Dr Mahathir ini.

Semoga Allah membuka pintu hati kita ke arah tenang dan rahmatNya. Amin.
Share this article :

0 comments: