Friday, October 25, 2013

Memilih Dan Transformasi


Kalau mencari tempat mandi
Carilah teluk atau pantai
Kalau mencari pemimpin sejati
Pertama elok kedua pandai


Pantun pemula ini pasti memberi gambaran jelas memilih pemimpin. Semuanya sudah terjawab sebagaimana berlaku pada 19 Oktober 2013. Transformasi pemilihan dan transformasi untuk kebangkitan UMNO.
Tapi apakah kehendak pantun di atas sudah terpenuhkan?

Hanya yang arif tahu membuat keputusan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengekalkan gandingan mereka sebagai naib presiden Umno untuk penggal 2013-2016.


Tiga penyandang jawatan Naib Presiden Umno itu mendapat mandat baharu daripada kira-kira 146,000 perwakilan sebagai ‘orang kanan’ kepada Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin parti tunjang Barisan Nasional itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali yang mengumumkan keputusan itu kira-kira 1.40 pagi, berkata Ahmad Zahid memperoleh undi tertinggi iaitu 185 undi, diikuti Mohd Shafie 174 undi dan Hishammuddin 100 undi.

Kemenangan mereka sekaligus mengetepikan tiga pencabar bagi jawatan itu iaitu Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang mendapat 91 undi dengan Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad masing-masing meraih tujuh undi.

Menariknya, sepanjang sesi pengiraan undi berlangsung, debaran terasa apabila Hishammuddin dan Mukhriz bersaing sengit dengan perbezaan undi yang kecil.

Tajol Rosli berkata walaupun keputusan undian bagi Hishammuddin dan Mukhriz seri di beberapa bahagian, tiada kiraan semula akan dilakukan memandangkan perbezaan jumlah keseluruhan undi bagi dua calon itu jauh berbeza.


“Hishammuddin memperoleh 100 undi manakala Mukhriz mendapat 91 undi. Perbezaannya adalah sembilan undi maka tidak ada undi semula atau cabut undi akan diadakan.

“Jika perbezaan adalah tiga barulah kita akan adakan undian semula,” katanya. Tajol Rosli menjelaskan Hishammuddin dan Mukhriz mendapat undi seri di tiga bahagian iaitu Keningau, Semporna dan Baling.

Ahmad Zahid, 60, yang dilahirkan pada 4 Jan 1953 di Kampung Sungai Nipah Darat, Rungkup, Bagan Datoh, Perak, kini merupakan menteri kanan dalam kerajaan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Beliau pertama kali memenangi jawatan Naib Presiden pada pemilihan 2009 selepas menjadi anggota Majlis Tertinggi selama dua penggal (2000-2003) dan (2004-2007).

Mohd Shafie, 56, merupakan pemimpin pertama dari Sabah yang dipilih menjawat jawatan itu pada pemilihan 2009.

Beliau kini memegang portfolio Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Anggota Parlimen Sembrong buat tiga penggal berturut-turut, Hishammuddin mengekalkan kedudukan seperti yang diramal banyak pihak. - BERNAMA


MUKHRIZ, ESOK MASIH ADA.
Oleh Ibrahim Yahaya


KUALA LUMPUR : Selepas keputusan rasmi diketahui yang menyaksikan Dato Paduka Mukhriz Mahathir menduduki tangga keempat dalam pemilihan Naib Presiden UMNO seorang rakan bertanya ringkas, "Apa yang terjadi kepada Mukhriz?". Jawab saya ringkas, "Inilah politik, semua boleh jadi". Beliau terdiam.

Bagi penganalisis politik ramai yang mengetahui Mukhriz tidak akan dapat menduduki salah satu daripada tiga jawatan NP. Mereka yakin penyandang akan kekal. Begitu juga yang dikatakan oleh negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut merasai anaknya tidak akan menang. Mungkin pandangan penganalisis politik veteran sama dengan pemikiran Tun M.

Hakikatnya inilah sering berlaku di negara ini di mana pemimpin tertinggi parti mempunyai kelebihan dalam pemilihan UMNO. Tun M pun tahu kerana beliau pernah berada di atas ketika pemilihan UMNO diadakan termasuk persaingan di antara Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam. Kelebihan ini boleh dilihat dalam pelbagai bentuk termasuk isyarat yang diberikan. Tidak payahlah sebut arahan.

Oleh itu, Mukhriz Mahathir perlu sedar bahawa beliau kini sudah berada dalam politik nasional yang menyaksikan semua boleh berlaku walaupun pada awalnya gambaran yang diberikan beliau akan mendapat sokongan padu di seluruh negara. Mungkin beliau terlupa pemilihan ketua sayap berlaku lebih awal daripada pemilihan peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi. Ataupun beliau tahu tetapi tidak terdaya untuk menahan kesan sampingan yang timbul daripada kejayaan penyandang meneruskan jawatan.

Oleh itu, penasihat MM bolehlah memberikan nasihat yang baik pada masa akan datang agar jika MM benar-benar ingin bertanding NP, beritahulah perwakilan lebih awal. Tapi ada juga yang berpendapat, bagitahu awal atau lambat, itu tidak penting. Yang pasti, Mukhriz kena tunggu dulu, setidak-tidaknya untuk kali ini. Boleh cuba lagi lain kali. Esok masih ada.

Dunia Tiger
Share this article :

0 comments: