Sunday, April 5, 2015

bahasa melayu


Bahasa Melayu jadi mangsa legasi penjajah
Oleh Teo Kok Seong


Peranan bahasa dalam penyatupaduan kebangsaan bukan sahaja retorik, ia terbukti pada masa kini dan juga zaman dahulu apabila Maharaja Shih Huang Ti berjaya menggunakan sistem tulisan sama untuk menyatukan pelbagai puak di China yang bertutur pelbagai bahasa Cina yang berlainan antara satu sama lain.

Pada masa kini, lihat bagaimana Singapura berjaya menyatukan rakyatnya dengan menggunakan satu bahasa sebagai peranti pengikat kaum di republik itu. Berdasarkan aspirasi nasionalnya, bahasa Inggeris dipilih untuk memikul tugas itu.

Di Malaysia, kita memilih bahasa Melayu untuk peranan ini. Ia digunakan dalam sistem pendidikan yang menjadi kaedah sejagat untuk tujuan penyatupaduan kebangsaan. Walaupun begitu, bentuk sistem pendidikan yang standard itu, yakni satu aliran sahaja, tidak diikuti di Malaysia. Sebaliknya, kita mengamalkan bentuk pelbagai aliran.

Pengasingan etnik pada usia muda

Kepelbagaian ini diamalkan pada peringkat dasar pula, iaitu prasekolah dan sekolah rendah. Dengan ini, wujudlah pengasingan etnik yang dipupuk pada usia yang begitu muda, yang sepatutnya tidak boleh dibenarkan berlaku langsung dalam masyarakat majmuk.

Bentuk yang tidak unggul ini diteruskan pula apabila kita memerintah sendiri, walaupun kita mengetahuinya sebagai peninggalan penjajah yang berjaya memecahkan kita, dengan galakan menggunakan bahasa masing-masing dalam pendidikan.

Legasi penjajah yang diteruskan ini sebenarnya terus memecahkan kita. Dalam hal ini, kita tidak pun berjaya bersatu sepenuhnya atau pada tahap yang lebih baik daripada sekarang, yang rata-ratanya hanya berlaku pada peringkat sosial. Ia antaranya memupuk toleransi permukaan sahaja.

Bentuk standard, yakni satu aliran sahaja, yang diamalkan di banyak negara, terbukti berjaya mengikat anak bangsa pada peringkat psikologi. Pengikatan begini memperlihat unsur penyatuan yang jauh lebih jitu sifatnya, seperti pembinaan perasaan keterikatan dan kebersamaan yang lebih tulen.

Dengan tidak mengamalkan bentuk ini apabila kita merdeka dahulu, kita sebenarnya telah terlepas kesempatan keemasan untuk membina negara bangsa yang lebih bersatu. Barangkali itulah satu-satu kesempatannya yang tidak akan diperoleh lagi!

Bentuk pelbagai aliran yang diamalkan kini bersifat eceran. Keengganan semua pihak untuk menggalas misi yang sama sepenuhnya untuk mendukung visi yang dipersetuju.

Hal ini jelas apabila kaum bukan Melayu enggan mempergiat usaha, seperti yang diperlukan dalam merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Sekolah Malaysia kukuh hubungan

Sehubungan ini, peraturan yang tidak dapat dielakkan dirundingi agar tidak perlu dipatuhi sepenuhnya. Ini dapat lihat pada penambahan waktu pendidikan bahasa Melayu yang akhirnya perlu dikompromikan. Begitu juga kaedah yang diperkenal dicari jalan untuk dilaksanakan dengan cara lain yang akhirnya tidak dapat pun membuahkan hasilan yang dikehendaki. Dengan ini, bahasa Melayu yang lebih afdal diajar penutur jati tidak dipersetuju.

Sifat begini tidak dapat dinafikan tidak berjaya memanfaatkan peranan bahasa Melayu sepenuhnya untuk tujuan penyatuan. Sifat sedikit-sedikit yang tidak dapat pun bertindak secara satu kesatuan yang berkesan.

Dengan melihat kejayaan negara lain menyatukan anak bangsa melalui penggunaan hanya satu bahasa sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan dan yang berjaya pula menghasilkan rakyat yang bangga dengan negara mereka, selain memperlihat keterikatan dan kebersamaan yang kental, sudah sampai masanya kita melakukan munasabah diri sedalam-dalamnya untuk insaf tentang kesilapan ini.

Ia perlu dilakukan segera. Negara ini sudah berusia hampir enam dekad dan masih tidak berjaya pun menyatu anak bangsa melalui sistem pendidikan yang diamalkannya, khususnya dengan menggunakan bahasa Melayu. Kejayaan ini perlu dilihat dari segi nasionalisme Malaysia yang wajib didukung semua rakyat, dengan menyanjungi bahasa Melayu.

Untuk ini, semua rakyat perlu memperlihat kesediaan ikhlas untuk mengubah sikap ke arah itu. Begitu juga pemimpin yang harus mempunyai kesungguhan politik untuk memula dan menuntun perubahan ini.

Barangkali kita mulakannya dengan menamakan semua sekolah kita sebagai Sekolah Malaysia. Ia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, yang disangga bahasa ibunda, selain bahasa Inggeris.


Cara penyanggaan ini yang memperkasa bahasa Melayu di samping memperkukuh bahasa etnik lain, bukan sahaja baik untuk negara. Ia sebenarnya warisan Malaysia yang unggul yang perlu dipertahan.

Penulis ialah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara

bhonline
Share this article :

0 comments: