Thursday, July 30, 2015

sang pembela


Muhyiddin banyak bantu perjuang hak Melayu
FATHIN ATHIRAH HASLI
30 Julai 2015



KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin banyak membantu NGO Melayu seperti Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) untuk meningkatkan hak orang Melayu di bumi sendiri.

Gadis viral, Siti Azzahra Abd Razi yang juga berkhidmat sebagai penyelidik di MTEM berkata, Muhyiddin adalah seorang pemimpin yang sentiasa mengetengahkan nasib orang Melayu di negara ini.

Menurut gadis yang dikenali sebagai 'Saya Zahra' ini, Muhyiddin telah banyak membantu dan turut serta menyertai program yang sentiasa membantu membina jati diri serta ekonomi orang-orang Melayu.

“Bukan sahaja Tan Sri (Muhyiddin), termasuk beberapa menteri yang pernah dijemput hadir dalam program kami sebelum ini. Mereka semua banyak membantu kami,” katanya menerusi temubual bersama Sinar Online.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pada semalam mengumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu menggantikan Muhyiddin.

Pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin dan rakyat. Muhyiddin kini masih memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Umno.

Tambah Zahra lagi, pihaknya berharap pengganti Muhyiddin dapat terus mendukung perjuangan yang sebelum ini pernah dibawa Muhyiddin.

“Bagi pihak MTEM, kami berharap apa yang diperjuangkan dapat diketengahkan dan dititikberatkan oleh timbalan perdana menteri seterusnya,” katanya lagi.

Zahra yang merupakan graduan ijazah undang-undang mendapat sokongan yang hebat daripada rakyat Malaysia kerana berucap tentang erti sebenar 'survival' bagi pihak golongan muda di negara ini.

Pada 17 Jun 2014 lalu, Zahra dikatakan menyampaikan ucapan mengenai kehidupan anak muda sepertinya di hadapan Muhyiddin di Kuala Lumpur Golf & Country Club dalam majlis 'Laporan Sosio-ekonomi Melayu: Menuju Negara Berpendapatan Tinggi'.

Video rakaman ucapannya itu telah dimuat naik di laman YouTube oleh MTEM Bersatu pada 7 Julai lalu; menyebabkan Zahra dikenali di laman sosial dalam masa yang singkat.

Menurut Zahra, walaupun berpelajaran tinggi, tetapi kehidupan kebanyakan golongan muda di Malaysia masih lagi seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' sambil mempersoal apakah nasib graduan jika ini berlarutan?

“Belajar tinggi-tinggi, akhirnya mengemis juga,” kata Zahra dalam ucapannya.

sinar harian

Share this article :

0 comments: