MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
9 Disember 2015
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berucap dalam Persidangan Pemuda Umno pada hari Ke-2 Perhimpunan Agung Umno 2015 yang ke 69 di Bangunan PWTC. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
KUALA LUMPUR - Pemuda Umno menggesa kerajaan untuk menghentikan segala kenaikan harga dan tambang yang jelas telah membebankan rakyat.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan juga perlu ingat tentang Aku Janji BN sebelum PRU 13 yang lalu.
"Umum tahu 2015 merupakan tahun yang mengejutkan rakyat dengan pelbagai kenaikan. Satu demi satu, harga dan tambang meningkat. Beban tanggungan rakyat turut meningkat. Duit simpanan semakin merosot, jika tidak langsung kering kontang. Hutang bertambah. Ada yang terpaksa cari ah long.
"Kami tidak minta dimansuhkan itu dan ini, tetapi Pemuda ingin memberitahu kepimpinan parti dan kerajaan, Cukuplah! Hentikan semua kenaikan ini. Jangan ada kenaikan lagi,'katanya,semalam.
Menurutnya, rakyat sudah tidak boleh terima lagi kenaikan pada masa akan datang sebaliknya akan menaikkan lagi kemarahan rakyat yang sudah marak.
"Mungkin ada yang tertanya-tanya, saya adalah ahli Jemaah Menteri. Tidakkah beliau bersuara dalam Kabinet? Ingin saya tegaskan di sini bahawa pendirian saya sama di dalam dan di luar Kabinet. Bila ada pembentangan yang menambahkan beban, saya sentiasa bersuara untuk cuba elakkan kesengsaraan terhadap rakyat.
"Dan pada hari ini(semalam) saya ingin tegaskan, Pemuda bantah apa jua kenaikan tol selepas ini baik untuk lebuh raya antara bandar, mahupun mana-mana lebuh raya sekalipun," katanya.
Beliau juga mendesak kerajaan menggunakan penjimatan melalui GST, pemotongan subsidi, kenaikkan tarif, tambang dan tol disalurkan kembali kepada rakyat.
"Pemuda hanya mahu mendengar berita yang baik-baik dan menyenangkan rakyat sahaja. Inilah masanya kita gunakan segala penjimatan yang dikatakan kita perolehi daripada segala langkah pedih ini, untuk menggembirakan rakyat. Tunjukkan bahawa langkah penjimatan selama ini boleh membawa kebaikan pada mereka.
"Pemuda juga berharap agar kerajaan dapat menyediakan diskaun khusus untuk orang muda yang menggunakan pengangkutan awam. Selama ini bila tol naik, kita minta anak muda guna pengangkutan awam. Tapi sekarang, lepas kita naikkan harga tol, tambang komuter, tambang ERL, segala-gala tambang pun naik juga. Apa lagi pilihan yang ada pada rakyat, nak suruh mereka jalan kaki?," soalnya.
sinar harian
0 comments:
Post a Comment