Monday, September 4, 2017

satu perkongsian


MUDAH SAJA UNTUK BUANG GAMBAR DAN  POSTER TUN MAHATHIR, TAPI MUSTAHIL PADA NAMANYA.



CERITA DARI BEKAS PENSYARAH UTP

Tun Mahathir Namanya menjulang ke seluruh pelusuk benua, jiwa dan raganya tetap buat Malaysia tercinta.

Saya percaya UTP berkembang pesat kerana usaha-usaha cemerlang berterusan yang dibuat oleh pihak pengurusan, staf dan pencapaian pelajar-pelajarnya. Pendek cerita UTP ini universiti hebat dan kebanggaan negara. Namun kita juga harus tidak menafikan peranan yang telah dimainkan oleh Tun M sebagai Canselornya ketika itu. Dalam banyak hal, ketika UTP masih tercari-cari brandingnya yang tersendiri, branding 'Mahathir' selalu digunakan untuk memulakan langkah bicara.

Coretan pengalaman ini saya alami sendiri ketika melakukan tugas-tugas rasmi selaku ahli akademik di UTP. Ketika itu saya kerap juga keluar negara atas urusan melawat pelajar sedang internship atau untuk temuduga pelajar bagi tujuan kemasukan ke UTP, selain daripada membentangkan kertas kerja di persidangan antarabangsa. Oleh kerana PETRONAS selalu menggunakan UTP untuk sebahagian dari inisiatif CSRnya di luar negara khususnya di negara-negara membangun, kesempatan itu membolehkan saya ke beberapa negara dan tempat yang dianggap eksotik seperti Sudan, Ethiopia, Russia, Dubai dll.

KISAH I: DI KHARTOUM, SUDAN

Saya menjejakkan kaki di Khartoum, Sudan buat pertama kalinya pada tahun 2009. Ketika itu PETRONAS baru beroperasi di Sudan mungkin dalam 4, 5 tahun hasil usaha awal Tun M sebagai PM ketika itu. Yang suspennya saya pergi sendiri seorang diri sahaja dan keadan di Sudan masih bergolak meskipun terkawal. Setiba di lapangan terbang seperti lazimnya setelah keluar dari pesawat kita beratur untuk melepasi kaunter Imigresen. Ketika itu masih gawat dengan demam H1N1 dan pemeriksaan agak ketat dengan masa yang lama dan saya dapat melihat pihak tentera dengan senapang automatiknya hampir di segenap ceruk bangunan. Dalam 15 minit pasrah beratur, nama saya dipanggil seseorang dengan agak kuat. Rupanya agen yang diarahkan untuk menjemput saya di lapangan terbang langsung masuk ke dalam. Saya memperkenalkan diri dan beliau menyuruh saya memanggilnya Ahmed sahaja. Lantas Ahmed terus membawa saya melalui meja-meja dan kerusi-kerusi di situ dan seterusnya melepasi kauter imigresen tanpa sebarang pemeriksaan dibuat keatas diri saya dan passport saya. Saya agak panik dan dalam hati berkata, "Aaah sudah...takkan hari ini aku jadi PATI di Sudan!" Dalam masa yang sama Ahmed pula sibuk memberitahu pegawai-pegawai di situ yang saya ini datang atas urusan rasmi dan yang saya faham dalam tutur Bahasa Arabnya kepada mereka hanya 2 perkataan yakni 'MAHATHIR' dan 'PETRONAS'. Saya terpinga-pinga sementara pegawai-pegawai di lapangan terbang itu mengangguk-ngangguk penuh percaya.



KISAH II: DI ADDIS ABABA, ETHIOPIA

Saya ke Addis Ababa selepas Khartoum untuk melawat pelajar tahun 3 UTP yang sedang melakukan internship. Sistem internship UTP memakan masa hampir 8 bulan dan sekitar 10% pelajar memilih untuk melakukan ini di luar negara.

Tapi pelajar yang saya lawati ini orang Ethiopia dan beliau ambil peluang internship ini untuk balik 'bercuti' di negara asalnya. Seperti dijanjikan, pelajar berkenaan menjemput saya di Hotel Hilton Addis Ababa dengan kenderaan syarikat dan pertemuan dibuat di pejabat tempat internship pelajar tersebut. Saya disambut oleh Managing Director (MD) syarikat itu dengan penuh mesra seolah-olah kami sudah berkawan lama. Satu perkara yang saya belajar tentang adat-resam orang di sini ialah tetamu mesti dijamu makan dan kebetulan temujanji dibuat waktu makan tengahari. Langkah kanan rupanya tetapi saya agak berhati-hati takut ada makanan yang tidak halal namun bila kedua-dua mereka mengaku mereka Muslim dan mereka faham tentang halal haram saya pun apa lagi laju saja bila melihat nasi goreng pilaf sedia terhidang. Tinggal tak basuh tangan dan makan dengan tangan saja masa tu! Memang sedap sungguh masakan orang Habsyi ini!

Ketika berbual-bual, saya dapat rasakan, MD ini seorang yang banyak tahu hal-ehwal Malaysia dan anehnya entah berapa ratus kali nama Mahathir disebut oleh beliau. Yang paling saya ingat ialah apabila beliau ada mengatakan kalaulah Mahathir Presiden Ethiopia mesti negara ini sudah jadi yang paling maju dan terkehadapan di benua Afrika. Sedar tak sedar hampir 1 jam lebih kami menjamu selera sambil bersembang pasal Mahathir dan nyaris terlupa pula yang tugasan asalnya ialah untuk memeriksa prestasi pelajar yang membuat internship itu tadi.

KISAH III: DI MANCHESTER, UK

Kisah ini berlaku pada hari terakhir ketika saya berada di Manchester bagi tujuan pembentangan kertas-kerja di CIB World Building Congress 2010. Dari hotel Hilton di pusat bandar Manchester kami menempah teksi untuk ke lapangan terbang Manchester yang mengambil masa sekitar 30 minit. Oleh kerana isteri saya ikut serta dan boleh tahan jugalah shopping yang telah dibuatnya, saya ambil keputusan untuk ke lapangan terbang lebih awal dari biasa. Walaupun flight jam 6:30pm, kami menempah teksi dari hotel tepat jam 3:00pm.

Akhirnya teksi yang ditunggu tiba. Pemandu turun menguruskan bagasi kami yang agak banyak dan beliau memperkenalkan dirinya Iqbal. Iqbal sangat peramah dan dari ceritanya kami dapat tahu yang beliau berasal dari Kashmir, India, sudah berkeluarga dan baru memperolehi cahaya-mata. Anak perempuan katanya.

Selepas itu giliran saya pula disoal-siasat dan Iqbal persis seorang polis. Isteri saya hanya mampu tersengih dan dalam hati saya yakin mesti dia sedang berkata, "Ha...layan lagi....layan....jawab." Saya beritahu Iqbal yang saya bertugas sebagai pensyarah di UTP dan malangnya beliau tidak tahu langsung mengenai mana-mana universiti di Malaysia. Saya beritahu juga PETRONAS yang empunya universiti ini, beliau mengeleng-gelengkan kepala. Terdetik dalam hati yang saya ini di UK sekarang, masakan orang tahu pasal PETRONAS. Kemudian saya cuba pula Formula 1 kerana ketika itu, kalau tak silap saya, PETRONAS penaja utama pasukan BMW Sauber dengan pemandu Robert Kubica dan Nick Heidfeld. Iqbal tersenyum dan memberitahu saya dia tak minat Formula 1 dan hanya menonton sukan kriket. Saya mati kutu dan tiba-tiba saya bertanya kepada Iqbal, "Do you know Mahathir Mohamad?" Balas Iqbal, "Yes of course I know, he was very famous Malaysia Prime Minister for very long time!". Saya lega dan turut menambah, "For your kind information, Mahathir is UTP's Chancellor," sambil mengharapkan reaksi positif daripadanya.

"MasyaAllah....you should have told me earlier....Mahathir is a great man, a very noble person and Malaysia was very lucky to have him as the Prime Minister!" Ujar Iqbal seterusnya, "Seriously, you should come to my house now since I have very huge respect to Mahathir and I will treat you just like Mahathir's family. We should serve you good tandoori food." Saya dan isteri tergamam....bangga campur terharu pastinya. Sambil membelek jam sebagai isyarat saya beritahu Iqbal kami ada flight untuk dinaiki dan kami tidak mahu lewat kerana bagasi agak banyak. Untuk mengambil hatinya saya bilang, "Brother Iqbal, in sya Allah next time when we are back in Manchester we will go to your house." Sampai di lapangan terbang, Iqbal beria-ria memberi kami contact detailsnya dan siap berpesan "Next time please stay in my house, no Hilton, no Hilton, okay."

Kami berdua mengangguk-anggukan kepala sambil tersenyum.



KISAH IV: MENJEMPUT PROFESOR BERTARAF DUNIA UNTUK MENGANGGOTAI UTP ADVISORY BOARD

Sekitar tahun 2010 juga, UTP telah berhasrat untuk menubuhkan apa yang dianggap sebagai satu badan penasihat universiti yang dianggotai oleh pakar-pakar industri unggul dan ahli akademik ulung dari seluruh dunia. Ketika itu saya ditugaskan boss (Ketua Jabatan) untuk mencari 2 orang pakar dalam bidang kelestarian (sustainability) dan menyiapkan kertas kerja lengkap dengan CVnya sekali.

Saya menyenarai pendek hampir 8 nama dari setiap rantau, ada yang dari University of Cambridge, University of Florida, universiti di Eropah, Jepun, HK, Australia dan Afrika Selatan. Ketika itu UTP masih dalam proses transformasi dari sebuah universiti berfokuskan pengajaran dan pembelajaran kepada universiti penyelidikan. Dan ranking UTP di Malaysia masih sederhana apatah lagi di dunia. Dipendekkan cerita ramai yang tidak tahu UTP wujud meskipun mereka mungkin tahu pasal PETRONAS dan bacaan saya ketika itu tiada yang mungkin berminat. Ketika berbalas email dengan mereka, pelbagai soalan ditanya mereka kepada saya sehinggakan pada satu ketika saya nekad memberitahu mereka yang Advisory Board ini akan dipengerusikan oleh Canselor UTP sendiri iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. Ternyata ianya berhasil!!

Itulah AURA TUN M! Akhirnya saya dapat pengesahan daripada Professor Arjen Wals, dari Wagenigen University of The Netherlands yang juga UNESCO Chair on Higher Education on Sustainable Development dan Scientia Professor Deo Karan Prasad, dari University of New South Wales (UNSW) Australia sebagai wakil untuk bahagian kelestarian ini.

Kisah-kisah ini hanya sebahagian sahaja yang saya kongsikan. Memang tersangat banyak hatta saya percaya sahabat-sahabat semua tentu ada pengalaman anda yang tersendiri dengan seorang susuk manusia bernama Mahathir Mohamad.

Saya kurang berminat dengan politik jadi kita tidak perlu mengulas ke arah itu. Di usia 92 tahun saya yakin dan percaya Tun M masih mahukan perkara yang betul untuk anak bangsanya dan negara Malaysia tercinta. Bak patah pepatah, "bumi mana yang tak ditimpa hujan" dan tentunya Tun M bukan manusia sempurna. Tetapi panjatkanlah kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana mengurniakan Malaysia seorang Perdana Menteri berwibawa yang dihormati kawan dan lawan di seluruh dunia! Dan masih mahu mengambil berat perihal kebajikan warganya. Terima kasih daripada insan kerdil ini buat #TunM!!

Salam Ikhlas,

Bekas pensyarah UTP

fb mutalib nama saya
Share this article :

2 comments:

Erica jones said...

We are working for desert safari in dubai . we provide you many tour that you like so much and visit in dubai this year . abu dhabi desert safari

BEST PRODUCTS said...


I am very happy to read this article ..
thanks for giving us go through info. Fantastic nice. I appreciate this post. and thank you for sharing an amazing article.
laptop-stands