selamat datang ke ambang

merenung dengan akal membaca dengan fikir
segenap kata segenap makna
bahasa suara bangsa fikir nusa degup ibunda
tanah keramat hidup bersama bersatu berpecah tiada

putrajaya

Saturday, December 24, 2011

peringatan

No comments:
Perjuangan kebebasan akademik. Boleh main isu, boleh kritik dasar, partisipasi dalam politik. Itu kata dia. Turunkan bendera adalah eskpesi anak muda. Kata dia lagi. Itu bukan bendera itu banting, kata dia lagi. Lalu gantungkan bendera, baru rasa menang. Nak tunjuk semangat bahawa dah menang dah. Kata dia lagi.

Turunkan bendera tak jadi kesalahan ia hanya ekspresi. Kata dia lagi.

Begitulah. Bagi dirinya ia benar belaka.

Soalnya kembali sekejap untuk bertanya lagi, patutkah begitu hanya untuk sebuah ekspresi, sebuah kemenangan, sebuah kejayaan, dan segala-segalanya?

Begitukah lubuk jiwa dan jaring fikir anak muda? Ia bukan semua segelintir cuma, tapi begitukah jiwa dan akal hanya untuk mencapai perjuangan.

Ada peringatan menyebut jangan menang jadi arang kalah jadi abu. Tak fikirkah begitu?
Ada orang sering menyebut sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tak berguna. Tak fikirkah begitu?. Ada kias orang tua, jangan berumah di tepi pantai kalau takut dilambung ombak. Ditambah pula apakah ia telah direnung dengan penuh kebijakan.

Hanya kebijakan melahirkan kejujuran dan kebenaran.

Mudah untuk meruntuhkan, begitu payah untuk membinanya

Sekadar peringatan untuk sebuah hidup yang sejahtera di negara tercinta ini
Continue Reading...

alfatihah

No comments:
salam takziah buat keluarga Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman yang telah kembali ke rahmatullah. alfatihah.
Continue Reading...

Tuesday, December 6, 2011

warna

No comments:
Hidup penuh warna, ungkap seseorang. Warna adalah perlambangan, simbolik, dan memaknakan, itu pandangan yang lain. Warna menjadi ikon dan manifestasi tertentu dan menyarankan makna tertentu, kata lain pula. Begitu warna diungkapkan dan ditafsirkan dalam rajah hidup manusia.

Tidak kurang pula warna dikaitkan dengan semangat, kerohanian, dan melakarkan kefahaman intrinsik, keturunan, strata dan budaya. Citra yang mencermin jauh lebih mendalam dalam sekadar sebutan warna merah, jingga, biru, atau kuning. Warna menjadi sensitiviti pula dalam rujukan sosial dan gender serta salasilah. Ia bukan perkara enteng dan dengan warna ia menjadi pertikaian, konflik dan segala macam anarki sosial. Warna bukan boleh dipersendakan dalam situasi tertentu dan begitu memberi impak kepada sudut pandangan dan pemikiran.

Apakah kita telah ingin bermain warna? Meletakkan warna sebagai objek mudah untuk menjadi sasaran dan memperleke, memperbodoh, mempermainkan, mempertingkatkan atau memuja dan mengangungkan boleh diterima pakai dalam label warna. Hingga dalam hidup bermasyarakat warna mempunyai martabat tersendiri. Tidak kurang pula dalam dunia dagang warna berkait dengan kejayaan, kemewahan, dan survival.

Memilih untuk membuat provokasi dengan warna bukan langkah bijak dan bukan senda gurau murahan. Permainan yang jarang terjadi dalam label sosial masyarakat negara ini tiba-tiba disogokkan untuk menjadi sentimen meraih sokongan dan pujaan. Apakah memilih untuk merujuk kepada warna kulit dengan mahu memperkecilkan atau merendah taraf dan martabat adalah kecindan yang terbaik dalam kerukunan hidup bermasyarakat?
Wit atau humor apakah jika terniat untuk merendahkan dan memaki hamun orang lain dengan label warna? Ia tiada lain adalah melintas garis sensitiviti secara sengaja dan ingin bermain-main dengan suatu yang menjadi begitu dielakkan selama ini. Apakah ia satu cara untuk memberitahu dan menyungguhkan kebenaran apa yang diungkap oleh penutur sebagai benar dengan memberi huraian terhadap warna dan sekaligus mempunyai niat tertentu pula. Malah kata warna diikuti dengan kata nista yang amat jarang dan tak diperguna dalam situasi politik atau hubungan manusia. Kata nista yang lebih merujuk kepada kebencian yang meluap-luap dan menghina.

Begitu manusia dengan gelagat dan stail untuk hanya semata-mata menganggap orang lain palsu dan dia benar. Apakah khalayak politik negara tercinta ini menerima manusia yang mencanangkan sensitiviti sedemikian? Apakah kita mahu mendengar lebih banyak lagi ungkapan warna yang sudah pasti berfokus kepada kebencian dan merendahkan martabat? Apakah kita akan menjadi lebih matang, prolifik dan selari dengan persekitaran dunia hari ini untuk membantai atau menyerakah orang lain dengan rujukan warna yang terang-terang berhasrat menghina dan memalukan.

Apakah ini label baru sang pelahap kuasa pergunakan apa saja semata-mata meraih sokong dan dokong?

Hanya waktu menentukan.
Continue Reading...

Monday, December 5, 2011

memuat fikir

No comments:
Akal harus termuat dengan fikir yang bijak. Menatap dengan persepsi lebih jelas dan tidak mendukung kekaburan sebagai ajaran berguna. Siapa yang rajin bermain fantasi barangkali mengasuh akal untuk berfikir, atau meredakan fikir untuk mencari iktibar baru. Mendongak ke langit melihat jalur cahaya atau tebar warna juga harus memberi bahan bantu pada akal untuk menjelajah ke alam fikir. Manusia harus menggunakan fikir dan akal sekaligus kerana di situ akan terjawab segala fantasi, persepsi, dan kebenaran.

Membuat pilihan berkait dengan akal dan fikir. Melakukan pertimbangan adalah menjumlahkan sebanyak fikir dan akal bersama. Merenung, refleksi, muhasabah, dan kontemplasi adalah melalui lorong akal dan denai fikir yang mendalam. Kita berhadapan dengan banyak perkiraan, perhitungan, penjumlahan, percaturan, pembahagian, pemilikian, pengagihan dan segala macam yang bersifat berbagi dan mencari tajam akal dan matang fikir.

Apabila kebenaran didustai dengan berani, apakah lagi yang wajib dikendali oleh akal dan fikir?. Atau apabila keberanian mendustai kebenaran, apakah yang terlarut dalam fikir dan terpahat dalam akal?. Suara yang berani tidak mencermin benar tapi suara yang benar adalah keberanian. Mengapa ada pesongan dalam menyugguhkan kebenaran dan keberanian ingin selalu mengosongkan kebenaran. Tidak bermakna tidak berani itu tidak benar tetapi keberanian menyungguhkan apa yang tiada menjadi ada dan sebaliknya.

Membicarakan nasib bangsa adalah kebenaran dan bukan disungguhkan dengan keberanian semata-mata. Tetapi kebenaran itu menggempakan keberanian dan bukan untuk menegak lemah atau menambah yang kurang. Bukankah dari sejak ingin merdeka kita akan bersungguh-sungguh melentur akal dan fikir membicarakan bangsa dan kemartabatannya. Siapa pula yang tidak menyungguhkan akal dan fikir, merenung dan memerhati, mencongak dan mmembagi, bukankah semua itu atas nama mengangkat nasib bangsa dengan segala keprihatinan, ketelitian dan kebijaksanaan. Kita bersemuka dan meraut bingkai pembinaan bangsa dan negara ini bersama. Apakah permintaan untuk hidup bersama di negara merdeka bukan suatu harap dan denai pada lubuk bangsa?. Bukankah bersama berfikir dan membajak akal untuk menerima dan memberi secara saksama adalah hasrat murni dan kesungguhan bersama untuk memacak makmur di sebuah negara merdeka. Bukankah secara jujur dan bersungguh-sungguh bersama melakar janji bahawa pada sebuah bangsa peribumi ada keistimewaan hak bernegara, menangkat raja sebagai simbol daulat negara, menengahkan bahasa Melayu sebagai bahasa penerus sebuah adat dan fikir lingua franca, dan menerima secara luhur Islam adalah agama rasmi dengan segala hak dan bebas beragama masih ternikmat oleh sejumlah yang lain. Apakah kerakyatan itu bukan hasrat untuk mendukung bangsa dan diterima pula tanpa rasa curiga dan sangsi bersama. Kita telah menjalani bersama dan menerima segalanya termuat dalam akar dan fikir sebagai kesatuan dan kebulatan tekad bersama. Kenapa pada waktu tertentu berbicara soal agama dan bangsa dengan fikir dan akal rasional dianggap rasis dan kebusukan sedang mempersoalkan segala yang dinobatkan bersama satu ketika dulu tidak dianggap apa-apa dan berhukumkan kemanusiaan sejagat. Apakah kita membenci sejarah yang meletakkan kita pada landasan ini? Atau kerana kita berani dan menanggap keberanian adalah segala-gala di dunia ini lalu kita hamburkan bicara dan ungkapan tanpa memikir hati dan kelukaan orang lain. Apakah keadilan terjadi apabila suatu kelompok bebas membahas dan menyakitkan yang satu lagi dengan tiada segan silu? Apakah menyuarakan nasib dan masa depan kelompok tertentu dianggap rasis dan tidak ada rasional dan kurang penting?

Biarlah kita memuat fikir dengan bijaksana dan segala kebijakan itu untuk sebuah kebenaran. Jangan memilih jalan hujung tanpa mendepa semula ke pangkal jalan untuk mencari asal mula dan laluan pergi jauh itu. Tidak ada permainan atau teka teki dalam mencari realiti. Ia kebenaran dan menjadi nyata. Jangan kita menyembunyikan kebenaran dan mendirikan kepalsuan sebagai arca baru yang harus dibanggakan bersama. Kita ingin lebih lama mengecap bahagia di negara tercinta ini.

Marilah memuat fikir dengan kebijakan. Kita mahu negara ini makmur dan dirahmati. Selagi bernyawa, nasib agama, bangsa dan tanah air perlu dibela.
Continue Reading...

milik kita bersama

No comments:
tataplah ke atas
lihat awan berarak dan langit terbentang
renunglah ke datar jauh
pohonan, sungai dan lorong panjang
begitu indah dalam tatap mata
begitu manis dalam kenang cerita
inilah milik kemakmuran anugerah yang kuasa
inilah milik kemenangan perjuangan pusaka lama
inilah tanah dan langit mengelilingi kita
membalut jantung, alir darah dan sukma jiwa
namun ia bukan mudah melintas telapak
dari perjuangan dari perit jerih berzaman
dari lalah nestapa perih dan airmata berlinang
kita bangunkan makmur damai untuk perkongsian bersama
mencari redha menemukan jalan putih hidup
dengan tulang dan nyawa kita memacak perjuangan
dengan doa dan impian kita menaruh harapan
ini milik kita bersama
menyedutr segar udara menatap merah warna senja

pada detik mana pun
pada lingkar waktu bila pun
semangatmu jangan patah jangan rebah
nafas perjuangan jangan lelah
selangkah kita alpa bukit dan tanah itu
sungai dan pohonan itu
bukan lagi tempat kita menatap dan berdiri
pandanglah ke hadapan dengan keberanian
bukit dan pohonan harus di situ
mengindah pandang menjadi sangkar bahagia
anak-anak kita
pabila tiba waktunya
kita harus berjuang dan kembali mengharung payah
usah sesat dalam puja puji melalaikan
usah gentar dalam hina nesta memedihkan
usah lebur dalam hanyut sengketa memecahkan
usah lemah dalam raung perang lolong pertarungan
pabila tiba waktunya
dengan tanganmu pertahankan bukit dan pohonan
dengan jiwamu perkuatkan martabat dan maruah keturunan
dengan langkahmu kejapkan tindakan memangkas kepalsuan
dengan segala dirimu kauharus bangun mempertahankan lorong dan teluk
milik kita bersama
dalam senang bahagia
atau dalam pahit perjuangan

marilah berjuang
kalaupun kematian menjelma
kita telah melakukan segalanya
demi tanah dan pohonan
demi langit dan apung awan

kepada tuhan kita berserah
Continue Reading...

Sunday, December 4, 2011

sumpah setia (sumpah perjuangan)

No comments:
Kami orang UMNO, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan irihati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

Kami orang UMNO berjanji taat setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada YAB Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya nanti.

Kami orang UMNO bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfaq di jalan Allah s.w.t, bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Kami orang UMNO berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihanraya nanti.
Continue Reading...

catatan pendek : pesan negarawan

No comments:
Negarawan Yang Berbahagia Tun Dr. Mahathir memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ‘membetulkan kesilapan’ dalam sistem politik, beliau berkata Najib perlu diberi peluang untuk memimpin negara. “Beliau semakin popular, beliau membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh pengganti saya. Saya sokong Najib, beliau adalah yang terbaik, beliau layak diberi peluang,” kata Tun Dr Mahathir.
Continue Reading...