Friday, January 19, 2007

taman

No comments:
mereka akan mencabut bunga-bunga itu
dari taman ini
dan menggantikannya dengan batu-batu
seorang tukang sapu bertanya
mengapa bunga secantik itu perlu dibuang
ah, aku benci melihat bunga-bunga itu
menari-nari ketika ditepis angin
tidak seperti batu-batu itu
selamanya diam.
Continue Reading...

Tuesday, January 16, 2007

ketika memikirkan hujan ...

No comments:
aku terkenang panas petang
angin lembut yang membawa hangat padang
warna-warna jingga di kaki langit
debu-debu pasir yang berterbangan
anak-anak yang berlari mengejar belalang
petang yang selalu mengingatkan aku
malam bakal menjelma dengan kegelapannya

kita mesti mencari kekuatan
ketika bumi begitu sejuk dan murungnya alam
hujan yang menambat kita di sini, untuk mengenang nasib semalam
memikirkan tentang esok penuh kemungkinan
alam sedang bersabda kepada kita
marilah menafsir makna kebasahan ini
tiba-tiba kita kehilangan mentari
kita tidak bebas dan terkurung di bawah kepak resah
sering kita mendengar berita derita teman-teman yang jauh
hari ini kita menatap dan memegang tangannya
ya, marilah kita merenung lebih jauh
ke dalam air yang keruh ke dalam dasar diri kita
ke dalam lubuk hidup kita ke dalam sanubari kita
hebatnya dugaanmu Tuhan
menguji kami

kita jangan cepat tertikam duri kepayahan
aku tahu betapa kekuatan semakin menipis
menjadikan kita tidak berdaya
membelit keyakinan menjadi sekecil pasir
jangan begitu teman
bangkit dan bernyanyilah sambil menunggu
hujan berakhir

ah, kita pun semakin menyedari
ketika berlindung di bawah jambatan, berdiri di perabung rumah
tersangkut di tingkat bangunan
menunggu diselamatkan
kita sedar
siapa seharusnya dianggap teman
siapa yang perlu dimuliakan
siapa yang ingin berkongsi dan sama menelan
pedih ini

ketika memikirkan hujan
banyak yang berapungan di muka air

teman-teman, tabahlah
meminum keperitan ini
Continue Reading...

Saturday, January 13, 2007

pesan pada burung

No comments:
saddam baca puisi, beri makan burung selama ditahan
- Robert Ellis


marilah, kuhidangkan potong-potong roti
makanlah semahumu
janganlah merasa segan padaku
katakan pada teman-temanmu
hari ini kau makan roti bersama sang presiden

kauperlu sihat dan gagah
agar kepakmu menjadi lebih kuat
dan terbanglah tinggi-tinggi ke kepul awan
tetaplah setiap inci negeri ini
esok hari ceritakanlah padaku
apakah hidup rakyatku semakin bahagia
sesudah aku mereka sumbatkan di sini
atau di setiap lorong, selain sepi batu-batu dan garing hangat pasir
masih ada bayang-bayang kematian
menunggu
sedang kata mereka, negeriku
sudah disiram hujan kebebasan

terbanglah semahumu
bukankah di sini tanah kelahiranmu
antara gurun dan alir sungai
tanah itu milikmu
terbanglah kerana kau masih ada harga diri
demi iraq, jangan kautinggalkan negeri ini

kalaupun aku telah pergi
kaumasih menjadi saksi
kebebasan kita
Continue Reading...

Friday, January 12, 2007

nota kematian

No comments:
kepada sahabat di bumi parsi

kerana di situ
tak ada tangis rayu anak-anakmu
tak ada denyut nadi cucu-cucumu
tak ada darah datuk nenekmu
tak ada daging dan tulang belulang keturunanmu
tak ada manusia yang kauanggap manusia
kauhantar kapal perang kebangaanmu
kauhantar bala tentera keangkuhanmu
kauhantar bedil kebencianmu
kauhantar kematian buat mereka
kerana kaumerasa kau menjadi tuhan
untuk alam ini
untuk mereka

kerana di situ
kaumahu bangunkan mahligai demokrasi acuanmu
harganya perlukan besar pengorbanan,katamu
kematian hanya sementara
akan lahir mentari bahagia
akan mengalir sungai makmur
di atas tanah itu
lalu kau lebih tenteram menatap kehuru-haraan
lebih bahagia melihat penderitaan
lebih nikmat melihat kesakitan
akan terhibur hatimu
kerana mereka bukan manusia yang kauanggap manusia
dan dengan dakwat penamu
kau setiap hari menulis nota kematian itu
satu demi satu
satu demi satu
kaumerasa kau menjadi tuhan
untuk alam ini
untuk mereka

bukankah, kau mahu menjadi lelaki terbaik
untuk alam ini
dengan membuang derita mereka
dari panas tangan tirani
di atas pasir ini, jangan ada lagi benih tirani
kematian bukan disengajakan
tetapi melengkapkan peradaban mereka


nota kematianmu masih panjang dan berjela
kauakan menulisnya setiap detik

hah, kau ini siapa sebenarnya?
Continue Reading...

Monday, January 8, 2007

dialog merdeka

No comments:
HASSAN : Dari mana kau Milah?

MILAH : Dari rumah Mak Cik Leha. Ramai orang kat sana. Seronok dia cerita pasal kita nak merdeka.

HASSAN : Seronok saja tak cukup Milah. Semangat kena ada. Ini bukan benda main-main. (Merenung Milah) Eh, biasanya aku lihat kau bukan main bergaya lagi. Mana pergi gelang kau?

MILAH : Tak ada bang...

HASSAN : Tak ada? Mana perginya? Ajaib sungguh. Kau bukan main sayang lagi dengan benda tu.

MILAH : Kerana sayanglah benda tu dah tak ada.

HASSAN : Lain macam aje cakap kau ni... Kau marah aku?

MILAH : Saya tak pandai macam abang, macam Mak Cik Leha. Abang boleh cakap pasal merdeka. Semua orang dengar, semua orang suka. Saya tak reti itu semua.

HASSAN : Habis, apa kena mengenanya gelang dengan merdeka tu pulak.

MILAH : Saya dah jual bang. Sebab saya sayang gelang tu, saya jual.

HASSAN : Tak menyesal?

MILAH : Saya akan menyesal kalau tak jual gelang tu. Saya tengok semua orang buat apa saja. Ada jual pisang nak tolong tunku cari wang pergi ke London. Jadi saya jual gelang, saya derma untuk bantu tunku. Hanya itulah sumbangan yang saya dapat buat, bang. Kita nak merdeka bang. Bukan ada peluang lain, hanya kali ini aje. Salahkah saya buat begitu??

Hassan : Tak salah Milah. Tak salah....
Continue Reading...