Friday, November 9, 2012

airmata lynas




Tiada ungkapan yang mampu dilafazkan sebilangan besar pekerja kilang Lynas Advance Material Plant (Lynas), Gebeng selain mengalirkan air mata gembira tanda kesyukuran selepas Mahkamah Tinggi memutuskan kilang tersebut dibenarkan beroperasi hari ini.

Hakim Datuk Mariana Yahya dalam keputusannya hari ini menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) yang diberikan kepada Lynas sebelum ini, oleh tiga penduduk Kuantan sekaligus membolehkan Lynas memulakan operasinya setelah digantung sementara waktu ekoran injunksi berkenaan.

Kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 500 orang itu berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan di sini sejak awal pagi dan laungan takbir bergema sejurus seorang wakil memberi perkhabaran gembira tersebut.

 KAKITANGAN Lynas berdoa tanda syukur di pekarangan mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan syarikat memproses nadir bumi itu memulakan operasi, di Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

Suasana di kompleks tersebut menjadi sayu seketika apabila ada di kalangan mereka mula menangis dan manadah tangan berdoa tanda bersyukur di atas ‘kemenangan’ kecil tersebut.

Dengan memakai pakaian seragam berwarna kuning manakala penyokong pula memakai baju berwarna biru muda, mereka turut membawa kain rentang tertulis ‘jangan kacau periuk nasi kami’, ‘siapa nak bagi anak kami makan’, ‘hentikan fitnah terhadap Lynas’, ‘saya memang sayang Lynas’ dan ‘Lynas Kuantan bakal Pusat Teknologi Hijau Negara’.

Keputusan itu bagaimana pun disambut dengan keadaan yang berbeza oleh pihak anti-Lynas yang hanya dianggarkan sekitar 200 orang sahaja hadir.
Kumpulan anti-Lynas seperti Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) yang sebelum ini begitu ghairah hadir ke mahkamah bagi mengikuti kes berkenaan seperti tidak dapat menerima kenyataan apabila beredar meninggalkan mahkamah sebaik sahaja mengetahui permohonan mereka ditolak.

Dalam pada itu, Naib Presiden Lynas Corporation Datuk Marshal Ahmad berkata kepada pemberita, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini kerana kesusahan yang dialami oleh pihaknya sejak sekian lama berakhir.

“Kami sekarang akan menumpukan segala usaha untuk memulakan operasi kilang secepat mungkin kerana ia adalah pelaburan yang terbesar. Mudah-mudahan dengan keputusan ini pelabur-pelabur asing akan kembali yakin dan melabur di Malaysia yang kita kasihi,” katanya.

Beliau juga berharap dengan keputusan itu segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan ke atas Lynas dapat dihentikan segera.

“Saya juga ingin menjemput semua pihak termasuk kumpulan anti-Lynas untuk datang sendiri ke kilang kami dan membawa pakar masing-masing supaya mendapat fakta yang betul,” katanya.

Seorang pekerja, Muhammad Syafiq Sukri, 24, berkata kebenaran telah terbukti dengan keputusan mahkamah hari ini dan berharap yang menentang dapat berhenti daripada terus menabur fitnah ke atas ‘periuk nasi’ beliau dan rakan-rakan sekerja yang lain. BERNAMA

Catatan Kedua



Doktor Pakar Bosan Dengan Kerenah Pembangkang

 Seorang doktor terkemuka di Pahang menolak "pembohongan" berterusan disebarkan pembangkang di kalangan penduduk tempatan tentang kebimbangan pelepasan radioaktif dari loji nadir bumi Lynas bernilai RM2.5 bilion yang siap dibina di sini, baru-baru ini. Beliau berkata kempen anti-Lynas itu semata-mata bermotif politik untuk meraih undi dalam pilihan raya umum akan datang.

Datuk Dr Looi Hoong Wah, seorang doktor perunding yang telah memberi perhatian 40 tahun dalam perubatan nuklear dan fizik zarah, berkata aktivis anti-Lynas berusaha mempengaruhi pemikiran rakyat di Kuantan sejak dua tahun lalu walaupun hakikatnya "tidak wujud langsung sisa radiasi atau sebarang sisa toksik" dari loji itu.

Keselamatan Lynas disahkan oleh enam badan bebas, termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) PBB, badan tertinggi dunia mengenai tenaga atom.

"Bahan yang mereka bawa tidak ada apa kecuali minyak nadir bumi mengandungi cebisan lemah radioaktif thorium 232. Ia adalah bahan radioaktif yang cukup lemah dan mempunyai jangka hayat amat panjang puluhan bilion tahun.

"Dan dengan semua ini kumpulan anti-Lynas kata...oh cucu cicit kita akan menderita selama 14 bilion tahun. Ini semua karut," katanya.

Dr Looi berkata jika seseorang melihat separuh hayat bahan radioaktif (masa diperlukan bagi sesuatu kuantiti menurun kepada separuh daripada nilainya),lebih lama separuh hayat itu, semakin kurang pula bahayanya.

"Misalnya, jika separuh bahagian rumah terbakar dalam 14 bilion tahun, adakah ia menimbulkan sebarang masalah? Tidak, ini kerana terdapat hanya secebis api, sedangkan jika ia terbakar dalam masa 40 minit, maka ramai orang yang terbunuh atau cedera.


"Begitu juga dengan plumbum, yang kita gunakan dalam bateri kereta kita. Ia juga mempunyai separuh jangka hayat yang lama 19 bilion tahun. Oleh kerana ia mempunyai separuh hayat yang panjang, ia sebenarnya bersifat 'non-radioaktif' bila anda gunakannya pada kereta. Jadi thorium amat lemah dari segi radioaktif," katanya kepada Bernama pada satu temu bual.

Ditanya bagaimana beliau berminat terhadap sains nuklear dan fizik zarah, Dr Looi berkata minat timbul ketika beliau seorang pelajar perubatan di Manchester kira-kira 40 tahun lalu oleh kerana seorang daripada tutornya ialah ahli fizik nuklear.
Beliau berkata, beliau biasa meletakkan thorium di tangannya tanpa sebarang kesan sampingan hingga hari ini kerana thorium, bila dilepaskan keluar berhubung dengan elektron bagi menghasilkan gas helium, seperti yang digunakan bagi meniup belon, ia langsung tidak berbahaya.
"Thorium 232 atau produk sisa mengeluarkan hanya cebisan elektron, yang merupakan bahan elektrik. Ia tidak menimbulkan sebarang masalah. Anda dapati radiasi Lynas, sebaik saja anda di luar sempadan loji itu, radiasinya sifar. Tidak ada alat di bumi ini yang begitu sensitif untuk dapat mengesannya," katanya.
Dr Looi berkata maklumat salah mengenai Lynas berdasarkan anggapan karut kerana pada badan manusia pun ada radioaktiviti akibat potassium, yang doktor beri kepada pesakit bagi mengawal pengambilan garam dalam kes hypertensi dan kes-kes lain.

"Malahan pada badan kita, kita mempunyai kira-kira 4,400 becquerel (Bq)sementara sisa dan bijih Lynas mengandungi kurang daripada 6 Bq per gram. Ini sudah melebihi 124 kali dari jumlah pada situasi paling buruk di Lynas.

"Jadi mengapa bersungut mengenai sebuah Loji Lynas di Gebeng di sini sedangkan terdapat 124 loji Lynas dalam badan anda yang mengeluarkan radioakiviti?"

Ditanya mengenai kesan terhadap pekerja, beliau berkata apa yang mungkin mereka dapat ialah kurang dari 20 peratus dos yang dibenarkan.

Dr Looi juga menyebut kata-kata Dr Nick Tsurikov, pakar radiasi antarabangsa, bahawa tidak ada langsung risiko radiasi di Loji Lynas.

Beliau berkata penentang berhadap loji itu harus mengambil kira lebih daripada 1,000 pekerjaan berkualiti yang dipertaruhkan dan mereka ini adalah orang-orang yang mempunyai keluarga yang perlu diberi makan.

"Sebaik saja wujud sebuah loji nadir bumi, syarikat-syarikat (lain) akan datang, seperti Siemens (yang) bercadang datang dan menggunakan nadir bumi. Mereka akan mewujudkan beribu-ribu lagi pekerjaan hasil kesan limpahan," katanya.

Dr Looi merayu kepada pertubuhan bukan kerajaan dan pembangkang supaya "bangkit" dan sedar bahawa loji Lynas membawa manfaat besar kepada negara.
"Anda boleh pengaruhi pemikiran rakyat untuk beberapa ketika, tetapi bukan untuk selamanya," katanya
Share this article :

0 comments: