Saturday, March 8, 2014

Asal Melayu


Orang Melayu berasal dari Timur Tengah - Penyelidik sejarah




 MELAKA, 1 Okt (Bernama) -- Kajian sekumpulan penyelidik sejarah mendapati bangsa Melayu berasal dari Timur Tengah berbanding teori sebelum ini yang menyebut bangsa itu berasal dari Yunan.

Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kajian 20 tahun itu dilakukan Felo Penyelidik Utama dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abd Rahman; Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan Pengerusi Suara Pribumi Zaharah Sulaiman.

Beliau berkata penemuan berkenaan disokong bukti saintifik sekaligus menyanggah penemuan sejarah terdahulu.

"Dari segi genetik daripada kajian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan, DNA kita tidak sama dari negara di utara khususnya dari Yunan, DNA orang Melayu ini sama dengan orang Timur Tengah.

"Kajian ini penting kerana DNA menentukan keturunan dan asal usul kita, penemuan baharu ini amat kuat dan boleh dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Serantau Asal Usul Melayu Menelusuri Tunjang Melayu di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata hasil kajian berkenaan telah dibukukan dan bakal diterbitkan untuk tatapan umum.

Sementara itu, Dr Nik Hassan Suhaimi berkata teori bangsa Melayu berasal dari Timur Tengah juga dapat dibuktikan melalui tiga lagi pendekatan kajian iaitu ethno-linguistik (bahasa), turun naik paras laut (geologi) dan kebudayaan material (artifak).

-- BERNAMA

ISMA bongkar asal-usul Melayu seluruh nusantara
November 9, 2013



BANGI, 9 Nov – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membongkar asal-usul ketamadunan Melayu di seluruh Kepulauan Nusantara bagi membangunkan semula jati diri Melayu Islam.

Ujar Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, serangan demi serangan dilakukan di pelbagai sudut termasuklah terhadap bahan sejarah Melayu Islam itu sendiri.

“Sejarah yang sepatutnya menjadi antara alat utama di dalam membangkitkan jati diri umat Melayu Islam telah menjadi alat yang membunuh semangat juang orang-orang Melayu.

“Orang Melayu kini sudah tidak tahu bahawa mereka pernah menjadi penguasa Islam di satu daerah bergelar nusantara yang cukup luas suatu ketika dahulu,” katanya ketika berucap di Puri Pujangga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengulas lanjut ujarnya, penghakisan identiti Islam dan Melayu oleh pihak musuh menjadi semakin berani dan agak agresif.

Justeru ISMA menjadikan penganjuran Kolokium Sejarah ‘Membina Kedaulatan Melayu Islam di Nusantara’ ini sebagai langkah awal untuk mengembalikan ketamadunan Melayu di samping membina hubungan antara badan-badan Melayu seluruh nusantara ini.

Bagi membongkar semua ini, ISMA menampilkan sejarawan-sejarawan nusantara antaranya Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr Ali Zaman D. Gamon, MA Timbalan Ketua Biro Politik & Pentadbiran Lembaga Adat Melayu Riau, Dr. Ahmad Tarmizi Yusa, Ketua pegawai Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Dr Haji Hadi Bin Mat Melayong, Timbalan Ketua Pusat Sejarah Brunei Kementerian Kebudayaan Belia & Sukan Brunei, Haji Abd Karim Haji Abd Rahman dan Pensyarah UKM serta Ahli Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Mohamad Zain Bin Musa.

Antara lain ialah Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam, Prof Dr Mahayudin bin Hj Yahaya, Timbalan Rektor, Institut Agama Islam Negeri Alauddin Makassar, Prof. Dr. H. Ahmad M. Sewang, M.A.Sewang, Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) & Mantan Timb Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dato’ Dr Wan Hashim Haji Wan The, Direktur CISAH, Ustaz Taqiyuddin Muhammad, Pengerusi Pusat Pemulihan Seni Budaya Tempatan & Alam Sekitar Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PUSTA), Ustaz Ismail Ishaq Benjasmith dan Peneliti Badan Litbang & Diklat Kemeterian Agama Islam, Dr Ahmad Rahman. M.A.G APU.

Ujar Ustaz Abdullah, dengan pendedahan salasilah konspirasi dari pihak Barat di beberapa wilayah China yang membawa kepada hilangnya kerajaan Melayu Islam Champa, Filipina, Singapura dan lainnya kelak akan dapat mengubah dan memperbetulkan identiti serta minda orang Melayu.

“Bahkan lakaran sejarah yang ada akan dikutip sebagai formula kebangkitan semula kuasa Islam di seluruh nusantara ini,” ujarnya.

Isma

Share this article :

0 comments: