Badruldin Zakaria, Farah Zamira Farush Khan,Mizan Mat Tamin, Muhamad Fauzi Mohamed
8 Disember 2014
Tun Dr Mahathir
video dari sinar tv
TIADA siapa dapat menafikan, selepas 11 tahun meninggalkan kerajaan, pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kalangan pemimpin dan rakyat di negara ini masih kuat. Nasihat beliau masih dialu-alukan banyak pihak, dan pandangannya dalam pelbagai isu sering menjadi rujukan.
Baru-baru ini, Dr Mahathir, dalam satu lagi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, berkongsi pendapatnya mengenai pelbagai isu, termasuk kesan kelemahan orang Islam dalam bidang sains dan teknologi, kebebasan rakyat, ekonomi, politik dan perkara yang tidak kurang menarik, ialah bagaimana beliau melihat Malaysia hari ini dan meramal masa depannya.
Ikutilah wawancara beliau bersama Editor Edisi Nasional Sinar Harian, Badruldin Zakaria, Ketua Wartawan Meja Am Sinar Harian, Farah Zamira Farush Khan, ketua jurugambar, Mizan Mat Tamin serta jurukamera kanan, Muhamad Fauzi Mohamed. Wawancara ini juga boleh ditonton di laman web Sinar Harian Online.
SINAR HARIAN: Tun banyak beri pandangan yang dianggap luar biasa berkaitan Islam, contohnya baru-baru ini Tun ada menyebut bahawa ada fatwa yang perlu disemak semula. Secara peribadi apa pendekatan yang Tun guna untuk pembelajaran agama?
DR MAHATHIR: Saya dapati ada fatwa yg sebenarnya tidak boleh dilaksanakan. Masa saya kecil dulu, (ada) fatwa tak boleh guna elektrik dalam masjid, tak boleh guna kereta bermotor, tak boleh ada gambar, lukisan dalam atau di luar rumah. Jadi perkara ini sekarang didapati tak praktikal, tak boleh nak elak. Gambar mesti ada, kita ambil fotografi, (gambar) dah bergerak pun, boleh bercakap pun (iaitu televisyen). Jadi larangan ini (ditujukan) kepada (masyarakat) Arab jahiliah dahulu supaya mereka tak sembah (gambar).
Kerana Arab jahiliah ini daripada sejarah kita tahu, dia nampak batu yang pelik bentuk saja, dia sembah. Tetapi sekarang ini, kita tahu kita tak sembah gambar. Orang Islam tak sembah gambar kalau iman dia kuat, (kalau) dia belajar agama (dengan) betul dia tak akan sembah gambar.
Jadi nampak yang ditafsirkan dahulu itu sekarang ini tak kena, macam tak boleh pakai elektrik dalam masjid. Sekarang ini kita ketawa. Ini semua fatwa pada masa dulu. Sekarang ini kita tahu tak betul. Jadi berapa banyak lagi fatwa yang tak betul? (Ada orang) kata kita tak boleh lagi soal apa yang telah dijelaskan dulu, tak boleh dibuka lagi pintu ijtihad, sudah ditutup. (Ini) keputusan siapa? Bukan keputusan Nabi (Muhammad SAW atau ALLAH SWT).
Ini keputusan manusia. Walaupun dia terpelajar dalam bidang agama, manusia sering membuat kesalahan. Jadi apabila kita dapati keadaan fatwa yang tidak lagi sesuai, kita harus kaji semula.
SINAR HARIAN: Sekarang ini, macam mana Tun lihat pendekatan orang Islam terhadap agama? Adakah mereka terlalu berfikiran sempit kerana terikat dengan fatwa dahulu kala?
DR MAHATHIR: Kebanyakan mereka tidak menyoal dan terima bulat-bulat fatwa yang lama ini (walaupun) kadang tidak lagi boleh kita amalkan pada waktu ini. Tetapi yang jadi masalah dalam kalangan orang Islam sekarang ini, tumpuan ialah kepada fardhu ain, iaitu menyediakan diri untuk akhirat.
Tapi dalam Islam dia kata bukan sahaja akhirat, dunia ini pun penting bahkan (ayat 201, Surah al-Baqarah menyebut) ‘rabbana atina fid-dunya hasanah, wa-fil akhiratai hasanah’ (bermaksud ‘Aku memohon daripada Engkau (ALLAH) kebaikan di dunia, dan aku memohon kepada Engkau kebaikan di akhirat).
Dunia dulu baru akhirat. Jadi kita kena ambil bahagian kita di dunia ini. Kalau kita tak ambil bahagian kita di dunia, kita jadi orang yang lemah, orang yang tak boleh pertahankan diri, kita sebenarnya tidak boleh amal ajaran al-Quran. Al-Quran kata orang Islam perlu mempertahankan diri.
Keupayaan mempertahankan diri itu penting, tetapi pasal dia (orang Islam) tak ada pengetahuan pasal nak buat senjata apa semua, (sekarang) ini dia bergantung kepada orang. Orang bagi senjata kepada dia, dia bunuh orang dia (sendiri).
SINAR HARIAN: Itu ada kaitan dengan soalan ketiga. Mengenai pencapaian orang Islam dalam bidang sains teknologi, sangat rendah berbanding Barat sedangkan Islam agama progresif. Adakah sebab ulama kita terlalu fokus mengenai hukum hakam berbanding bincang isu ekonomi, politik, sains dan teknologi?
DR MAHATHIR: Saya belajar sejarah Islam, pada mulanya orang Islam ini sangat maju dalam bidang sains, matematik, pelayaran, pergerakan bintang-bintang, semua dia tahu. Tapi pada abad ke-15 Masihi, datang fatwa bahawa semua pelajaran yang bukan berkenaan dengan agama Islam tidak memberi pahala, tidak memberi merit kepada kita untuk akhirat.
Dengan itu, maka saintis-saintis (Islam) beralih daripada sains kepada agama. Tumpuan kepada pelajaran agama, menulis kitab berkenaan agama. Malangnya terdapat percanggahan antara mereka yang menyebabkan ada kekeliruan sekarang ini antara kita. Kita dapati bahawa orang yang menulis buku-buku ini, pendapat mereka tak sama.
Jadi kerana tak sama kita jadi pengikut kuat (kepada pendapat ulama yang berbeza) dan kita berpecah. Sebab itu kita perlu ingat bahawa iqra adalah ayat yang pertama disampaikan kepada Nabi (Muhammad SAW). Kerana baca itu penting. Waktu itu tak ada agama Islam lagi, baru ada wahyu daripada Tuhan suruh baca.
Dia (orang Islam) nak baca apa? Tak ada apa pun tertulis. Dia baca apa yang ditulis oleh orang-orang Greek, Roman, China, India dan dengan itu (orang Islam) menjadi bangsa yang terpelajar, dapat mendirikan tamadun Islam yang canggih, yang lebih maju daripada Eropah yang pada masa itu ada di zaman gelap, The Dark Ages.
Jadi sebab itu kita kena baca, bukan sahaja baca al-Quran, baca kitab (agama). Kita baca yang itu pun tetapi kita kena baca dalam bidang lain, termasuk sains, kerana sains ini boleh menyumbang kepada ketahanan kita.
Kalau kita tak ada pengetahuan dalam sains, kita ketinggalan seperti sekarang ini. Sebab itulah kita jangan kata mempelajari sains itu tidak mendatangkan pahala kerana daripada sains itu kita akan berupaya mengamalkan ajaran Islam, iaitu mempertahankan umat Islam dan agama Islam.
Sekarang ini orang menghina Islam, kita tak boleh buat apa-apa pasal kita lemah. Pasal apa kita lemah? Pasal kita tak ada ilmu. Pasal apa kita tak ada ilmu?
Pasal kita cuma baca berkenaan dengan agama saja. Amalan daripada ajaran itu kita tak buat.
SINAR HARIAN: Apabila orang terlalu terikat dengan fatwa, ia mewujudkan kumpulan pelampau agama. Sekarang ini kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa konsep wasatiyyah (kesederhanaan). Adakah konsep ini boleh kekang pelampau agama sebab kita galakkan Islam sederhana atau sebaliknya menyebabkan lebih banyak pula kewujudan golongan liberal?
DR MAHATHIR: Sebenarnya agama Islam ini sudah pun sederhana. Kalau kita baca al-Quran, dia suruh kita tadbir dengan baik, terima adanya orang bukan Islam, tidak ada paksaan dalam Islam. Semua ini menunjukkan bahawa agama Islam itu adalah agama yang sederhana, tak ada paksaan.
Tetapi yang berlaku sekarang ini ialah penganut agama Islam ini keterlaluan, lebih daripada yang disuruh oleh agama. Dan benda yang dilarang oleh agama pun mereka buat dengan nama agama. Umpamanya, dia bunuh orang Islam atas nama Islam.
Itu tak kena. Itu bukan ajaran Islam. Jadi ini penyelewengan. Bukan agama itu tidak sederhana. Agama itu sudah pun sederhana, tak payah disederhanakan.
Tetapi kita keterlaluan, yang perlu kita asingkan, (yang perlu kita) tolak ialah keterlaluan membuat tafsiran yang tidak tepat kepada ajaran Islam. Kita buat apa pun, kita kata ‘Bismillahirrahmanirrahim’. ALLAH maha pengasih, maha penyayang.
(Tetapi) kita gambarkan ALLAH itu sebagai ALLAH yang maha kejam, bengis, nak bunuh orang saja. Itu gambaran yang kita suka nak bagi. Sebenarnya agama Islam menunjukkan 99 nama Tuhan, kebanyakannya sederhana.
Tak payah nak sederhana lagi lah. Tuhan dah tunjuk kepada kita dalam al-Quran, dalam hadis, kita adalah agama yang sederhana.
sinar harian
0 comments:
Post a Comment