Hudud nyawa Pas
DAP boleh cari keselesaan dengan jalan lain
MOHD. ASRON MUSTAPHA | 22 Disember 2014
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Pergeseran antara Pas dengan DAP kian panas apabila parti itu dalam reaksi segeranya terhadap kelancangan Lim Guan Eng bertegas, hudud merupakan nyawa kepada Pas yang tidak akan digadaikan walau atas apa alasan sekalipun.
Haron Din
Malah, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din ketika membuat kenyataan tegas itu berkata, jika DAP mahupun Guan Eng tidak selesa dengan perjuangan Pas itu, Setiausaha Agung DAP tersebut boleh mencari ‘keselesaan’ lain dengan jalannya tersendiri.
Bahkan tanpa berselindung, beliau mengakui, siri ‘serangan’ oleh DAP terutamanya mempersoal dan mempertikai hukum hudud yang menjadi asas kepada perjuangan Pas telah ‘mengoyak’ syarat tahaluf siyasi (kerjasama politik) dalam pakatan pembangkang.
Justeru, tegas tokoh ulama yang disegani dalam Pas itu, jika DAP atau Guan Eng berterusan mempertikai hukum hudud, parti tersebutlah sebenarnya bertanggungjawab merosakkan ‘kertas’ tahaluf siyasi yang dipersetujui pakatan pembangkang sejak 2008.
Advertisement
“Pas tidak terbelenggu oleh komen lawan mahupun kawan. Hudud nyawa Pas dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang. Jika Guan Eng merasakan tidak selesa, maka carilah jalannya sendiri untuk keselesaan kerana hudud tetap diteruskan (di Kelantan).
“Apa yang dibuat DAP telah mencacat dan mencarik-robek tahaluf, kalau terus-menerus demikian, maka DAP yang mengoyak kertas tahaluf kerana Pas tidak pernah mempertikai asas perjuangan DAP,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng dalam siri ‘serangan’ terbaharunya ke atas Pas menyifatkan, komitmen sekutu DAP itu untuk tetap melaksanakan hudud di Kelantan adalah penghinaan kepada pakatan, selain mendakwa langkah berkenaan bertentangan dengan konsensus pakatan.
Kenyataan tersebut dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan tidak sampai seminggu selepas beliau mendesak pakatan pembangkang memuktamadkan pendirian untuk menolak hudud ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan DAP kononnya demi aspirasi pengundi.
Tidak menunggu lama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kemudian membalas dengan menegaskan kerajaan negeri akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas 29 Disember ini untuk meminda Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Pindaan 2014).
Penegasan Ahmad itu disusuli pula kenyataan sinis oleh Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mengalu-alukan DAP untuk keluar pakatan sekiranya tidak yakin dapat memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
Advertisement
Sementara itu, Haron mempersoal apa sebenarnya motif Guan Eng apabila Setiausaha Agung DAP tersebut berterusan mempertikai isu hudud, sedangkan antara semua parti sekutu dalam pakatan sudah ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ berkait soal asas perjuangan.
“Mengapa sebelum ditubuhkan pakatan dulu tidak disebut? Mengapa baru sekarang? Nasihat saya kepada Guan Eng usahlah membuang masa menegur Pas kerana kami tidak akan mempedulikan kata-kata seperti itu. Pas tidak akan meninggalkan perjuangan ini,” katanya.
utusan
Tahaluf siyasi pakatan pembangkang terbatal
Haram jika Pas tinggalkan dasar perjuangan
RODELIO JUNJUN TAUCAN | 17 Disember 2014
KUALA LUMPUR 16 Dis. - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasruddin Hassan menegaskan penolakan hukum hudud oleh DAP akan menyebabkan tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang terbatal kerana jika Pas mengabaikan dasar itu, hukumnya adalah haram.
Menurut beliau, tahaluf siyasi bukanlah sebuah parti yang mempunyai satu ideologi sebaliknya kerjasama itu adalah berkait dengan tindakan politik yang dipersetujui bersama tanpa mengganggu hak dan dasar perjuangan masing-masing.
Katanya, kerjasama tersebut hanyalah dalam urusan kepentingan bersama membabitkan aspek politik untuk menolak kezaliman, penindasan, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pelbagai lagi tanpa melepasi dasar perjuangan parti.
“Jika DAP buat syarat pakatan pembangkang mestilah tanpa pelaksanaan Islam dan syariatnya, dan menegaskan bahawa Pas tidak boleh melaksanakan syariat Islam termasuk hudud, maka pada saya, syarat dan penegasan yang DAP buat itu membatalkan syarat tahaluf, tiada ertinya lagi tahaluf siyasi ini.
“Jika dasar parti terhalang untuk ditunai dan dilaksana dengan kerjasama ini, maka tahaluf ini batal. Malah tidak keterlaluan kalau saya nyatakan hukumnya adalah haram,” katanya dalam wawancara yang dipetik daripada portal Malaysia Transform di sini hari ini.
Beliau yang berada di Mekah mengulas perkembangan terkini dalam pakatan pembangkang berikutan beberapa siri serangan terbuka oleh pemimpin DAP termasuk daripada Lim Guan Eng sendiri, khususnya berhubung isu hudud dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2014 kelmarin.
Guan Eng dalam nada kerasnya mendesak pakatan agar memuktamadkan pendirian untuk tidak melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang, kononnya perkara itu adalah aspirasi daripada penyokong pembangkang.
Persidangan tersebut yang dihadiri 938 perwakilan juga sebulat suara meluluskan resolusi menolak pelaksanaan hudud sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan sekiranya pakatan pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya.
Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, Pas tidak akan sama sekali mengabaikan dasar perjuangan demi pakatan pembangkang, justeru DAP tidak sepatutnya menghalang pelaksanaan hukum hudud jika tidak mahu gabungan tersebut berpecah.
Dalam wawancara itu, Nasruddin turut mengakui bahawa kedudukan pakatan pembangkang kini semakin sukar kerana kesemua pihak belum ‘menemui lantai untuk sama-sama bersila menyelesaikan masalah yang dihadapi’.
Meskipun begitu tegasnya, Pas akan tetap mempertahankan dasar tersebut dalam apa juga cara dan menyifatkan pihak yang menolak hukum hudud sebagai penghalang kepada perjuangan Islam.
“Pas akan tetap berjuang untuk melaksanakan Islam dan syariatnya. Hudud adalah sebahagian daripadanya. Ia adalah kewajipan agama yang ditetapkan syarak, tiada siapa yang boleh halang, kalau mereka halang bererti mereka menjadi penghalang kepada perjuangan Islam.
“Kepada mereka yang menghalang kerana dendam, benci, angkuh dan semangat menentang Islam, maka akan didepani dengan sebijaknya dan sesuai dengan penentangan yang dihadapi. Hujah dengan hujah, saraf dengan saraf, senjata dengan senjata,” tegas beliau.
utusan
DAP tolak hudud Pas
Resolusi diluluskan sebulat suara 938 perwakilan
RODELIO JUNJUN TAUCAN | 15 Disember 2014
KUALA LUMPUR 14 Dis. - Perjuangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud semakin sukar apabila DAP menegaskan pakatan pembangkang tidak akan melaksanakan undang-undang Islam itu jika berjaya memerintah negara selepas pilihan raya umum akan datang.
Pendirian DAP itu juga diperkukuhkan melalui satu resolusi menolak pelaksanaan hukum hudud sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan yang diluluskan sebulat suara oleh 938 perwakilan semasa Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Petaling Jaya hari ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penolakan hukum hudud perlu dimuktamadkan kerana itu adalah aspirasi pengundi dalam memberi sokongan kepada pembangkang untuk merampas Putrajaya.
“Untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14, kita mesti ada pendirian tegas, kedudukan jelas bahawa pakatan pembangkang yang memerintah di Putrajaya tidak akan melaksanakan undang-undang hudud.
Advertisement
“Itu mesti jelas sama sekali, kerana itulah aspirasi pengundi-pengundi sederhana bukan pengundi ekstrem,” katanya ketika ucapan perasmian di persidangan itu.
Yang turut hadir, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali. Bagaimanapun, Pas hanya diwakili Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Hatta Ramli.
Ketiadaan pemimpin kanan Pas dalam persidangan itu menimbulkan persoalan tentang hubungan kedua-dua parti yang semakin tegang dan telah berlarutan sejak enam bulan lalu berikutan krisis perebutan jawatan Menteri Besar Selangor.
Baru-baru ini, pemimpin kedua-dua parti turut bertikam lidah apabila Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meluluskan resolusi bagi mendesak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang.
Sementara itu, dalam ucapannya, Guan Eng turut menyatakan kesetiaan DAP menunggu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan dengan hukuman penjara akibat kesalahan liwat.
“Di sini saya ingin memberi jaminan kepada Kak Wan (Wan Azizah), sekiranya Anwar masuk penjara, jangan bimbang kita akan tunggu sampai beliau keluar penjara,” katanya.
Sebelum ini, DAP telah menyatakan pendirian untuk menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum.
Selain Guan Eng, Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dalam ucapannya turut mempersoalkan beberapa pihak yang cuba memperkenalkan undang-undang bersifat keagamaan di negara ini.
Beliau yang tidak menjelaskan perkara itu secara khusus berkata, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, justeru sebarang dasar yang cuba mencabulinya tidak boleh dibiarkan.
Dalam pada itu, perwakilan dari Perak, Wong Kah Woh semasa perbahasan meminta mana-mana pemimpin pakatan pembangkang yang tidak bersetuju dengan keputusan dibuat gabungan itu supaya segera berundur.
“Ini penting, pemimpin daripada parti yang ingkar untuk ikut keputusan tersebut atau mahu vetokan keputusan, beliau tidak layak jadi pemimpin dan harus undur diri,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana parti.
utusan
Pas tidak berganjak
DAP dianggap punca permasalahan melanda pembangkang
MOHD. ASRON MUSTAPHA | 16 Disember 2014
KUALA LUMPUR 15 Dis. - Persoalan berapa lama lagi pakatan pembangkang mampu bertahan berikutan pelbagai siri perbalahan terbuka antara DAP dengan Pas dilihat makin menghampiri penghujungnya apabila Pas mula memberi bayangan tidak pasti tentang hayat pakatan tersebut.
Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas tidak mampu menjangka apakah kesudahannya kerjasama politik antara parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana hanya masa yang dapat memutuskan sama ada akan berlaku perpecahan atau sebaliknya.
Pada masa yang sama beliau menegaskan, Pas tidak akan sesekali berganjak daripada prinsip perjuangannya untuk melaksanakan hukum hudud walaupun ditentang keras oleh DAP kerana asas tersebut sudah menjadi pegangan parti berkenaan sejak sebelum pakatan ditubuhkan lagi.
“Kita tengok masa depan macam mana, kita tak tahu (tidak boleh menjangka) tapi ketika ini kita masih lagi bersama, masalah keluar atau kekal, kita tengok macam mana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Advertisement
Beliau mengulas perkembangan terkini masa depan Pas dalam pakatan pembangkang berikutan beberapa siri serangan terbuka oleh pemimpin DAP termasuk daripada Lim Guan Eng sendiri, khususnya berhubung isu hudud dalam Persidangan Kebangsaan DAP semalam.
Guan Eng dalam nada kerasnya semalam mendesak pakatan agar memuktamadkan pendirian untuk tidak melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang, kononnya perkara itu adalah aspirasi daripada penyokong pembangkang.
Kenyataan Setiausaha Agung DAP itu bagaimanapun ‘dijawab’ oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dengan menegaskan Kerajaan Pas Negeri Kelantan tetap akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas pada 29 Disember ini untuk meminda Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Pindaan 2014).
Advertisement
Langkah itu bagi melayakkan Kelantan membawa usul rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat dan seterusnya mendapat kebenaran melaksanakan hukum hudud di negeri tersebut.
Dalam pada itu, Mustafa secara tegas berkata, pemimpin DAP perlu berhenti membuat kenyataan terbuka ke atas kepemimpinan Pas jika mahu suasana sihat dalam pakatan pembangkang dikekalkan kerana sikap tidak bertanggungjawab tersebut hanya memburukkan lagi keadaan.
Katanya, segala permasalahan yang timbul dalam pakatan sekarang ini berpunca daripada tindakan DAP sendiri yang menukar pendirian kerana pada tahun 2001, semua komponen parti pembangkang sudah bersetuju untuk menghormati dasar parti masing-masing.
“Kita sudah putuskan pada 2001 iaitu setuju untuk tidak setuju dengan menghormati dasar parti masing-masing. Sebab itu, Pas tidak membangkitkan secara terbuka soal Malaysian Malaysia. Jadi mengapa DAP mahu mempersoal isu hudud yang merupakan dasar perjuangan Pas?
“Hudud ini kita buat dalam rangka demokrasi kerana wujud jawatankuasa serta dibentangkan di DUN, jadi apa masalahnya? Jangan cuba paksa parti lain gugurkan dasarnya kerana takkan ada parti yang mahu tinggalkan asas perjuangannya,” jelasnya.
utusan
Wanita gigit lengan anggota polis di kedai kopi
1 minute ago
0 comments:
Post a Comment