Saturday, March 30, 2019

saya tergesa-gesa

No comments:
Dr M: Saya tergesa-gesa sebab tak banyak masa lagi


Dr Mahathir Mohamad berkata beliau perdana menteri yang tidak mempunyai banyak masa lagi kerana mengambil kira usianya yang mencecah 93 tahun itu.

"Saya bertuah untuk hidup selama ini. Sebenarnya, saya tidak patut hidup lagi untuk menyaksikan apa yang berlaku terhadap pengganti saya tetapi saya bernasib baik kerana saya bukan sahaja tua tetapi masih berupaya berfungsi.

"Tapi saya sedar saya sangat tua dan tidak lama lagi saya akan kehilangan kudrat dan saya akan mati.

"Jadi, saya tergesa-gesa. Orang lain mungkin mengambil perkara dengan mudah, tetapi saya hendak cepat kerana saya sedar saya sudah tidak ada banyak masa lagi untuk melakukan apa yang sepatutnya dibuat di negara ini," kata beliau dalam wawancara bersama Focus Malaysia.

Dr Mahathir juga maklum beliau cuma perdana menteri sementara dan menegaskan beliau bersedia melepaskan jawatan apabila tiba masanya.

Tarikh undur

Anggota parlimen Langkawi berkata beliau akan melakukan yang terbaik selagi menjalankan amanah sebagai perdana menteri.

"Jika saya diminta berundur, saya akan pergi kerana tiada tarikh khusus yang diberikan.

"Saya hanya diberitahu (PH sebelum PRU14) bahawa saya perdana menteri dari pakatan pembangkang, tetapi mereka tidak memperincikan tarikhnya (sehingga bila).


"Mereka telah berkata saya hanya (perdana menteri) sementara dan akan ada orang lain yang akan mengambil alih. Saya fikir masanya mungkin lama sebelum pilihan raya umum akan datang," katanya dipetik sebagai berkata.

Tahun lalu, Dr Mahathir memimpin PH untuk menumbangkan BN yang memerintah Malaysia selama 61 tahun lalu sejak kemerdekaan.

Beliau menjadi pemimpin kerajaan yang paling tua di dunia.

Mahathir turut menolak kemungkinan berlaku rombakan kabinet walaupun mengeluh mengenai jemaah menterinya yang kurang pengalaman.

malaysiakini


"Sekiranya saya menggugurkan dan menggantikan mereka, ia tidak membantu.

"Saya perlu mencuba dan bekerja dengan mereka supaya mereka menimba pengalaman dan saya percaya ada di kalangan mereka yang menjalankan kerja dengan bagus," jelasnya.

Menurutnya lagi jemaah menteri perlu menerima teguran dengan baik, khususnya jika mereka berterusan berkelakuan seperti pembangkang.
Continue Reading...

Wednesday, March 27, 2019

melihat dia

No comments:
"Dia seorang yang rajin bekerja yang tidak pernah berhenti bekerja.
"Dia mendengar pendapat semua orang, tanpa mengira umur.
"Dia suka idea-idea yang bukan konvensional.
"Dia ada keberanian moral untuk melakukan hal yang orang lain tidak boleh.
"Dia sentiasa mengutamakan Malaysia walaupun bererti mengorbankan dirinya sendiri.
Itulah Tun."
.......

He is a workaholic who never stops working.
He listens to everyone’s views, regardless how young you are.
He loves unconventional ideas.
He has the moral courage to do things which no one else would.
He always puts Malaysia 1st, even if it means sacrificing himself.
That’s Tun

- Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Continue Reading...

Tuesday, March 26, 2019

LIMA19

3 comments:






LANGKAWI, 26 Mac — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hadir pada perasmian Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.






Continue Reading...

Saturday, March 16, 2019

teman baru

8 comments:
4 Ahli Parlimen, 2 ADUN, dua senator Sabah sertai BERSATU
Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Noor Atiqah Sulaiman

 





PUTRAJAYA: Empat Ahli Parlimen, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator Sabah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini.


Empat Ahli Parlimen berkenaan yang juga bekas Ahli Parlimen UMNO ialah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran).

Dua ADUN ialah Datuk Seri Hajiji Noor (Sulaman) dan Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), manakala dua senator ialah Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose.

Kesemua mereka menerima kad keahlian parti daripada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepemimpinan Perdana di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, BERSATU menerima banyak permohonan daripada rakyat Sabah untuk menyertai parti itu walaupun BERSATU hanya akan dilancarkan di negeri itu pada 6 April ini.

Katanya, walaupun BERSATU adalah anggota Pakatan Harapan (PH), namun parti itu tetap memberi sokongan penuh kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menjadi kerajaan negeri itu.

"Kita juga berikan tempat kepada Warisan walaupun Warisan bukan ahli PH. Kita berikan tempat dalam kerajaan iaitu tiga menteri dan dua timbalan menteri.

"Kita menyokong kerajaan yang ditubuh Warisan di Sabah. Itu adalah pendirian keempat-empat parti dalam PH.

"Ini bermakna ahli BERSATU di Sabah akan sokong kerajaan Warisan yang ada. Kita tidak ada niat mengenepikan atau mengganti Warisan," katanya pada sidang media selepas menyerahkan kad keahlian BERSATU kepada lapan wakil rakyat Sabah di sini.

Ditanya mengenai penyertaan Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa ke dalam BERSATU, Dr Mahathir berkata, pihaknya akan melihat perkara itu terlebih dahulu.

"Beliau perlu menjadi Ahli Parlimen Bebas terlebih dahulu. Kita perlu kaji rekod dan komitmen beliau kepada BERSATU dan PH," katanya.

Mengenai penyertaan enam lagi ADUN Sabah ke dalam parti itu, Dr Mahathir berkata, mereka akan menyertai BERSATU.

Sementara itu, ditanya sama ada Ronald perlu meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana jawatan itu adalah untuk Ahli Parlimen pembangkang, Dr Mahathir berkata, ia tidak perlu kerana tidak membabitkan dasar dalam kerajaan dan sebahagian daripada perlembagaan.

Ditanya mengenai pencalonan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad oleh Barisan Nasional (BN) sebagai Pengerusi PAC, Dr Mahathir berkata, mereka perlu mendapatkan sokongan majoriti.

bharian
Continue Reading...

Saturday, March 9, 2019

bercakaran

1 comment:
Teruskan percakaran agar cepat dikuburkan
Oleh TAMRIN TUN GHAFARMarch 9, 2019 12:40 pm



Kekalahan di Semenyih bukan bererti rakyat bencikan Pakatan Harapan ( PH ) dan rindukan Barisan Nasional (BN).Ia juga bukan bermakna rakyat bencikan kerana Tun Mahathir Mohamad atau kembali cintakan Najib Razak.

Kan orang – orang tua pernah berkata ‘sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan’.

Rakyat masih terbayang-bayang dalam ingatan mereka bagaimana seorang orang tua berusia 93 tahun terpaksa bersengkang mata, melalui hujang dan panas, dicemuh dan dimaki hamun, berceramah dari satu tempat ke tempat lain semata – mata menyahut panggilan rakyat bagi menyelamatkan negara dari terus dirompak dan dimusnahkan oleh seorang lanun keturunan Bugis bernama Najib bersama isteri pujaannya, Rosmah Mansor.

Kerajaan kini yang dipimpin buat kali kedua oleh Tun Dr Mahathir sedang membongkar dan mempamerkan segala sampah sarap yang dilakukan dan disembunyikan oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan BN yang diketuai oleh Najib semasa memerintah dahulu.

Sebenarnya usaha menumbangkan Umno/BN telah bermula sejak penubuhan parti Semangat 46 yang di ketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah lagi, tapi tidak berjaya. Ketika itu Umno/BN dipimpin oleh Tun sendiri.

Pada Pilihanraya ke-12 dan ke-13, kali ini Anwar Ibrahim melalui partinya Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS juga menemui kegagalan apabila pengundi-pengundi Melayu khasnya di luar bandar tidak begitu diyakinkan untuk membuang Umno/BN. Bukan mudah pengundi-pengundi Melayu meninggalkan Umno

Hanya dengan kesanggupan Tun mengetuai barisan pembangkang maka barulah pengundi-pengundi Melayu khasnya peneroka Felda, nelayan, petani dan pesawah menggembleng tenaga menumpaskan Umno/BN.

Malangnya, belum lagi setahun memerintah rakyat mula bosan dengan Kerajaan PH yang mereka naikkan itu.

Di mana-mana saja kita berada sama ada di warung mahupun di pejabat, ramai di antara mereka menimbulkan cerita – cerita yang panas telinga mendengarnya.

Bermula dengan kegagalan mengambil alih semula Parlimen Cameron Highlands dan di ikuti dengan kekalahan teruk di DUN Semenyih, ia adalah hukuman awal rakyat kepada PH.

Hakikatnya kira – kira 10,000 pengundi Semenyih yang pernah menyokong PH pada Pilihanraya Umum yang baru lepas telah berbalik kepada Umno/BN.

Memang benar bukan senang nak membina semula rumah yang telah menyembah bumi dek di makan anai-anai, ditambah pula ‘kehilangan’ dana negara yang besar yang telah dirompak.

Memang benar juga hampir seluruh dunia sedang mengalami kelembapan ekonomi termasuk Malaysia namun rakyat tetap menagih janji seperti yang termaktub dalam manifesto PH.

Rakyat menolak Umno/BN kerana tidak tertahan lagi dengan amalan salahguna kuasa, penipuan, rasuah di semua peringkat bermula dari Najib, Perdana Menteri, menteri-menteri dan menteri besar dan exco; mereka juga menzalimi siapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka.

Keluarga mereka menunjuk-nunjuk kekayaan dan kemewahan tanpa segan silu sedangkan rakyat tertekan dengan berbagai-bagai masalah hidup.

Rakyat mula nampak cahaya di hujung terowong apabila PH menjanjikan hidup yang lebih selesa dan sempurna seperti tol akan dihapuskan, minyak kereta akan dikurangkan dan pinjiman PTPTN akan diatasi.

Kedudukan kewangan yang terlalu kritikal adalah punca utama bagi melaksanakan janji-janji tersebut namun mereka berharap sangat kerajaan merealisasikan manifesto tersebut sedikit demi sedikit.

Jika tidak ada penjelasan dan jaminan pemulihan ekonomi dari Tun sendiri, berkemungkinan besar rakyat akan hilang kepercayaan terhadap Kerajaan PH.

Buat pertama kali dalam sejarah, 19 Kawasan Parlimen Felda berpindah dari Umno ke PH – ini satu penghijrahan yang besar yang tak pernah berlaku dalam politik negara; kepercayaan dan keyakinan mereka pada Tun Dr Mahathir terlalu tinggi.

Kini peneroka terlalu perlukan bantuan kewangan dan pembelaan; begitu juga petani, pesawah, nelayan, penjaja dan peniaga kecil, mereka semua dahagakan bantuan kewangan dan pembelaan segera.

Selain itu pengangguran di kalangan graduan dan isu PTPTN mesti ditangani segera.

Apa yang dipaparkan selama ini sebahagian besar menteri dan menteri besar gagal menunjukkan kecerdikan mereka.

Pemimpin-pemimpin PH asyik bercakaran sesama sendiri; masing-masing cuba menegakkan benang basah, cuba menjadi hero dengan harapan mendapat laporan di akhbar-akhbar dan televisyen tanpa peduli akibat tindakan mereka itu.

Mereka ini bodoh sombong yang tidak suka ditegur dan tidak boleh diajar; mereka lebih mementingkan diri sendiri, kedudukan dan gelaran itu dan ini sahaja.

Mereka lupa dari mana mereka datang dan janji-janji mereka terhadap diri sendiri dan yang lebih penting janji mereka kepada rakyat.

Sudah acap kali saya mengingatkan jika rakyat boleh buang Umno/BN yang telah berkuasa selama 61 tahun, rakyat juga boleh humbankan PH dalam sekelip mata sahaja.

Balaslah budi rakyat dengan menghulurkan bantuan seberapa segera. Tidak guna menyesal selepas nasi sudah menjadi bubur !!!

Kepada menteri dan menteri besar, tengok-tengokkanlah kawan-kawan yang telah berjuang sehingga berjaya ; mereka juga perlukan apa sahaja pertolongan yang boleh untuk hidup lebih selesa ; ‘jangan jadi pisang lupakan kulit’.

Kelakuan menteri, menteri besar ini tak ubah seperti ‘Kera Dapat Bunga’ – sebenarnya ramai di luar sana yang lebih layak dari mereka.

Bantulah Perdana Menteri untuk membantu rakyat. Percakaran sesama sendiri pasti akan membawa kehancuran.

malaysiadateline


Continue Reading...

Friday, March 1, 2019

tun m di semenyih

No comments:








BN sudah 'mati', era Najib berakhir - Tun M
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim; Iskandar Ibrahim; Mohd Nasaruddin Parzi dan Ahmad Suhael Adnan


HULU LANGAT: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kali ini adalah perbuatan yang sia-sia kerana parti itu sudah ‘mati’ angkara pemimpinnya sendiri.

Perdana Menteri berkata, BN yang pernah dikemudinya selama 22 tahun dahulu tersasar daripada perjuangan serta matlamat asalnya dan kini sudah tiada.

“Sia-sia sahaja kita memilih calon BN. BN sudah tiada. Sudah ‘Innalillahi Wainna Ilaihi Raajiun’.

“(BN) sudah habis, yang ada hanya UMNO, tinggal nama saja. UMNO pun dah hancur. Ramai ahli mereka minta masuk Pakatan Harapan (PH) yang tinggal itu pun sudah tidak larat berjalan,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, parti dan pemimpin yang mengenepikan perjuangan perlu disingkirkan bagi mengelak mereka terus melakukan kerosakan kepada negara.

“Saya dulu Presiden UMNO selama 22 tahun, saya jadi ahli sejak 1946 kerana perjuangan mengalahkan Malayan Union untuk mencapai kemerdekaan serta membangunkan negara.

“Ini tidak bermakna, saya sudah mengikat diri dengan UMNO. Apabila saya mendapati parti ketepikan perjuangan, saya tidak mahu lagi berada dalam UMNO. (Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) pun saya singkirkan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan sempena PRK DUN Semenyih di sini, malam ini..

Yang turut hadir, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yasin; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Dalam pada itu, Dr Mahathir meminta mereka yang terpengaruh dan setia dengan kempen #Bossku supaya berfikir semula kerana individu yang disanjung itu membawa masalah kepada negara.

“Tahu apa perkataan boss ini? Dia datang dari Amerika Syarikat (AS). Orang kulit hitam panggil pemilik sebagai boss, jadi bila panggil bossku, tu maknanya kita jadi milik boss.

“Kita sudah merdeka, adakah kita mahu jadi hamba lagi?

“Betul tidak tahu malu, tengok kelakuan dia, tak malu langsung. Saya mungkin salah kadang-kadang, tapi saya tidak salah bila tolak Najib,” katanya.

Beliau berkata, tindakan dilakukan oleh Najib sekarang mungkin berpendapat bahawa dirinya akan menjadi Perdana Menteri semula, walaupun hakikatnya era beliau sudah berakhir.

bharian
Continue Reading...