Friday, March 1, 2019

tun m di semenyih










BN sudah 'mati', era Najib berakhir - Tun M
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim; Iskandar Ibrahim; Mohd Nasaruddin Parzi dan Ahmad Suhael Adnan


HULU LANGAT: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kali ini adalah perbuatan yang sia-sia kerana parti itu sudah ‘mati’ angkara pemimpinnya sendiri.

Perdana Menteri berkata, BN yang pernah dikemudinya selama 22 tahun dahulu tersasar daripada perjuangan serta matlamat asalnya dan kini sudah tiada.

“Sia-sia sahaja kita memilih calon BN. BN sudah tiada. Sudah ‘Innalillahi Wainna Ilaihi Raajiun’.

“(BN) sudah habis, yang ada hanya UMNO, tinggal nama saja. UMNO pun dah hancur. Ramai ahli mereka minta masuk Pakatan Harapan (PH) yang tinggal itu pun sudah tidak larat berjalan,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, parti dan pemimpin yang mengenepikan perjuangan perlu disingkirkan bagi mengelak mereka terus melakukan kerosakan kepada negara.

“Saya dulu Presiden UMNO selama 22 tahun, saya jadi ahli sejak 1946 kerana perjuangan mengalahkan Malayan Union untuk mencapai kemerdekaan serta membangunkan negara.

“Ini tidak bermakna, saya sudah mengikat diri dengan UMNO. Apabila saya mendapati parti ketepikan perjuangan, saya tidak mahu lagi berada dalam UMNO. (Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) pun saya singkirkan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan sempena PRK DUN Semenyih di sini, malam ini..

Yang turut hadir, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yasin; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Dalam pada itu, Dr Mahathir meminta mereka yang terpengaruh dan setia dengan kempen #Bossku supaya berfikir semula kerana individu yang disanjung itu membawa masalah kepada negara.

“Tahu apa perkataan boss ini? Dia datang dari Amerika Syarikat (AS). Orang kulit hitam panggil pemilik sebagai boss, jadi bila panggil bossku, tu maknanya kita jadi milik boss.

“Kita sudah merdeka, adakah kita mahu jadi hamba lagi?

“Betul tidak tahu malu, tengok kelakuan dia, tak malu langsung. Saya mungkin salah kadang-kadang, tapi saya tidak salah bila tolak Najib,” katanya.

Beliau berkata, tindakan dilakukan oleh Najib sekarang mungkin berpendapat bahawa dirinya akan menjadi Perdana Menteri semula, walaupun hakikatnya era beliau sudah berakhir.

bharian
Share this article :

0 comments: