Thursday, May 9, 2019

banyak pencapaian





Di sebalik cemuhan, PH masih jadi pilihan
BERNAMA | 09 Mei 2019

KUALA LUMPUR - Tinjauan pendapat umum terbaru KAJIDATA Research akan populariti Pakatan Harapan (PH) semasa ia meraikan ulang tahun pertama pemerintahannya menunjukkan ramai melihat PH sebagai kerajaan yang berdaya maju berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Tinjauan melalui telefon itu membabitkan 1,007 responden daripada pelbagai kaum, usia, pendapatan, negeri dan jantina menunjukkan 40 peratus lebih cenderung untuk mengundi PH berbanding dengan PAS (16 peratus) atau BN (15 peratus. PH tetap mempunyai sokongan yang lebih besar jika dibandingkan dengan gabungan BN dan Pas.

Kajian yang dijalankan untuk membantu memahami persepsi rakyat terhadap PH juga menunjukkan 43 peratus daripada pengundi berpendapatan tinggi berpuas hati dengan cara PH menguruskan ekonomi tetapi hanya 30 peratus daripada golongan berpendapatan rendah berpuas hati.

Perbezaan ini mempunyai kesan politik yang jelas dengan pengundi berpendapatan rendah lebih berkemungkinan mengundi gabungan BN dan Pas berbanding PH. Analisis tinjauan juga menunjukkan bahawa kesejahteraan ekonomi Rakyat merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan kesetiaan politik.

Kajian yang dijalankan sejak Mac tahun ini itu juga mendapati PH tidak medapat sokongan tinggi di Kelantan dan Terengganu, satu lagi petunjuk yang PH masih lagi tidak dapat meyakinkan masyarakat luar bandar dan berpendapatan rendah bandar bahawa ia adalah pilihan yang lebih baik.

Bagaimanapun, PH mempunyai sokongan padu di negeri-negeri di bawah pentadbirannya. Responden Sarawak juga menyatakan keyakinan mereka kepada PH.

Penemuan lain oleh KAJIDATA akan tahun pertama pemerintahan PH juga mirip dengan penemuan beberapa kajian lain termasuk kajian oleh Merdeka Centre dan kajian YouGov oleh The Star Media Group.

Berikut adalah ringkasan penemuan lain tinjauan KAJIDATA: a) 42 peratus berpuas hati dengan prestasi Tun Mahathir dan 37 peratus tidak berpuas hati.

b) Hanya 34 peratus berpuas hati dengan prestasi BN berbanding dengan 39 peratus untuk PH.

c) 40 peratus lebih cenderung untuk mengundi PH berbanding dengan PAS (16 peratus) atau BN (15 peratus).

d) PH mempunyai sokongan padu di negeri-negeri di bawah pentadbirannya.

e) 42 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa Malaysia sedang menuju ke arah yang salah berbanding 35 peratus yang merasakan sebaliknya

f) 39 peratus tidak berpuas hati dengan prestasi PH dan hanya 37 peratus yang berpuas hati

g) 43 peratus tidak berpuas hati dengan cara PH mengurusankan ekonomi dan hanya 33 peratus yang berpuas hati

h) 38 peratus belia memilih gabungan BN dan PAS berbanding 33 peratus untuk PH

i) 38 peratus daripada pengundi berpendapatan rendah memilih untuk mengundi gabungan BN dan Pas berbanding 31 peratus untuk PH

j) PH tidak medapat sokongan yang tinggi di Kelantan dan Terengganu.

Diasaskan pada 2015, KAJIDATA Research mengkhusus dalam risikan Pasaran, Komersil dan Sosio-Politik dengan mengendalikan dan menyatukan metadologi tinjauan pendapat umum yang terbaik selain analisis media sosial. - Bernama

sinar harian
Share this article :

0 comments: