Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.
Alhamdulillahi Rabbil Alamin wabihi Nasta’in selawat dan salam ke atas Rasul jujungan, Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga dan sahabat-sahabat Baginda sekalian.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun,
Menghadap, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Al- Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dan
Menghadap, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al- Haj.
1. Dengan hormat dan penuh takzimnya, Patik bagi pihak Kerajaan, perkhidmatan awam dan rakyat jelata keseluruhannya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Tuanku pada hari ini.
2. Rakyat sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta keluarga sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
3. Alhamdulillah, Negara baharu sahaja menyambut beberapa peristiwa penting iaitu Istiadat Pertabalan Tuanku pada 30 Julai 2019, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2019 dan hari ini 9 September 2019 adalah Hari Keputeraan Kebawah Duli Tuanku. Pada 16 September 2019 ini pula, Patik dan seluruh rakyat jelata akan bersama-sama di bawah perkenan Tuanku untuk menyambut Hari Malaysia.
4. Kerajaan dan rakyat sekalian menjunjung kasih di atas penglibatan-penglibatan Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat dan majlis-majlis tersebut. Sesungguhnya ini menggambarkan Raja dan Rakyat berpisah tiada.
5. Sesungguhnya, adalah menjadi harapan Kerajaan dan rakyat semoga Kebawah Duli Tuanku dapat melaksanakan tugas-tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan penuh adil dan saksama berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
6. Tuanku adalah umpama payung yang menaungi dan menyatukan seluruh rakyat tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik.
KOMITMEN KERAJAAN DALAM MEMARTABATKAN MALAYSIA
7. Kerajaan akan sentiasa menghormati dan terus mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta keistimewaan orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipertahan dan dipelihara.
8. Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah jua, Negara terus berada dalam keadaan aman dan makmur. Selain itu, Patik berharap Negara akan terus bebas daripada pelbagai bentuk penyelewengan untuk membolehkan Malaysia Baharu dapat dibangun dan dimajukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.
9. Kerajaan Tuanku menyedari ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia yang semakin mencabar termasuk dalam bentuk halangan-halangan kepada perdagangan bebas serta ketidakstabilan dalam mata wang global boleh memberi kesan kepada Negara.
10. Bagi mengatasi keadaan ini, Kerajaan akan sentiasa melakukan pelbagai strategi di peringkat domestik dan antarabangsa untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut.
11. Di samping itu, usaha-usaha Kerajaan untuk memulihkan kedudukan kewangan dan ekonomi Negara serta melunaskan janji-janji yang telah diberikan kepada rakyat semakin berhasil.
12. Pelbagai inisiatif di bawah visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah pun mula dilaksanakan bagi memastikan kekayaan Negara dapat diagihkan dengan menyeluruh dan merancakkan pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.
13. Kerjasama dan sokongan rakyat serta penglibatan semua pihak sangat diperlukan untuk memastikan negara terus makmur dan sejahtera serta dihormati di persada antarabangsa. Insya Allah, impak positif inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan akan dapat dirasai rakyat.
14. Semua pandangan dan maklum balas rakyat akan diambil kira untuk memastikan gagasan Kemakmuran Bersama ini menjadi milik keseluruhan rakyat Tuanku.
15. Kerajaan juga bertekad untuk mengukuhkan pentadbiran berdasarkan kepada prinsip rule of law dan pemisahan kuasa seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, Kerajaan Tuanku komited untuk memulihkan negara agar bebas daripada rasuah dan salahguna kuasa.
16. Kekayaan Negara akan diurus dan digembleng dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana agar dapat dikecap oleh segenap lapisan rakyat.
TEMA HARI KEBANGSAAN – SAYANGI MALAYSIAKU: MALAYSIA BERSIH
17. Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-62 pada 31 Ogos lalu yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih telah menyerlahkan kesepakatan rakyat yang bersama-sama keluar untuk menjayakan sambutan tersebut.
18. Ini merupakan manifestasi rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, kepercayaan dan kaum – boleh duduk bersama berkongsi sesuatu nilai yang dihargai secara harmoni.
19. Ini juga adalah manifestasi perpaduan rakyat Malaysia yang akan terus dipertahan dan diperkukuhkan. Sesungguhnya segala program dan projek pembangunan hanya dapat berhasil dengan sebaiknya jika negara aman dan tersusun rapi.
MALAYSIA DI MASA HADAPAN – USAHA YANG BERTERUSAN
20. Umumnya rakyat Negara ini percaya bahawa perpaduan yang merentasi batas etnik dan agama adalah penting untuk menjadikan Malaysia baharu yang harmoni dan aman damai. Rakyat juga kini semakin matang dalam menghadapi ancaman-ancaman yang mampu memecah belahkan perpaduan.
21. Justeru Kerajaan Tuanku akan terus memperkukuhkan perpaduan dan melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan keharmonian kaum terus dipelihara.
22. Anak-anak muda hari ini adalah gambaran Negara pada masa hadapan. Oleh itu, penglibatan anak- anak muda dalam merealisasi agenda Kerajaan akan diarus perdanakan. Pada masa yang sama, semangat kesukarelawan serta keusahawanan dalam kalangan anak muda akan terus diterapkan untuk melengkapkan diri mereka dengan nilai-nilai murni, menjadi lebih produktif dan berdaya saing terutama dalam menghadapi perkembangan Revolusi Industri 4.0.
23. Dalam mengejar arus pemodenan, Kerajaan Tuanku akan terus memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara dan tidak diabaikan. Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap pencemaran alam sekitar akan diambil tindakan tegas yang sewajarnya.
24. Bagi memastikan insiden-insiden seperti ini tidak berlaku lagi, semua pihak harus memainkan peranan penting dalam melindungi dan memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.
25. Pada hari yang bahagia dan penuh istiadat ini, bagi pihak diri patik, Kerajaan dan seluruh rakyat, patik dengan segala hormat dan takzimnya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Tuanku sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Tuanku pada hari ini.
26. Patik, Kerajaan dan rakyat sekalian juga memohon untuk menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Tuanku.
27. Semoga Kebawah Duli Tuanku, Raja Permaisuri Agong dan keluarga sentiasa dilimpahi taufik dan hidayah oleh Allah, dipanjangkan umur, diberkati dengan kesihatan dan sejahtera selalu.
Daulat Tuanku.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
-Tun Dr Mahathir Mohamad
0 comments:
Post a Comment