ANUGERAH KELESTARIAN CANSELOR USM
1. Menerima Anugerah Kelestarian Canselor tentunya secara peribadi amat bermakna kepada saya terutamanya apabila ia adalah pengiktirafan oleh sebuah Universiti yang telah mencapai usia 50 tahun.
2. Sebelum ini USM telah menganugerahkan saya Ijazah Kehormat USM (Doctor of Science). Saya ucap berbanyak terima kasih kepada USM kerana menggangap saya layak menerima anugerah-anugerah yang begitu berprestij dan tinggi nilainya.
3. Saya ingin ambil kesempatan ini untuk ucap tahniah kepada USM kerana pencapaian yang membanggakan kerana menduduki tangga ke-49 dunia dan tangga pertama di Malaysia dalam “Times Higher Education (THE) University Global Impact Rankings against Sustainable Development Goals” baru-baru ini. Ini tentu sekali merupakan hasil 50 tahun usaha USM memperjuangkan isu kelestarian sejagat.
4. Dan saya juga ingin mengambil peluang ini untuk ucap syabas kepada seluruh komuniti ilmu USM atas sambutan Ulang Tahun Ke-50 ini. Dengan temanya “Fifty (50) Years Leading Knowledge for Change”, saya harap tuan-tuan dan puan-puan menggunakan tempoh ini untuk menilai semula kejayaan dan kekurangan universiti dalam tempoh tersebut dan mencari formula dan strategi baru untuk menetapkan hala tuju masa hadapan Universiti. Hala tuju ini harus berupaya mengekalkan dan memajukan Universiti ini sebagai penggerak kepada usaha transformasi pemikiran dan pendidikan untuk kelestarian hari esok. Hala tuju ini tidak seharusnya tinggal sebagai satu konsep dan falsafah pemikiran akademia semata- mata.
HARAPAN – PERANAN UNIVERSITI, AHLI AKADEMIK DAN PELAJAR
5. Peranan Universiti bukan hanya sekadar bersifat kreatif dan inovatif di dalam meneroka ilmu baharu. Yang lebih penting ialah keupayaannya bergerak seiring dengan masyarakat dalam memahami serta mengamalkan nilai-nilai moral yang tinggi, meningkatkan akses yang luas kepada ilmu pengetahuan, memanfaatkan Sains, Kejuruteraan dan Teknologi serta data raya untuk kebaikan dan keharmonian manusia sejagat.
6. Selain itu, peranan universiti dan para akademik juga harus bergerak seiring dengan peranan sektor awam dan swasta dalam bersama-sama membangunkan Negara.
7. Kerjasama yang erat antara ahli akademik dan mereka yang bekerja di luar bidang akademik harus dipertingkatkan bagi memahami kehendak sebenar Negara dalam arus modenisasi dan era Revolusi Industri 4.0 ini.
8. Selain itu, Universiti seharusnya memanfaatkan ruang kreativiti dan inovasi yang ada dalam dunia digital hari ini untuk meneroka ilmu baharu yang dapat mengurangkan pergantungan yang ada.
9. Pada masa yang sama pelajar-pelajar juga perlu keluar dari zon selesa dan bersama-sama mengubah budaya ilmu yang ada dengan pemikiran yang lebih matang dan kritikal.
10. Keberanian menghadapi cabaran, kebolehan berdikari, keyakinan diri dan jiwa yang merdeka akan dapat membawa siswa-siswi kita bersaing di peringkat global.
11. Sekali lagi, saya ingin ucap terima kasih kepada USM atas anugerah ini. Saya mendoakan agar USM terus beroleh kejayaan pada masa hadapan dan mengharumkan negara di dalam pelbagai bidang ilmu.
12. Teruslah menghasilkan penemuan baharu yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat dalam apa jua bidang.
Wanita gigit lengan anggota polis di kedai kopi
5 minutes ago
0 comments:
Post a Comment